Archive | October, 2011

Kenapa Abang Kahwin Dengan Saya ?

29 Oct

Oleh :
Ayong Izzah

“Aku terima nikahnya Fatimah Az-Zahrah binti Mohamad Nasir dengan mas kahwin RM80.00 tunai”.

Dengan sekali lafaz, aku kini sah bergelar isteri. Lidahku kelu tidak mampu berkata apa-apa. Perasaanku bercampur baur. Pipiku terasa hangat dan basah. Aku tidak pasti mengapa air mataku jatuh sedangkan aku sepatutnya gembira dengan pernikahan ini.

Abdul Rahman bin Abdullah, itu lah nama jejaka yang kini telah sah menjadi suamiku. Dialah yang akan menjadi teraju masjid yang telah kami bina. Orangnya tinggi, kulitnya agak cerah, matanya bersinar, wajahnya seakan-akan bercahaya. Mukanya tidaklah persis Orlando Bloom yang dinobatkan menjadi “hot papa”, mahupun Kim Hyun Joong yang menjadi kegilaan ramai gadis. Dia tidaklah terlalu kacak, tetapi sedap mata memandang.

Dirinya memang selalu menjadi buah mulut orang. Apakan tidak, sudahlah mukanya manis di pandang, di tambah pula dengan sikapnya yang zuhud. Ya, dia seorang yang taat kepada Maha Pencipta, Tuhan Sekalian Alam. Selepas sahaja dia melafazkan akad, dia terus lakukan sujud syukur. Sungguh. Dia memang menjadi idaman siapa sahaja yang melihatnya. Aku juga aneh kenapa dia memilih aku? Sedangkan dia begitu baik, begitu alim, begitu sempurna..

Hingga detik ini aku masih belum mendapat jawapannya. Kenapa aku yang dipilihnya? Aku bukanlah baik mana. Kalau diikutkan, di luar sana, masih ada berjuta wanita yang boleh dipilihnya. Masih ramai lagi yang lebih baik daripadaku. Tapi, kenapa aku? Pakai tudung pun masih tidak pecus lagi. Kerap kali pemakaian tudung ku masih tidak mengikut saranan agama.

“Alhamdulillah. Sekarang, kita sah menjadi suami isteri. Abang harap, dengan penyatuan kita, dapatlah kita sama-sama berjuang ke jalan Allah”, ujar suamiku menghentikan lamunanku sebentar tadi.

Di pandangnya wajahku, kemudian di lapnya benih-benih jernih yang keluar dari kelopak mataku. Selepas disarungkan cincin ke jari manisku, kusalam tangannya. Dia kemudiannya mencium dahiku. Entah kenapa pada waktu itu aku terasa tenang. Aku dapat rasakan keselamatan yang selama ini tidak pernah kurasakan dengan mana-mana lelaki lain. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Air mataku tetap laju merembes keluar dari hujung pagar kelopakku.

“Alhamdulillah, anak mak sudah jadi isteri orang sekarang ni. Jadi isteri ni, tak mudah. Tapi, banyak ganjarannya. Lepas ni, kamu kena duduk dengan suami, jaga makan minum suami. Pesan mak jangan lupa, ya nak. Kata suami jangan ingkar”, pesan ibuku sebelum aku pergi mengikut suamiku pulang ke rumah baru kami.

“Zahrah, dari tadi Abang tengok Zahrah diam je. Kenapa? Zahrah tak sedap badan ke?” tanya suamiku memecahkan kesunyian yang tercipta di antara kami.

Aku masih tidak mampu untuk berkata apa-apa. Ku gelengkan sahaja kepalaku menunjukkan kepadanya bahawa aku tidak apa-apa. Namun, dia terus ajukan soalan kepadaku,”Dah tu, kenapa Zahrah diam? Zahrah rindu mak ye?”

Usikannya langsung tidak mendapat respon daripadaku. Aku masih duduk kaku di sofa ruang tamu rumah kami.

Alhamdulillah. Biarpun, rumah kami tidaklah besar mana tapi cukup dengan kelengkapan rumah. Set sofa, televisyen, peti sejuk, semuanya sudah lengkap tersedia. Suamiku memang benar-benar bijak merancang sebelum berkahwin. Dilengkapi dulu segalanya sebelum dia masuk merisik si gadis sunti.

Perlakuanku yang dari tadi diam membisu ibarat seorang anak kecil yang baru lepas dimarahi menyebabkan si dia mengambil keputusan untuk mendekatiku justeru terus mengatur langkah ke arahku dan mengambil posisi betul-betul di sebelahku. Di pegangnya pipiku, diusapnya kepalaku. Wajahnya begitu tenang menyebabkan aku turut tenang. Terus terdetik dalam hatiku ‘Ah, untungnya badan. Sudahlah kacak, baik pula tu.’ Ditenungnya mataku dalam-dalam sebelum dia bertanyakan semula padaku, “Zahrah, kalau awak tak selesa Abang faham. Ni kali pertama awak hidup tanpa parents kan. Abang faham Zahrah. Susah bagi awak nak terima semua ni. Tapi, dari tadi Abang tak nampak pun Zahrah senyum. Kot ye pun, senyum lah sikit. Zahrah comel tau kalau senyum,” dia cuba memujuk agar aku mengukir senyuman.

Entah kenapa, bibirku mula mengukir senyuman. Aneh. Kenapa aku akur dengan kata-kata dia? Ah! Aku tidak mahu lagi berada dalam kekeliruan. Aku perlu tahu kenapa dia beria-ia mahu menikahi aku. Gadis yang begitu banyak kelemahannya. Gadis yang tak pernah pun ambil peduli pasal dia malah aku tak pernah mengenalinya secara dekat sebelum ini. Oleh sebab itu aku perlu tahu. Aku ni sekadar pelengkap hidup dia yang sememangnya lengkap tu ke? Ye lah. Semuanya dia ada. Yang kurang, cuma isteri. Lagi-lagi umur dia yang dah masuk 30-an. Entah-entah aku ni pilihan dia yang terakhir.

“Hmm…. awak, kenapa awak nak kahwin dengan saya?” ayat pertama yang keluar dari rongga mulutku setelah bergelar suami isteri.

“Laa.. Sebab tu je ke. Zahrah cuma nak tahu tu je? Tu yang Zahrah diam membisu dari tadi?”, ujar sang suami diikuti ketawa kecil.

“Awak, saya tanya kenapa awak nak kahwin dengan saya?” tanyaku dengan nada yang lebih tegas.

“Hmm… Zahrah nak Abang jawab macam mana? Biar Abang jawab asalkan isteri Abang senyum,”soalanya kembali dengan lemah lembut.

“Awak, saya tak main-main ni. Saya tanya sekali lagi. Kenapa awak kahwin dengan saya?”bentakku.

“Okay. Abang akan jawab. Tapi, sebelum tu boleh Abang tahu kenapa Zahrah kahwin dengan Abang?” Soalnya pula seakan ingin menjeratku kembali.

Terkaku kelu lidahku mendengar ungkapan balas darinya. Ya, kenapa aku mengahwininya? Kalau aku tidak mahu, boleh saja aku katakan tidak. Tapi, kenapa aku terima? Kenapa aku tidak membantah di saat ibu dan ayah menjodohkan aku dengan dirinya? Apa yang membuatkan aku tertarik dengan si dia? Sebab wajahnya kah? Atau sebab kebijaksanaan si teruna? Atau mungkin kerana keimanannya? Aku tidak tahu. Aku keliru.

“Kenapa Zahrah membisu?” tanya si suami membuatkan aku tersedar.

“Saya tanya awak dulu kan! Awak jawab je lah! Jangan nak ubah topik boleh tak?” Bentakku sudah hilang sabar kerana terasa seolah sedang dipermainkan.

Dia agak terkejut dengan nada ku yang tinggi itu. Namun dia tidak marah. Yang menghairankan ku lagi, dia cuma tersenyum.

“Abang kahwin dengan Zahrah sebab Allah,” ujarnya ringkas tetapi seakan penuh makna.

“Awak, dari dulu sampai sekarang itu je yang awak kata. I need your explanations! Please, I need to know the truth. Stop fooling around with God’s name, boleh tak? Kalau awak nak menarik perhatian saya dengan jawapan awak tu, fine! You’ve made it! Saya tertarik bila dengar awak cakap macam tu. Tapi, sekarang please lah! Since, kita memang dah sah jadi husband and wife, I need to know why. And by saying that, I mean, explanation. saya tak nak hidup dalam kekeliruan. Hidup dalam sangkaan yang awak kahwin dengan saya sebab saya ni last choice.I’m tired of being the person who people i’ll turn to bila diorang tengah lonely. Bila diorang dah tak ada tempat lain untuk mengadu, untuk berseronok, untuk bergelak tawa, baru diorang nak cari saya. Saya penat diperlakukan sebegitu. Awak faham?” jawabku panjang dan keras.

Ku palingkan mukaku darinya. Entah kenapa aku begitu takut untuk berkata kasar tepat pada wajahnya. Entah kenapa secara automatik aku berkata begitu tanpa ada sedikit pun keberanian memandang mukanya.

Sekali lagi, dia mengalihkan wajahku tepat memandang wajahnya. Senyuman nipis terukir di bibirnya. Tiada langsung bara kemarahan yang dapat dilihat dalam irisnya.

“Abang kahwin dengan Zahrah cuma ada satu sebab. Tak lebih, cuma satu. Orang lain, mungkin ada banyak sebab tapi bagi Abang, cukuplah satu sebab Abang. Abang kahwin dengan Zahrah bukan sebab Zahrah cantik. Abang akui, Zahrah memang cantik. Tapi, jujur Abang katakan kalau Abang nak cari yang lebih cantik, Abang boleh. Tu langsung tak menjadi masalah. Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab Zahrah bijak. Buat apa Abang kahwin dengan orang yang bijak yang satu hari nanti berkemungkinan besar akan pijak kepala Abang? Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab kemewahan. Tidak Zahrah, tidak sama sekali. Kalau mahukan kemewahan, segalanya Abang dah ada. Rumah.. Kereta… Walaupun tidaklah sebagus dan semahal mana, tapi sekurang-kurangnya Abang ada…” balasnya lembut penuh hikmah dengan makna yang amat mendalam.

Kata-katanya lagi sekali membuatkan flood gate ku mula penuh hanya menanti masa untuk dirembeskan. Aku benar-benar kaget mendengar ucapannya. Seketul organ yang aku bawa selama ini, yang aku jaga daripada dipermainkan oleh mana-mana insan yang bergelar lelaki bagaikan ditusuk dan dirobek-robek halus oleh kata-katanya. Sinis sungguh arjuna ini! Mentang-mentang aku sudah sah menjadi isteri, boleh pula dia suka-suka hati cakap macam tu kat aku. Indah khabar dari rupa sungguh! Mahu sahaja aku tampar mukanya. Namun, entah kenapa badanku terus diam kaku. Seakan-akan masih menanti kata-kata yang bakal keluar dari bibirnya.

“Zahrah nak tahu kenapa Abang kahwin dengan Zahrah? Jawapan Abang memang takkan berubah, sayang. Tidak kiralah macam mana pun Zahrah tanya Abang, jawapan Abang tetap sama. Abang kahwin dengan Zahrah kerana Allah. Allah yang menentukan jodoh kita. Rusuk Abang, ada pada Zahrah. Jadi, siapa yang dapat melindungi hati Abang melainkan Zahrah? Mungkin Zahrah fikir kita tidak secocok. Tapi, ini semua perancangan-Nya, Zahrah. Kecantikan Zahrah, kebijaksanaan Zahrah, kemewahan Zahrah, itu semua tidak menarik Abang kepada Zahrah. Apa yang menarik Abang pada Zahrah adalah Allah. Segalanya telah Allah tentukan. Bila kita lahir, bila kita meninggal, siapa jodoh kita, berapa banyak rezeki kita, semua itu Allah telah tetapkan, sayang,” tutur suamiku ikhlas.

Sekali lagi, kata-katanya menusuk kalbuku. Kali ini, air mataku tidak dapat dibendung lagi. Tersedu sedan aku menangis mendengar kata-katanya. Terus dipeluknya aku erat. Saat ini, aku terasa nyaman. Selamat sungguh aku rasa dalam pelukannya. Biarpun tangisan ku semakin menjadi-jadi, tapi hatiku seolah-olah mendapat satu ketenangan yang tidak dapat aku ungkapkan.

“Apa yang boleh Abang katakan, Abang tidak mungkin akan mengungkapkan kata-kata seperti orang lain. Bermanis mulut mengatakan isterinya begini begitu, menjawab persoalan mengapa dia mencintai isterinya dengan memberikan pelbagai perumpamaan. Abang tidak mampu melakukan semua itu. Tapi, kalau itu yang Zahrah mahu, Abang usahakan. Dengan izin-Nya, insya-Allah, Abang cuba. Tapi, tolong jangan terus menerus mempersoalkan ini dan itu. Ini semua kehendak Yang Maha Esa, sayang. Kita Muslim, kepercayaan kepada Allah adalah asas. Itu tonggak kebahagiaan kita dunia akhirat. Abang harap, Zahrah faham. Kita hidup atas dunia ni sementara,” pujuknya tatkala melihat aku mulai menangis.

“Ta….tapi….. Abang tak kenal pun Zahrah… Abang tak pernah tahu pun hati budi Zahrah,” aku cuba menduganya dalam sedu-sedan.

“Sekarang pun, kita boleh kenal antara satu sama lain kan? kita dah jadi suami isteri, lebih mudahlah Abang nak kenal isteri Abang, tak gitu?”

“Ta….tapi….. Abang tak tahu siapa Zahrah. Zahrah ni jahat. Abang baik. A…” aku masih ingin menduganya. Aku mahu dia tahu aku bukanlah sebaik dirinya. Aku tidak setaraf dengannya.

Dilekapkan jari telunjuknya ke bibirku. “Tiada siapa yang boleh menentukan kebaikan seseorang melainkan Allah, sayang. Tiada seorang pun. Hanya Allah yang selayaknya untuk memutuskan siapa yang baik, siapa yang tidak.”

Kualihkan jari runcingnya dari bibirku, lantas ku pandang wajahnya. Memang benar kata orang, memang sejuk mata memandangnya. Dia masih kelihatan begitu tenang biarpun aku sudah mengasarinya. Hebat sungguh arjuna ini mengawal emosinya. Aku mengerti jika dia marah. Sudahlah baru sahaja selesai resepsi, penat masih belum hilang, tak semena-mena isterinya pula buat hal. Kagum sungguh aku dengan lelaki yang telah selamat menjadi suamiku.

“Abang, Zahrah minta maaf. Zahrah tak bermaksud nak berkasar dengan Abang. Tapi, bila ada yang mempersoalkan sebab kita berkahwin, Zahrah jadi keliru. Sungguh…” ujarku terketar-ketar dalam tangisan.

Suamiku hanya mendiamkan diri. Dibelainya aku perlahan dengan harapan dapat menenangkan aku.

“Abang sendiri tahu, Zahrah tidaklah secantik mana, tidaklah sebijak mana. Mahu dibanding dengan gadis yang pernah Abang temui, mungkin Zahrah tidak langsung setaraf dengan mereka. Lagi-lagi kita tidak pernah keluar bersama. Alih-alih, kita nikah. Mestilah timbul curiga dalam hati orang” terangku satu persatu.

“Zahrah, sudahlah tu. Abang faham Zahrah inginkan penjelasan. Memang Zahrah berhak tahu kenapa abang berkahwin dengan Zahrah. Im marrying you because of Allah and the answer will remain the same forever. Zahrah percayakan Abang?” Soalnya ingin tahu isi hatiku.

Aku mengangguk tanda setuju. Tidak ada lagi kalimah yang bisa kususun melainkan ucapan puji bagi Ilahi. Terima kasih, Ya Rabb kerana mempertemukan aku dengannya. Terima kasih, Azza wa Jalla kerana kau mempertemukan aku dengan seorang lelaki yang bisa mendekatkanku dengan-Mu. Terima kasih, Ya Allah!

Modal Insan Bukan Dengan Wang Dan Mesin

13 Oct

Oleh : Ustaz Hasrizal Abdul Jamil


“Tak ada pelajar baru?”, saya tercengang.

Sedih dan buat-buat terkejut. Seolah-olah besar benar kejutannya.

Tahun pengajian 2007 / 2008 bermula dengan sedikit rasa terkilan di hati saya, kerana Jabatan Sejarah dan Tamadun tidak menerima walau seorang pun pelajar baru.

Kesedihan juga jelas kelihatan di wajah pensyarah-pensyarah saya.

Usaha saya memujuk beberapa orang rakan yang saya tahu minat mendalam mereka terhadap sejarah, untuk masuk ke program akademik di UIA, juga tidak berhasil.

“Bukan sahaja peringkat sarjana, di peringkat sarjana muda pun bermasalah”, kata Prof Abdullah al-Ahsan di dalam kelas kami.

Inilah di antara kebimbangan saya terhadap masyarakat ini. Ketika kita ghairah memperkatakan tentang pembangunan modal insan, disiplin-disiplin yang membangun dan membentuk insan semakin diketepikan.

“UIA pernah membuka Jabatan Falsafah pada tahun 1993, tetapi tidak sampai lima tahun ia ditutup kerana kekurangan pelajar”, rungut Prof. al-Ahsan lagi.

Masyarakat kita di Malaysia amat membimbangkan saya.

PENGAJIAN ISLAM

Dari satu sudut, saya bersyukur dengan sambutan hebat masyarakat terhadap bidang pengajian Islam. Dari IPTA dan IPTS sampailah ke kolej-kolej, pengajian di peringkat Diploma hingga ke PhD, tidak menghadapi masalah. Jauh benar bezanya kelas saya di Jabatan Sejarah dan Tamadun, berbanding dengan kuliah-kuliah di Jabatan Ilmu Wahyu (Pengajian Islam).

Saya sangat bersyukur kerana berpeluang menjadi pemegang segulung ijazah di bidang tersebut. Manfaatnya sangat besar. Ia membantu saya berinteraksi dengan sumber agama saya di dalam bahasa aslinya, serta kaedah-kaedah mengeluarkan maksud yang dikehendaki dari teks-teks (nas) al-Quran, al-Sunnah dan sumber-sumber sekunder yang lain.

Tetapi saya merasakan bahawa apa yang telah saya pelajari dari disiplin Pengajian Islam, belum cukup untuk membolehkan saya mendalami maksud dan tujuan agama. Islam itu sampai kepada kita melalui rakaman nas, tetapi nas itu adalah input yang bermatlamatkan implimentasi kesan-kesannya ke atas manusia. Setelah memahami nas, seorang pejuang agama mesti belajar memahami manusia.

Inilah yang gagal saya temui di sepanjang pengajian saya di bidang Pengajian Islam.

ANTI FALSAFAH

Saya merasakan bahawa ilmu Falsafah sangat penting untuk dipelajari kerana ia berfungsi mendefinisikan cara kita berfikir. Tanpa asas Falsafah, kita sendiri tidak pasti bagaimana akal kita yang dikurniakan Allah itu berfungsi. Tetapi pelajar Syariah secara lisannya ditegah daripada mempelajari Falsafah, dan subjek tersebut tidak kedapatan di dalam silibus pengajian kami.

Pada masa itu saya tidak punya sebarang upaya untuk melawan silibus yang telah diprogramkan kerana saya sendiri sedikit demi sedikit menerima sahaja andaian bahawa Falsafah itu bertentangan dengan Islam. Keadaan diburukkan lagi oleh sikap beberapa orang pensyarah saya yang ‘kaki falsafah’, tetapi gagal mempamerkan hormat mereka kepada disiplin ilmu Syariah… tsaqafatan wa akhlaqan!

“Saya tidak mahu kamu tulis sebarang ayat Quran atau Sunnah di dalam kertas jawapan kamu”, tegas seorang pensyarah kami yang gharib. Ganjil kerana sambil memberi arahan beliau meletakkan kakinya di atas meja!

Gayanya itu menjadikan persepsi saya terhadap Falsafah semakin buruk. Falsafah memburukkan fikiran dan tingkah laku beliau. Tetapi ia hanya kesimpulan simplistik yang tidak saya adili sebaiknya.

Namun, keinginan untuk memahami apa yang sedang bekerja di dalam kepala saya ini, mendesak saya untuk membaca sendiri beberapa buku Falsafah, hasil cadangan beberapa orang rakan, khususnya dari Turki. Saya telah membeli dan membaca sedikit demi sedikit buku Qissatul Iman oleh Sheikh Nadim al-Jisr yang menghuraikan secara Falsafah, jalan manusia mengenal Allah.

Sungguh menarik, biar pun saya tidak mampu memahami keseluruhannya.

Beberapa buah buku Falsafah lain juga telah saya beli, namun tersimpan di rak selama hampir sedekad, sebelum saya menyentuhkan beberapa tahun yang lalu.

Saya cuba mendekati Falsafah, hanya dengan maksud mahu memahami diri sendiri.

Keinginan yang tinggi untuk memahami manusia selepas memahami nas, membawa saya kepada kembara diri yang panjang dan jauh. Keinginan itu menjadikan saya teruja dan sentiasa tertumpu kepada manusia, walau di negara dan tanah mana sekali pun saya mengembara. Jika London sering mencengangkan manusia dengan bangunan dan kemajuannya, tumpuan saya tetap pada kualiti dan serba-serbi yang berkaitan dengan ‘tingkah laku manusia’nya.

Sama juga di tempat-tempat yang lain.

Minat itulah yang seterusnya mendalamkan lagi tumpuan saya kepada Sejarah. Sejarah membantu saya memahami kelakuan manusia, tetapi di dalam konteks yang lebih besar dan luas. Semakin saya mentelaah Sejarah, saya semakin terasa keperluannya untuk melengkapi pengajian seseorang di bidang Pengajian Islam.

KITA TIDAK BERMINAT DENGAN MANUSIA

Malang sekali, minat itu pudar di kalangan masyarakat kita. Bagi yang minat Sejarah, minat itu hanya pada sekadar membaca cerita tetapi bukannya dengan maksud mahu pergi lebih dalam ke arah memahami dan mengenal manusia.

Inilah yang membimbangkan saya.

Tumpuan kita terlalu menjurus kepada keperluan pasaran yang materialistik. Kebijaksanaan anak-anak kita disalurkan ke bidang-bidang hard science seperti kejuruteraan malah perubatan.

Sedangkan kita memerlukan kebijaksanaan yang maksimum di bidang soft science. Iaitu sains yang berkaitan dengan manusia dan kelakuannya. Bidang-bidang seperti Sejarah, Sosiologi, Psikologi, Komunikasi, Kaunseling dan sebagainya, bukan bidang pilihan yang popular. Malah jika diteliti, kecenderungan masyarakat kita ke bidang Pengajian Islam sekali pun, semakin tertumpu kepada pengkhususan ekonomi dan perbankan Islam.

Bagaimana dengan Usuluddin dan cabang-cabangnya?

Tentu sahaja saya tidak menolak kepentingan bidang-bidang ini. Sistem-sistem yang mengatur manusia itu perlu dikembang dan dibangunkan.

Namun, manusianya juga memerlukan sentuhan.

SOCRATES DAN GOLONGAN SOPHISTS

Ia mengingatkan saya kepada pertentangan di antara Socrates dengan golongan yang dikenali sebagai Sophists. Mereka ini adalah guru-guru masyarakat yang mengajar anak-anak muda di Athens ilmu retorik, tatabahasa, syair, gimnastik, matematik dan muzik. Tumpuan mereka hanyalah pada mengajar kemahiran praktikal kepada warga muda Athens, sesuai dengan perkembangan material Tamadun ketika itu.

sophist.jpg

Socrates mempertikaikan relativisma golongan Sophists ini. Socrates menegaskan bahawa matlamat pendidikan bukanlah pada membekalkan kemahiran fizikal sahaja. Apa yang lebih utama adalah pada meneroka persoalan yang lebih utama dalam hidup ini seperti TUJUAN HIDUP, NILAI yang dipegang dalam kehidupan dan bagaimanakah caranya manusia boleh menyempurnakan pembentukan sahsiah.

Socrates mahu pendidikan pergi kepada pembentukan karakter manusia, dan bukannya sempit pada skill pasaran semata-mata.

MEMBENTUK MANUSIA

Masyarakat Melayu Muslim hari ini sering mencanangkan kejayaan mereka pada menambah senarai profesional Melayu Muslim, berbanding 50 tahun yang lalu. Tetapi pertambahan golongan ahli sains ini, banyak tertumpu kepada hard science yang saya sebutkan tadi.

Golongan hard scientists ini bukanlah golongan yang efektif dalam menganalisa kelakuan manusia dan membentuknya… terutamanya apabila mereka gagal keluar dari silibus yang disediakan. Mereka melihat sains sebagai kemahiran, tetapi bukannya penjelasan kepada hubungan Allah – Alam – Manusia yang asli. Mereka menghafal teori Fizik tetapi tidak dapat melihat falsafahnya sebagai tafsiran kepada manusia, alam dan Tuhan Pencipta.

HARD SCIENTISTS DAN DAKWAH

Hal ini mungkin juga boleh menjadi renungan kepada gerakan Islam seperti PAS yang berusaha keras untuk memperbaiki imejnya yang sebelum ini sering dilabel sebagai parti kampung dan ustaz-ustaz. Kini, imej itu sudah jauh ditinggalkan dengan pertambahan golongan profesional yang menyertainya.

Tetapi profesional yang bagaimana?

Saya yakin, majoriti profesional yang menyertai PAS masih lagi terdiri daripada hard scientists iaitu para jurutera, doktor dan sebagainya. Mereka mungkin berjaya mengubah IMEJ PAS, tetapi sejauh manakah kehadiran golongan ini menyuntik perubahan kepada SUBSTANCE PAS itu sendiri? Seorang jurutera boleh sahaja memiliki kefahaman dan pemikiran tentang perjuangan Islam, sama seperti kefahaman seorang ustaz. Maka pertambahan golongan ini tidak memberikan apa-apa impak kepada perkembangan ideologi politik Islam di dalam PAS.

Ini mungkin salah satu daripada perbezaan besar di antara PAS dengan gerakan seperti AKP di Turki.

Kekurangan Human Scientist di dalam gerakan Islam Malaysia, bukanlah kerana kurangnya penyertaan mereka di dalam dakwah. Tetapi ia berpunca dari masyarakat kita sendiri yang sememangnya kekurangan Human Scientist.

Ketiadaan suntikan disiplin Sejarah, Sosiologi, Komunikasi, Psikologi dan bidang-bidang Sains Sosial kepada dakwah, menyebabkan dakwah tidak manusia. Bukan sahaja dakwah, malah pendidikan (boleh juga dibaca sebagai Tarbiyah) juga boleh menerima kesan yang sama. Mekanisma pembentukan manusia kita tidak manusiawi.

Saya tidak sekadar mengandaikan hal ini.

Tetapi kajilah resepi yang melahirkan pemikiran yang efektif oleh tokoh Tajdid seawal al-Ghazzali, Ibn Taimiyah, malah pasca modernisma seperti Tahtawi, Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Abduh, Rashid Ridha, Badiuzzaman Said al-Nursi dan yang seumpama dengan mereka. Gabungan penguasaan soft science dan hard science, membantu penguasaan mereka terhadap ilmu Syariah… agar berjaya membentuk manusia di zaman kehancuran dan kesesatan.

Dakwah memerlukan sumber yang Rabbani dengan sentuhan yang manusiawi.

TEKSTUAL

Baru-baru ini saya berbual dengan sepupu saya yang merupakan seorang pakar terapi permainan kanak-kanak. Beliau menggunakan teknik permainan untuk membentuk, mengawal dan memandu psikologi kanak-kanak… iaitu suatu bidang yang sukar kerana kanak-kanak bukanlah bersifat ekspresif seperti orang dewasa. Usaha untuk memahami mereka, khususnya di bidang perubatan dan pendidikan, memerlukan kepada kemahiran yang tinggi.

Beliau mencadangkan supaya pihak hospital mengubah setting bilik permainan kanak-kanak di hospital. Setakat ini, bilik ini berwarna kelam, pudar dan membosankan. Sepupu saya telah mengemukakan kertas kerjanya yang merupakan ekstrak thesis PhD beliau, agar perubahan drastik dibuat terhadap bilik tersebut. Ini sangat penting khususnya bagi kanak-kanak yang berpenyakit kronik dan memerlukan rawatan jangka panjang di hospital.

“Akak juga cadangkan supaya anak-anak patung seperti soft toys diperbanyakkan. Dinding-dinding juga perlu dihias dengan watak-watak animasi yang menceriakan budak-budak di situ. Format 2D”, katanya kepada saya.

Malang sekali, cadangannya ditolak oleh golongan hard scientists di hospital. Alasannya ialah soft toys, watak animasi dan lukisan-lukisan sebegitu akan menyebabkan Malaikat tidak masuk ke bilik tersebut dan ia boleh menambahkan jumlah kematian kanak-kanak yang dirawat!

Terlopong saya mendengarnya.

Golongan pakar terhadap fizikal manusia ini sangat tekstual dalam kefahamannya terhadap agama, sama juga seperti sesetengah ustaz yang juga tekstual dalam mengemukakan kefahamannya terhadap nas. Soal mengharmonikan fitrah manusia dengan maksud nas, langsung tidak dipedulikan.

Saya hanya mampu mengeleng.

BANTUT PEMIKIRAN

Kesan daripada mundurnya bidang Sains Kemanusiaan dan Falsafah, ia membantutkan perkembangan ilmu dan idea. Saya rasa tidak sukar untuk saya membuat perbandingan di antara produk pemikiran umum di Malaysia yang menyaksikan penutupan Jabatan Falsafah, dengan pemikiran yang berkembang di institusi akademik di negara-negara seperti Mesir, Turki dan Indonesia.

Saya mengharapkan lebih ramai pendakwah yang berusaha menambah pengetahuan mereka di dalam ilmu-ilmu yang membantu mereka memahami manusia, sebagaimana saya juga mengharapkan ramai lagi jurutera, doktor, akauntan dan golongan profesional lain, melakukan perkara yang sama.

Bahawa ketinggian upaya pemikiran anda, amat diperlukan untuk memajukan agenda kita membentuk manusia.

Modal insan bukanlah besi yang ditempa dengan api, tetapi batu yang dibentuk dengan air.

Soft science itu menggamit anda…

Musuh Allah Berijazah Syariah

13 Oct

“Bagus tulisan ini. Bangun, siapa yang menulisnya!”, kata Dr. Mustafa Abu Zaid.

Sahabat saya, Khair (bukan nama sebenar) bangun tersipu-sipu. Hampir 300 biji mata yang lain tertumpu kepadanya.

“Kamu pelajar tahun dua ya?”, tanya beliau kepada anak muridnya yang seorang ini.

Khair mengangguk.

“Kamu dari negeri mana di Malaysia?”, tanya Dr. Mustafa lagi.

“Saya dari Kelantan”, jawab Khair.

“Ohh, patutlah!”, simpul pensyarah kami.

Semua orang terpinga-pinga. Apakah yang Dr. Mustafa Abu Zaid maksudkan dengan “ohh patutlah” tersebut?

“Baik, ini saya ada satu lagi hasil kerja. Sila bangun siapa yang menulisnya!”, Dr. Mustafa Abu Zaid memberikan arahan. Kali ini lain sedikit nada suaranya.

Sahabat kami, Hakim (bukan nama sebenar), terus bangun. Kelihatan agak resah di wajahnya.

“Kamu pelajar tahun empat?”, tanya Dr. Mustafa.

“Ya!”, jawab Hakim perlahan.

“Ini hasil kerja pelajar tahun empat? Kamu dari negeri mana di Malaysia?”, soal Dr. Mustafa. Keras!

“Saya dari Johor”, jawab Hakim.

“Ohh, patutlah!”, simpul pensyarah kami, sekali lagi.

Habis semua orang terpinga-pinga. Tambah kebingungan.

AKSES FIKRAH

Saya tersenyum, sekadar menggelengkan kepala. Saya faham benar akan Dr. Mustafa Abu Zaid. Beliau mengajar kami subjek Dakwah Islamiyyah, subjek yang sangat berkesan dalam proses mengakses fikrah pelajar-pelajar Syariah tentang tanggungjawab dakwah dan perjuangan.

Jangan pula ada yang beranggapan, hanya dengan menjadi pelajar Syariah, sudah tentu ada fikrah tentang tugas dakwah warisan Anbiya’ itu. Belum tentu. Dr. Mustafa Abu Zaid sangat arif tentang hal ini dan beliau tidak mensesiakan setiap ruang dan peluang untuk ‘membasuh’ fikrah anak muridnya.

Mungkin sebab itu ramai pelajar Malaysia tidak suka dengannya. Tetapi beliaulah pensyarah yang paling saya minati. Sukar untuk saya ungkapkan, tetapi soalannya sentiasa menarik perhatian saya, dan jawapan saya pula selalu sesuai dengan kehendaknya. Hasilnya, Alhamdulillah, markah peperiksaan bagus. Hubungan juga bagus. Lebih dari sekadar pensyarah dan pelajar, tetapi pendidik dan mutarabbi dari kalangan kami.

KAJIAN GERAKAN

Kali itu, Dr. Mustafa Abu Zaid memberikan assignment kepada kami. Beliau mahu kami mengkaji dan menulis tentang gerakan atau parti yang wujud di negara masing-masing. Satu contoh gerakan yang mendukung idea Islam, idea Nasionalisma, idea Sosialisma dan satu idea lain yang wujud.

Saya gembira sekali dengan tugasan sebegini. Hampir seminggu saya menyelongkar perpustakaan universiti dan kedai-kedai buku di Amman untuk mencari bahan. Terkasima juga bertemu dengan tulisan-tulisan pemimpin PAS dan ABIM yang diterjemahkan ke Bahasa Arab, termasuk juga buku-buku yang disunting oleh Sheikh Azzam al-Tamimi.

Tentu sahaja di ketika itu (1995), belum ada apa yang dinamakan sebagai internet, dalam dunia pengajian kami.

Bagi pelajar yang biasa dengan usrah, tentu sahaja assignment sebegini tidak sukar. Tahu hujung pangkalnya. Tetapi bagi yang tidak pernah peduli dengan Tarbiyah, dengan dakwah, bertemu kesulitan yang besar untuk menyelesaikannya.

KE PEJABAT

Kami keluar kelas bagai cacing kepanasan. Ada yang marah, ada yang ketawa, ramai yang tersenyum dan terus diam. Saya bergegas mengejar Dr. Mustafa Abu Zaid ke pejabatnya kerana beliau berpesan begitu. Turut bersama semasa itu ialah Ahmad yang juga peminat Dr. Mustafa Abu Zaid.

Di pejabat beliau, beliau meminta kami menjelaskan dengan lebih terpeinci tentang suasana politik di Malaysia. Beliau khuatir dengan Anwar Ibrahim yang dilihatnya mengkhianati perjuangan Islam.

“Jangan sampai jadi macam Anuar Saddat!”, katanya, merujuk kepada bekas Presiden Mesir yang muncul dari khemah al-Ikhwan al-Muslimun tetapi bertukar menjadi musuh paling keras dan kejam terhadap Ikhwan.

Saya melihat di atas meja beliau ada buku BACAAN, yang menjadi rujukan golongan Anti Hadith di Malaysia. Manalah ‘Tok Sheikh’ ini dapat naskhah itu, kami berdua kehairanan.

PEPERIKSAAN LISAN

Semasa kami sedang berbual, tiba-tiba pintu bilik Dr. Mustafa diketuk. Seorang pelajar Malaysia muncul dan memberi salam.

“Urusan apa?”, tanya beliau.

“Ujian Satu subjek Aqidah 1″, jawabnya. Saya dan Ahmad beralih ke tepi.

“Kamu sudah selesai baca buku Ubudiyyah karangan Ibnu Taimiyah itu?”, soal Dr. Mustafa Abu Zaid.

“Sudah, Alhamdulillah”, balas beliau.

“Baik, silakan duduk. Soalan pertama saya, kamu parti mana?”, tanyanya. Pelajar itu, dan kami berdua sama-sama tercengang.

“Err… err…!”, beliau serba salah mahu menjawabnya.

“PAS atau UMNO?”, soalnya terus.

“Bukan, bukan! Bukan PAS, bukan UMNO!”, jawab beliau. Cemas!

“Habis? ABIM?”, Dr. Mustafa Abu Zaid menyoal lagi untuk memudahkan jawapan.

“Ya…”, jawab pelajar tersebut.

“Baik. Soalan kedua saya, hasil bacaan buku Ubudiyyah itu, terangkan kepada saya bagaimana ABIM faham Islam?”, soalan Dr. Mustafa Abu Zaid makin ‘telanjang’. Tembus dan telus.

“Err… err…”, gugup sekali pelajar tersebut mahu menjawab soalan itu. Tentu sahaja tiada dalam jangkaannya akan disoal sedemikian rupa. Saya dan Ahmad juga resah mendengarnya.

“Saya mudahkan soalan saya ya. Macam Islam PAS atau macam Islam UMNO?”, Dr. Mustafa menembak soalan lagi.

“Tidak, tidak! Bukan macam PAS, bukan macam UMNO. Kami tengah-tengah!”, jawab beliau.

“APAAA!!!”, Dr. Mustafa sangat terkejut. Merah padam mukanya.

Kami kesejukan. Silap benar jawapan sebegitu wahai saudaraku…

“Tengah-tengah!!! Tiada tengah-tengah dalam masalah ini. Sama ada kamu pilih Islam atau kamu pilih Jahiliah. Mereka yang baina baina (tengah-tengah) hanya kaum yang bersekongkol dengan Nifaq. Adakah kamu maksudkan ABIM begitu?”, soalnya lagi.

“Tidak, tidak… bukan begitu!”, jawab pelajar itu. Wajahnya sungguh panik.

Saya dan Ahmad meminta izin untuk keluar. Kasihan melihat pelajar tersebut yang tersepit dan terjerat.

“Jangan! Duduk sini”, tegas Dr. Mustafa Abu Zaid menahan kami.

Saya dan Ahmad duduk semula.

“Habis, bagaimana sebenarnya Islam yang kamu fahami dan perjuangkan. Terangkan kepada saya”, ujar Dr. Mustafa.

“Saya tidak tahu!”, balas pelajar itu perlahan. Sayu bunyinya.

“Kamu bilang kamu sudah habis membaca kitab Ubudiyyah. Tetapi kamu tidak dapat jelaskan Islam apa yang kamu perjuangkan. Wallahi, kamu belum faham apa yang Ibnu Taimiyyah cuba sampaikan dari buku itu. Pergi balik dan baca semula. Setelah faham, baru datang jumpa saya dalam tempoh satu minggu”, Dr. Mustafa Abu Zaid meredakan kemarahannya.

Biar pun beliau seorang yang tegas, tetapi ketegasannya ialah pada menegaskan fikrah dan kefahaman. Dalam bab peperiksaan dan pemarkahan, beliau seorang yang bertolak ansur dan memberi peluang kepada pelajarnya.

KELAS BERIKUTNYA

Dua hari selepas itu, kami masuk semula ke kelas Dakwah Islamiyyah.

Jam sudah sedikit lewat. Kami hampir-hampir sahaja mahu meninggalkan kelas kerana Dr. Mustafa Abu Zaid amat jarang tiba lewat ke kelas. Beliau muncul tetapi wajahnya kemerahan.

“Saya kecewa!”, katanya memulakan kelas kami.

Dewan Teater 5 itu sepi. Tentu ada sesuatu yang tidak kena.

“Saya telah dipanggil oleh Dewan Senat kerana ada di kalangan kamu yang mengadu dan menuduh saya menyebarkan propaganda di dalam kelas!”, sambungnya lagi.

“Kamu tahu apa itu propaganda? Iaitu kenyataan tanpa dalil dan pembuktian. Apakah ada mana-mana keterangan saya yang tidak merujuk kepada dalil? Cakap!”, tegas guru kami yang seorang ini.

Saya sendiri sejuk-sejuk tangan dan leher dibuatnya. Gerun.

“Salman! Mana satu Salman? (bukan nama sebenar)”, beliau memanggil nama pelajar yang membuat pengaduan tersebut.

Seorang rakan kami dari Indonesia bangun.

“Oh, kamu! Apa alasan pengaduan kamu?”, tanya beliau.

BERANI MENJAWAB

Salman menegaskan bahawa beliau tidak suka dengan idea assignment tentang gerakan dan parti yang diberikan tempoh hari. Katanya, subjek Dakwah Islamiyyah sepatutnya mengajar tentang cara-cara berdakwah, bukannya bercakap tentang politik kepartian.

Dr. Mustafa Zaid, merah padam mukanya.

“Kamu sudah baca silibus subjek ini?”, soalnya lagi.

“Sudah doktor!”, balas Salman.

“Faham isi kandungan dan matlamatnya?”, tanya beliau.

“Faham”, jawab Salman.

“Wallahi, kamu tidak faham satu apa pun dari silibus tersebut!!!”, marah Dr. Mustafa Abu Zaid.

Kelas menjadi sepi. Tegang, bukan tenang.

AYAH, BUKAN PENSYARAH

Aku mengajar kamu agar kamu hidup menyembah Allah. Jangan jadi musuh Allah, apatah lagi musuh Allah berijazah Syariah!

“Kamu semua dengar sini. Aku mengajar kamu bukan kerana mencari duit. Aku bukan berdiri di sini sebagai pensyarah. Aku adalah bapa, dan kamu anak-anakku. Aku mengajar kamu agar kamu hidup menyembah Allah. Jangan jadi musuh Allah, apatah lagi musuh Allah berijazah Syariah! Jika kamu melaporkan kepada Raja sekali pun dan aku dihukum bunuh, ketahuilah bahawa syahidnya aku adalah kebanggaan isteri dan anak-anakku!”, Dr. Mustafa Abu Zaid bersyarah.

Wajah dan janggutnya basah dengan air mata.

Saya juga gagal menahan sebak. Puas mengelap air mata, kerana saya tahu Dr. Mustafa memaksudkan apa yang diperkatakannya.

“Kelas tamat untuk hari ini. Kamu semua jangan datang ke kelas ini lusa, kecuali setelah kamu tahu apa maksud Surah al-Dzaariyaat ayat 56!”, beliau terus melangkah keluar dan memberikan salam kepada kami.

Ubudiyyah kepada Allah… itulah butir hikmah yang Sheikh Mustafa Abu Zaid semaikan ke jiwa kami.

Hanya jauhari yang kenal manikam!

TIDUR BUKAN SEKADAR MEMEJAMKAN MATA

4 Oct

Oleh :

UStaz Pahrol


Sering saya nasihatkan anak-anak (remaja) dengan nasihat yang diberikan oleh guru-guru saya. Antaranya, jika teratur tiga perkara ini maka teraturlah hidup kamu. Tiga perkara itu adalah waktu solat, waktu makan dan waktu tidurmu. Alam remaja, alam yang begitu dinamik, aggresif dan ‘adventurous’ – alam transisi yang serba kemungkinan. Remaja tidak suka diatur…Pada waktu itu sering peraturan dianggap satu ‘kekalutan’.

Namun, anak-anakku dengar pesan ini… atur ketiga-tiga perkara ini. Atur solat demi kesihatan jiwa mu. Atur makan demi kesihatan badan mu. Dan atur tidur demi kesegaran dan ketangkasan minda, fizikal dan mentalmu. Kali ini beri laluan untuk saya bercakap tentang tidur…kerana… TIDUR BUKAN SEKADAR MEMEJAMKAN MATA.

Dalam Al-Quran, Allah SWT telah menyatakan bahawa malam Allah khususkan untuk tidur. Jadi, kita gunakanlah masa itu untuk tidur. Ini fitrah asal manusia. Manusia perlukan tidur sepertimana manusia perlukan makanan, minuman dan lain-lain. Tidak ada manusia yang sanggup melawan fitrahnya.

Jika kita melawannya, juga kita akan kalah. Jadi, tidak hairanlah tanpa tidur pada waktu malam kita akan keletihan pada siang hari. Dari segi kesihatan pula tidur yang cukup adalah asas dalam kesihatan badan. Manusia normal memerlukan 6 hingga 8 jam tidur dalam sehari.

Masalahnya, ada remaja yang suka berjaga larut malam. Istilah yang selalu kita gunakan untuk mereka ini ialah, ‘kutu embun’. Malam-malam mereka gunakan untuk aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti lumba haram, bergaul bebas, berbual kosong, video games, dan sebagainya. Percayalah… ini memudaratkan. Seeloknya, tidur awal dan bangun awal. Manfaatkan waktu selepas Subuh yang berkat itu.

Manusia selepas Isyak dikatogerikan kepada tiga. Pertama, yang mengisi malam-malamnya dengan aktiviti yang berfaedah seperti menelaah pelajaran, berbincang sesuatu yang bermanfaat dan lain-lain amal kebaikan. Mereka ini mendapat pahala.

Yang kedua, mereka yang melakukan perkara-perkara harus seperti dan terus tidur., mereka ini tidak memperolehi apa-apa, berdosa pun tidak berpahala pun tidak. Tetapi yang malangnya ialah mereka yang menggunakan waktu dengan aktiviti-aktiviti maksiat, maka mereka ini berdosa. Jadi, gunakanlah akal dan hati kita untuk menimbang, kita ini dalam golongan yang mana?

Remaja punya tanggungjawab asasi, maka dahulukan dan utamakanlah tanggungjawab yang asasi. Apakah tanggungjawab yang utama? Ya kebanyakannya para remaja masih belajar. Setelah itu, jika ada masa, ada tenaga dan ada kesempatan maka eloklah dibuat amalan-amalan sunat seperti qiamullail dan sebagainya. Cuma harus diingatkan bahawa keutamaan tetap pada menuntut ilmu, jangan sampai kita bangun untuk solat tahajjud pada malam harinya tetapi mengantuk hingga tidak dapat belajar dengan baik pada esok paginya.

Itu kurang tepat! Kewajiban belajar lebih utama daripada sembahyang sunat. Tapi ingat… yang saya katakan ialah solat sunat, tetapi jika solat wajib tidak ada kompromi. Ia wajib dilaksanakan dalam apa jua keadaan. Jangan tinggalkan solat wajib. Solat Subuh misalnya, jangan sekali-kali ditinggalkan atas alasan tidak cukup tidur…

Masa yang diperuntukan untuk tidur sekurang-kurangnya 6 jam yakni ¼ daripada umur kita. Ertinya jika kita hidup 40 tahun, 10 tahun telah dihabiskan untuk tidur. Pertama, hendaklah kita jaga niat, kaedah serta adab-adabnya. Sebelum tidur hendaklah kita niatkan untuk mendapat kerehatan, agar kita dapat bangun untuk solat Subuh pada hari keesokkannya. Sebaik-baiknya kita berwudhuk.. Air wudhuk itu akan menyejukkan hati kita, merehatkan emosi kita dan menstabilkan fikiran kita. Bacalah doa tidur, yang maksudnya, segala puji Allah yang menghidupkan dan mematikan daku.

Ya, menyentuh soal ini teringat pesanan yang pernah disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada isterinya Siti Aishah RA. Baginda diriwayatkan telah berkata, wahai Aishah, janganlah engkau tidur sehingga kau melakukan 4 perkara ini, pertama, setelah habis membaca seluruh isi Al-Quran. Kedua, mengambil aku dan para Nabi sebagai penolongmu di hari kiamat. Ketiga, sehingga semua orang Islam redha dan memaafkanmu. Keempat, hingga kau selesai mengerjakan umrah.

Apabila Saiyidatina Aishah bertanya bagaimana? Rasulullah SAW menjelaskan bahawa jika kita tidak membaca surah Al-Ikhlas 3 kali samalah fadhilat dengan membaca keseluruhan isi Al-Quran. Bila kita berselawat ke atas nabi Muhammad SAW dari para nabi yang lain, maka mereka nanti akan membela keadaan kita di hari kiamat. Bila kita beristighfar dan memohon ampun untuk orang mukmin maka mereka juga akan redha terhadap kita kelak. Dan dengan membaca Allah hu Akhbar, Alhamdullilah, dan Subhanallah, samalah pahalanya seperti kita mengerjakan umrah.

Kemudian tidurlah dengan baik, seeloknya mengiring dengan pipi mengiring ke kanan dan muka menghadap kiblat. Kalau terlentang, letakkan kaki kanan di atas kaki kiri. Itu sebelum atau awal-awal nak tidur.. dan apabila sudah tidur tentulah gaya bebas (kita tidak ingat apa-apa lagi). Tapi, elakkan daripada tidur meniarap, Rasulullah melarang sahabatnya tidur meniarap kerana itu gaya tidur ahli neraka.

Ya, itulah sebahagian cara tidur dalam Islam. Jika kita lakukan Insya-Allah Allah akan redha kepada kita sepanjang waktu kita tidur itu. ertinya , Allah kurniakan pahala. Begitulah pemurah-Nya Allah, Dia Maha Pengasih kepada kita. Jadi, bagi remaja apa salahnya kalau kita tidur dengan adab-adab yang saya sebutkan tadi.. Siapa tak mahu, rehat pun dapat.. Jika 40 tahun kita hidup, 10 tahun kita mengaut pahala dalam tidur sahaja.

Pada keseluruhannya, kisah ini membuktikan kehebatan dan kekuasaan Allah. Pertama, Allah mampu menidurkan seorang manusia lebih lama daripada biasa. Ertinya, hukum biologi dan fisiologi telah Allah batalkan dalam kes ini. Logiknya, tanpa makanan, tanpa pergerakan, dan tanpa buang air, tentulah pemuda-pemuda itu akan mati.

Kedua, ini membuktikan betapa Allah membela pemuda-pemuda yang beriman dengan cara yang cukup mudah. Iaitu cara tidur. Bayangkan Raja dan bala tenteranya telah memburu pemuda-pemuda beriman ini untuk dibunuh.. mereka begitu terdesak. Tetapi kuasa Allah telah menidurkan mereka. Setelah mereka bangun semuanya telah berubah. Inilah bantuan yang telah Allah berikan untuk orang-orang yang beriman.

Dalam Al-Quran Allah telah menyatakan bahawa Dia tidak rasa mengantuk apatah lagi tertidur. Ertinya, Allah sentiasa berjaga. Dia tidak letih, tidak rasa lapar, tidak rasa bosan, dan tidak rasa sakit sepertimana manusia. Mengantuk ini melambangkan kekurangan dan kelemahan, Maha Suci Allah daripada sebarang kelemahan dan kekurangan. Oleh itu, atas sifat-sifat kesempurnaan-Nya, Allah tidak tidur walaupun sedikit.

Ada banyak jenis tidur…ada yang tidur mati. Ini tidur habis-habisan. Tak sedar diri. Macam orang mati. Orang ini kalau kita ingin kejutkan tak boleh main panggil, tapi kena gegar, kena siram baru boleh. Kalau tidur ayam, kejap tidur, kejap tidak,. Mudah terjaga , tertidur tetapi macam tidak tidur. Tidur ayam ini lawan kepada tidur mati tadi.

Apa maksud saya menceritakan dua jenis tidur ini? Tidur ini lambang kelemahan insan. Kalau tidur mati tadi, kalau orang datang nak bunuh senang sahaja. Manakala, yang tidur ayam pula bahaya juga, kalau pandu kereta Insya-Allah akan menemui kemalangan. Jadi, di sinilah rasionalnya Allah itu tidak tidur. Allah sentiasa dalam keadaan jaga kerana perjalanan alam ini dan seluruh makhluknya sangat bergantung kepada-Nya.

Allah diperlukan oleh setiap makhluk pada setiap masa dan ketika. Penglihatan, pendengaran dan lain-lain sifat kesempurnaan Allah sentiasa berperanan. Allah tidak perlukan tidur, kerana Dia Maha Kuat dan tidak perlu berehat. Pernah diceritakan bagaimana pada suatu ketika Nabi Musa AS pernah terdetik bagaimana kalau Allah tertidur… Ini bukan soal keraguan hati tetapi sekadar lintasan hati.

Untuk menjawabnya, Allah memerintahkan Nabi Musa membawa segelas susu dan menunggu-Nya di suatu tempat. Lama benar Nabi Musa menunggu akhirnya baginda mengantuk, dan bila mengantuk, segelas susu di tangannya pun terlepas dan lalu pecah.. Ketika itulah Allah menjelaskan bahawa keadaan itulah yang akan terjadi kepada dunia dan segala isinya jika Allah tertidur. Maha Suci Allah!

Pencuri, perompak dan lain-lain jenis penjenayah, selalunya mengambil kesempatan sewaktu orang lain sedang tidur atau alpa. Begitu juga orang orang yang melakukan maksiat, selalunya secara sorok-sorok. Misalnya, pada waktu malam, di tempat tersembunyi, ketika ‘black out’ dan sebagainya.

Ini semua kerana mereka ini ingin mengelakkan diri daripada penglihatan dan pendengaran orang. Tetapi, sebaliknya, jika mereka yakin bahawa Allah tidak tidur, sentiasa berjaga, sentiasa melihat dan mendengar, maka mereka tidak akan berani melakukan kejahatan. Walaupun orang lain sudah tidur, lampu telah terpadam, hari telah gelap…tetapi mereka yang benar-benar yakin bahawa Allah tidak tidur, tetap tidak akan melakukan kejahatan. Inilah kesannya kalau kita benar-benar yakin yang Allah itu tidak tidur..

Manusia begitu lemah. Pada ketika yang dia hendak berjaga, adakalanya dia mengantuk dan terlelap. Ada masanya dia hendak tidur, tetapi mata terus berjaga dan gelisahlah dia kerana tidak boleh tidur. Tidur itu sesungguhnya adalah separuh daripada kematian – kerana orang yang tidur tidak mampu mempertahankan diri daripada sebarang bahaya. Esok paginya apabila dia terjaga, dia seolah-olah dihidupkan semula.

Justeru Rasulullah mengajar kita berdoa dengan lafaz ini sebaik bangun daripada tidur… Segala pujian bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami (tidur). Dan kepadaNyalah kami akan dikembalikan. Ya, tidur itu sayugianya mengingatkan kita kepada kematian yang hakiki, kemudian kita akan dibangkitkan semula menuju padang perhimpunan yang besar… Padang Mahsyar. Di sanalah nanti kita semua akan dikembalikan dan dihimpunkan.

Awas anak-anak ku, jangan leka, jangan alpa…mungkin tidur mu nanti adalah tidur yang selama-lamanya.Sudahkah kita bersedia?

Belajar tawakal dari semut

4 Oct

Oleh :

Ustaz Pahrol


Saya memohon maaf kerana tidak dapat mengemaskinikan blog dengan segera. Terlalu banyak urusan lain yang terpakasa didahulukan justeru janji dan peneguhan kata lebih awal. Insya-Allah, terlalu rindu rasanya untuk menyambung catatan Umrah Kembara Mata Hati musim lalu. Bahan-bahannya masih membayangi rasa dan berlegar di ruang mata. Saya akan sambung nanti… Namun, untuk mengisi luang waktu yang ada, saya susuli dengan tulisan ini, mudah-mudahan ada kebaikan buat pengunjung yang sudi singgah seperti biasa:

Kesempatan yang jarang saya temui itu tidak saya lepaskan. Kuliah Maghrib di mesjid kariah saya itu, saya ikuti dengan teliti. Kaedah dan bahasa yang digunakan oleh pengajarnya sangat ’simple’ dan bersahaja – orangnya sederhana, agak tua, berjubah dan berserban putih. Tubunhya pendek tapi menarik, beliau menceritakan perihal komunikasi yang pernah berlaku antara seekor semut dengan nabi Sulaiman. Begini ceritanya…

Nabi Sulaiman bertanya kepada seekor semut tentang berapa banyak makanan yang diperlukannya untuk hidup dalam setahun. Semut menjawab, ia hanya perlukan makanan sebanyak sebiji butir gandum. Lalu Nabi Sulaiman memasukkan semut tersebut dalam satu botol dengan diletakkannya gula sebesar sebutir gandum. Mulut botol itu kemudiannya ditutup.

Cukup tempoh setahun, mulut botol itupun dibuka semula oleh Nabi Sulaiman. Anehnya, baginda dapati hanya separuh sahaja daripada gula sebesar butir gandum itu yang habis dimakan oleh semut tersebut. Nabi Sulaimana bertanya, mengapa hanya separuh makanan sahaja yang dihabiskan sedangkan semut pernah berkata ia perlukan makanan sebesar sebiji buah gandum?

Sang semut menjelaskan bahawa jika di luar botol rezkinya dijamin sepenuhnya oleh Allah dan dia yakin Allah pasti akan mencukupkan rezkinya. Sebab itu dia tidak perlu risau dengan hakikat itu. Tetapi apabila dikurung oleh manusia (Nabi Sulaiman) dia mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat kerana tidak yakin dengan sifat perihatin manusia. Mana tahu, kalau-kalau manusia itu terlupa lalu mengurungnya terlebih daripada tempoh satu tahun? Apa akan terjadi kepadaku?

Ertinya, semut lebih yakin kepada jaminan Allah ketika di luar botol berbanding ’jaminan’ manusia ketika berada di dalam botol. Untuk menghadapi kemungkinan itulah semut mengambil langkah berjimat cermat yakni dengan memakan hanya separuh sahaja daripada apa yang diperlukannya dalam masa setahun supaya jika berlaku sesuatu yang di luar jangkaan, dia mampu bertahan. Masih ada baki makanan yang boleh digunakan.

Sampai di situ penceramah tua itu pun memberi ’moral’ pada ceritanya. Begini ucapnya:
”Inilah sifat tawakakal dan ikhtiar yang kita boleh pelajari dari semut. Jangan sekali-kali bergantung kepada sesama makhluk dalam soal rezki. Bergantunglah kepada Allah. Kalau ada pihak yang berkata, saya jamin bekalan makanan atau simpanan petrol akan sentiasa mencukupi untuk sekian-sekian tahun… jangan terlalu yakin. Sebaliknya, bertawakkallah kepada Allah dan berikhtiarlah dengan keupayaan sendiri. Jika tidak, kita akan dikecewakan. Jadilah seperti semut itu.”

Saya termenung panjang dalam fikir yang dalam. Walaupun pengajar kelihatan biasa-biasa sahaja tetapi pengajarannya sangat luar biasa. Bersahaja, tetapi penuh hikmah dan ibrah. Berapa kerat manusia yang benar-benar mengambil panduan daripada ajaran Islam ketika berdepan dengan krisis dan kemelesetan ekonomi.

Ada seruan yang menganjurkan hidup berjimat ketika ekonomi meleset padahal Islam menganjurkan jimat cermat tanpa mengira situasi dan kondisi. Orang yang membazir adalah ’saudara’ syaitan tidak kira samada semasa ekonomi meleset atau stabil, samada dalam keadaan harga minyak naik atau sebaliknya. Ada pula yang meuar-uarkan agar dilakukan perubahan gaya hidup dalam keadaan sekarang… Sinisnya, bukankah cara hidup orang Islam ialah cara hidup Islam, apa lagi yang hendak diubah-ubahnya?

Jarang benar kita mendengar tafsiran yang lebih tersirat tentang apa yang berlaku kini. Maksudnya, tafsiran yang merujuk kepada ‘musabbabil asbab’ (faktor penyebab) bukan hanya ‘asbab’ (sebab). Hakikatnya, apa yang berlaku ialah dengan izin Allah jua. Dan tentu ada maksud Allah izinkan semua ini berlaku. Apakah pengajaran untuk sikaya, simiskin, peniaga, pengguna, rakyat dan penguasa di tengah kemelesetan ekonomi ini?

Bukankah kita telah diberitahu oleh Al Quran dan Al Hadis bahawa ujian daripada Allah adalah untuk meningkatkan keimanan kita? Dan ujian juga boleh meningkatkan tahap kebijaksanaan, kesabaran dan kekreatifan kita untuk menyelesaikan masalah. Pokok pangkalnya, apakah musibah ini menggugat keyakinan kita kepada Allah yang bersifat Al Wahhab (Maha Pemberi), Al Ghani (Maha Kaya) dan Ar Razzak (Maha Pemberi Rezki) misalnya?

Bagaimana pula kita kembali kepada Allah (raja’na ilallah) dalam menghadapi ujian ini? Apakah kita mula mendidik hati kita dengan sifat-sifat mahmudah bersumberkan akidah Islamiah? Apakah kita mula bermuhasabah tentang sistem ekonomi semasa, apakah telah benar-benar disusun mengikut syariah? Apakah orang kaya dan pengusaha mula tergerak untuk mengamalkan akhlak yang pemurah dan zuhud? Manakala orang miskin pula dengan sifat sabar dan qanaah?

Saya tidak pandai mentafsir lebih mendalam, tetapi itulah yang ’mengganggu’ pemikiran dan rasa hati bila mendengar cerita semut dan nabi Sulaiman oleh penceramah tua itu. Pada saya, pasti ada ’mesej’ dan ’signal’ daripada Allah untuk semua golongan masyarakat di sebalik ujian ini. Mustahil Allah lakukan semua ini dengan sia-sia. Pasti ada sesuatu yang perlu diambil peringatan oleh para hamba-Nya.

Sayangnya, kuliah beliau yang begitu tajam dan menyentuh didengar secara yang hambar sekali. Sidang hadirin yang kebanyaknya golongan ’veteran’ duduk jauh-jauh dan ramai juga yang mendengarkannya sambil lewa. Pada hal, majlis ilmu yang sebegitu mulia (yang disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai taman syurga di dunia) sangat diperlukan oleh semua – daripada pemerintah hingga kepada rakyat jelata. Hakikatnya, tidak kira samada sultan, menteri, mufti, majikan, buruh dan sesiapa sahaja dapat belajar kejituan tawakkal dan kegigihan ikhtiar… daripada seekor semut!

BERCERITA TENTANG JODOH

4 Oct

Oleh:
Ustaz Pahrol


Jodoh seperti rezeki, ia telah ditentukan. Namun, kita tidak tahu apa yang telah ditentukan oleh Allah. Dengan berpegang pada hakikat itu kita diperintahkan-Nya agar berusaha.

Carilah jodoh yang baik, carilah rezeki yang baik dengan jalan yang baik juga. Siapa jodoh kita? Berapa banyak rezeki kita? Dan bila? Itu bukan kerja kita. Itu ketentuan Allah. Milik kita hanya usaha.

Jadi, berusahalah dengan baik, Allah pasti tidak akan mengecewakan kita. Wajib menerima takdir tidak menolak kewajiban untuk mentadbir.

“Dulu saya tidak pernah melihat wajah bakal isteri saya,” kata seorang abang yang sangat saya hormati.

“Pelik tu bang. Bagaimana jodoh abang diaturkan?”

“Ikut pilihan guru agama yang mengajar saya,” jawabnya pendek.

“Mengapa tidak mahu melihat wajahnya? Kan itu dibenarkan oleh syariat? Barangkali sebab waktu itu tidak ada ruangan sosial seperti Facebook dan Twitter?” gurau saya.

“Memang belum ada. Tetapi ada cara lain. Gambar dan cara-cara yang lain ada, tetapi sebenarnya ada sebab lain…”

Dalam diam, saya rasa hairan. Wajahnya saya tenung. Dia orang yang sangat saya hormati. Sahsiah dan kepimpinannya sangat menawan hati. Tentu ada sebab yang solid untuk dia bersikap demikian.

“Sebelum aktif sebagai aktivis Islam seperti sekarang, saya pernah menjalin hubungan cinta. Dia teman lama sejak di sekolah rendah lagi,” jelasnya dengan tenang.

“Habis mengapa putus?”

“Kami putus kerana dia ada jalan tersendiri. Saya ajak bersama saya dalam perjuangan Islam ini tetapi dia selesa dengan gayanya. Lepas, bebas. Jadi kami berpisah setelah 10 tahun bercinta.”

Wah, ini kisah cinta yang dramatik! Saya tidak sangka sama sekali dia yang selama ini kelihatan begitu iltizam, tegas dan berwibawa pernah melalui tragedi cinta.

Isteri Amanah

“Itu kisah sebelumnya. Tetapi bagaimana dengan kisah pertemuan dengan isteri abang sekarang?” kata saya beralih kepada maksud asal pertanyaan.

“Setelah putus, abang terus pinta guru agama carikan jodoh. Ingin fokus kepada gerakan dan amal Islami tanpa diganggu gugat lagi oleh emosi cinta.”

“Tetapi mengapa abang tidak mahu melihat bakal isteri pilihan guru? Tidak dibenarkan?”

“Itu keputusan personal saya. Guru memberi kebebasan. Mahu melihat dulu, silakan. Tidak mahu, tidak mengapa.”

“Dan abang memilih untuk tidak melihat. Kenapa?”

“Eh, kamu masih tegar dengan soalan asal? Begini, bekas kekasih abang dulu sangat cantik. Abang takut perasaan abang diganggu oleh godaan perbandingan. Takut-takut, bakal isteri tidak secantik kekasih lama. Jadi abang tekad, nikah terus tanpa melihat wajahnya.”

Saya terkesima sebentar dan dengan pantas saya bertanya kembali, “Tetapi abang akan terpaksa juga membuat perbandingan setelah bernikah bukan? Setelah nikah, abang akan melihat wajahnya. Dan ketika itu mahu tak mahu godaan perbandingan akan datang juga.”

Sekali lagi dia senyum. Matanya bersinar-sinar dengan keyakinan. Jauh di lubuk hati, saya mengakui, dia memang bercakap dari hatinya.

“Amat jauh bezanya antara membandingkan wanita lain dengan bakal wanita yang akan kita nikahi dengan wanita yang telah kita nikahi…”

Pendek dia menjawabnya, namun terus menusuk ke hati saya. Tanpa saya pinta dia menyambung, “Apabila seorang wanita telah kita nikahi dengan sah, dialah wanita yang diamanahkan oleh Allah untuk kita bimbing dan pimpin menuju syurga. Nasib kita dunia dan akhirat sangat berkait rapat dengannya. Dia adalah jodoh yang ditakdirkan buat kita. Dialah wanita yang pasrah dan menyerah kepada kita atas nama Allah. Pada waktu itu, bagaimanapun keadaan wajahnya, siapa pun dia, sudah menjadi soal kedua.”

Cantik Itu Relatif dan Subjektif

“Abang tidak takut, kalau tiba-tiba wajah atau keadaannya tidak serasi dengan cita rasa abang? Maksudnya, er… er… kita masih manusia bukan?” saya menduga hatinya.

Dia ketawa tiba-tiba.

“Ya, kita masih manusia. Tetapi kita bukan sekadar manusia. Kita hamba Allah dan khalifah. Isteri ialah teman kita untuk memikul amanah dua misi berat itu. Untuk melaksanakannya, kita bukan hanya perlukan kecantikan seorang wanita, tetapi ilmunya, akhlaknya, sifat pengorbanannya dan kesetiaannya.”

“Jadi, untuk itu kecantikan tidak penting?”

“Semua yang datang daripada Allah ada kebaikannya. Namun ingat, Allah lebih tahu apa yang baik untuk kita berbanding kita sendiri. Sesiapa yang tekad menjadi hamba Allah dan khalifah, pasti tidak akan dikecewakan-Nya. Orang yang baik berhak mendapat yang baik, bukan begitu?”

“Bukan yang cantik?” jolok saya lagi.

“Cantik itu relatif dan sangat subjektif. Beauty is in the eye of the beholder, bukankah begitu? Cita rasa manusia tentang kecantikan tidak sama. Malah ia juga berubah-ubah mengikut masa, usia dan keadaan. Tetapi yang baik itu mutlak dan lebih kekal sifatnya,” balasnya dengan yakin.

“Maksud abang?”

Dia diam. Termenung sebentar. Mungkin mencari-cari bahasa kata untuk menterjermahkan bahasa rasa.

“Kecantikan seorang wanita tidak sama tafsirannya. Orang budiman dan beriman, menilai kecantikan kepada budi dan akhlak. Pemuja hedonisme dan materialisme hanya fokus kepada kecantikan wajah dan daya tarikan seksual.”

Ketika saya ingin menyampuk, dia menambah lagi, “Cantik juga relatif mengikut keadaan. Jelitawan sekalipun akan nampak hodoh dan membosankan apabila asyik marah-marah dan merampus. Sebaliknya, wanita yang sederhana sahaja wajahnya akan nampak manis apabila sentiasa tersenyum, sedia membantu dan memahami hati suami.”

“Oh, betul juga tu!” kata saya. Teringat betapa ada seorang kenalan yang sering mengeluh tentang isterinya, “Sedap di mata tetapi sakit di hati…”

Wasilah Memilih Jodoh

“Bagaimana sebaik selepas berkahwin? Tak terkilan?” ujar saya dengan soalan nakal.

“Memang dari segi kecantikan, isteri abang sekarang biasa-biasa sahaja.”

“Maksudnya yang dulu lebih cantik?”

“Kamu ni, fikirannya masih berkisar dan berlegar-legar di situ juga. Ingat, yang biasa-biasa akan jadi luar biasa cantik apabila makin lama kita bersama dengannya. Itulah pengalaman abang. Hari ke hari, kecantikan isteri semakin terserlah. Entahlah, apa yang Allah ubah. Wajah itu atau hati ini?”

Wah, dia seakan berfalsafah! Kata-katanya punya maksud yang tersirat.

“Apa kaitannya dengan hati?” layan lagi. Ingin saya terus mencungkil mutiara hikmah daripadanya.

“Kalau hati kita indah, kita akan sentiasa melihat keindahan. Sebaliknya kalau hati rosak, keindahan tidak akan ketara, sekalipun sudah tampak di depan mata. Atau kita mungkin akan mudah bosan dengan apa yang ada lalu mula mencari lagi. Percayalah, orang yang rosak hatinya akan menjadi pemburu kecantikan yang fatamorgana!”

‘Ah, tentu dia bahagia kini!’ bisik hati saya sendiri.

“Apa panduan abang jika semua ini ingin saya tuliskan?”

“Pilihlah jodoh dengan dua cara. Pertama, jadilah orang yang baik. Insya-Allah, kita akan mendapat jodoh yang baik. Kedua, ikutlah pilihan orang yang baik. Orang yang baik akan memilih yang baik untuk jadi pasangan hidup kita.”

Jadi Orang Baik dan Pilihan Orang Baik

“Tapi bang, ramai yang menolak kaedah kedua. Kata mereka, mana mungkin kita menyerahkan hak kita memilih jodoh sendiri kepada ibu bapa, guru atau individu-individu lain sekalipun mereka orang yang baik-baik.”

“Tak mengapa. Kalau begitu, cuna cara pertama, jadilah orang yang baik.”

“Itu susah bang. Bukan mudah hendak menjadi orang yang baik. Ia satu proses yang panjang dan sukar menentukan apakah kita sudah jadi orang yang baik atau belum.”

Abang tersenyum lantas berkata, “Kamu menyoal bagi pihak orang lain bukan?”

Saya diam. Dalam senyap saya akui, inilah soalan yang sering diajukan oleh para remaja di luar sana.

“Kedua-dua cara itu boleh dijalankan serentak. Maksudnya, jika kita berusaha menjadi orang yang baik, insya-Allah, Allah akan kurniakan kita jodoh yang baik melalui pilihan orang baik. Ataupun kita berusaha menjadi orang yang baik sambil mencari orang yang baik sebagai jodoh, dan nanti pilihan kita itu direstui oleh orang yang baik!”

Wah, kedengaran berbelit-belit ayatnya, namun jika diamati ada kebenarannya.

“Tetapi ada juga mereka yang menolak pilihan orang yang baik bukan?”

“Kerana mereka bukan orang baik,” jawabnya pendek.

“Bukan, bukan begitu. Bolehkah terjadi orang baik menolak pilihan orang yang baik?”

“Ya, tidak mengapa. Tetapi mereka tetap menolaknya dengan cara yang baik. Itulah yang terjadi kepada seorang wanita yang bertanyakan haknya untuk menerima atau menolak jodoh yang dipilih oleh ibu bapanya kepada Rasulullah s.a.w.”

“Apa hikmah di sebalik kisah itu bang?”

“Kita boleh melihat persoalan ini dari dua dimensi. Pertama, mungkin ada anak-anak yang tidak baik menolak pilihan ibu bapa yang baik. Hikmahnya, Allah tidak mengizinkan orang yang baik menjadi pasangan orang yang tidak baik. Bukankah Allah telah berjanji, lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik dan begitulah sebaliknya?”

Saya terdiam. Benar-benar tenggelam dalam fikiran yang mendalam dengan luahan hikmah itu.

Jodoh Urusan Allah

“Dan mungkin juga anak itu orang baik tetapi ibu bapanya yang tidak baik itu memilih calon yang tidak baik sebagai pasangannya. Maka pada waktu itu syariat membenarkan si anak menolak pilihan ibu bapanya. Ya, itulah kaedah Allah untuk menyelamatkan orang baik daripada mendapat pasangan hidup yang jahat.”

“Bagaimana pula jika anak itu baik, dan ibu bapanya pun baik serta calon pilihan ibu bapanya juga baik, tetapi urusan pernikahan masih terbengkalai. Apa maknanya?” tanya saya inginkan penjelasan muktamad.

“Itulah takdir! Mungkin Allah menentukan ‘orang baik’ lain sebagai jodohnya. Sementara orang baik yang dicadangkan itu telah Allah tentukan dengan orang baik yang lain pula!”

Tiba-tiba saya teringat bagaimana Hafsah yang dicadangkan untuk menjadi calon isteri Sayidina Abu Bakar oleh ayahnya Sayidina Umar tetapi ditolak. Akhir Hafsah bernikah dengan Rasulullah s.a.w. Kebaikan sentiasa berlegar-legar dalam kalangan orang yang baik!

“Jodoh itu urusan Allah. Sudah dicatat sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah yang wajib kita fahami. Orang yang baik berhak mendapat jodoh yang baik. Cuma sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat pasangan hidup yang jahat seperti Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah yang bersuamikan Firaun laknatullah.”

“Apa hikmahnya kes yang berlaku sekali-sekala seperti itu?”

“Eh, abang bukan pakar hikmah! Tetapi mungkin Allah hendak meninggikan lagi darjah dan darjat orang baik ke tahap yang lebih tinggi.”

“Hikmah untuk kita?”

“Jika takdirnya pahit untuk kita, terimalah sebagai ubat. Katalah, kita sudah berusaha menjadi orang yang baik dan kita telah pun bernikah dengan pilihan orang yang baik, tetapi jika takdirnya pasangan kita bermasalah… bersabarlah. Katakan pada diri bahawa itulah jalan yang ditentukan oleh Allah untuk kita mendapat syurga. Maka rebutlah pahala sabar dan redha seperti Nabi Lut dan Nabi Ayyub atau kesabaran seorang isteri bernama Siti Asiah.”

Tok, tok, tok. Tiba-tiba pintu bilik tulis saya diketuk. Wajah watak “abang bayangan” saya pergi tiba-tiba. Tersedar saya daripada lamunan yang panjang. Wajah isteri terserlah di sebalik pintu. Sebalik melihatnya terdetak dalam hati sendiri, apakah aku telah menjadi insan yang baik untuk memperbaikinya?

Ah, hati dilanda bimbang mengingatkan makna satu ungkapan yang pernah saya tulis dahulu: “Yang penting bukan siapa isterimu semasa kau nikahinya, tetapi siapa dia setelah menikah denganmu. JAdi, janji Allah tentang lelaki yang baik untuk wanita yang baik bukan hanya berlaku pada awal pernikahan, tetapi di pertengahannya, penghujungnya malah sepanjang jalan menuju syurga!”

P/S

Nota hati: Pulang dari Kelantan hujung minggu lalu dengan badan yang sarat dengan keletihan. Namun hati dan fikiran sarat dengan iktibar dan pengajaran.

Berlegar di sekitar kuliah Hari Jumaat di bandar KB, mendengar. merasa dan melihat. Yang indah, bukan tanahnya, tetapi manusia yang menegakkan hukum Allah di atasnya.

Mungkin sesuatu yang kelihatan sederhana pada pandangan mata, tetapi sangat cantik bila dipandang dengan mata hati. Begitulah rasa hati… semoga kita semua kembali kepada Ilahi, kerana di sana ada keindahan yang hakiki dan abadi.

Berfikir tentang jodoh anak-anak, adalah satu cabaran yang dipenuhi pelbagai misteri. Ia sukar ditebak dan diduga. Namun, pesan saya cuma satu… untuk anak sendiri dan anak-anak di luar sana, ikutlah syariat, pasti selamat. Islam itu sejahtera. Tidak ada kebahagiaan tanpanya.

Ya, kesalahan dan kesilapan boleh berlaku – ada ampun, maaf dan taubat di situ. Namun mukmin sebenar tidak akan jatuh dalam lubang yang sama dua kali. Cukup hanya sekali… pertama, kerana kejahilan. Maka belajarlah. Kalau kedua, itu kerana kedegilan. Hubaya-hubaya, kekadang harga yang ditagih untuk ‘membetulkannya’ terlalu pedih dan menyakitkan.

Belajarlah melakukan yang benar dan betul buat pertama kali. Itu yang terbaik. Tetapi jika tidak, cubalah membetulkannya buat kali kedua, ketiga dan seterusnya. Jangan jemu untuk cuba melakukan yang terbaik, kerana kata bijak pandai: Kebaikan itu perlu dimulakan berkali-kali!

Membaca Lukisan Anak-anak

4 Oct

Oleh :
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

Sebelum menguasai bahasa percakapan, anak-anak secara semulajadi bercakap melalui visual.

Visual yakni pada apa yang mereka luahkan dalam bentuk lukisan.

Lama dahulu, anak saya Saiful Islam pernah menakutkan kami dengan gambar-gambar yang dilukisnya. Mewarisi sifat ‘menyimpan perasaan’ dan ‘pendendam’ daripada saya (barangkali), rasa tidak puas hatinya diluahkan dalam bentuk lukisan yang memiliki objek-objek pelik, dan luahan perkataan yang di luar sangkaan kami terhadap penguasaan menulisnya ketika itu.

Namun setakat ini, Saiful Islam adalah anak yang paling mudah diajak bekerjasama.

KISAH NAURAH

Lain pula kisahnya dengan Naurah Sabihah.

Sehingga kini, saya melihat beliau sangat berbakat dalam melukis. Lukisannya sangat terpeinci. Tahun lalu, lukisannya berkenaan rumah kami, lengkap dengan bunga-bunga yang mekar serta daun kering berguguran di tanah. Malah di atas rumah ada piring satelit ASTRO. Pintu ada rangka bersama tombol. Baju pula lengkap bersama renda dan labuci.

Apabila melukis, beliau menghasilkan banyak lukisan yang unik, ceria dan menggembirakan. Walaupun dalam kehidupan sebenar, beliau sangat menguji kesabaran kami berdua. Sekali beliau berdegil, keras hatinya lebih keras daripada pintu. Mahu kehendaknya dituruti, pada usia lima tahun, anak dara kami yang seorang ini pernah menyepak pintu bilik air hingga berlubang pintu berkenaan.

Tetapi apabila melukis, ia memanifestasikan imaginasi beliau yang amat suka berangan-angan, bercakap seorang diri sambil mandi di bilik air atau drama teater lakonan beliau bersama anak patungnya di dalam bilik. Malah Naurah juga mempunyai koleksi komik yang beliau buat sendiri. Kertas A4 saya dilipat-lipatnya dan dibentuk menjadi seperti buku, kemudian dilakarkan lukisan dan dialog berdasarkan jalan cerita yang adakalanya lucu dan ada kalanya mengagumkan.

Beliau merupakan seorang pemerhati yang tajam.

BAHASA GAMBAR

Seorang dewasa yang paling sibuk, tetap secara pantas boleh membaca emosi kanak-kanak melalui lukisan mereka. Pakar-pakar memberitahu supaya kita berhati-hati dan peka dengan beberapa aspek lukisan anak-anak. Antaranya:

1. OBJEK ASING

Perlu kita perhatikan, kalau-kalau di dalam lukisan si anak ada senjata, hantu jembalang, haiwan berbahaya berbentuk ancaman, yang semua itu boleh memberikan makna ada kegelisahan dan rasa terancam di dalam diri si anak yang melukis.

2. WARNA

Warna hitam sering memberikan indikasi bahawa anak mengalami kemurungan. Warna merah yang banyak di dalam lukisan pula boleh memberikan isyarat kemarahan di dalam dirinya. Kadang-kadang warna merah juga menunjukkan tekanan yang dialami oleh si anak akibat rasa terkongkong, tidak bebas, terbatas oleh apa-apa faktor yang ada di dalam dirinya. Manakala warna biru dan hijau menunjukkan kanak-kanak yang melukis itu berada dalam emosi yang tenang.

3. SITUASI KELUARGA

Gambar ahli keluarga dan apa aktiviti mereka juga boleh menjelaskan apakah pandangan si anak tentang situasi keluarganya. Seandainya gambar yang dilukis memaparkan imej kanak-kanak itu beraktiviti bersama adik beradiknya, sedangkan ibu bapa beraktiviti bersama secara berasingan, ia boleh memberikan indikasi adanya jurang pergaulan antara ibu bapa dengan anak-anak yang mana si ibu dan bapa itu mungkin terlalu ‘suami isteri’ berbanding ‘ibu bapa’ kepada mereka.

LUKISAN NAURAH

Lukisan kali ini mungkin boleh menceritakan apa yang sedang difikirkannya tentang kami berdua. Namun saya dan isteri mengambilnya sebagai hadiah awal ulangtahun perkahwinan kami yang ke sepuluh tahun ini sebab gambar ini sangat romantik.

Dan saya serta isteri sentiasa beringat-ingat, pada setiap lukisan anak, tumpuan mestilah kepada pelukisnya, bukan apa yang dilukis biar pun ia gambar kita, sebagai ibu bapanya.

Naurah, Naurah…