Archive | November, 2009

BUAT ADAM ….DARI HAWA

29 Nov

Adam, Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu.Sesungguhnya aku adalah Hawa, temanmu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dahulu. Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok. Jadi tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu, sentiasa mau terpesong dari landasan, kerana aku buruan syaitan. Adam, Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannya dari kaummu dia akhir zaman, itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusanNya.

Jika bilangan kaummu mengatasai kaumku nescaya merahlah dunia kerana darah manusia, kacau-bilaulah suasana, Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa. Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya. Pun jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu. Adam, Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku, bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku. Tapi…..aku risau, gundah dan gulana menyaksikan tingkahmu.

Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu. Namun…..terasa berat pula untukku meyatakan isi perkara. Adam, Aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada ayat yang menyatakan kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita. Kau diberi amanah untuk mendidik aku, kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku, memerhati dan mengawasi aku agar sentiasa didalam redha Tuhanku dan Tuhanmu. Tapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku kini, aku dan kaumku telah ramai menderhakaimu. Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang ditetapkan. Asalnya Allah mengkehendaki aku tinggal tetap dirumah. Di jalan-jalan, di pasar-pasar, di bandar-bandar bukan tempatku. Jika terpaksa aku keluar dari rumah seluruh tubuhku mesti ditutup dari hujung kaki sampai hujung rambut.

Tapi……realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya. Adam….. mengapa kau biarkan aku begini? Aku jadi ibu, aku jadi guru, itu sudah tentu katamu. Aku ibu dan guru kepada anak-anakmu. Tapi sekarang diwaktu yang sama, aku ke muka menguruskan hal negara, aku ke hutan memikul senjata. Padahal, kau duduk saja. Ada diantara kau yang menganggur tiada kerja. Kau perhatikan saja aku panjat tangga di pejabat bomba, kainku tinggi menyingsing peha mengamankan negara. Apakah kau sekarang tidak lagi seperti dulu? apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku? Adam….. Marahkah kau jika kukatakan andainya Hawa terpesong, maka Adam yang patut tanggung! Kenapa? Mengapa begitu ADAM? Ya! Ramai orang berkata jika anak jahat emak bapak tak pandai didik, jika murid bodoh, guru yang tidak pandai mengajar!

Adam kau selalu berkata, Hawa memang degil, tak mahu dengar kata, tak mudah makan nasihat, kepala batu, pada hematku yang dhaif ini Adam, seharusnya kau tanya dirimu, apakah didikanmu terhadapku sama seperti didikan Nabi Muhammad SAW terhadap isteri-isterinya? Adakah Adam melayani Hawa sama seperti psikologi Muhammad terhadap mereka? Adakah akhlak Adam-Adam boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa? Adam…. Kau sebenarnya imam dan aku adalah makmummu, aku adalah pengikut-pengikutmu kerana kau adalah ketua. Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, lalailah aku.

Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu. Akalmu sembilan, nafsumu satu. Aku…akalku satu nafsuku beribu! Dari itu Adam,pimpinlah tanganku, kerana aku sering lupa dan lalai, sering aku tergelincir ditolak sorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya. Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah, perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhanmu agar menerangi hidupku. Tiuplah ruh jihad ke dalam dadaku agar aku menjadi mujahidah kekasih Allah. Adam, Andainya aku masih lalai dengan karenahmu sendiri, masih segan mengikut langkah para sahabat, masih gentar mencegah mungkar, maka kita tunggu dan lihatlah, dunia ini akan hancur bila kaumku yang akan memerintah. Malulah engkau Adam, malulah engkau pada dirimu sendiri dan pada Tuhanmu yang engkau agungkan itu…….

Advertisements

Salam Aidiladha

29 Nov

We would like to wish you all a happy and blessed Eidul Adha. Let us all remember the sacrifice made by Prophet Ibrahim and his son Ismail. Indeed a great leasson for us all. May Allah bless us all and bless this great Ummah.

Orang baik mati cepat

28 Nov

Oleh:

Pahrol Mohamad Juoi

Salam sahabat-sahabat pengunjung. Ku tulis kisah ini sebagai memori tarbiah yang berkekalan. Tentang pemergian seorang sahabat. Ku adun ilusi dan realiti namun tapak dan dasarnya tetap yang hakiki. Bulan puasa ini aku agak terkejar-kejar waktu. Selalunya, tempoh Ramadan adalah tempoh istirahat aktiviti luaran. Tetapi Ramadan tahun ini berbeza. Hingga saat ini kehendak dakwah dan tarbiah terus membuak-buak. Tidak ada pilihan meliankan memikul kedua-duanya. Selepas Subuh tadi saya tuliskan kisah ini…Orang baik mati cepat! Semacam satu musim.

Begitu kekadang dirasakan. Sekarang “musim kematian”. Sejak kebelakangan ini ramai sahabat dan kenalan rapat yang meninggal dunia. Secara tiba-tiba pula. Insya-Allah, mereka yang pergi itu yang baik-baik akhlaknya. Sewaktu menziarahi jenazah seorang sahabat yang meninggal 2 minggu lalu secara tiba-tiba timbul pertanyaan di hati, kenapa orang baik mati cepat? Walaupun aneh kedengarannya, tetapi soalan itu menerjah juga tanpa dapat ditahan-tahan. “Kenapa orang baik mati cepat?” tiba-tiba soalan yang sama dilontarkan oleh seorang sahabat lain yang sama-sama menziarahi Allahyarham. Saya terkejut. Rupa-rupanya ada juga orang lain yang sama rasa dengan saya. Cuma dia “berani” meluahkannya, saya pula hanya memendamkan. “Kenapa? Orang jahat mati lambat?” balas saya. Dia tersenyum.

“Dalam pengalaman saya ramai orang baik mati cepat. Lihat sahabat kita ini baru mencecah 40 tahun sudah dijemput pulang.” Saya termenung mencari makna dan kata-kata. Terkesima. Ah, saya yang “lebih tua” ini belum mati.. Mungkin saya tidak sebaik dia. Begitu gerutu dalam hati. “Tak ada pengalaman melihat orang jahat mati cepat?” saya menjoloknya pula. Dia menggeleng-gelengkan kepala. “Saya pun tak tahu apa penjelasan yang tepat,” akui saya terus terang. “Tetapi ada hadis mengatakan akhir zaman ilmu diangkat dengan kematian para ulama,” saya menambah lagi. Ya, saya pernah mendengar tentang itu. “Oh, jadi ada kebenarannya orang baik mati cepat…” “Tak juga,” balas saya selamba. “Kenapa?” “Tak kan orang yang baik terdiri daripada para ulama sahaja. Bukan ulama pun ada juga yang baik.” “Ya, tak ya juga.” “Kau pernah lihat atau dengar orang jahat mati lambat?” tanya saya mengulangi soalan terdahulu. “Susah kita nak tentukan seseorang tu baik atau jahat…” “Tetapi Allahyarham sahabat kita ini orang baik bukan?” “Insya-Allah. Amin,” jawabnya perlahan namun penuh kepastian bercampur harapan. “Saya rasa mungkin ada sebab yang lain,” kata saya memulakan semula perbualan. Kami berdua-dua benar-benar kesedihan.

Perbualan ini sekurang-kurangnya dapat meredakan sedikit kesedihan itu. Sahabat yang baru meninggal itu bukan calang-calang orang, jasanya dalam dakwah dan pendidikan Islam telah diakui ramai. Jasanya jauh lebih “panjang” berbanding usianya. “Imam Safie meninggal dunia ketika berumur 51 atau 52 tahun. Imam Nawawi lebih muda daripada itu,” tambah sahabat saya tanpa memberi respons tentang “:mungkin ada sebab lain” yang saya katakan sebelumnya. “Mungkin ada sebab lain kenapa kita rasakan orang baik mati cepat, orang jahat mati lambat,” saya cuba sekali lagi memancing perhatiannya. “Apa yang kau rasakan? Ada sebab lain?” Saya pula yang tersenyum. Dia juga sahabat akrab saya. Entahlah antara kami siapa yang akan meninggalkan siapa? Ya, siapa agaknya akan dijemput oleh kematian terlebih dahulu. Tidak tahu bila, tetapi saat itu pasti tiba. Orang yang berbual tentang kematian pun akan mati juga. “Saya rasa orang baik mati dirasakan mati cepat kerana orang yang masih hidup belum puas menikmati kebaikannya!” letus saya setelah berdiam agak lama. “Manusia selamanya tidak akan puas dengan kebaikan. Kebaikan itu fitrah semua manusia,” kata sahabat saya menambah.

“Saya teringat satu peribahasa Cina yang mengatakan untuk mengenal kebaikan seribu tahun belum cukup…” “Maksudnya?” “Kebaikan itu sentiasa didambakan oleh hati manusia. Bila menikmatinya, manusia ingin menikmatinya lagi, dan lagi… Kalau boleh biarlah sampai seribu tahun.” Sahabat saya termenung. Merenung. Perjalanan pulang daripada ziarah kematian itu dirasakan terlalu panjang. “Kau tahu peribahasa itu masih ada sambungannya?” “Sambungannya ini akan menjelaskan kenapa orang jahat dirasakan mati terlalu lambat,” tambah saya tanpa memberi sambungan yang dipintanya. Biar “suspen” sedikit. “Sambungannya begini… tetapi untuk mengenal kejahatan satu hari sudah terlalu lama!” “Sekarang aku tahu kenapa orang jahat mati lambat, ops… dirasakan mati lambat,” katanya membetulkan ayat bagi menerangkan maksudnya yang sebenar. “Mengapa?” tanya saya memberi laluan kepadanya untuk menjelaskan. “Manusia benci dan jemu kepada kejahatan. Satu hati dalam “merasakan” kejahatan dirasakan sudah terlalu lama. Ya, sebab itulah orang jahat selalunya mati lambat.

Bukan usia mereka yang panjang, tetapi kejahatan mereka itu yang menjemukan dan meresahkan orang yang masih hidup. “Ah, sekarang giliran dia… Giliran kita bila agaknya?” Saya melencongkan sedikit arah perbualan kerana ada kisah yang menerjah ruang ingatan. Kisah benar beberapa bulan yang lalu ketika saya menziarahi seorang ulama yang baru pulih daripada strok. “Enta tahu berapa orang yang menziarahi ana sewaktu ana terlantar dulu yang telah mati?” tanya ulama yang sangat saya segani itu. “Sewaktu tu ana terbaring tidak dapat bergerak dan bercakap. Tapi ana masih kenal orang-orang yang datang ziarah ana. Ramai anak murid yang ziarah dan mendoakan ana. Sewaktu tu harapan ana untuk pulih hanya 50-50. Dalam ramai-ramai anak murid tu ada yang menangis sambil berdoa minta kepada Allah untuk menyembuhkan ana…” “Alhamdulillah, makbul doa mereka tu. Sekarang ustaz dah sembuh,” ujar saya. “Alhamdulillah dan innalillah.” Kenapa innalillah, gumam saya dalam hati? “Alhamdulilllah sebab Allah sembuhkan ana. Innalillah sebab ada di antara yang mendoakan ana itu telah meninggal dunia,” jawab ulama itu seperti dapat meneka pertanyaan hati saya. “Ajaib benar kematian ini. Orang sakit yang dirasakan akan mati hidup, orang sihat yang mendoakannya pula yang mati. Bukan seorang, tetapi ana kira sepanjang tempoh enam bulan ana terlantar hingga kini sudah 8 orang yang menziarahi ana dahulu telah meninggal dunia!” “Apa yang kau menungkan?” Tiba-tiba kawan saya memutuskan lamunan panjang saya. Dia memandu perlahan sahaja. Mungkin dia juga sedang melayan lamunannya. “Saya tertanya-tanya bila pula agaknya giliran kita?” “Apakah datang dengan tiba-tiba atau sudah dijangka?” “Itu tidak penting.

Yang penting apakah kita diambil semasa dalam ketaatan atau kejahatan?” “Alhamdulillah, sahabat kita meninggal semasa melaksanakan aktiviti kebaikan.” “Kau tahu, saya ada cerita tentang kematian yang sangat menakjubkan. Malah menimbulkan cemburu di hati,” tambah saya. “Cerita benar?” “Baru berlaku dua bulan yang lepas…” Saya mula bercerita tentang seorang lelaki abang kepada kawan isteri saya yang telah meninggal dunia dua bulan lalu. Allahyarham meninggal sewaktu mengerjakan solat Asar berjemaah di dalam masjid. “Alhamdulilah masih ada kematian yang semacam itu pada zaman ini,” ulas sahabat saya selepas mendengar cerita saya. “Cara mati kita ditentukan oleh cara hidup kita,” pintas saya perlahan. “Macam pernah dengar sahaja ungkapan tu.” “Itu kata-kata Imam Ghazali,” kata saya mengingatkan. “Saya agak terlupa akan maksudnya.” “Kau tahu mengapa agaknya Allahyarham meninggal dalam keadaan yang sebaik itu?”tanya saya. Saya pun bercerita lagi. Menurut kawan isteri saya itu abangnya memang orang yang istiqamah solat berjemaah di masjid setiap waktu. Kerja kampung seperti ambil upah menebas, membersihkan kebun di samping berniaga secara kecil-kecilan membolehkan Allahyarham mengatur jadual hidupnya sendiri. Ya, hanya orang yang sering ke masjid yang “terpilih” mati di sana. Dan orang yang konsisten solat sahaja yang besar kemungkinan mati dalam keadaan bersolat.

Siapa yang hidup secara baik akan mati baik. Insya-Allah. “Soal mati lambat atau cepat sekarang tidak penting lagi. Tetapi apakah kita mati dalam keadaan baik atau sebaliknya, itu lebih utama.” “Ada yang lebih utama daripada itu… yakni menentukan cara hidup yang baik! Sebab cara hidup yang baik akan menentukan cara mati yang baik, ” saya mengingatkan. “Bolehkah kita mati dalam keadaan lidah dan hati kita mengingati Allah?” Kali ini dia pula yang mengalih arah perbualan. “Bergantung pada keadaan kita semasa hidup. Jika kita selalu berzikir dan mengingati Allah semasa hidup, insya-Allah semasa hampir kematian, Allah jugalah yang akan sentiasa di hati dan di bibir kita.” “Saya teringat satu analogi yang pernah diberikan oleh sekumpulan pendakwah ketika masih di kampus dulu. Kata mereka, jika lori berisi pasir berlanggar, yang akan terkeluar dan berselerak ialah pasir. Sebaliknya jika lori sampah, sampahlah yang akan bertabur dan tersembur ke luar.” “Maksudnya?” Kali ini saya pula yang menagih penjelasan daripadanya. “Samalah seperti manusia.

Manusia yang lidah, hati dan dirinya sentiasa penuh dengan zikirullah, maka kalimah zikir itulah yang akan terluncur keluar bila tiba saat kematiannya. Sebaliknya jika perkara-perkara kotor yang ada dalam dirinya, maka perkara itulah yang akan tersembur keluar di saat kematiannya. Tak kanlah lori sampah akan mengeluarkan pasir apabila berlanggar?” “Cantik dan tepat sekali analogi itu.” “Kita berhenti makan sedikit, ok?” ajak sahabat saya sambil membelok ke tepi jalan. Sebuah warung sederhana di tepi desa itu menjadi persinggahan kami. Memang agak lapar juga rasanya. Sejak awal pagi (sewaktu mendengar berita kematian) hingga jam 5 petang waktu itu kami tidak menjamah apa-apa. Hampir terlupa makan dek rasa terkejut tentang kematian yang itu. Ketika mengambil lauk di warung itu, hati saya jadi sayu tiba-tiba. Bergenang air mata tanpa disedari apabila melihat masakan tempe goreng pedas kering bersama tahu, ikan bilis dan kentang hiris – masakan Jawa! Itulah masakan yang sering dihadiahkan oleh Allahyarham sahabat saya kepada keluarga saya sewaktu kami tinggal berjiran beberapa tahun yang lalu. Dia akan berkata, “ini kiriman ibu saya, mari kita kongsi bersama.” Dan perasaan saya sekali lagi “mengalahkan” logik akal saya. Perasaan saya terlalu sayu bila hati saya terus dan tetap berkata, “memang orang baik, mati cepat!”

JANGAN TERLALU CINTA, JANGAN TERLALU BENCI…

27 Nov

Filem pendek Perjalanan Hidup Sang Murabbi begitu menggugah jiwa saya. Walaupun pendek dan sederhana serta biasa-biasa sahaja… namun mesejnya melekat di hati.

Ya, kisah perjalanan hidup seorang pemuda yang sangat cintakan dakwah. Selepas menonton di rumah bersama isteri dan anak-anak.. saya mengirim SMS kepada sahabat yang menghadiahkan saya filem tersebut.

SMS itu hanya untuk meluahkan rasa hati dan terima kasih kepadanya. Saya catatkan:
“Syukran kerana memberi ana Sang Murabbi. Persoalan yang ana tagih melalui pelbagai jalan, Allah berikan jawapan jua melalui hadiah ustaz ini.”

“Ana nak hidup dan mati seperti Sang Murabbi itu. Amin. Pergolakan jiwa dan kata-kata hati selepas umrah tempoh hari telah terungkai. Alhamdulillah, syukran sekali lagi!”

Bahang Sang Murabbi itulah yang membakar semangat… makanya, selepas Subuh pagi tadi, hati berdetak kembali untuk memaparkan satu pandangan di tengah kecelaruan sikap, adab dan cakap-cakap dewasa ini. Apa pun yang berlaku di luar sana… tidak akan memadamkan apa yang berkobar-kobar di sini. Hidup hakikatnya mempunyai dua sempadan – harapan dan ajal. Dengan harapan kehidupan terpelihara dan dengan ajal kehidupan berhenti.

Dan dengan harapan itulah kita akan terus berusaha – mengingatkan diri sendiri dan juga orang lain. Kita tidak boleh “menjatuhkan hukuman” selagi hidup ini belum tamat. Yang jahat, diharap menjadi baik. Yang baik, diharap menjadi lebih baik. Berilah harapan… kerana Tuhan pun sentiasa memberi harapan, lalu diancam-Nya siapa yang putus asa dengan kekafiran!

Kali ini saya ingin menyentuh tentang CINTA dalam “keluarga” yang lebih besar yakni cinta dalam sebuah negara. Jangan terlalu cinta, jangan terlalu berci. Ya, beginilah tulisan itu bermula…

Sebuah kerajaan yang baik, memerlukan unsur ‘check and balance’ dalam menentukan dasar dan pelaksanaan program pembangunannya. Ini bukan sahaja sesuai dengan prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini, bahkan ia adalah satu faktor yang sangat diutamakan dalam sejarah kepimpinan pada zaman kegemilangan Islam.Jika diteliti pemerintahan Khulafaur Rasyidin misalnya, kita akan dapat melihat betapa ruang bagi proses ‘check and balance’ ini telah dibuka seluas-luasnya sejak awal pemerintahan mereka lagi. Sayidina Umar RA pernah ditegur sejak diawal pemerintahannya. Padahal kalau ada manusia yang layak menjadi Nabi selepas Rasulullah, Umarlah orangnya.

Para sahabat utama Rasulullah saw tersebut sedar betapa sebagai hamba Allah, mereka tentunya mempunyai kelemahan-kelemahan yang perlu ditegur, dinasihati bahkan diperbetulkan oleh pihak lain. Dan indahnya, rakyat ketika juga turut sedar bahawa kewajiban mentaati kerajaan tidaklah menghalang mereka memberi pandangan, nasihat dan teguran kepada pemerintah.

Kerajaan masakini perlukan proses ‘check and balance’ ini. Dan tentu sahaja prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam tidak boleh dipinggirkan dalam proses tersebut. Untuk itu golongan agama dalam kerajaan khususnya, patut memainkan peranan yang lebih aktif, dinamik dan terbuka dalam pendekatannya (kerana kerap didakwa ahli agama dari parti pembangkang yang sering disifatkan kasar, emosional dan prajudis?)

Justeru, bagaimana pula sikap ‘orang’ agama dalam kerajaan? Mampukah mereka melakukan proses ‘check and balance’ dari dalam? Atas ‘kelebihan’ mereka yang tentunya mempunyai sistem nilai, kepakaran dan ketulusan berteraskan Islam, sudah pasti peranan mereka juga lebih besar. Ini selaras dengan harapan kebanyakan orang Melayu agar mereka benar-benar berperanan dalam meningkatkan penghayatan dan amalan Islam di Malaysia.

Sesungguhnya, agenda besar ini menuntut skop pemikiran yang luas, komitmen tenaga yang tinggi dan gerak-kerja yang menyeluruh… Tegasnya, golongan agama bukan lagi berperanan sekadar bunga hiasan atau pinggan nasi tambah!

Secara mudah, dua dimensi utama tujuan Islam ialah menegakkan yang makruf (kebaikan dan kebajikan) dan mencegah yang mungkar (kejahatan dan keburukan). Dan kedua-dua dimensi ini mestilah dirujuk kepada Allah berdasarkan Al Quran dan Sunnah. Untuk menegakkan yang makruf, golongan agama “bekerja keras” memahamkan masyarakat mengenai konsep dakwah dan tarbiah Islamiah yang praktikal dan realistik.

Tonjolkan sikap bukan cakap. Secara jelas, golongan agama dalam kerajaan memikul amanah untuk meningkatkan perjuangan Islam yang syumul ( tidak kira atas label “Islam Hadhari” atau apa pun jua jenamanya nanti), bukan sahaja secara konseptual tetapi juga dari segi pelaksanaannya.

Itu dilihat dari dimensi menegakkan yang makruf.

Manakala dari dimensi mencegah yang mungkar pula, ‘orang-orang’ agama dalam kerajaan perlu menyedari setidak-tidaknya ada juga perkara-perkara negatif dalam negara di bawah bidang kuasa kerajaan perlu ditegur dan dinasihati. Keberanian, ketelusan, sikap kritis tetapi berhikmah perlu ada pada mereka untuk menegur kerajaan dari dalam.

Ironinya, jika ada pihak beranggapan orang agama dalam parti pembangkang ‘terlalu benci’ hingga tertutup mata hati untuk melihat kebaikan kerajaan, maka janganlah hendaknya orang agama dalam kerajaan ‘terlalu cinta’ hingga alpa pada kesalahan atau kesilapan kerajaan.

Hubungan yang akrab antara mereka dengan pemimpin negara mestilah dimanfaatkan untuk memberi nasihat dan teguran agar proses ‘check and balance’ yang disebutkan sebelum ini berjalan dengan baik. Jika dahulu seorang tokoh agama dalam kerajaan pernah menyifatkan penolakan terhadap pembangkang membuktikan masyakat telah menolak ‘ulama yang tidak berhikmah’, maka masyakat ingin melihat bagaimana pula iltizam ‘ulama yang berhikmah’?

Siapa lagi kalau bukan orang-orang agama dalam kerajaan yang boleh diharapkan menegur pemerintah dengan penuh hikmah sepertimana yang dituntut oleh Rasulullah saw menerusi sabdanya:
“Sesiapa yang ingin menasihati pihak yang berkuasa mengenai sesuatu perkara, maka janganlah ia menyampaikan secara terang-terangan tetapi hendaklah ia memegang tangannya dan menyampaikan nasihatnya secara bersendirian…”
(Riwayat Ahmad dan al Hakim)

Kebimbangan rakyat mengenai gejala sosial, jenayah seks, keruntuhan akhlak dikalangan remaja, dadah dan sebagainya amat membimbangkan masyarakat. Parti pembangkang terus menyalahkan kerajaan atas apa yang berlaku walaupun kadangkala jelas kelemahan institusi keluarga paling banyak menyumbang kepada keruntuhan itu.

Namun, apa salahnya jika kerajaan juga bermuhasabah atas program-program hiburan yang keterlaluan, lambakan bahan bacaan picisan dan lain-lain unsur negatif seperti pendedahan aurat, pergaulan bebas dan budaya hedonisme yang mengancam golongan remaja.

Tentu ada yang ‘tidak kena’ di mana-mana. Jadi, ada baiknya jika golongan ulama dalam kerajaan menegur secara langsung budaya hedonisme yang diperagakan secara keterlaluan atau setidak-tidaknya membuka laluan yang lebih luas kepada budaya hiburan yang lebih sopan dan mendidik.

Walaupun mustahil menutup pintu langit dan menyekat segala bentuk kemungkaran menurut ajaran Islam kerana Malaysia negara berbilang agama dan bangsa, namun dalam batas-batas kesederhanaan Islam masih banyak rasanya yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk membantu para ibu-bapa mengawal anak-anak mereka daripada terjebak dengan gejala-gejala negatif.

Pendekatan pencegahan menerusi program kesedaran, dakwah dan pendidikan perlu diperhebat dan dipelbagaikan dalam bentuk yang lebih kreatif, menarik dan berkesan. Ia juga perlu iringi oleh halangan-halangan berbentuk lahiriah – akta, undang-undang, denda dan sebagainya.

Hendaknya dalam keadaan-keadaan tertentu janganlah program-program yang melibatkan pendedahan aurat, pergaulan bebas dan lain-lain unsur negatif itu semacam disemarakkan melebihi program-program yang jelas kemakrufannya. Mungkin ini hanya persepsi sesetengah anggota masyarakat, tetapi ada baiknya persepsi ini diatasi dengan program penerangan yang lebih jelas dan mantap.

Ahli agama dalam kerajaan juga diharap dapat memadamkan polemik-polemik yang tidak perlu dan telah lama selesai dan lain-lain isu seumpamanya. Justifikasi yang kononnya mewajarkan isu begini ditimbulkan – untuk membuka ruang minda dan ‘horizon’ pemikiran adalah tidak relevan dan tidak berhikmah.

Jika benar perkara-perkara ini adalah bersifat pinggiran dan ‘khilafiah’ maka apa rasionalnya ia dibangkitkan semula sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan orang awam dan debat tidak bermanfaat di kalangan para ilmuwan?

Bukankah lebih baik perkara-perkara yang lebih relevan umpamanya bagaimana menyepadukan pembangunan rohani dan material, penghayatan dan memantapkan lagi soal-soal asas dan teras Fardu Ain (rukun Iman dan Rukun Islam), aplikasi industri bioteknologi menurut perspektif Islam, penggunaan dinar emas dalam pasaran kewangan Islam dan global, itu yang dibahaskan secara komprehensif?

Bukankah perkara-perkara baru yang bersifat ‘ke hadapan’ dan menyelesaikan masalah ini jauh lebih penting diketengahkan berbanding isu-isu yang telah lama selesai tapi ditimbulkan semula hanya untuk memuaskan ego atau hero keintelektualan?

Begitu juga peranan golongan ugama seharusnya tidak terhad cuma kepada bidang-bidang yang dilihat berwajah ‘agama’ tetapi mula menjangkau jua bidang-bidang lain selaras dengan Islam sebagai ‘way of life’.

Dalam bidang pembangunan fizikal dan ekonomi misalnya, suara golongan agama mestilah kedengaran bukan sahaja dalam menentukan halal dan haram, tetapi memantau prinsip, pendekatan, pelaksanaan dan tujuan pembangunan itu selaras dengan kehendak Tauhid, syariah dan akhlak Islamiah.

Justeru, kita berharap golongan agama ini akan terus meningkatkan keberkesanan dan kecekapan mereka dalam kepimpinan, pengurusan dan pentadbiran dengan menambah ilmu dan kemahiran agar mereka layak diberi peranan yang lebih besar.

Pada era yang akan datang kita berharap dapat melihat orang agama dalam kerajaan boleh memimpin kementerian-kementerian yang berteraskan bidang pelajaran, penerangan, industri, keselamatan, pertanian dan sebagainya.

Apa yang penting, golongan agama inilah yang kita harapkan menjadi perintis bagi merealisasikan generasi kepimpinan baru yang menggabungkan sifat mukmin (kejujuran, amanah dan lain-lain sifat mahmudah) dengan tahap profesionalisme dan kompetensi yang tinggi.

Dengan sifat kehambaan kepada Allah dan sifat kekhalifahan dengan manusia dan tugasan, maka akan terbina satu barisan kepimpinan yang akan mendaulatkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif, toleran dan dinamik pada era globalisasi.

Orang-orang Melayu mesti memastikan budaya dan jati diri mereka yang berteraskan nilai bangsa dan prinsip agama terus dipertahankan dalam gagasan menjadi ‘Khayra Ummah’ – yang amar makruf, nahi mungkar dan beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya!

Mungkin itu yang dapat saya sarankan kepada ulama-ulama dalam kerajaan… sekadar satu usaha ingat mengingatkan dengan kebenaran dan kesabaran. Bagaimana dengan ulama di luar kerajaan? Insya-Allah, jika ada kesempatan akan saya tulis jua nanti.

Hutang orang berjuang

27 Nov

Sungguh aku begitu kesihan melihatnya. Dia terperangkap dalam dilema. Pada saat dia bertemu dengan ku dan memohon untuk meminjam wang, aku menghulurkannya lagi. Buat kesekian kalinya. Dan dia berkata, “maaf teman… aku kesempitan.” Aku mengikuti perjalanan hidupnya sejak dulu. Dia memang gigih berusaha. Memang dengan usahanya, dia layak untuk kaya. Sayangnya, dia begitu “pemurah”, hingga sering tergelincir dari batas kemampuannya. Siapa sahaja yang datang kepadanya dia akan menolong. Kekadang adik-beradik sendiri. Acap kali teman dan taulan. Orang ramai menganggapnya kaya… betapa tidak, dia penulis yang telah mencipta nama. Buku-bukunya terjual dan tercetak berulang kali. Sayangnya, dia kerap “tertipu”. Satu hari dia berbisik padaku, “semua orang ingat aku kaya.” Namun apa yang orang tidak tahu dia sering berdepan dengan pelbagai kerenah birokrasi syarikat-syarikat penerbitan.

Tak kurang juga angkara cetak rompak. Ditambah oleh datangnya “peminjam-peminjam” tidak resmi bertali arus memohon berhutang kepadanya. Dia tidak mampu berkata tidak. Dia terperangkap antara hak-haknya yang tidak ditunaikan oleh orang lain kepadanya dan kemurahan hatinya meminjamkan kepada orang lain. Pernah sekali aku menasihatinya, “jadilah Aid Al Qarni yang tidak bersedih apabila buku “Jangan Bersedih” tidak mendapat ganjaran royalti yang sewajarnya.” “Aku bukan Aid Al Qarni… Aku punya anak dan tanggungan yang banyak. Menulis ini oksigen kepada keperluan hidupku.” Aku tersenyum. Dia bukan menulis kerana nama atau kerana harta… tetapi kerana perjuangan. Tetapi pejuang juga perlu makan, ada anak-anak bukan? Sekali lagi subjek berkaitan dengan dilema yang sama menerjah ingatan. Aku telah pernah menyentuhnya dalam berbagai-bagai entri menerusi blog ini (antaranya: Kau Murabbi bukan Selebriti dan Bangsawan Agama). “Apakah yang patut aku buat?” tanyanya. Aku diam. Tidak mampu memberi kata dua, justeru aku sendiri pernah “diserang” oleh dilema yang semacam itu satu ketika dulu. Tetapi kita aku telah ada pendirian.

Sejak ku hayati dan kukunyah mesej-mesej tersirat dalam filem Sang Murabbi yang ku tonton tempuh hari dan nasihat daripada guru-guru ku. “Antara memberi pinjam kepada yang datang dengan menuntut hak sendiri yang tidak diberikan… yang mana patut dihentikan?” “Jangan menghentikan sedekah kerana takut miskin. Bahkan sedekah itu akan menahan bala, memanjangkan umur, menyembuhkan penyakit dan memurahkan rezeki,” balasku perlahan. “Jadi, kau suruh aku menuntut hak ku? Cari kembali royalti-royalti yang tersembunyi dalam data akaun penerbit-penerbit buku-buku ku?” Aku diam panjang. “Ya, kau patut berbuat begitu!” ujarku akhirnya. Kali ini dia pula terdiam. “Itu lebih baik daripada kau sendiri yang terpaksa meminjam…” “Apa kau tak sudi lagi meminjamkan wang kepadaku?” ujarnya tersenyum. Dia bergurau. Dia kenal saya. Saya sahabatnya sejak dulu. “Kau takut tidak mengikut jejak Aid Al Qarni?” tanyaku. “Aku menulis kerana perjuangan. Ingin orang lain mendapat hidayah.” “Itu satu bab sahabatku. Tetapi dalam soal muamalat, ada akad, ada aku janji, ada hak penjual danpembeli. Itu juga syariat. Itu juga termasuk dalam ajaran Islam. Itu juga perjuangan.” “Aku segan.” “Kalau begitu halalkan sahaja! Halalkan sahaja royalti-royalti yang belum kau tuntut itu.” Dia diam. “Dan mulai sekarang jangan bagi pinjam kepada orang lain kalau diri sendiri tidak mampu.” Dia diam lagi. “Dan jangan meminjam kepada orang lain.

Duit yang nak diberi pinjam itu lebih elok digunakan untuk diri sendiri,” tusuk saya satu demi satu. Dia diam. Kesihan saya melihatnya… walaupun dia bukan Aid Al Qarni, dia tetap sahabat saya. Saya kenal hati budinya! Jiwanya penyayang, mudah kesihan dan sangat pemurah. Lama saya termenung. Teringat kembali kepada satu tulisan yang pernah saya ketengahkan satu ketika dahulu. Buat renungan diri dan semua marilah kita telusuri kembali isi tulisan itu sedalam-dalamnya. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan. Roh orang yang berhutang tertahan di ashhbul A’raf walaupun mati syahid. Mengapa hingga sedemikian diperingatkan oleh hadis? Mengapa dibandingkan dengan mati syahid? Ya, mungkin hutang ada “penyakit” orang berjuang! Ikutilah tulisan ini… Walaupun lima sen! Hutang tetap dikira besar apabila tidak kulangsaikan. Hutang tetap hutang. Tidak kira berapa jumlahnya. Bukan hak kita, begitu bisik hatiku mengingatkan bila melihat catatan hutang-piutangku malam ini. Ah, betapa dikegelapan ini aku cuba mengira-mengira hutangku dengan manusia, agar lunas juga hutangku dengan Pencipta. Biarlah dalam gelap ini aku disesah resah, agar di sana nanti disinari cahaya. Teringiang-ngiang pesan ulama, kekadang hutang kita dengan manusia lebih sukar kira-bicaranya berbanding ‘hutang’ kita dengan yang Esa. Hatiku mengingatkan betapa buruknya wajah orang yang tidak melunasi hutang-hutang dunia ketika berdiri di padang Mahsyar kelak… Ah, alangkah roh syuhada’ lagikan tertahan oleh hutang-hutang mereka, inikan pula aku hamba yang penuh dengan alpa dan dosa ini.

Mengapa sangat berat ketika diri ingin membayar hutang padahal terasa begitu ringan sewaktu memohonnya? Apakah aku sudah berkira-kira untuk tidak membayarnya sejak awal lagi? Kalau begitu alangkah hinanya diri ini kerana itu hakikatnya bukan berhutang tetapi mencuri. Ah, alangkah malunya orang yang berhutang. Siang menanggung malu, malam menanggung resah. Betapa murahnya harga diri orang yang culas membayar hutang di depan orang yang memberinya hutang. Sekalipun dia seorang ‘agamawan’ – yang begitu arif dengan wahyu dan sabda, tetapi dia hanya layak berteleku bila berdepan dengan orang yang dinafikan haknya untuk mendapat kembali apa yang dihutanginya. Ah, aku tidak mahu menjadi seorang daripada mereka. Selagi mampu aku ingin melunasi hutang-hutangku sedikit demi sedikit. Aku berpesan pada diri, jangan sekali-kali terperangkap dengan alasan-alasan yang diberi oleh ‘hati besar’ hingga melemahkan denyut ‘hati kecil’. Ingat wahai diri, ayat Al Quran paling panjang dalam surah yang paling panjang ialah mengenai hutang. Dan ayat hutang itu asal mulanya hanya tentang sebuah bekas air! Mari wahai diri, mari tatapi ayat itu buat sekian kalinya. Firman Allah: “Wahai orang yang beriman Apabila kamu melakukan hutang piutang untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan benar.

Jangan penulis menolak untuk menulisnya sebagaimana Allah telah mengajar kepadanya…. (hingga akhir ayat) Al Baqarah 282 Begitulah seriusnya Allah apabila membicarakan soal hutang dikalangan hamba-hamba-Nya. Apakah aku memahami, merasai dan bertindak selaras dengan keseriusan itu? Atau, aku hanya merasakan ayat itu ditujukan kepada orang lain, bukan untukku. Atau aku merasakan ayat tentang dakwah, soal keluarga, siasah, ekonomi dan lain-lain itu yang lebih ‘terkesan’ di jiwa? Jika demikian, alangkah tertipunya aku, kerana ayat itu memang ditujukan untukku, yang masih berhutang ini. Sesekali, ada justifikasi yang menerjah hati… Mati ketika meninggalkan hutang bukanlah seaib mana. Apatah lagi bila melihat para Salafussaleh ada juga yang mati meninggalkan hutang. Mereka yang ‘hebat’ itu lagikan berhutang, apalagi aku. Ah, itu cuma alasan syaitan. Mengapa tidak kuperhatikan dan ku perhalusi bagaimana kesungguhan mereka itu membayarnya? Bukankah mereka semua telah mencuba sehabis daya, tetapi apakan daya, tidak kesampaian juga… Namun, sejarah memaparkan betapa kerisauan mereka hingga berwasiat untuk ‘gadaikan itu dan ini’ hanya untuk melangsaikan hutang yang masih berbaki. Wahai diri, jangan kau tertipu… Berbeza sungguh tujuanmu berhutang dan tujuan mereka berhutang.Berbeza sungguh kesungguhan mereka membayar dan kesungguhanmu membayar. Berbeza sungguh kebimbangan mereka ketika tidak dapat membayar, dengan kebimbanganmu ketika tidak membayar hutang. Kau masih tersenyum, ketawa, berjalan bagaikan wira, menabur bunga-bunga kata kononnya kau wira segala… tetapi Allah tahu betapa ‘busuknya’ hutangmu itu. Jika hutang itu ‘berbau’ pasti manusia lari meninggalkanmu. Tidak malukah kau, dicemuh oleh orang yang tahu rahsia dirimu… ah, dia itu kokoknya sahaja berdegar-degar, ekor diselaputi hutang! Mulai detik ini, ketika ada rezki yang datang menjengahku, kan ku katakan pada diri, “ini ‘bantuan’ Allah untuk melunasi hutang-hutangku.

Aku akan makan-minum sekadarnya, menggunakannya hanya di tahap keperluan dan selebihnya aku mesti gunakan untuk membayar hutang!” Dan mulai saat dan detik ini, aku berazam tidak akan berhutang hanya untuk ‘melebihi’ kadar keperluan dan kemampuan hidup. Aku sepatutnya malu… bila harga diri dipertaruhkan sebagai ‘deposit’ untuk berhutang. Teringat aku kata Saiyina Umar, “jika minum seteguk air di ketika sangat dahaga itu akan menjatuhkan harga diriku… nescaya aku tidak akan meminumnya!” Ya, alangkah berertinya hidup ini jika kita ‘memberi’… Dan memberi paling utama ialah ‘memulangkan’ semula hak kepada pemiliknya.

Menjadi perkasa dengan puasa

25 Nov

200500419-001

Puasa mampu menjana keperkasaan diri. Puasa mendidik kita mengawal hawa nafsu agar tersalur dan tertuju kepada kebaikan. “Kuda liar” (istilah Imam Ghazali untuk nafsu) dalam diri kita dapat dijinakkan lalu dapat dijadikan kuda tunggangan yang sangat berguna. Begitulah hawa nafsu… jika kita yang mengawalnya, bukan sebaliknya, maka kita mempunyai kekuatan untuk melakukan “sesuatu yang perlu” (wajib, halal, sunat atau harus) dan meninggalkan “sesuatu yang kita suka” (haram dan makruh).

Bila kita mampu melakukan sesuatu yang perlu walaupun kita tidak suka, maka kita boleh berjaya dalam hidup. Kita ada kawalan diri. Hidup akan lebih terarah dan bererti. Bayangkan, perkara yang halal pun boleh kita tinggalkan pada siang hari bulan Ramadhan… masakan begitu susah meninggalkan perkara yang haram di luar Ramadhan. Begitulah seharusnya, apabila nafsu dihenyak seteruk-teruknya pada bulan Ramadhan.

Puasa mengajar kita ikhlas – hanya mengharap keredaan Allah. Sifat puasa itu juga terlalu rahsia. Hanya Allah yang tahu kita berpuasa atau tidak. Solat, Haji, sedekah, dakwah dan jihad… orang lain nampak, tetapi puasa tidak. Ia terlalu intim. Yang tahu kita berpuasa dalam ertikata sebenar hanya Allah. Yang kita kejar hanya pandangan Allah. Jangan harapkan pandangan dan sanjungan manusia… Begitu puasa mengajar kita.

Kata-kata sufi yang masih saya ingat, “biarlah kita sederhana pada pandangan orang lain, rendah pada pandangan diri sendiri dan tinggi pada pandangan Allah.” Rendah pada pandangan diri sendiri bukan bermaksud menghina diri atau “self sabotaging habits” (seperti yang dikatakan oleh pakar-pakar psikologi) tetapi tidak sum’ah dan ujub pada diri sendiri. Sum’ah itu kita suka jika mendengar pujian orang lain terhadap diri kita. Manakala ujub itu rasa “:takjub” akan kelebihan diri.

Rendah diri itu tawaduk. Merasa diri belum baik… lalu berusaha terus-terusan melakukan kebaikan. Rendah diri itu tidak puas… dengan amalan yang sedikit lalu berusaha menambah amal sendiri. Rendah diri itu merasa sentiasa berdosa… lalu hati sentiasa merintih dan bertaubat atas dosa-dosa. Jangan silap memahami yang rendah diri itu ialah penyakit inferioriti kompleks, yang berupa rasa terancam, bimbang dan hina atas kemampuan dan kebolehan diri.

Pandangan diri anda terhadap diri sendiri adalah lebih penting berbanding pandangan orang lain terhadap anda. Itulah yang ditakrifkan sebagai harga diri. Yakni rasa dalam diri yang menyebabkan anda rasa layak, mampu dan yakin untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Jangan perdulikan pandangan orang lain, sekiranya anda yakin bahawa anda bukan sepertimana yang mereka anggapkan.

Sebab itu bijak-pandai ada menyatakan, jangan bimbang jika anda tidak dihargai tetapi bimbanglah jika anda sudah tidak berharga. Siapa yang menentukan samada anda masih atau tidak lagi berharga… ya anda sendiri!

Ingatlah, bahawa Tuhan mentakdirkan kita hidup. Bila ini anda terima sebagai kenyataan, maka anda akan rasa layak untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Mustahil Tuhan mencipta anda untuk gagal – sebab Dia Maha Pemurah dan Penyayang. Tuhan mahu hamba-Nya berjaya dan untuk itu anda telah diberikan segala kekuatan dan ’kelengkapan’ untuk berjaya.

Tugas anda hanya untuk mengenali dan menerokai kekuatan dan kelengkapan yang dimaksudkan. Jika anda rasa lemah, tidak berdaya… itu bukan ertinya anda sedia lemah dan sedia tidak berdaya, tetapi anda belum mengenali dan menerokai kekuatan anda yang sebenar. Atau anda menemuinya tetapi belum menggunakannya secara maksimum.

Dan kerana ‘kekuatan’ inilah kita akan dipertanggung-jawabkan di hadapan Allah – Khadi Rabbul Jalil di Padang Mahsyar nanti. Kita akan berdepan secara ‘satu dengan satu’ di hadapan Allah SWT nanti. Ketika itu kita tidak boleh menyalahkan orang lain. Kita tidak boleh meletakkan beban dosa di pundak orang lain. Setiap diri bertanggung-jawab (maksudnya ‘kena tanggung’ dan ‘kena jawab’) terhadap kekuatan yang telah diberikan.

Apakah telah digunakan secara maksimum dan diarah kepada tempat yang betul? Ertinya, amanah (kkekuatan) yang telah diberikan itu akan dipersoalkan. Jadi, tergamakkan kita menyerahkan orang lain sedangkan kita nanti yang akan dipersoalkankan? Kata orang, “diri sendiri, sendiri kena jagalah!” Dan kekuatan itulah yang hendak kita gunakan dengan betul.

Apakah kita akan terus bersifat reaktif dan lemah? Orang lain tidak akan dapat menentukan sikap, reaksi dan ‘mood’ kita jika kita sendiri tidak mengizinkannya. Kitalah yang memberi kuasa kepadanya untuk mengawal diri kita. Bila orang menghina, kita rasa kecewa. Bila orang memuji, kita rasa bangga. Semuanya bergantung kepada orang… Sampai bilakah kita harus menyerah ‘kekuatan’ kepada orang lain untuk menentukan hitam-putihnya hidup kita?

Keadaan ini yang sangat merbahaya. Ia samalah seperti menyerahkan ’stering’ kenderaan hidup sendiri untuk dipandu oleh orang lain. Sedangkan jika berlaku kemalangan, kitalah yang akan tercedera bukan orang itu. Ingatlah, kita adalah pemandu bukan penumpang untuk hidup kita sendiri.

Kedua, mari kita lihat tanda-tanda orang yang lemah. Tanda-tanda tersebut ialah:

• Menyalahkan orang lain atas kelemahan, kegagalan dan keburukannya.
• Tidak mampu melakukan kerja atau tugasan untuk mencapai kejayaannya.
• Mudah marah, melatah, mengamuk apabila diuji, diusek dan dipersalahkan.
• Membuat kerja yang suka dibuatnya bukan kerja yang perlu dibuatnya.
• Suka membebel dan merungut.
• Menunggu peluang bukan mencari ruang.
• Berubah kepada yang baik hanya bila dipaksa bukan dengan rela.
• Emosional kurang rasional.

Lihatlah tanda-tanda ini, jika anda memilikinya. Ya, akuilah anda adalah orang yang lemah. Keputusan anda lebih penting daripada keputusan yang dibuat oleh orang lain. Jadi, buatlah keputusan sendiri.

Ketiga, mari kita lihat pula siapa yang kuat dalam hidup ini. Mereka yang kuat ialah mereka yang dapat mengawal kemarahan, menghadapi kritik, teguran, kesedihan, kegembiraan dan kebencian agar sentiasa seimbang dan tunduk pada keyakinan (belief), nilai dan prinsip hidupnya. Setiap kita mempunyai potensi dalaman. Potensi dalaman itu sebenarnya lebih kuat daripada apa yang kita sangkakan.

Jika kekuatan ini benar-benar ‘dioptimumkan’ kita tidak akan terkesan oleh gangguan luaran. Maka hidup ini akan lebih selesa, nutral dan mesra kerana kekuatan diri terbina dari dalam diri tanpa terlalu bergantung kepada kad perakam waktu dan undang-undang dan akta yang bersifat luaran.

Kesimpulannya, individu yang kuat:
• Mampu melakukan kerja yang perlu dibuat walaupun tidak disukai.
• Berdaya tahan dan berdaya saing.
• Ada ‘self dicipline’, ‘self motivation’ dan mampu melakukan ‘self censord’.
• Mampu meminta maaf jika bersalah dan memberi maaf jika dipinta.
• Sanggup mengakui kesalahan diri dan memperbaikinya.
• Meraikan perbezaan tanpa mengujudkan suasana konflik.
• Berdikari, pro-aktif dan produktif.
• Berani dan sanggup menanggung risiko.

Kita sering bercakap tentang ‘self dicipline’, ‘self motivated’ dan ‘self mastery’ tetapi semua itu tidak akan dimiliki hanya dengan banyak bercakap tentangnya.
Kata hukama, “jika kita dapat menguasai diri kita, kita akan dapat menguasai dunia”. Ertinya, dengan menguasai diri kita sendiri, pengaruh kita untuk menguasai orang lain, merubah keadaan dan mencorak suasana luaran, akan meningkat. Itulah sebenarnya sifat orang beriman. Yang hati mereka hanya terikat dengan Tuhan.

Takut dan cinta mereka hanya kepada yang Allah. Mereka umpama ikan yang tidak akan masin dengan kemasinan laut. Sebab itu ingin saya tegaskan bahawa keyakinan kepada diri sangat berkait dengan keyakinan kepada Tuhan. Maksudnya, siapa yang lebih kuat keyakinan kepada Tuhan, maka dialah yang paling kuat keyakinannya terhadap diri sendiri!

Ketika ditanya siapakah orang yang paling kuat? Nabi Muhammad SAW menjawab: “Orang yang dapat menguasai marahnya.”
Sayidina Umar Ibn Khattab pernah berkata: “Kalau meminum segelas air yang dingin ketika kehausan yang amat sangat boleh menjatuhkan maruahku nescaya aku tidak akan meminumnya.”

Umar Ibn Aziz pernah berkata: “Oku tidak akan bercakap ketika aku terlalu ingin bercakap. Sebaliknya aku bercakap apabila aku terlalu berat untuk bercakap.”
Hukama pula ada berkata: “ Kuasai diri kamu, nescaya kamu akan dapat menguasai dunia ini.”

Edmud Hilary, orang yang pertama menawan puncak Everest berkata: “Ketika aku sampai ke kemucak Everest sebenarnya bukan gunung itu yang aku tawan, tetapi diriku sendiri.” Inilah rahsia pemimpin agung dan figur yang istimewa dalam sejarah.

Steven Covey, menerusi ‘Seven Habit’nya menyebut keberkesanan seseorang terletak kepada ‘circle of influnce’ berbanding ‘circle of concern’. Manusia, kata Covey, mesti menggunakan kuasa yang dalam kawalannya (yakni dirinya sendiri) daripada cuba menggunakan kuasa yang tidak dapat dikawalnya (yakni perkara yang di luar dirinya). Inilah paradigma orang yang berkesan dalam hidupnya.

Rahsia kejayaan ‘orang besar’ itu terletak kepada kemampuan mereka menguasai diri sendiri. Dan dengan itu barulah mereka berjaya mengubah, mempengaruhi dan memimpin orang lain. Ini mengingat saya kepada satu madah: “Jangan kamu marah jika orang lain tidak berubah sepertimana yang kamu kehendaki jika kamu sendiri tidak berubah seperti yang kamu kehendaki.” Ibu ketam tidak sepatutnya marah jika anaknya tidak berjalan betul!

Tegasnya, ‘kekuatan’ dalam diri ialah bila kita dapat melakukan sesuatu yang perlu dilakukan dan meninggalkan sesuatu yang tidak perlu dilakukan. Kita ingin kuat. Kuat dalam ertikata dapat menentukan arah hidup dan jalan hidup kita sendiri. Kuat untuk menghadapi rintangan dan akhirnya meraih kejayaan. Kuat untuk mengakui kesalahan dan memperbaikinya.

Kuat untuk bertanggung-jawab terhadap keputusan yang dipilih dan sanggup menanggung risikonya. Kuat untuk berhijrah dari ‘zon selesa’ tapi penuh kebekuan untuk menuju ‘zon mencabar’ yang penuh dugaan, tetapi di situlah letaknya kejayaan dan kecemerlangan.

Jadi, anda bagaimana? Ingin terus dalam zon selesa? Tidak mungkin. Jadi keluarlah menuju zon yang mencabar – dan bersiap sedialah menghadapi kata nista, cerca dan hina manusia. Itu lumrah. Namun, tidak semua manusia begitu, anda akan temui nanti kata-kata yang memberansangkan, mendorong dan meransangkan. Ubahlah diri, nescaya alam akan ’berubah’ mengikut perubahan kita!

Puasa itu akan mengubah kita… hanya jika puasa itu berkesan. Jika tidak, puasa itu akan tetap ”gitu-gitu” hinggalah kita bertemu Allah tanpa apa-apa perubahan. Keyakinan diri tetapi pada masa yang sama tidak ego, riyak, sum’ah dan ujub adalah ”produk” daripada puasa yang ikhlas.

Mari kita kembali kepada fitrah. Kita kembali kepada Allah… Apa manusia nak kata, katalah… asalkan yang kita lakukan itu halal, wajib, sunat atau harus. Siapa yang mengharap keredaan manusia, pasti akan kecewa. Nampak gah seketika, tetapi akhirnya merudum di telapak kaki manusia yang dipuja-pujanya itu!

Khas untuk wanita bergelar isteri

19 Nov

Jangankan lelaki biasa,nabi pun terasa sunyi tanpa wanita.

Tanpa mereka, fikiran dan perasaan lelaki akan resah.

Masih mencari walau ada segalanya.

Apa yang tiada dalam syurga?

Namun adam tetap rindukan hawa.

Dijadikan wanita daripada tulang rusuk yang bengkok.

Untuk diluruskan oleh lelaki.

Tetapi seandainya lelaki itu sendiri tidak lurus,

Mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan jalan yang ditunjuk oleh Allah,

Kerana mereka diciptakan sebegitu rupa oleh Allah.

Didiklah mereka dengan panduan darinya.

Jangan cuba menjinakkan mereka dengan harta, kerana nantinya mereka semakin liar.

Janganlah hiburkan mereka dengan kecantikan, kerana nantinya mereka akan semakin derita.

Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal. Di situlah punca kekuatan dunia.

Akal senipis rambutnya, tebalkanlah ia dengan ilmu.

Hati serapuh kaca, kuatkanlah ia dengan iman…

Perasaan selembut sutera, hiasilah ia dengan akhlak.

Suburkanlah ia kerana dari situlah nantinya…

Mereka akan lihat nilaian dan keadilan Rab…

Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan..

Ia bukan diskriminasi Allah…sebaliknya di situlah kasih dan sayang Allah…

Wanita yang lupa hakikat kejadiannya…

Pasti tidak akan terhibur, dan tidak akan menghiburkan…

Tanpa iman, ilmu dan akhlak..mereka tidak akan lurus…

Bahkan akan semakin membengkok…

Itulah hakikatnya andai wanita tidak kenal Rabbnya…

Bila wanita menjadi derhaka…pasti dunia lelaki akan menjadi huru hara….

Lelaki pula janganlah mengharapkan ketaatan semata-mata…

Tapi binalah kepimpinan…

Pastikan sebelum wanita menuju ilahi, pimpinlah diri kepadanya…

Jinakkan diri kepada allah…

Nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah pimpinanmu…

Janganlah mengharapkan isteri semulia Fatimah Az-Zahra’

Seandainya dirimu tidak sehebat saidina Ali karamallahuwajhah

Wallahua’lam..