Archive | November, 2011

Selamat menyambut tahun baru Islam 1433H

26 Nov

Dyslexia: Andai Diriku Lebih Berusaha

26 Nov

Oleh : Saifulislam.Com


“Amir Sab, let me go” kata Salman.

“You stay with me” saya memeluk erat.

Murid Year 4 itu meronta mahu melepaskan diri. Kawan-kawan di dalam kelas ketawa kecil melihat gelagat kami.

Salman tidak boleh duduk diam. Dia sentiasa berjalan ke sana sini. Sesekali menjenguk ke luar tingkap. Fikirannya seperti penuh khayalan. Akibatnya, rakan-rakan yang lain sukar memberi tumpuan.

Saya tidak pasti mengapa.

Nama Salman juga disebut beberapa kali oleh pengetua yang lalu sebagai murid bermasalah.

Tetapi tanpa sebab yang jelas, saya mempunyai ‘perasaan’ yang berbeza. Mahu Salman diberi peluang. Biar pun harganya, keputusan saya ‘mengganggu’ hak murid lain untuk belajar dengan tenang.

HARI PEPERIKSAAN

“Selain matahari, apakah lagi objek yang disangka sebagai Tuhan, dalam kembara anak kecil bernama Ibrahim itu?” saya melontarkan soalan.

Sunday School pagi ini menjalankan ujian bulanan kepada murid-murid.

Murid-murid segera menulis jawapan di atas kertas.

Saya mengadakan ujian dengan soalan disampaikan secara lisan, kerana saya tidak sempat mencetak kertas soalan. Kelam kabut. Maklum sahaja, selain menjadi pengetua di Belfast Islamic School, saya juga menjadi guru, kerani, dan cleaner!

Salah seorang murid memutar-mutar pensil di tangan. Tidak menulis. Hanya merenung ke tingkap dan sesekali menoleh ke arah saya.

Salman masih enggan bekerjasama.

“Salman, do you know the answer?” saya bertanya.

Beliau terkejut disapa.

Mengangguk tanda tahu.

“So, write down the answer!” saya menyuruh.

Salman menggelengkan kepala.

“Well, what is the answer?” saya menyoal.

“Moon!” jawabnya pantas.

“Then, write it down” saya terus memandu beliau.

“I can’t” katanya.

Kawan-kawan sekelas ketawa. Memanggil Salman dengan gelaran stupid, idiot, loser! Masakan tidak, sudah Year 4 boleh ‘mengada-ngada’ berkata tidak tahu menulis perkataan MOON.

“Why? Why can’t you write? Didn’t you write your name there, just now?” saya menunding kepada namanya di kepala kertas jawapan.

“No Amir Sab. I didn’t write my name. I draw my name” kata Salman.

JAWAPAN YANG MENGEJUTKAN

Jawapannya itu amat mengejutkan saya. Perkataan pertama yang terlintas di fikiran saya ialah DYSLEXIA! Adakah Salman mengalami masalah tersebut?

Saya tidak mempunyai maklumat tentang dyslexia. Hanya pengetahuan am hasil pembacaan saya di akhbar atau internet.

Mengetahuinya sebagai ketidakupayaan membaca dan menulis disebabkan oleh fungsi abnormal di otak seseorang. Ketidakupayaan membaca dan menulis, bukan ketidakupayaan belajar dan memahami.

“Son, bring me all your exercise books!” Saya meminta Salman mengeluarkan buku latihannya.

Beberapa helaiannya saya belek .

Subhanallah, di celah tulisan buruk yang sering menjadi teguran dan kemarahan saya, malah mungkin ibu bapanya, ada corak yang konsisten. Huruf b dan d sentiasa terbalik dan banyak kesilapan yang serupa diulang berulang-ulang kali. Saya amat yakin, budak comel berkaca mata tebal dan nakal bernama Salman itu dyslexic.

“You come with me!” saya menarik Salman masuk ke pejabat.

Beliau akur dan bangun mengikut saya.

“Guys, keep quiet. I’ll come back in a minute” murid-murid di kelas saya arahkan menyambung bacaan.

Ujian bulanan yang sedang dijalankan terhenti.

“Salman, when I teach you in the class, do you understand me?” saya bertanya.

Budak itu mengangguk.

“Can you read?” saya bertanya lagi.

Beliau diam.

“Okay, you stay here for a while. I have something to tell your friends in the classroom” saya tinggalkan Salman seketika di pejabat.

Ada banyak benda menarik di atas meja saya untuk dia ‘kerjakan’. Saya tidak bimbang.

Di kelas, saya terangkan kepada murid-murid yang lain bahawa Salman bukan stupid, idiot atau loser. Beliau sama bijak dengan rakan-rakannya. Tetapi beliau mengalami cabaran bernama dyslexia. Akibatnya, dia berfikir lain daripada orang lain. Belajar pun lain daripada cara belajar orang lain. Dan kelainan itulah yang melahirkan tokoh-tokoh seperti Einstein, Leonardo da Vinci dan lain-lain.

Penemuan pagi itu memberikan anjakan paradigma kepada saya dan seluruh kelas. Jika selama ini Salman dilihat sebagai budak nakal yang sukar dikawal dan ‘bodoh’, mengenal pasti punca utamanya bernama dyslexia, mengubah cara kami semua melihatnya.

Daripada marah kepada rahmah.

Daripada sakit hati kepada simpati, empati.

REAKSI BAPA SALMAN

“Brother, can I have a word with you. You’re Mr. Ahsan, Salman’s dad, right?” saya menyapa seorang lelaki Pakistan berbadan tegap.

Kurta yang dipakainya memperlihatkan komitmen beliau kepada jati dirinya yang asal, biar pun mungkin sudah sejak sekian lama menjadi warganegara Britain.

“Yes I am. Did Salman cause you any problem?” tanya beliau.

“No, no. In fact he is one of my favorite students. But do you know that Salman has difficulties in reading and writing. I believe that he should be accessed for dyslexia!” saya memberitahu.

“What! Are you saying that my son is mentally retarded? There’s no one like that in our family!” Encik Ahsan sangat marah. Mukanya merah madam.

Belum sempat saya memberikan penjelasan, Encik Ahsan menarik Salman segera meninggalkan perkarangan masjid. Anak kecil itu merenung saya. Renungan terakhir. Hanya jari jemari saya bergerak perlahan mahu melambai Salman.

Anak murid saya itu diberhentikan oleh bapanya daripada persekolahan di Sunday School kami. Melayan ego seorang bapa!

Sedih.

Terkilan.

Salman hilang dan tenggelam dalam rutin harian saya. Hampir dilupakan.

Wajah Salman dalam kejadian 10 tahun yang lalu itu hampir pudar daripada ingatan saya. Bersama memori saya sebagai Pengetua di Belfast Islamic School, Northern Ireland. Kekal sebagai lipatan sejarah yang unik dalam perjalanan hidup saya.

TAARE ZAMEEN PAR

Wajah Salman tiba-tiba menerpa ke ingatan.

Fikiran saya terganggu.

Menonton filem Taare Zameen Par mengundang rasa sedih yang bersangatan.

Saya tidak pasti asalnya filem tersebut mengenai apa. Saya membeli pakej DVD filem lakonan Aamir Khan ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Mumbai bulan lalu. Saya bukan peminat filem Bollywood. Namun pakej DVD filem tersebut yang datang bersama kotak berisi lukisan, buku nota, dua keping DVD dan sebuah Audio CD, sangat menarik perhatian. Lama menyimpannya, saya akhirnya mendapat ruang untuk meluangkan masa selama 3 jam menonton filem lakonan, arahan dan terbitan Aamir Khan ini.

Ia berkisar tentang tekanan hidup yang dihadapi oleh Ishaan Nandkishore Awasthi (lakonan Darsheel Safary), seorang budak sekolah berusia 8 tahun yang sentiasa gagal menguasai pelajaran, gagal dalam peperiksaan dan sentiasa dilabel dan dimarahi oleh guru-gurunya, keluarga dan sekalian yang berada di sekitar kehidupannya. Tekanan itu menimbulkan tantrum dan sikap nakal yang menjadikan kitaran turun naik emosi beliau dan manusia di sekelilingnya semakin agresif.

Tekanan itu memuncak apabila bapa Ishaan bertindak menghantar Ishaan ke sekolah asrama. Bermula daripada sikap memberontak, Ishaan tiba ke tahap tekanan emosi paling kritikal apabila tenggelam dalam emotional numbness, hingga terputus atau memutuskan hubungan dengan kehidupan di sekitarnya.

Segalanya berubah apabila sekolah tersebut menerima perkhidmatan guru sementera yang mengajar mata pelajaran seni, Encik Ram Shankar Nikumbh (lakonan Aamir Khan).

Nikumbh menggunakan pendekatan yang berbeza atas keyakinannya yang satu, “setiap anak adalah istimewa”.

Interaksi antara Nikumbh dan Ishaan sangat mengingatkan saya kembali kepada kisah Salman.

Nikumbh berusaha untuk menyelamatkan Ishaan hingga berjaya. Pelbagai cara dilakukannya untuk mengubah persepsi ibu bapa, sekolah, masyarakat dan kita semua tentang Ishaan dan dyslexia.

Tetapi saya patah usaha di perjalanan. Akur dengan keputusan bapa Salman. Akur untuk cuai dalam kesibukan.

SUDAH 10 TAHUN

Sudah 10 tahun kejadian itu berlalu.

Salman kini mungkin sudah menjadi anak muda.

Salman tidak mungkin masih mengingati saya. Dia tidak perlu ingat kepada saya.

Hanya perlu berjaya.

Dan untuk diri saya, andai diriku lebih berusaha.

Maafkan Amir Sab, Salman.

Amir Sab bukan Aamir Khan!

NASIHAT ABU BAKAR AR-RAZI

26 Nov


Sebaik-baik manusia adalah yang terdapat 5 perkara dalam   dirinya iaitu:

Р      Selalu beribadat kepada Allah

Р      Ikhlas dalam segala perbuatannya zahir dan batin

Р      Tidak menyakitkan hati dan perasaan orang lain

Р      Sentiasa berharap kepada Allah dalam setiap sesuatu

Р      Hendaklah dia selalu mengingati mati

Р      Dahan yang berpangkal di dalam hati dan buahnya adalah kemahuan yang  benar

Р      Dahan yang berpangkal pada ucapan dan buahnya adalah kata-kata yang benar

Р      Dahan yang berpangkal pada kedua kakinya dan buahnya adalah yang suka mendatangi solat berjemaah

Р      Dahan yang berpangkal pada kedua tangannya dan buahnya adalah memberi sedekah

Р      Dahan yang berpangkal pada kedua matanya dan buahnya adalah melihat setiap kejadian sebagai teladan

Р      Dahan yang berpangkal pada perutnya dan buahnya memakan makanan yang halal dan meninggalkan yang ragu-ragu

Р      Dahan yang berpangkal pada jiwanya dan buahnya meninggalkan nafsu syahwat

“Ya Allah… pandanglah diri hambaMu ini dengan pandangan rahmatMu. Leraikanlah persoalan diri dengan menitipkannya ke dalam hati dan penuhkanlah piala hatiku ini dengan rindu dan kasih kepadaMu Ya Allah….

Amin”

Melihat dan mentafsir

20 Nov


Oleh :Mohd Amiruddin(Maaruf Club IIUM)
[JOM BACA..]

Adelah sebuah cerita.

Terdapat 3 org sahabat yang berlainan kos di sebuah universiti.

A- Kos agama (seperti syariah, Al-Quran Sunnah, Usuluddin), B- kos engine dan C-kos sains kemanusiaan.

Suatu hari, Si B mengajak sahabat2 baiknya itu pergi makan. Semasa nak makan..

A : Jom bace doa dlu.
B : Ko la bce doa A, ko kan kos agama.
c: Aah! Setuju…lalu A pun bacalah doa.

Begitulah yang berlaku seterusnya. Setiap perkara yang dibuat semestinya Si A yag kena ketuai, atas dasar A ‘KOS AGAMA’.

Sampai satu ketika, di sebuah restoran, semasa buka puasa..

A: Ok sekarang B ko pulak yang bace.
B: Tak nak la..ko la..ko kan kos agama..lebih afdhal. Tak pun ko la (B tunjuk C)
C: Eh! Asal aku pilak?? Ko la A. Ko kn kos agama. Takkan tak bolah kott^^

Lalu jawab si A : (Sambil tersenyum ^_^) tak pe la.. biar la aku yang bace, dekat akhirat nanti aku je yang akan dihisab kan?? ok jerr..^^
B & C : Errr…

DI HARI LAINNYA…*****

A : Jom dgr tazkirah!!!
B: Erm.. Takpe la. Ko je la pergi. Ko kan kos agama. Ak ni kalau tak gi pun tak pe, budak biasa je.
C : Betol gak tu. Lagipun aku nk buat assigment aku ni..hehehe. Lebih afdhal kalau ko je gi. Lagipun ada kaitan ngan kos ko kan?? Hehehe

Jawab si A: Erm..bolah aku cakap sikit? (sambil snyum^_^).

Kenapa korang selalu kaitkan aku dengan kos yang aku ambil? Adakah di hari akhirat nanti ALLAH menilai kita melalui kos yang kita ambil? Cara korang bercakap seolah-olah orang yang ambik kos agama sahaja yang akan dihisab.

Maksudnya orang kos agama macam aku ni sajerlah yang akan masuk syurga. Btol tak?

Ye la..sume perkara baik aku kene buat disebabkan aku kos AGAMA. Bukan ke korang juga perlu berusaha untuk kumpul pahala?

(sambil tersenyum dia sambung kembali) Aku ambik kos ni pun bukan sebab aku pakar dalam agama. Cume aku tak berapa pandai dalam ilmu-ilmu agama ni, sebab tu aku apply kos ni.

Aku bukan nak salahkan korang walaupun korang bukan KOS AGAMA. Sebab mane-mane kos pun yang kite ambil, kesungguhan kite terhadap Islam yang aakan dinilai oleh ALLAH.

Tidak semestinya kos selain dari kos agama tidak diredhai ALLAH. Asalkan kite buat kerana ALLAH, pasti ALLAH jua akan redha dengan kite.

Ingatlah sahabat, kita adalah MUSLIM. Dan ini tanggungjawab kite sebagai hamba ALLAH. Ada jugak orang yang ambik kos agama tapi masih kurang ilmunya, ada jugak org ambik kos lain selain agama tapi banyk ilmuny. Tapi bukanlah itu yang dinilai oleh ALLAH tetapi sejauh mane kesungguhan kita dalam menggapai redha dan cinta ALLAH..^^ (simple tapi sangat terkene)

B menitiskan airmata. C pula tunduk malu..
Dan A ingin berlalu pergi ke tempat tazkirah…

B & C : Nanti!! Tunggu kami! Mulai hari ni kami akan cuba dan berusaha menjadi Muslim yang baik. Terima kasih atas peringatan. 🙂

~ALHAMDULILLAH~TERIMA KASIH YA ALLAH..^^

Menuturkan Lima Bahasa Kasih Sayang

5 Nov

Oleh :
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

“Assalamualaikum ustaz. Saya mempunyai anak berusia tujuh tahun. Apabila saya menegur kesalahannya, dia mengatakan yang saya tidak sayangkan dia serta melebihkan adik beradik yang lain sedangkan kasih sayang saya kepada anak-anak tidak berbelah bagi. Apa nasihat ustaz?”

Demikian soalan yang ditanya oleh salah seorang peserta bengkel Sinergi Keluarga Bahagia anjuran bersama Nisa’ Titiwangsa, Yayasan Prihatin Titiwangsa dan Yayasan Selangor, semalam. Program ini terhasil daripada inisiatif YB Dr. Lo’lo’ Hj Mohd Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa yang menghubungi saya melalui Twitter menyatakan hajat besarnya mahu mengadakan sebuah program kekeluargaan terutamanya bagi penduduk sekitar Parlimen Titiwangsa yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Alhamdulillah.

Soalan dihantar dalam bentuk nota dan ia bagus kerana di dalam program yang membabitkan hal-hal kekeluargaan, biasa sekali peserta segan hendak bertanya kerana tidak mahu kondisi rumahtangganya ‘dinilai’ oleh peserta-peserta lain.

KASIH TANPA SYARAT

Mendisiplinkan anak-anak lebih mudah jika anak mempunyai tahap emosi yang baik.

Mereka yakin dengan kasih sayang ibu bapa kepada mereka, justeru teguran tidak ditafsirkan sebagai benci, sebaliknya pembetulan dan disiplin.

Mengasihi anak-anak tanpa syarat tidak sama sekali bermaksud menjadi permisif. Anak-anak perlu didisplinkan, tetapi ia mesti SENTIASA bertitik tolak daripada rasa kasih sayang, bukannya benci. Peka terhadap intonasi dan gaya bahasa yang diguna pakai semasa memarahi anak sama ada ia terbit daripada kasih sayang atau benci.

“Kenapa tumpahkan air ini? Banyak kali emak dah tegur. Kamu ni!!!” si ibu meninggikan suara.

“Hishhh, kenapa kamu ni? Bodoh betullah, berapa kali emak nak cakapppp!” si ibu tidak begitu meninggikan suara tetapi menegur anak sambil jari telunjuknya ditujah-tujah ke dahi anak.

Nilaikan, mana satu teguran yang bertitik tolak daripada kasih sayang, dengan teguran yang terbit daripada rasa marah yang tidak terkawal hingga berubah menjadi benci.

Mengasihi anak dengan syarat, sungguh mengelirukan si anak.

BAHASA KASIH SAYANG

Keduanya, sebagaimana yang telah dibincangkan sebelum ini, anak-anak malah manusia dewasa juga mengasihi dan dikasihi dalam bentuk-bentuk yang berbeza (The Five Love Languages for Children oleh Gary Chapman). Biar pun kelima-lima bahasa kasih sayang itu penting, namun setiap seorangnya akan lebih terkesan dengan salah satu daripada lima bahasa kasih sayang tersebut.

Bahasa-bahasa itu ialah:

Sentuhan fizikal
Perkataan
Masa berkualiti
Hadiah
Khidmat bakti

Semua ibu bapa sayangkan anak-anak. Tetapi ramai anak yang merasakan bahawa dirinya tidak disayangi (Gary Chapman). Salah satu puncanya ialah, ibu bapa mengasihi anak-anak hanya dengan menggunakan satu atau dua bahasa sahaja.

Misalnya, ibu bapa menunjukkan rasa kasih sayangnya kepada anak-anak dengan ‘perkataan’ apabila selalu menyebut kepada anak-anak, “ayah sayangkan kamu semua” atau “ibu sayang Adam, sayang Anas, sayang Anis”. Jika Anas dan Anis itu bahasa utama kasih sayangnya ialah perkataan, maka ungkapan itu berjaya membantu mereka yakin bahawa mereka memang disayangi. Tetapi jika bahasa utama kasih sayang Adam ialah sentuhan fizikal, biar pun dia juga diberitahu bahawa dia dikasihi oleh ayah dan ibunya, dia tidak dapat merasakan kasih sayang itu kerana ibu dan bapanya tidak memeluk, mencium, mengusap atau bergomol dengan Adam mahu pun adik-adik yang lain.

Dalam keadaan Adam tidak yakin dengan kasih sayang ibu bapanya kepada dia, usaha mendisiplinkan anak ini menjadi lebih rumit dan mencederakan jati diri.

Perhatikanlah tabiat-tabiat anak apabila mahu mendapatkan perhatian, juga cara anak-anak menunjukkan kasih sayangnya kepada kawan-kawan atau kepada kita sendiri, teliti apakah bentuk kasih sayang yang dia minta, apakah keluhan yang sering disuarakannya, dan perhatikan tabiat-tabiatnya dalam kehidupan seharian, untuk anda mengenal pasti bahasa kasih sayang utama setiap anak.

Andaikata ia tidak berhasil dilakukan, amat malang sekali jika anda yang sangat mengasihi anak-anak, dianggap oleh anak sebagai tidak menyayangi mereka semata-mata kerana anda tidak peduli kepada keistimewaan dan keunikan setiap seorang anak yang dianugerahkan oleh Allah itu.

Sesungguhnya Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menuturkan kelima-lima bahasa cinta itu.

Baginda memang seorang Murabbi Cinta.