Archive | August, 2011

‘Aku Tidak Peduli’sma: Ideologi Siswazah Jumud & Tidur

22 Aug


Oleh:
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

ISLAM AGAMA KEKITAAN

Rasulullah SAW diutuskan oleh Allah SWT membawa syariat Islam yang bersifat undang-undang bersama. Islam menukar manusia yang ananiah kepada kekitaan, merasa bersama antara satu sama lain sebagai satu ummah. Firman Allah SWT:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka hendaklah kamu memperelokkan di antara dua saudaramu… (Al-Hujurat 49 : 10)

Sabda Nabi SAW:

Perumpamaan orang yang beriman di dalam berkasih-kasihan sesama mereka, rahmat merahmati dan sayang menyayangi, adalah seumpama satu jasad. Apabila satu anggota mengeluh, ia memberi kesan kepada seluruh jasad sehingga berjaga dan demam.

Islam juga menekankan kepentingan hidup bergaul dan memelihara hubungan silaturahim sesama umat. Sabda Nabi SAW:

Seorang mukmin yang bercampur gaul dengan orang ramai dan bersabar di atas kesakitan yang dirasai daripada mereka adalah lebih baik daripada seorang mukmin yang tidak bercampur gaul dan tidak sabar dengan kesakitan yang dirasai daripada mereka (akibat pergaulan itu)

Bahkan Nabi SAW memberikan peringatan berupa ancaman kepada mereka yang mengenepikan sensitiviti dan sikap mengambil berat sesama mukmin dengan sabda Baginda SAW:

Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang-orang Islam, maka bukanlah dia itu dari kalangan mereka

Memutuskan silaturahim dan meninggalkan tuntutan ukhuwwah menjadi kekejian yang besar di dalam Islam. Sabda Nabi SAW:

“Dan janganlah kamu memutuskan (silaturahim), janganlah merancang kejahatan sesama kamu, janganlah benci membenci dan jangan saling berhasad. Jadilah kamu wahai hamba-hamba Allah bersaudara. Tidak halal bagi seorang muslim meninggalkan saudaranya lebih dari tiga (hari)”

Bukan sahaja di dalam perhubungan sosial, bahkan di dalam ibadah yang zahirnya bersifat peribadi, turut dianjur dan ditegaskan kepentingan melaksanakannya secara berjemaah. Solat seharian dan solat Jumaat bagi kaum lelaki, kewajipan mengeluarkan zakat sebagai imbangan ekonomi dan banyak lagi cabang ibadah, menggambarkan betapa Islam sangat menekankan agar penganutnya hidup bermasyarakat.

SISWAZAH DAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL

Siswazah adalah belia pelajar terpilih. Mereka adalah kelompok pemikir, pengkaji, pencetus dan penjana idea baru lantas sekali gus memikul tanggungjawab sosial yang besar. Tanpa perlu dirangka logiknya, siswazah sudah sedia memahami bahawa mereka adalah elemen yang berkesan di dalam menyampaikan kehendak dan mesej perubahan, sama ada dari pihak masyarakat, mahu pun oleh pihak pemerintah sendiri.

Jika siswazah mendukung dasar kerajaan, ia bermakna dasar itu menuju masa depan yang mantap dan cemerlang. Sekiranya siswazah bangkit memimpin desakan masyarakat, maka perubahan yang besar boleh tercetus di dalam sebuah negara. Contoh-contoh masyhur mahasiswa di negara-negara seperti China, Korea dan blok Eropah Timur, mahu pun di negara umat Islam seperti Indonesia, Turki dan negara-negara Arab Afrika Utara, siswazah telah pun memperlihatkan bahawa suara mereka adalah suara bertenaga, berprinsip dan mesti diberi perhatian.

BAGAIMANA MEREKA BEGITU EFISYEN?

Sudah tentu peranan besar yang dimainkan oleh siswazah itu, bermula dari sikap-sikap dan pendirian yang istimewa. Selain dikurniakan minda cemerlang yang dipupuk, mereka juga adalah kelompok yang sensitif dengan perubahan, tegas berhadapan dengan penyelewengan serta bersemangat menuju kebaikan dan pembelaan.

Tidak mungkin siswazah dapat mendukung aspirasi umat jika mereka itu lesu, ananiah, takut dan hidup berteman bayang-bayang.

MANAKALA YANG LESU…

Telinga siswazah Malaysia dewasa ini lazim disogokkan dengan keluhan bernada sinis, bahawa mereka kini sudah tidak sehebat dulu, mereka tidak lagi menjadi menara tempat suara rakyat dinobat, tidak lagi bertindak selaku pembela, bahkan hanya mengukur kecemerlangan dengan segulung ijazah, yang kualitinya turut dipertikaikan. Kelesuan siswazah adalah sebuah permainan yang bernatijahkan kekalahan tanpa ada pihak yang mendapat manfaat dan menjadi pemenang.

Lantas bedah siasat serius diusahakan oleh semua pihak. Di pihak mahasiswa tempatan, mereka menjadikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebagai punca utama. AUKU adalah perancangan yang bertujuan mematahkan taring mahasiswa, melesukan mereka, dan menjadikan mereka kelompok yang hanya menurut perancangan, tanpa ada kemampuan merancang.

Manakala siswazah Malaysia di Timur Tengah, mempunyai alasan mereka sendiri. Suasana politik tempatan di negara-negara seperti Jordan, Mesir, Syria dan Arab Saudi (sekadar menyebut beberapa contoh), dianggap sebagai halangan kepada mahasiswa untuk bergerak aktif melaksanakan tugas yang terpikul di bahu mereka.

Sejauh manakah benarnya tanggapan itu? Bagi pelajar yang berada di Timur Tengah seperti Jordan, Mesir dan Arab Saudi, tentunya tidak adil bagi kita untuk membuat ulasan kerana ia hanya sebuah pandangan dari luar, sedangkan ‘ahli Mekah lebih mengenali lorong-lorongnya’. Maka skop perbincangan kita lebih menjurus kepada realiti setempat iaitu di United Kingdom dan Republik Ireland.

Sejak sekian lama, United Kingdom dan Ireland menyaksikan kehadiran beramai-ramai pelajar Malaysia ke gelanggang pengajian di sini. Pelbagai catatan menarik tentang turun naik gerakan pelajar boleh dicatat. Akan tetapi era selepas ‘War on Terror’ ekoran peristiwa 11 September 2001 di New York memperlihatkan bagaimana senario politik tempatan berubah terutamanya yang melibatkan umat Islam yang berada di sini. Kebebasan yang selama ini menjadi simbol gerakan Islam termasuk gerakan pelajar di United Kingdom dan Republik Ireland memerlukan takrifan baru. Rentak gerak pelajar terpaksa diubah suai agar memenuhi dua syarat iaitu:

Bergerak di dalam lingkungan peruntukan undang-undang tempatan yang sewajarnya dihormati dan dipelihara.
Terus berkesan di dalam menjalankan peranan masing-masing di dalam lingkungan berkenaan.

RISIKO MENONGKAH ARUS…

Ia ditambah pula dengan perkembangan yang memperlihatkan tekanan yang dikenakan kepada golongan pelajar yang “˜menentang arus”™. Ada gerakan pelajar yang menerima hukuman pihak berkuasa dan ia menjadi anjakan paradigma kepada senario aktiviti siswazah di sini.

Jika dahulu, kita melihat gerakan pelajar begitu matang menangani sebarang isu dan perkembangan semasa. Kebijaksanaan siswazah sebagai golongan yang sudah layak mengundi, menjadikan ‘latihan berpolitik’ mereka melalui wadah masing-masing telah menghasilkan ramai golongan yang pada hari ini menjadi generasi pendokong kepimpinan di tanah air yang segar dan berwibawa. Perbezaan fahaman politik diketengahkan ke gelanggang diskusi, forum umum, majlis debat dan lain-lain aktiviti secara ilmiah, ber’isi’ dan menghasilkan pulangan yang lumayan kepada penghasilan generasi pemimpin masa hadapan.

Contoh relevan adalah majlis dialog anjuran Forum Malaysia United Kingdom dan Eire (FMUKE) di Liverpool pada Oktober 1998. Kebebasan berfikir dan menyuarakan pandangan menyaksikan wakil pelajar yang menyokong PAS, ABIM dan JIM yang menjadi teras gagasan berkenaan, boleh duduk sepentas dengan TYT Duta Besar Malaysia ke United Kingdom sebagai wakil kerajaan. Mereka berdialog secara profesional, membincangkan isu paling sensitif di negara kita iaitu Internal Security Act (ISA). Semestinya budaya berlapang dada dan berdiskusi semacam ini sudah tinggal kenangan. Siswazah paling cemerlang yang berada di United Kingdom dan Republik Ireland hari ini menganuti pelbagai dilema psikologi apabila masuk ke gelanggang gerakan pelajar, dan ia hanyalah refleksi kepada dilema yang berakar umbi di tanah air itu sendiri.

Semenjak peristiwa reformasi jalanan pada tahun 1998, pelbagai perubahan dapat dilihat di dalam kematangan rakyat berpolitik dan melukis perubahan serta pembaharuan. Pada pilihanraya tahun 1999, kita melihat pelbagai badan yang wujud di United Kingdom dan Republik Ireland mengeluarkan kenyataan media yang membanjiri internet dan saluran media lain. Jika dahulu, siswazah di Timur Tengah kelihatan agak ketinggalan di dalam mengeluarkan kenyataan-kenyataan akhbar berbanding rakan aktivis di United Kingdom, Republik Ireland, Amerika Syarikat, Jepun dan sebagainya. Akan tetapi pada pilihanraya 2004 baru-baru ini, media hampir-hampir tidak menyaksikan gelombang berkenaan. Sama ada yang menyokong parti pemerintah, mahu pun pakatan pembangkang, jelasnya tiada seruan yang dibuat sedangkan kenyataan media itu dibaca oleh falsafah penyiaran sebagai ukuran keprihatinan siswazah luar negara kepada isu tanah air.

Apa yang ketara dilihat dewasa ini, adalah berkembangnya kelompok mahasiswa yang tidak aktif berorganisasi. Sebarang persatuan yang menganjurkan pelbagai program, menyaksikan kehadiran peserta yang mendukacitakan. Senarai tinggi program yang tidak mendapat sambutan adalah program ilmiah seperti diskusi buku, seminar, kuliah pengajian agama dan forum. Begitu juga dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan universiti dan badan pelajar, adalah terlalu sukar untuk mengumpulkan pelajar. Setakat pemerhatian yang dibuat, program yang masih terus mendapat sambutan adalah perlawanan bola sepak, Majlis Malam Malaysia dan lain-lain yang lebih berbentuk ‘mencari kerehatan minda’ dan bukannya ‘mencungkil tanggungjawab akal’.

Semua ini adalah fenomena, yang tersimpul di dalam sepatah kalimah. Ia mewakili sindrom jangkitan ke atas minda siswazah iaitu AKU TIDAK PEDULISMA atau di dalam Bahasa Arabnya disebut sebagai !

AKU TIDAK PEDULISMA

‘Aku tidak pedulisma’ adalah ideologi rumit yang timbul di dalam minda dan tindakan manusia akibat cetusan sifat negatif yang menguasai diri. Jika Islam menganjurkan sikap saling bekerjasama, mengambil berat di antara satu sama lain, memelihara tanggungjawab sosial dan mempunyai semangat kekitaan, maka ‘aku tidak pedulisma’ adalah lawan kepada semua itu.

Pepatah Rom pernah menyebut ‘permulaan kepada sesuatu perkara adalah separuh daripada perkara itu sendiri’. Sememangnya di dalam menyusun apa sahaja aktiviti manusia, peringkat yang paling sukar adalah untuk memulakannya. Manusia yang liat, lambat memberikan tindak balas dan pasif mengemukakan tindakan, adalah cabaran besar kepada memulakan sesuatu tugas. Apatah lagi, jika yang diusahakan itu adalah pembaharuan. Menerima sesuatu yang baru adalah dilema bagi manusia yang ditimpa ‘aku tidak pedulisma’.

KATA SISWAZAH, “AKU TIDAK PEDULI”

Selaku kumpulan siswazah cemerlang dan terpilih, apatah lagi yang menekuni pemikiran Islam seperti kebanyakan kita, tentunya kita berasa gerun dan sensitif dengan fahaman-fahaman anti Islam yang semakin menular di kalangan masyarakat. Sekularisma selaku penghulu kepada ideologi anti Islam, mencambahkan pelbagai nama fahaman yang di sesetengah keadaan, berselindung di sebalik nama-nama enak seperti modenisma, pembaharuan dan sebagainya. Kapitalisma, sosiolisma, liberalisma, materialisma atau apa sahaja fahaman yang bermain nama, semuanya menjurus ke arah menjauhkan umat Islam dari Islam itu sendiri.

Namun, apakah ada ideologi yang lebih merbahaya dari idelogi yang bernama ‘aku tidak pedulisma’. Ia adalah ideologi yang menolak bentuk manusia berfikir, mengecam manusia berjuang, dan mengenepikan manusia berbakti. Ia adalah fahaman yang bersifat ananiah, tiada sensitiviti, tiada perjuangan, bahkan hanya berusaha ke arah melahirkan manusia yang menjadi hamba kepada dirinya sendiri. Golongan ‘aku tidak pedulisma’ adalah manusia yang menutup semua pintu untuk manusia lain mendekatinya, mereka tidur di dalam jaga dan mati semasa hidup.

Fenomena paling ketara bagi kelompok ‘aku tidak pedulisma’ ini adalah budaya hedonisma. Hedonisma yang sepatutnya menjadi gejala golongan yang tidak berpendidikan dan rendah moral, merayap masuk ke celah-celah golongan siswazah dan intelek. Ia adalah budaya cinta dan ketagih hiburan. Apa yang dimahukan hanyalah unsur-unsur yang membawa cuti minda, atau mungkin berakhir dengan kematian idealisma dan erti hidup.

Adalah sukar untuk membayangkan perubahan, jika golongan siswazah terus tenggelam di dalam budaya hedonisma. Mereka yang diharapkan mampu memimpin perubahan, berubah menjadi kelompok juzuk masyarakat yang hilang keprihatinan. Tidak bergerak sebagai pembela masyarakat, mereka berubah menjadi beban.

DI MANAKAH SILAPNYA?

Jika kita mahu menyenaraikan punca kepada fenomena merbahaya ini, beberapa noktah berikut boleh dijadikan bahan renungan:

Kemerosotan penghayatan Islam di kalangan siswazah itu sendiri. Setelah kita bersetuju bahawa seluruh ajaran Islam adalah bertentangan dengan ‘aku tidak pedulisma’, maka kita perlu akur bahawa, kegagalan menghayati Islam adalah titik tolak kepada segala permasalahan.
Lahirnya generasi keanak-anakan. Idealisma yang begitu penting dan besar tidak mungkin dapat didokong oleh siswazah yang keanak-anakan dan tidak matang di dalam menjana kehidupan. Sikap manja dan suka dipujuk, mungkin datang dari latar belakang kehidupan yang tidak terdedah kepada cabaran dan kesusahan. Mereka mencipta risiko sebelum bertindak, mengundur langkah sebelum bergerak.
Budaya ‘aku tidak pedulisma’ ini juga mungkin berpunca daripada kecenderungan siswazah yang tidak minat untuk mengikuti perkembangan semasa. Mereka bukan penonton setia siaran berita, bukan pelanggan akhbar cetak dan elektronik bahkan tidak pernah berasa kekurangan pada diri yang tidak meng’up-to-date‘kan perkembangan isu semasa. Pengabaian aspek ini dalam kehidupan mahasiswa, menghasilkan kulat lemah bacaan politik (political reading). Apabila siswazah tidak mampu memahami isu semasa dengan baik, mereka dengan sendirinya tidak akan mencetuskan apa-apa sumbangan dan tindak balas yang positif.
Senarai di atas bukanlah bertujuan untuk menghadkan punca bahkan kita merasakan bahawa budaya ‘aku tidak pedulisma’ ini adalah natijah daripada suatu bentuk kerumitan yang lebih besar dan sulit. Abad mewah yang lepas telah melahirkan generasi manusia global yang alpa, tidak pandai bersyukur dan kabur matlamat hidup. Lantas siswazah ‘aku tidak pedulisma’ adalah sekelompok daripada golongan itu.

Kita khuatir dunia dipenuhi oleh golongan oportunis yang hanya hidup bersandarkan maslahah. Lebih membimbangkan jika kelompok ini adalah kelompok siswazah Muslim. Takutilah sindiran Allah SWT di dalam Al-Quran:

“Dan di sana terdapat sebahagian manusia yang menyembah Allah sekadar di pinggiran. Jika mendapat kebaikan mereka akan tenang dengannya (iman kepada Allah) dan apabila ditimpa fitnah (ujian) mereka akan memalingkan wajah (meninggalkan agama Allah). Mereka kerugian dunia dan akhirat. Itulah dia sebenar-benar kerugian yang nyata” (Surah Al-Hajj 22 : 11)

PENYELESAIAN

Setelah penulisan di atas cuba mengungkaikan sebab-sebab kelesuan siswazah dan fenomena ‘aku tidak pedulisma’ yang mengancam survival gerakan pelajar, penyelesaiannya mesti diusahakan. Sudah tentu tiada jalan lain untuk membetulkan keadaan ini selain kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah dalam erti kata yang sebenar. Umat hari ini tidak mungkin dapat diislahkan melainkan dengan apa yang telah mengislahkan umat yang terdahulu!

Firman Allah SWT:

… dan tetapi, jadilah kamu Rabbaniyyin (ulamak dan fuqaha’ di dalam ad-dien) terhadap apa yang kamu ajarkan dari Al-Kitab dan dengan apa yang kamu pelajari (Surah Aal Imran 3 : 79)

Artikel ini diubahsuai daripada versi asal yang dibentangkan oleh penulis sempena Persidangan Persatuan Mahasiswa Jordan Pertama Jordan (PERTAMA) pada 27 – 29 Jun 2001

Tokoh Ulama

7 Aug


TOK KENALI Ulama Peringkat Wali

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

DALAM sekian banyak e-mel yang saya terima, ada orang memprotes kenapa sudah sekian banyak ulama Nusantara yang diperkenalkan dalam halaman Agama Utusan Malaysia, namun cerita tentang Tok Kenali tidak muncul?. Pada prinsipnya kisah semua ulama Nusantara akan saya muatkan dalam akhbar ini, hanya gilirannya belum sampai. Ada ulama kisahnya disegerakan dan ada yang artikelnya masih dalam pemerosesan.
Tok Kenali ialah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam menggunakan sistem pondok di Malaysia. Bahkan beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Oleh itu, memang riwayat beliau perlu diketahui oleh masyarakat. Dalam dua keluaran terakhir perbicaraan tentang ulama, telah disentuh perjuangan tokoh yang antipenjajah (Tok Ku Paloh Terengganu dan Haji Sulong al-Fathani). Ada orang berpendapat bahawa Tok Kenali tidak pernah terlibat dalam perjuangan yang bercorak demikian.
Bagi saya, pendapat seperti demikian itu adalah hanya ditinjau dari satu sudut yang belum menyeluruh.
Tok Kenali ialah murid yang paling dipercayai oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, oleh itu hampir-hampir tidak ada satu rahsia perjuangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh Tok Kenali. Di sini saya sentuh sedikit saja. Syeikh Ahmad al-Fathani ialah tokoh pertama dari lingkungan dunia Melayu sejagat yang secara diplomatik pergi ke Istanbul, Turki untuk melaporkan perbuatan tiga bangsa yang menjajah di dunia Melayu ketika itu. Bangsa-bangsa itu ialah Inggeris, Belanda dan Siam. Walau bagaimanapun, supaya suasana tidak selalu keras dan tegang dalam corak pemikiran jihad zhahiri, kisah Tok Kenali saya fokuskan kepada pemikiran jihad shufi. Jihad zhahiri lebih menitikberatkan perjuangan secara fizikal, sedang jihad shufi lebih mengutamakan pembinaan dalaman, qalbi atau hati dan rohani. Kedua-dua jenis jihad itu adalah penting dikombinasikan secara sepadu. Selain itu dalam disiplin ilmu akidah dan tasawuf ia dikenali dengan istilah ‘Wali Allah’ dan ‘karamah’ (istilah Melayu: keramat).

Tradisi penulisan para ulama Islam juga banyak menceritakan tentang ‘karamah’ para Wali Allah. Tulisan saya dalam Utusan Malaysia yang telah lalu (133 siri) tentang ‘karamah’ sengaja tidak saya sentuh kerana saya lebih mengutamakan riwayat yang berdasarkan fakta. Oleh kerana ramai yang minta kepada saya supaya menulis tentang karamah yang pernah berlaku pada Tok Kenali maka permintaan itu saya paparkan berdasarkan cerita yang telah saya kumpulkan daripada pelbagai sumber sejak tahun 1950-an lagi.

Karamah Tok Kenali

Nama sebenar Tok Kenali ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini adalah berdasarkan pelbagai cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat sangat dalam sistem penulisan ilmiah.

Yang saya ingat pada tahun 1953, ibu saya Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut nama murid ayahnya itu dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad al-Fathanilah yang pertama menggunakan istilah ‘Awang’ itu. Riwayatnya, sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta.
Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.

Daripada perkataan ‘awan’ itulah kemudian bertukar menjadi ‘Awang’. Cerita yang sama juga saya dengar daripada Haji Wan Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun 1970). Dalam surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk kepada orang Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau mengekalkan tulisan dengan istilah ‘Awan Kenali’ saja tanpa menyebut nama lainnya.
Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.

Orang yang tidak mengenalinya hanya memperhatikan keanehannya berada dari satu halaqah ke satu halaqah yang lain dalam Masjid Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah tidak pula membawa sesuatu kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa ketika duduk dalam halaqah beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan mendengar pelajaran tetapi tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid al-Haram ketika itu ada yang tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda yang aneh itu bukanlah sembarangan orang, martabatnya ialah seorang ‘Wali Allah’.

Walau bagaimanapun, tidak seorang ulama peringkat Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada murid-muridnya. Ketika Tok Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengetahui pemuda yang berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak dipedulikannya kerana pada firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu sama ada lekas ataupun lambat akan datang juga kepada beliau.

Dalam masa berbulan-bulan peristiwa seperti di atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani. Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar lain. Syeikh Ahmad al-Fathani telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga kemusykilan atau masalah, yang pada pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak akan dapat dijawab oleh siapa pun yang hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali seseorang itu memiliki pandangan ‘kasyaf’ ataupun telah memperoleh ‘ilmu ladunni’.

Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.

Setelah peristiwa itu Tok Kenali menjadi murid yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Tok Kenali menjadikan dirinya sebagai ‘khadam’ kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Seluruh gerak dan diam Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu, kerana diketahuinya bahawa seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata untuk kepentingan agama Islam dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang sama juga didengar daripada Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok Kenali).

Hampir semua murid Tok Kenali yang pernah saya temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila seseorang murid itu lebih berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih pula ilmu yang diperolehnya. Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang dimaksudkan berkhidmat di sini ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika mandi. Bahkan ada murid yang pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar.

Murid yang sampai kepada kedua-dua peringkat ini saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk Syeikh Idris al-Marbawi dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita ini daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Mempawah, yang didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala pada tahun 1970; Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ada yang lain yang belum perlu disebutkan.)

Walaupun telah diketahui umum Tok Kenali berasal dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri Caiyya (nama asalnya Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora, orang tua-tua bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari Cahaya. Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri Cahaya. Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang menjadi laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992).

Penulisan

Penglibatan Tok Kenali dalam penulisan adalah sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal lainnya. Beliau ialah Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara. Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M) oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang diterbitkan peringkat awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya tidak diterbitkan lagi.

Karya-karya Tok Kenali yang ditulis dalam bentuk risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril Mantsur, yang selesai ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah pada Jumadilakhir 1310 H.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu sharaf pula ialah Madkhal Kamil fi ‘Ilmis Sharfi, selesai penulisan pada 15 Rabiulawal 1351 H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu sharaf. Kemungkinan maksud daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu karya berjudul Abniyatul Asma’ wal Af’al. Dicetak oleh Mathba’ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.

Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit Ta’allum fi I’rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah ‘ala Ratbih, selesai penulisan pada 29 Sya’ban 1354 H. Membicarakan ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn al-Ajrumiyah. Kitab ini dikumpulkan atau ditulis kembali oleh salah seorang muridnya iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang atas kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin Ahmad bin Muhammad Zain pada 9 Safar 1356 H.

————————————————————
Ingatan kuat Tok Pulau Ubi dikagumi

Oleh Mohd Azis Ngah dan Haspaizi Mohd Zain
azis@bharian.com.my

Yusuf sangat kuat ingatannya dan setiap kemusykilan, beliau boleh beri jawapan dengan menerangkan nama kitab serta muka suratnya sekali
SEBELUM merdeka, kebanyakan ulama dan tokoh agama sangat berpengaruh dalam pembentukan sosial masyarakat kerana mereka cukup disegani berikutan peribadi dan ilmunya.

Kelantan yang juga dikenali sebagai Serambi Makkah adalah antara negeri yang melahirkan ramai tokoh agama termasuk Tok Kenali, ulama tersohor yang dianggap antara tujuh wali Allah di Tanah Melayu.

Selain Tok Kenali, antara ulama besar di negeri Cik Siti Wan Kembang itu ialah Yusuf Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Tok Pulau Ubi.Yusuf dilahirkan pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II. Ketika itu, Kelantan dilanda bencana ‘angin besar’ yang menyebabkan negeri itu menjadi miskin kerana banyak ternakan dan tanaman musnah sehingga ada penduduk terpaksa memakan pucuk kelapa dan pinang untuk hidup, selain ada yang mati kebuluran.

Sebagai anak kesayangan, Yusof cukup bertuah kerana dihantar berguru di Pattani di bawah bimbingan Tuan Guru Abdul Malek dan bapa sepupunya, Abdul Latif Pattani yang turut membiayainya melanjutkan pengajian di Makkah selama 10 tahun.

Sekembalinya ke Sungai Pinang, beliau telah membuka sekolah pondok dalam kawasan rumah Datuk Menteri Che Hasan Muhammad Saleh, tidak jauh dari Pondok Tuan Guru Abdul Malek.Setelah Mufti Wan Musa meletakkan jawatannya pada 1916, beliau ditawarkan jawatan Mufti Negeri Kelantan tetapi menolak tawaran itu. Jawatan itu diberi kepada Wan Muhammad, abang kepada Mufti Wan Musa.
Yusof kemudian berpindah dari Sungai Pinang ke Pulai Ubi, sebuah kawasan yang tidak berpenghuni, cuma dipenuhi rumput panjang dan semak samun.

Walaupun Yusof tinggal di Pulau Ubi, Datuk Menteri masih menghormatinya, bahkan memberikan sepucuk senapang untuk menjaga keselamatan diri dan kampungnya.
Beliau berhasrat memajukan kawasan itu dan niatnya berjaya kerana selepas itu, ramai yang datang membuka pondok pengajian di situ.Suasana di situ digambarkan sebagai ‘rumput yang panjang telah musnah oleh tangan manusia, kawasan yang lengang mula menjadi riuh rendah dengan suara manusia termasuk bacaan ayat suci al-Quran’. Begitulah Pulau Ubi digambarkan yang penuh dengan aktiviti mendalami ilmu. Pondoknya berkekalan hampir 50 buah sehingga Perang Dunia Kedua.

Anak murid Yusof datang dari pelusuk tempat termasuk Pattani dan beberapa negeri di luar Kelantan. Kemuncaknya ialah selepas seorang guru agama, Husain Mustafa Besut menjadi menantunya dan mereka berdua mengajar silih berganti.
Mengenai peribadinya, beliau dikenali sebagai seorang yang sangat kuat ingatannya. Apabila wujud kemusykilan, beliau memberi jawapan dengan menerangkan nama kitab dan muka suratnya sekali.
Hakikat itu diakui cucunya, Fadhil Abdul Hamid, 57, yang menjelaskan datuknya mempunyai suara nyaring, jika membaca al-Quran di Pulau Ubi, suaranya boleh didengari penduduk Telaga Lanas.
“Datuk saya seorang yang cukup tegas dalam mendidik anak, tidak menegur kesalahan dengan suara lantang untuk menasihati.

“Arwah bapa saya, Abdul Hamid pernah memberitahu bahawa datuk saya adalah seorang yang pendiam dan tidak suka bercakap perkara bukan-bukan, tetapi cukup mesra dengan cucunya.

“Setelah beliau meninggal dunia, bapa saya dan adiknya, Abdullah mewarisi ilmu agamanya, malah sekolah pondok yang dibukanya sebelum ini diambil alih bapa saya,” katanya.

Ulama tersohor itu kini mempunyai 251 ahli keluarga merangkumi lima generasi.Katanya, Yusuf sempat membina pusat pengajian pondok di Kampung Pulau Ubi, namun setelah Jepun menyerang Tanah Melayu pondok berkenaan dipindahkan ke Kampung Telaga Lanas.
Namun, jika berkunjung ke kampung itu, masih ada lagi tinggalan sejarah ulama ini, apabila madrasah yang dibina oleh tokoh agama berkenaan masih kekal hingga kini.
Malah, madrasah itu pada asalnya dibina di kampung kelahirannya di Sungai Pinang, kemudian dipindah ke kampung Pulau Ubi sebelum didirikan kembali di Telaga Lanas oleh Abdul Hamid.
Menyingkap sejarahnya, walaupun ramai guru agama lain sezaman di sekitar Pengkalan Kubor, beliau masih dihormati oleh guru itu kerana kematangannya dalam ilmu agama dan al-Quran.
Satu daripada kelebihannya ialah sebarang perbuatan maksiat tidak boleh dilakukan di kampungnya. Contoh, kalau dibawa ayam sabung, ayam sabung itu tidak dapat bersabung. Kalau bergendang di kawasannya, gendang akan pecah.

“Pernah berlaku kes, seorang pencuri memanjat pokok kelapa untuk mencuri buahnya, ketika turun dia ternampak ular besar di batang pokok dan sejak peristiwa itu, orang ramai segan, hormat dan takut untuk melakukan perbuatan yang menyalahi agama di kampung berkenaan,” katanya.

Tok Pulai Ubi juga sangat gemar membaca al-Quran pada waktu malam, suka mentelaah kitab dan pada masa sama mengawal anak muridnya keluar daripada kawasan pondok pada waktu malam.

Biodata

· Dilahirkan di Sungai Pinang, Kelantan pada 1887 dan meninggal dunia ketika usia 90 tahun.

· Dikebumikan di Kampung Telaga Lanas, Tumpat, bersebelahan pusara isterinya.

· Berguru dengan Tok Wan Ali Kutan dan Wan Ahmad Muhammad Zain Pattani.

· Belajar al-Quran dengan Abdullah Senggora.

· Ketika di Makkah, Yusof bersahabat dengan Tok Selehor, Tok Kenali dan Pak Da Ail.

· Antara kitab yang diajarnya iaitu Furu’ al-Masa’il, Kashf al-Litham, ‘Aqidah al-Najid, Al-Durr al-thamin, Jauhar al-Mauhub, Hikam, Hudhud, Qatr al-Nada dan Fath al-Muin.

· Kelebihannya ialah dalam ilmu fiqh dan tauhid.

· Di antara muridnya ialah Ali Pulau Pisang, Syaikh ‘Uthman Jalaludin Penanti.

·
Dikurnikan enam anak;1) Abdul Hamid (meninggal dunia pada 23 September 1978
2) Abdullah (meninggal dunia pada 6 Julai 1977)
3) Muhammad Saud (meninggal dunia)
4) Mariam (meninggal dunia)
5) Zainab (meninggal dunia)

6) Azirah

—————————————————————————–

Tok Pulai Condong ulama Nusantara

Oleh Haspaizi Mohd Zain

Abdul Samad Faqih terus gigih tuntut ilmu agama di Makkah walaupun dikatakan sudah layak jadi pengajar
KELANTAN bukan saja terkenal dengan kaum hawa yang mendominasi perniagaan, namun ia juga berfungsi sebagai pusat kelahiran tokoh ulama seperti Abdul Samad Faqih Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tok Pulai Condong.

Tok Pulai Condong adalah seorang ulama Melayu terkemuka di Nusantara yang bertanggung jawab menyebarkan syiar Islam pada zaman kegelapan masyarakat Melayu lampau.

Tokoh ini dilahirkan ketika pemerintahan Long Yunus (1762-1794) iaitu pada 1792. Beliau adalah saudara dua pupu Syeikh Daud Abdullah al-Fatani.
Beliau mendapat pendidikan daripada ayah dan datuknya sendiri melalui sistem pengajian pondok tradisional Pattani dan juga belajar di Pondok Pauh Bok, Patani daripada Syeikh Abdul Rahman Abdul Mubin al-Fatani sebelum melanjutkan pengajiannya ke Makkah.
Ketika di Makkah, beliau belajar dengan Tuan Guru Adam dan ada yang mengatakan beliau adalah murid Syeikh Daud al-Fatani.

Setelah menetap beberapa tahun di Makkah, Tok Pulai Condong pulang ke Kelantan dan menyebarkan pengetahuannya dalam tiga cabang iaitu Usuluddin, Fiqh dan Tasawuf.
Atas sikap ingin belajar, ulama ini sekali lagi melanjutkan pelajaran ke Makkah pada 1840 kerana berasa dirinya perlu belajar lagi, bukan mengajar. Padahal dalam penilaian beberapa orang ulama, ilmunya dalam Tasawuf sebenarnya memang layak mengajar bukan belajar.
Tok Pulai Condong adalah ulama yang alim, warak dalam ilmu agama, malah doa yang selalu dipraktikkan ialah Hizbul Bahar serta berpegang kepada falsafah ‘Berhamba kepada Allah dengan sebaik hamba’.
Beliau kerap menunaikan haji dan pernah membawa anaknya, Muhammad Arshad yang berusia 13 tahun. Sewaktu menunaikan haji beliau sempat menziarah makam Imam Syafie di Mesir bersama Tuan Tabal (Pengarang Kitab Sabla dan Tuan Haji Hassan Besut).

Pada 1820 Tok Pulai Condong membuka Kampung Bilal Talib, Pulai Condong dan membina sebuah surau berhampiran sebatang pokok pulai di kampung itu.
Sekembalinya dari Makkah, beliau aktif menyebarkan syiar Islam kepada masyarakat dengan mendirikan sebuah surau pada 1820 dan dijadikan pusat pengajian sistem pondok.
Cicit beliau, Mohd Nor Haji Muhamad, 71, berkata surau pertama yang dibina Tok Pulai Condong terletak di Kampung Bilal Talib berhampiran sebatang pokok pulai yang dikatakan condong.

Belia mendapat gelaran itu sempena membuka kampung berkenaan dan membina surau berdekatan pokok pulai.
Surau itu menjadi pusat pengajian pondok, di mana pelajarnya datang dari pelusuk nusantara seperti Kampar, Sumatera, Kemboja, Pattani, Terengganu dan negeri lain di Semenanjung.
Selepas kematiannya, pondok itu diambil alih anaknya Muhammad Arshad.
Beliau juga mendirikan masjid pada 1820 tetapi musnah dalam kebakaran dan sekali lagi membina masjid baru sebelum ia dipindahkan ke Kampung Surau. Masjid itu dikenali sebagai Masjid Tok Pulai Condong yang digunakan hingga sekarang.

“Pada 1856 masjid itu sekali lagi terbakar, kali ini ia dibakar oleh penduduk kampung yang dikenali sebagai Awang Senik dan ia dibina semula dengan kerjasama anak mukimnya.

“Dalam kejadian itu, menara masjid tidak terbakar dan mimbar serta gendang asal masih kekal hingga kini,” katanya.

Mohd Nor berkata, menara masjid itu menjadi objek kemegahan tempatan kerana ia dibina oleh Tok Pulai Condong sendiri. Menara setinggi 57 kaki (18 meter) itu mempunyai keistimewaan tersendiri kerana dibina menggunakan sebatang kayu cengal tanpa bersambung.

Selain itu, menara masjid berbentuk lapan segi dengan ukur lilit 12 kaki (empat meter) itu, mempunyai 23 anak tangga, digunakan oleh bilal untuk melaungkan azan.

Keteguhan menara itu teruji apabila negeri dipukul ribut besar pada 1880 menyebabkan banyak pokok tumbang, tetapi menara itu tetap teguh dan tidak terusik.

Sumbangan Tok Pulai Condong dalam syiar Islam mendapat perhatian Sultan dan Sultan Muhammad II kemudian melantiknya sebagai guru di istana untuk mengajar Raja Perempuan mengenai Islam. Sumbangannya berjaya mengubah corak kehidupan masyarakat Kelantan ketika itu yang masih jahil kepada masyarakat berilmu dan patuh terhadap perintah Allah.

Info

· Meninggal dunia di Makkah pada 1874 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Maala (berhampiran kubur Siti Khadijah).

· Mempunyai empat orang isteri iaitu Mek Mendusa, Bi’ah, Thamani dan Zaleha.

· Dikurniakan 16 anak. Empat daripadanya meninggal dunia ketika masih kecil.

· Senarai anak Tok Pulai Condong.
Abdul Hamid
Abdul Syukur
Abdul Aziz
Umar
Muhammad Said
Taib
Siti Mariam
Muhammad Arsyad
Abdullah
Muhammad
Zainab
Ummu Maimunah

———————————————————————————————-

Tukku Paloh memerangi jenayah aqidah di Terengganu
Oleh ABD. AZIZ ITAR (aziz.itar@utusan.com.my)
SAYYID Abd. al-Rahman Muhammad Zayn al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tukku Paloh merupakan tokoh ulama dan umarak yang terkenal di Terengganu sekitar hujung kurun ke-19 hingga awal kurun ke-20.
Tukku Paloh yang dilahirkan pada 1817 disanjung tinggi kerana sumbangannya terhadap perkembangan politik, semangat patriotisme, keilmuan serta pelaksanaan hukum-hukum Islam di negeri tersebut.
Beliau yang dilahirkan di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu dan meninggal dunia pada 1918 juga amat disegani ramai hingga kini lantaran kesungguhannya melaksanakan hukum-hukum Islam.
Kesungguhan nasab ke-32 daripada keturunan Nabi Muhammad s.a.w. ini dalam melaksanakan hukum Islam di Terengganu dapat dilihat menerusi sebuah kitab tulisannya yang berjudul Ma’arij al-Lahfan li al-Taraqqi iq al-Irfan.
Kitab itu antara lain memperlihatkan sikap Tukku Paloh yang cukup serius terutamanya dalam memerangi jenayah aqidah yang berleluasa berlaku ketika di zamannya itu.
Sebagai contohnya, beliau menekankan tentang bahaya amalan masyarakat ketika itu yang mengamalkan main peteri iaitu suatu upacara mengubati pesakit melalui perubatan tradisional.
Menurut beliau dalam kitab itu, main peteri atau main bageh mempunyai unsur-unsur kurafat yang menggaitkan hantu dalam mengubati sesuatu penyakit telah membelenggu aqidah masyarakat di sana sejak sekian lama.
Banyak mazhab sesat dan penyelewengan aqidah yang didedahkan oleh Tukku Paloh menerusi kitab itu di mana ia menggambarkan senario yang berlaku di Terengganu pada ketika itu.
Rafidiyah, Kharijiah, Qadariyah, Jabariyah, Jahimiyah dan Murji’ah merupakan enam mazhab sesat yang mendapat tumpuan beliau menerusi kitab tersebut.
Mazhab-mazhab itu merupakan asas kepada kelompok-kelompok lain yang berpecah daripada aqidah yang sama di mana setiap satunya berpecah kepada 12 kumpulan.
Natijahnya, jumlah semua kumpulan itu menjadi 72 kumpulan. Ia sebenarnya berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
“Demi Tuhan yang menguasai jiwa Muhammad akan berfirqah (berpecah) umatku sebanyak 73 firqah. Satu firqah masuk ke dalam syurga dan 72 firqah masuk ke dalam neraka. Sahabat bertanya: Siapakah yang masuk ke dalam syurga itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Firqah yang masuk ke dalam syurga itu ialah Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah” – Riwayat al-Tabrani.
Peranan Tukku Paloh itu bukan setakat banyak membantu mengubah senario kefahaman agama dalam masyarakat tetapi ia turut terus menjadi bahan kajian ramai sarjana hingga ke saat ini.
Antaranya pensyarah Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur (UM), Mohd. Taufik Arridzo Mohd. Balwi menerusi kertas kerjanya yang bertajuk Tukku Paloh : Kesungguhannya Memerangi Jenayah Aqidah Di Terengganu.
Ia dibentangkan pada Siri Seminar Bulanan Naskhah Melayu 2008 Siri Ke-14 yang dipengerusikan oleh Profesor Kanan Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, UM, Prof. Datuk Dr. Abu Hassan Sham.
Sumbangan
Kertas kerja itu merupakan sebahagian daripada tesis doktor falsafah beliau yang memfokuskan tentang sumbangan Tukku Paloh dalam membetulkan aqidah umat Islam ketika itu.
Jelas Mohd. Taufik, tokoh terbilang itu misalnya, melaksanakan hukum Islam ketika dilantik oleh Sultan Zainal Abidin III mentadbir daerah Sungai Nerus di Terengganu.
“Daripada kajian yang saya jalankan tentang Tukku Paloh, saya difahamkan beliau seorang pentadbir yang serius dalam menjalankan hukum Islam secara menyeluruh di daerah tadbirannya itu.
“Ketika zaman Tukku Paloh, ada bukti yang menunjukkan hukuman seperti potong tangan kerana kesalahan mencuri telah dilaksanakan di negeri Terengganu,” katanya ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja tersebut di UM, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tukku Paloh bersungguh-sungguh dalam melaksanakan hukum-hukum Islam terutamanya dalam membetulkan aqidah umat Islam yang boleh dianggap perkara tunjang yang patut diberi perhatian utama.
Apatah lagi, katanya Allahyarham merupakan salah seorang penasihat utama Sultan Zainal Abidin III yang menasihati baginda dalam hal-hal pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu.
Senario itu memberi kelebihan kepada Tukku Paloh berdasarkan kebolehannya yang luas dalam bidang keilmuan Islam, apatah lagi ketika itu institusi ulama banyak mencorakkan sistem pemerintahan kerajaan di sana.
Sebagai contohnya, Tukku Paloh pernah diberi peranan menyusun dan seterusnya mewujudkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu bagi melancarkan lagi sistem pemerintahan di negeri itu.
Ma’arij al-Lahfan li al-Taraqqi ila Haqa iq al-Irfan atau maksudnya Tangga Bagi Orang Yang Sangat Dahaga Ia Bagi Orang Yang Naik Ia Kepada Martabat Segala Hakikat Makrifat itu merupakan kitab yang dikaji oleh Mohd. Taufik sejak 2006.
Kitab yang ditulis pada 1900 itu kini hanya boleh didapati dalam bentuk salinan di mana versi pertamanya didapati daripada cucu Tukku Paloh iaitu Tukku Paloh Tuan Baru pada 2004.
Sesuai dengan budaya setempat, terdapat unsur bahasa dialek Terengganu yang tercatat dalam perkataan-perkataan dan ayat-ayat dalam kitab ini.
Misalnya, perkataan lipah yang bermaksud lipas, setuh (sentuh), papang (papan), pihok (pihak), kasu (kasut), kerijakan (kerjakan), anok (anak), mekapuskan (menghapuskan) dan sebagainya.
Berdasarkan contoh tersebut ia menjelaskan lagi tentang pengaruh dialek Terengganu. Pada umumnya, perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu diakhiri dengan sebutan ‘n’ tetapi dalam sebutan Terengganu ia diakhiri dengan sebutan ‘ng’. Contohnya, ‘makan’ tetapi ia bertukar menjadi ‘makang’.
Selain memerangi penyelewengan aqidah yang boleh dianggap sebagai jenayah, Tukku Paloh juga merupakan antara tokoh Melayu yang banyak mencetuskan semangat patriotisme bagi menentang penjajahan British.
Disebabkan tahap keilmuan yang tinggi, ditambah dengan sifatnya yang warak, nama Tukku Paloh turut menjadi sebutan ramai pada zamannya.
Tokoh yang pernah menuntut ilmu sekitar 10 tahun di Mekah ini dikatakan juga seorang pengamal tasawwuf yang tinggi serta dikenali sebagai pemimpin Tariqat Naqsyabandiyah.
Gelaran
Justeru, tidak hairanlah ramai yang menggelar beliau dengan gelaran Engku Sayyid Keramat kerana banyak peristiwa-peristiwa aneh yang berlaku ketika hidupnya.
“Antaranya pernah diceritakan orang seorang wakil British tidak dapat bangun daripada duduknya ketika berdepan dengan Tukku Paloh. Dia menjadi tergamam dan seperti tidak tahu hendak buat apa apabila berdepan dengan Tukku Paloh. Itu antara kekeramatan Allahyarham yang pernah diceritakan orang.
“Perkara itu tidak menghairankan kerana ia sudah banyak berlaku ke atas orang yang berilmu dan warak seperti Tukku Paloh. Mungkin itu kelebihan yang Allah berikan kepada beliau,” ujar Mohd. Taufik.
Dalam pada itu, beliau bukan sahaja mengkagumi isi kandungan kitab-kitab karangan Tukku Paloh tetapi turut mengkaji tentang keperibadian tokoh yang disegani ramai itu.
Malah, Mohd. Taufik mencadangkan agar usaha-usaha tertentu dilakukan bagi mengetengahkan lagi watak Tukku Paloh untuk dihayati serta diteladani oleh generasi muda hari ini.
“Banyak perkara yang boleh kita pelajari misalnya, kesungguhan Tukku Paloh dalam usaha mencari ilmu dan mengamalkan apa yang beliau pelajari. Sifat keperwiraan yang ada pada diri Tukku Paloh juga patut dihayati supaya ia menjadi inspirasi kepada generasi hari ini.
“Kalau selama ini kita mudah mengangkat tokoh-tokoh luar dalam filem, drama atau komik, mengapa tiada usaha dilakukan untuk menterjemahkan perjuangan Tukku Paloh dalam konteks kehidupan kita pada hari ini?” soalnya.

——————————————————————————————

Tuan Guru Ahmad al-Kalantani pengarang kitab Darul Hasan
Koleksi tulisan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Ulama Nusantara
SEJAK artikel mengenai ulama dikeluarkan dalam Utusan Malaysia mulai tahun 2004 hingga kini telah ramai ulama negeri Kelantan yang penulis perkenalkan. Di antara mereka ada yang terkenal di peringkat alam Melayu bahkan antarabangsa seperti Sheikh Wan Ali Kutan Al-Kalantani yang terkenal dengan kitab karangannya, Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub (Mengenai Hadis) juga mengajar di Masjidil Haram Mekah.
Yang terkenal hanya di peringkat negeri alam Melayu/Nusantara sahaja seperti Sheikh Abdus Shamad (Tuan Tabal) yang mana beliau merupakan penyebar Tarekat Ahmadiyah yang pertama di Nusantara.
Ulama yang diperkenalkan pada kali ini ialah sahabat kepada Sheikh Wan Ali Kutan Al-Kalantani yang sama-sama belajar, baik di Kelantan mahupun di Mekah namun peranan dan pengaruhnya hanya sekitar negeri Kelantan sahaja.
Ulama yang diriwayatkan ini ialah Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Muhammad Yusuf bin Sheikh Abdul Halim Al-Kalantani.
Asal-usulnyaDiriwayatkan bahawa datuk kepada tokoh ulama yang akan dibicarakan di atas iaitu, Sheikh Abdul Halim tersebut adalah anak angkat kepada Long Yunus (Sultan Kelantan). Long Yunus memperoleh anak angkat tersebut daripada salah seorang sahabatnya seorang peniaga Cina sebagai hadiah dan tanda persahabatan dengan sultan.
Long Yunus menghantar Abdul Halim bersama-sama putera baginda belajar ke Mekah. Ada yang menceritakan kejadian tersebut semasa dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani belajar di Mekah.
Tetapi ada yang meriwayatkan bahawa Abdul Halim dan putera Long Yunus menjadi murid kepada Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Setelah mendapat gelaran ulama, Sheikh Abdul Halim pulang ke Kelantan. Beliau adalah orang pertama mengajar menggunakan sistem pondok dengan kaedah Patani di Kelantan.
Beliau mempunyai dua anak iaitu Haji Muhammad Yusuf dan Haji Yaaqob. Haji Muhammad Yusuf ialah ahli dalam bidang seni bina dan seni suara manakala Haji Yaaqob pula adalah seorang ulama yang mengajar sebagai pengganti ayahnya. Haji Muhammad Yusuf memperoleh anak bernama Tuan Guru Haji Ahmad atau tokoh yang akan dibicarakan ini.
PendidikannyaTuan Guru Haji Ahmad dilahirkan di Kelantan, namun tempat dan tarikh lahirnya yang tepat tidak dapat dipastikan. Pun begitu, pada masa kehidupan beliau terdapat catatan yang mengatakan ia adalah sezaman dengan Sheikh Wan Ali Kutan (lahir 1253 H/1837 M atau 1235 H/1820 M). Pendidikan asasnya diperoleh daripada bapa saudaranya sendiri, iaitu Haji Yaaqob bin Sheikh Abdul Halim al-Kalantani.
Diriwayatkan pula pengetahuan yang diperoleh daripada bapa saudaranya itu bukan sahaja ilmu pengetahuan yang bersifat asas, tetapi hingga beliau diakui sebagai seorang ulama di Kelantan, dan ilmu-ilmunya tersebut diperoleh dari Haji Yaaqob sendiri. Walaupun beliau telah diakui sebagai seorang ulama di Kelantan, namun beliau masih juga meneruskan pelajarannya ke Mekah sebagai pengesahan daripada ulama-ulama Mekah pada zamannya.
Sebagaimana yang dapat dicatat, teman-teman beliau ketika kecil yang sama-sama belajar kepada Tuan Guru Haji Yaaqob adalah seperti berikut; saudara beliau sendiri iaitu Haji Uthman bin Haji Muhammad Yusuf, Sheikh Wan Ali bin Abdul Rahman Kutan, Sheikh Abdul Mutalib Kuta, Haji Wan Abdul Rahman bin Wan Sulaiman dan lain-lain. Semua sahabat beliau yang tersebut adalah ulama-ulama besar Kelantan yang sangat berperanan dan berpengaruh di zaman mereka.
Adapun ilmu-ilmu yang telah dikaji, yang dapat diketahui adalah ilmu tauhid, fikah, tasauf, nahu, saraf, bayan, ma’ani, badi’, arut, qawafi, mantiq, tafsir, tajwid dan lain-lain. Ilmu-ilmu tersebut telah dikuasai sejak di Kelantan lagi. Belajar di Mekah hanya untuk mendalami lagi pengetahuan beliau terhadap ilmu-ilmu tersebut.
Para guru Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan di Mekah yang dapat dicatat antara lain ialah, Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Adapun guru beliau selain yang tersebut tidak dapat diketahui dengan pasti. Ada kemungkinan semua guru kepada Sheikh Wan Ali Kutan adalah juga guru kepada Tuan Haji Ahmad Kelantan ini.
Karya-karyanyaKarya penulisan Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan yang diketahui hanya dua sahaja. Karya yang merupakan manuskrip asli tulisan tangan beliau itu tersimpan di Pusat Islam Malaysia di Bahagian Balai Pameran. Judul kitab tersebut adalah Darul Hasan.
Kitab Darul Hasan yang ditulis oleh Tuan Guru Haji Ahmad tersebut adalah atas permintaan Raja Kelantan. Tahun yang tercatat adalah pada 30 Ramadan 1282 H (1865 M). Manuskrip yang tersimpan di Pusat Islam Malaysia tersebut diberi nombor kelas iaitu MI 725. Belum diketahui apakah kitab Darul Hasan tersebut pernah diterbitkan oleh mana-mana penerbit di Timur Tengah mahupun di Asia Tenggara.
Namun jelas bahawa kitab Darul Hasan tidak pernah ditemui di mana-mana kedai buku di seluruh Asia Tenggara. Adapun yang berupa manuskrip berkemungkinan hanya sebuah itu sahaja naskhah mengenainya yang ditulis dengan huruf yang sangat indah. Terdiri dari tulisan hitam dan merah yang memancar terang. Keadaan manuskrip masih baik, di samping halaman dari awal hingga akhir juga dalam keadaan lengkap.
Kandungan ringkas kitab Darul Hasan adalah sebagai berikut: Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan memulakan karangan beliau dengan puji-pujian dan selawat sebagaimana karangan-karangan tradisi Islam lainnya. Setelah itu menyebut dengan kalimat bahasa Arab bahawa ‘Sultan Kelantan’ meminta beliau menulis kitab ini. Tetapi pada terjemahan bahasa Melayu dari lafaz bahasa Arab itu tidak menyebut ‘Sultan Kelantan’ melainkan ‘Raja Kelantan’. Tentang nama kitab pula terjadi salah titik sama ada lafaz Arab mahupun lafaz Melayu iaitu tertulis Darul Hasaat dengan huruf ta sebenarnya adalah Darul Hasan iaitu dengan huruf nun. Hal ini tertulis di halaman terakhir.
Sesudah itu dimulai dengan menceritakan pohon kayu yang bernama ‘Syajaratul Yaqin’ yang mempunyai empat cabang. Dari cerita itu diteruskan dengan kejadian ‘Nur Muhammad’ sehingga dijadikan sekalian kejadian sesudahnya. Kejadian sekelian manusia pula diceritakan berdasarkan kepada mereka yang pertama memandang kepada Nur Muhammad. Maka ada yang menjadi Sultan, menjadi alim, yang mati syahid dan lain-lain.
Kemudian diceritakan pula asal tanah kejadian Nabi Adam a.s yang diambil dari beberapa negeri di dunia, seperti kepala Nabi Adam a.s berasal dari Baitul Maqdis, muka Nabi Adam a.s berasal dari syurga, kaki Nabi Adam a.s berasal dari tanah Kalkauthar dan lain-lain.
Selanjutnya menceritakan tentang kejadian ketua-ketua para malaikat, iaitu kejadian dan keadaan malaikat Jibril, Mikail, Israfil, Izrail, dan dicantumkan beberapa hikayat malaikat Maut mencabut nyawa makhluk terutama manusia.
Cerita dilanjutkan dengan peristiwa yang menakutkan dan menakjubkan di alam kubur, di padang Mahsyar sekalian manusia memerlukan pertolongan dan syafaat yang dimulai dari menemui Saiyidul Basyar Nabi Adam a.s hingga ditutup dengan menemui Nabi Muhammad SAW. Seterusnya pula disambung dengan cerita neraka, syurga dan lain-lain.
Penutup sekali pengarangnya, Tuan Haji Ahmad Kelantan menyebut: “Telah selesai faqir ilallah Taala yang amat jahil al-Haji Ahmad bin al-Haji Yusuf bin Abdul Halim Kelantan menterjemahkan kitab Darul Hasan daripada bangsa Arab kepada bangsa Jawi supaya manfaat dengan dia sekelian mereka yang tiada tahu dengan bahasa Arab…..”.
Bahasa yang digunakan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan dalam kitab tersebut agak banyak dalam bahasa negeri Kelantan. Beliau tidak terikat untuk mengikut tatacara bahasa kitab yang digunakan tradisi zamannya. Seperti kalimat ‘bangsa’ dalam kalimat dalam penutupnya, kitab-kitab lain selain kitab beliau pasti akan menggunakan istilah ‘bahasa’ pada tempat tersebut, bukan ‘bangsa’ seperti yang beliau tulis itu. Walau bagaimanapun kitab Darul Hasan dapat diklasifikasikan sebagai sastera Sufi Islam Melayu Klasik.
Pada hari penulis selesai menulis riwayat hidup beliau di bilik Balai Pameran Islam Malaysia, penulis menyerahkan kepada pihak majalah DAKWAH, dan seterusnya ke Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Tiba-tiba di atas meja Siti Mariani (seorang kakitangan di PNM) terletak dua manuskrip.
Satu di antaranya adalah karya Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan. Dengan terdapatnya perkara baru tersebut, maka penulis tambah saja makalah yang telah selesai tadi dengan sedikit kalimat yang menerangkan perkara ini. Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan menulis di akhir hayatnya pada manuskrip milik Pusat Manuskrip Melayu yang diberi nombor kelas dengan MS 780 itu, katanya: “Telah selesai Haji Ahmad ibnu Haji Yusuf menterjemahkan daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu dengan tolong Tuhan Rabbul Izzah bijahi Saiyidina Muhammad pada 10hb Safar pada hijrah al-Nubuah 1287 H (1870 M)”.
Kandungan isi kitab nombor MS 780 Pusat Manuskrip Melayu tersebut ialah mengenai fikah. Tuan Guru Haji Ahmad Kelantan memulakan perbicaraannya tentang kitab thaharah (bersuci) dan disudahi dengan kitab solat. Ditulis atas kertas warna biru muda, memakai dakwat warna hitam pada sebahagian besar isinya dan di beberapa tempat ditulis dengan warna merah. Semua huruf dalam keadaan jelas dan berwarna agak memancar.
Susunan bahasanya agak berbeza dengan karyanya yang pertama. Nampaknya pada MS 780 ini bahasanya sudah disesuaikan dengan bahasa-bahasa kitab jawi yang ditulis di zamannya. Sebagaimana karya yang pertama (Darul Hasan), maka kitab yang kedua ini juga tidak pernah diterbitkan. Selain itu judul kitab ini juga tidak dijelaskan oleh pengarangnya.
PengaruhnyaPengaruh beliau sangat besar di kalangan masyarakat luas di Kelantan. Melalui karangannya iaitu kitab Darul Hasan tersebut atas permintaan Sultan Kelantan adalah satu bukti bahawa Tuan Haji Ahmad ini mempunyai pengaruh yang besar dalam lingkungan istana kerajaan Kelantan.
Beliau ialah sebagai generasi penerus, yang menyambung pekerjaan datuknya, Sheikh Abdul Halim dan bapa saudaranya Haji Yaaqob bin Abdul Halim dalam mengajar ilmu-ilmu yang diperlukan oleh masyarakat Islam di Kelantan. Ilmu-ilmu yang wajib dipelajari ialah usuluddin, fikah dan tasauf.
Tiga ilmu tersebut berkembang di kalangan masyarakat dan diteruskan pula oleh murid-murid beliau yang boleh dikatakan sangat ramai. Antaranya Tok Kenali, diriwayatkan bahawa sebelum beliau melanjutkan pelajarannya ke Mekah, beliau pernah belajar dengan Tuan Guru Haji Ahmad ini. Pada zamannya, Tuan Guru Haji Ahmad dalam membina umat Islam kearah berilmu pengetahuan dan amal saling bekerjasama dengan sahabatnya Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Sulaiman, yang menjadi Perdana Menteri Kelantan (Menteri Besar menurut istilah sekarang) pada ketika itu.
Dari keterangan tersebut, kedua ulama Kelantan tersebut telah berhasil menyatupadukan kerjasama yang serasi antara umara (golongan pemerintah) dan ulama (golongan ahli ilmu pengetahuan dalam Islam).
Demikianlah riwayat ringkas Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Yusuf Kelantan. Sejarah asal-usulnya, pendidikannya, karyanya dan pengaruhnya di kalangan lingkungan istana dan masyarakat Kelantan. Namun sebagaimana tarikh lahirnya, tahun wafatnya juga masih belum diketahui dengan pasti, yang masih memerlukan penyelidikan lebih mendalam untuk melengkapkan sejarah ulama ini
—————————————————————————————————

Haji Wan Musa Tuan Tabal pernah mengundang perdebatan hebat
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
TUAN TABAL dan dua orang anak beliau telah diperkenalkan sebelum ini. Artikel ini pula akan memperkenalkan mengenai anak beliau yang bernama Haji Wan Musa bin Tuan Tabal, iaitu salah seorang Mufti Kelantan yang pernah mengundang perdebatan khilafiyah antara beliau dengan beberapa orang ulama para sahabat yang seperguruannya dan ulama-ulama lainnya.
Riwayat Mufti Haji Wan Musa pernah ditulis oleh Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hasan dalam buku Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan (cetakan pertama, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan, 1977), juga oleh Ismail Awang yang dimuat dalam majalah Pengasuh dan kemudian dimuat dalam buku, Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1). Juga ditulis oleh beberapa orang lainnya.
Oleh sebab riwayat Mufti Haji Wan Musa sudah agak banyak ditulis sebelum ini, maka dalam artikel ini saya utamakan membahas sepucuk surat yang dikirim oleh Haji Wan Musa dari Kota Bharu, Kelantan kepada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah. Surat bertarikh 16 Rejab 1322H/25 September 1904M. Oleh yang demikian, banyak perkara yang tidak dibicarakan dalam tulisan-tulisan yang terdahulu terdapat dalam artikel ini.
Berdasarkan tahun kelahiran Haji Wan Musa 1291H/1874M, dapatlah dipastikan bahawa beliau adalah abang pada Haji Wan Abdullah yang lahir 1293H/1877M (riwayatnya dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, 30 Oktober 2006). Haji Wan Musa pula adalah adik pada Mufti Haji Muhammad yang lahir 5 Rejab 1287H/1 Oktober 1870M. Haji Wan Musa meninggal dunia pada hari Sabtu, 24 Zulkaedah 1357H/14 Januari 1939M. Para guru ketiga-tiga putera Tuan Tabal yang tersebut adalah sama, iaitu dimulai dari pendidikan asas oleh Tuan Tabal sendiri, kemudian mereka melanjutkan pelajaran di Mekah. Guru mereka ketika di Mekah yang paling berkesan ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani yang masih ada hubungan kekeluargaan dengan mereka.
BAHASAN SURAT
Surat Haji Wan Musa tarikh 16 Rejab 1322H/25 September 1904M, beliau menggunakan hampir semua gelaran kebesaran Syeikh Ahmad al-Fathani yang pernah diberikan oleh para ulama lainnya. Haji Wan Musa menulis: “Alhamdulillah wahdah, bahawa ditaslimkan ke bawah Hadhrat Sa’adah wa Qudwah al-Ulama’ al-’Amilin wa ‘Umdah al-Atqiya’ al-Kamilin Fakhr al-A’yan wa Bahjah az-Zaman wa Qurrah ‘Ain al-Ikhwan al-Ghani bi Kamalih ‘an al-Ishtinab lima hawah min ‘Ulwu al-Janab Uztazuna al-’Allamah wa Mulazuna al-Fahamah, kakanda Wan Ahmad bin al-Mukarram al-Haji Wan Muhammad Zain al-Fathani yang di Mekah al-Musyarrafah pada Syu’ib ‘Ali …” Semua gelaran yang ditulis dalam bahasa Arab tidak saya terjemah, kerana telah saya kupas dalam buku judul Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu dan Islam, jilid 1.
Haji Wan Musa menggunakan perkataan ‘kakanda’ untuk ganti nama Syeikh Ahmad al-Fathani, lazimnya panggilan daripada seorang murid kepada guru ialah perkataan ‘ayahanda’. Panggilan ‘kakanda’ yang digunakan tidak salah kerana masih ada hubungan kekeluargaan antara Haji Wan Musa dengan Syeikh Ahmad al-Fathani yang status persaudaraan boleh dipanggil `berpupu-puan.’ Dalam kekeluargaan, Tuan Tabal adalah pangkat ayah saudara Syeikh Ahmad al-Fathani antara dua atau tiga pupu. Lebih dekat lagi kerana Hajah Wan Kaltsum, ibu Haji Wan Musa, adalah kakak Syeikh Wan Ali Kutan. Isteri Syeikh Wan Ali Kutan bernama Hajah Wan Aisyah.
Beliau adalah adik beradik dengan Hajah Wan Cik ibu Syeikh Ahmad al-Fathani. Di antara anak Syeikh Wan Ali Kutan dan Hajah Wan Aisyah, ialah Haji Wan Abdur Rahman, Hajah Wan Fatimah, dan lain-lain bererti saudara sepupu Haji Wan Musa dari pihak ibu Haji Wan Musa kakak Syeikh Wan Ali Kutan. Haji Wan Abdur Rahman dan Hajah Wan Fatimah juga saudara sepupu Syeikh Ahmad al-Fathani dari pihak ibu sama ibu adik-beradik. Sekiranya tidak melalui jalan perkahwinan atau jalan yang disebutkan ini, Syeikh Wan Ali Kutan dan kakaknya Wan Kaltsum adalah pangkat ayah dan ibu saudara Syeikh Ahmad al-Fathani.
Oleh sebab itulah maka dalam surat Haji Wan Musa menggunakan perkataan ‘kakanda’ untuk diri Syeikh Ahmad al-Fathani, tidak menggunakan perkataan ‘ayahanda’, walau pun beliau seorang murid. Dan beliau menyebut dirinya ‘adinda’, tidak perkataan ‘anakanda’.
Setelah kalimat dalam bahasa Arab, Haji Wan Musa mengharapkan doa Syeikh Ahmad al-Fathani untuk keluarga, terutama diri dan anak-anak beliau termasuk dalam perhimpunan ulama, Haji Wan Musa menulis, “… serta adalah upah umrah tiga rial bagi Mek Cik binti Abdus Shamad boleh kakanda tolong menghasil akan dia. Dan ada pun tiga rial, adinda minta kakanda tolong beli kitab al-Fawaid al-Madaniyah atau al-Makkiyah dan adinda taraddud (maksudnya: ragu-ragu, pen) sedikit antara dua nama itu, yang ada menyebutkan Ishthilah at-Tuhfah, dan lainnya. Dan minta kekanda tolong beli kitab Mushthalah al-Hadits satu, dan Ushul Fiqh satu yang kecil-kecil, mana-mana yang elok pada hadrat kekanda. Dan kitab Nashaih ad-Diniyah satu.
“Maka jika tidak cukup rial itu, maka kekanda suruh Ahmad anak Haji Muhammad Manan beri dahulu. Kemudian boleh adinda bayar kepadanya di Jawi. Maka boleh kekanda terima ambil rial yang tersebut itu bersama-sama dengan surat ini di dalam bungkus rial yang adinda kirim kepada Ahmad ibnu Haji Muhammad Manan.”
Dalam petikan di atas dapat diketahui ada adik beradik Haji Wan Musa yang perempuan, ialah Mek Cik binti Abdus Shamad. Belum begitu pasti apakah Mek Cik binti Abdus Shamad itu sama ada kakak ataupun adik Haji Wan Musa, dalam dugaan saya kemungkinan adalah kakak.
Dalam kalimat-kalimat di atas dapat dibuktikan bahawa Haji Wan Musa seorang yang sangat gemar kepada pelbagai jenis kitab ilmu pengetahuan. Ada orang meriwayatkan bahawa Haji Wan Musa selalu menyisihkan wangnya untuk menambah jumlah kitab yang dimilikinya. Setiap kitab yang dibeli pasti dibaca, bukan hanya disimpan atau dijadikan perhiasan saja.
Pada konteks di atas dipastikan bahawa Ahmad ibnu Haji Muhammad Manan adalah sebagai utusan Haji Wan Musa kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Haji Ahmad bin Haji Muhammad Manan (lahir 1301H/1884M, wafat 1357H /1938M) termasuk murid Syeikh Ahmad al-Fathani dan selanjutnya juga menjadi murid Haji Wan Musa. Haji Ahmad bin Haji Muhammad Manan termasuk dalam golongan ulama besar yang terkenal di Kelantan.
Perkembangan khilafiyah di Kelantan selalu dilibatkan orang kepada Mufti Haji Wan Musa. Barangkali polemik Haji Wan Musa yang paling awal ialah antara beliau dengan Imam Haji Wan Daud. Transliterasi surat tentang itu selengkapnya sebagai berikut: “Dan lagi adinda maklum kepada hadrat kakanda, adalah adinda berkhilaf sedikit dengan Imam Haji Wan Daud pada bicara suatu masalah. Maka jadi munazharahlah adinda dengan dia, pada malam Selasa 10 Rabiulawal. Maka tiadalah adinda boleh ketahui siapa yang benarnya, kerana tiada hakim yang boleh memutuskan perbalahan itu. Maka adinda harap hadrat kakanda tolong menyatakan kepada adinda, adakah betul faham adinda itu atau ia yang betul?
Supaya adinda pakai kemudian hari pula. Maka masalah yang jadi perbalahan itu, dan kaifiat balahannya adinda surat pada satu kertas, adinda bubuh bersama-sama dengan surat ini supaya boleh kakanda ketahui daripada awal hingga akhirnya. Tetapi ibaratnya sehabis-habislah tiada eloknya, harapkan kekanda maaf banyak-banyak. Dan jika ada salah adinda pada tempat mana-mananya di dalam surat itu, maka minta kekanda nyata kepada adinda pada tahun hadapan ini supaya boleh adinda ketahui, ’’…Yang dimaksudkan pada kalimat… pada malam Selasa, 10 Rabiulawal … itu ialah pada tahun 1322 H. Tarikh 10 Rabiulawal 1322H jika dijadikan tahun Masihi ialah 24 Mei 1904M.
Semua buku yang membicarakan tentang polemik Haji Wan Musa tidak pernah menyebut peristiwa antara beliau dengan Imam Haji Wan Daud. Demikian juga tentang tarikh dan tahun kejadian, 10 Rabiulawal 1322H/24 Mei 1904M tidak pernah disebut. Semua polemik Mufti Haji Wan Musa dengan beberapa orang ulama hanya disebut mulai berlaku tahun 1916 M (lihat Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan, hlm. 120).
Imam Haji Wan Daud yang tersebut juga salah seorang murid Syeikh Ahmad al-Fathani, menurut riwayat selain pernah menjadi Imam Masjid Muhammadi, beliau juga pernah menjadi Mufti Kelantan. Imam Haji Wan Daud meninggal dunia tahun 1326 H/1908 M, lebih kurang empat tahun setelah perselisihan pendapat dengan Haji Wan Musa. Haji Wan Musa dilantik menjadi Mufti Kelantan menggantikan Imam Haji Wan Daud yang tersebut itu.
Sehingga artikel ini saya tulis, saya belum dapat menjejaki masalah-masalah yang menjadi pertikaian pendapat antara Haji Wan Musa dengan Imam Haji Wan Daud yang tersebut dalam surat di atas kerana dalam surat hanya menyebut: “Maka masalah yang jadi perbalahan itu, dan kaifiat balahannya adinda surat pada satu kertas, adinda bubuh bersama-sama dengan surat ini supaya boleh kakanda ketahui daripada awal hingga akhirnya.”
Permasalahan yang dinyatakan “adinda surat pada satu kertas …” yang maksudnya dilampirkan bersama surat tarikh 16 Rejab 1322H/25 September 1904M hingga kini belum dijumpai. Jawapan Syeikh Ahmad al-Fathani mengenai yang tersebut juga belum dijumpai.
KAUM TUA – KAUM MUDA
Pada zaman yang sama dengan Haji Wan Musa di Minangkabau muncul istilah Kaum Tua dan Kaum Muda. Pada pandangan saya, Haji Wan Musa, sukar untuk dituduh sebagai Kaum Muda, kerana banyak perbezaan dengan pemikiran yang dinamakan Kaum Muda di Minangkabau, Jawa dan tempat-tempat lainnya di Indonesia. Sebagai contoh Kaum Muda di Indonesia menolak amalan dalam sesuatu tarekat sedangkan Haji Wan Musa adalah seorang yang sangat berpegang teguh dan beramal dengan Tarekat Ahmadiyah.
Beberapa pegangan hukum fiqh dalam Mazhab Syafie ada yang dipertahankan oleh Haji Wan Musa. Sebaliknya sesetengah peribadi pengikut Kaum Tua hanyalah berpegang dengan longgar dan rapuh. Sebagai contoh tentang hukum zakat fitrah dan wakaf. Haji Wan Musa secara konsekwen tetap berpegang seperti ulama-ulama Syafieyah lainnya, zakat fitrah mestilah segera dibagikan kepada yang berhak menerimanya, tidak boleh digunakan untuk pembangunan walau untuk membina masjid sekali pun. Sesuatu yang dinamakan ‘wakaf’ tidak boleh diperjual belikan walau dengan alasan apa pun juga.
——————————————————————————————
HAJI YAAKOB LORONG GAJAH MATI (1895-1956)

Salah seorang guru agama paling terkemuka di Kota Bharu pada suku ke dua abad ke-20 Masihi. Murid kanan Tok Kenali yang sebarisan dengan Hj. Saad Kangkong, Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong, Hj. Mat Jebeng, Hj. Ahmad Batu Tiga Repek dll. Nama sebenar tokoh utama ini ialah Hj. Yaakub bin Hj. Ahmad yang tinggal di Lorong Gajah Mati, Kota Bharu.

Kerja awalnya bermula sebagai kerani di Mahkamah Syariah Kota Bharu dan pernah ditugaskan mengambil peringatan mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Mulai 1 April 1922,dilantik sebagai guru di Madrasah Muhammadiah (Sekolah Melayu Majlis) dengan gaji permulaan RM20 sebulan. Selepas 15 tahun (mulai 1 Julai 1938), bertukar menjadi guru kitab di Masjid Muhammadi (nama rasmi Masjid Besar Kota Bharu) yang berperanan sebagai pusat pengajian pondok terpenting di Kelantan pada ketika itu. Gajinya meningkat ke RM28 sebulan. Seterusnya mulai 1 Januari 1940, bertukar ke Jami’ Merbau Ismaili (nama awal Maahad Muhammadi) apabila pengajian kitab di Masjid Muhammadi berpindah ke situ. Gaji bulanannya sejak awal 1940 ialah RM34 dan beliau kekal berkhidmat
di situ sehingga 1945.

Antara murid-murid harapnnya ialah tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz (Menteri Besar Kelantan sekarang), Dato’ Hj. Ismail Yusoff (bekas Mufti Kerajaan Kelantan), Tuan Guru Engku Hj. Syed hasan Lemal, Tuan guru Hj. Awang Nuh Beris Kubor Besar, Ustaz Wan Mohd Saghir Kg. Baru,Pasir Pekan, Tuan Guru Hj. Abdul Wahid Sungai Udang (Melaka) dan Tuan Guru Hj. Ahmad Osman,Hutan Palas, Kodiang (Kedah).

Kewibawaan dan pengalaman luasnya sedemikian melayakkan beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama’ MAIK (seawal 1932) beberapa penggal. Pada mulanya beliau termasuk pengikut Sidi Muhammad al-Azhari (pengembang Tarikat Ahmadiah di negeri Kelantan), tetapi kemudian mengubah sikap, iaitu setelah beliau berdamping dengan Maulana Tok Khurasan, guru perintis ilmu hadis di Kelantan.

Tuan Guru Hj. Yaakub meninggal dunia di Kota Bharu pada waktu fajar hari Sabtu –6 Jamadilawal 1376 bersamaaan 8 Disember 1956 dengan meninggalkan 3 orang putera yang dikenali ramai, iaitu;

· · Dato’ Hj. Hussain (ahli perniagaan)-pewakaf Masjid al-Muttaqin di Lundang dan Masjid al-Ihsan di Dusun Muda, Kota Bharu.
· · Hj. Hasan (pengasas Pustaka Aman Press, Kota Bharu dan pewakaf Sekolah Islam Aman Kota Bharu).
· Ustaz Yusoff Zaky@ Dato’ Seri Setia Raja (pengarang terkemuka, pengasas Pustaka Dian Kota bharu dan Penterjemah Tafsir fi-Zilal al- Quran).
————————————————————————————-
HAJI ABDUL MALEK SUNGAI PINANG (1834-1934)

Tokoh guru pondok akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 yang seangkatan dengan Tok Mesir, Tok Ayah Kerasak, Hj. Nik Mat Dagu dan Hj. Ismail Pengkalan Paung, rakan akrab Hj. Abdul Latiff Jalaluddin (Bilal Masjid Kota Bharu).

Nama penuhnya ialah Hj. Abdul Malik bin Hasan, lahir di Kg. Sungai Pinang, Tumpat sekitar 1834 dari kalangan keluarga yang sangat miskin. Menuntut ilmu di Patani dan kota suci Mekah selama 14 tahun. Beliau masyhur alim al-Quran dan kitab jawi..

Selain mengajar al-Quran dan kitab jawi, beliau banyak terlibat dalam usaha membanteras amalan khurafat dan syirik, termasuk memuja kubur serta amalan ilmu sihir.

Di peringkat negeri pula, beliau turut tersenarai dalam panel ulama’ yang dijadikan pakarrujuk oleh Sultan Mansur Ahmad (dekad 1890-an) dalam menguatkuasakan undang-undang Islam seperti hukuman hudud kepada pencuri dan pembunuh (diarak keliling Pekan), hukuman ta’zir kepada orang yang tidak berpuasa dan tidak menutup aurat (dilumur belaking).

Kebanyakan murid-murid Tuan Guru Hj. Abdul Malek di berkati Allah dengan ilmu mereka serta berjaya melahirkan barisan pendidik pelapis pada zaman masing-masing.

Antara murid-murid kenamaannya ialah Tok Jerulong@ Hj. Mohd. Said Muhammad, Hj. Samat Hasan Padang Chenok, Hj. Che Mat Taib PasirPekan Hilir, Hj. Ismail Musa Temangan, Hj. Wan Abdullah Kg. Chap/ Sg. Pinang, Wan Hj. Khatib Bemban /Binjai, Tok Kedah@Hj. Idris Penggawa Kangkong, Hj. Mahmood Ali (Imam Kangkong), Hj. Mohd Akib Ismail Kg. Kelar, Hj. Daud Saamah (bapa kepada Hj. Tuan Guru Hj. Saad Kangkong), Tuan Guru Hj. Ali Pulau Pisang, Tuan Guru Hj. Abdullah Senik (pengasas Pondok Padang di Pasir Mas), Tuan Guru Hj. Wan Ahmad Abdul Halim (pengasas Pondok Padang Jelapang), Tuan Guru Hj. Abdul Rahman Osman (pengasas Pondok Selehong), Tuan Guru Hj. Yusoff Abdul Rahman (pengasas Pondok Pulau Ubi), hj. Ibrahim Tok Raja (Mufti Kerajaan Kelantan) dan Hj. Seman Sering (kemudian lebih terkenal dengan nama Sheikh Osman Jalluddin al-Kalantani)

Datuk kepada Dato’ Dr Nik Safiah Karim (Profesor Adjung di Universiti Malaya) ini kembali ke rahmatullah di Sg. Pinang pada malam Rabu 11/12 Ramadhan 1353 bersamaan 18 Disember 1934.
——————————————————————————

HAJI ISMAIL PONTIANAK (1882-1950)

Tokoh ulama’ perantau ‘Khatib Masjid Muhammadi dekad 1940-an yang paling popular. Lahir sezaman dengan Mufti Hj. Idris, Dato’ Perdana Hj. Nik Mahmud, Tok Seridik dan Sheikh Osman Jaalaluddin al-Kalantani.

Nama penuhnya ialah Hj. Ismail bin Hj. Abdul Majid, tetapi lebih dikenali dengan panggilan Hj. Ismail Pontianak kerana lamanya beliau berkelana dan bermastautin di Pontianak (Kalimantan Barat),bahkan pernah dilantik menjadi Mufti Kerajaan Pontianak – berkhidmat selama suku abad (1910-1935).

Meskipun demikian, Hj. Ismail akhirnya kembali menetap di Kelantan. Kerjaya awal tokoh Mekah ini dalam perkhidmatan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) bermula pada 1 Januari 1940 apabila beliau dilantik menjadi guru kitab di Jami’ Merbau al-Ismaili dengan gaji permulaan RM47.50 sebulan. Selanjutnya beliau dipilih menganggotai Jemaah Ulama’ MAIK (10 April 1940 hingga 9 Februari 1947). Selain daripada itu dilantik sebagai Penterjemah Arab (semenjak 1 Julai 1941).

Zaman gemilang perkhidmatannya bermula pada 1 mei 1943 apabila beliau dilantik menjadi Khatib di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Berbeza dengan tok-tok khatib sebelumnya yang masih terikat dengan nota atau teks Arab sepenuhnya.

Hj. Ismail memperkenalkan khutbah tanpa teks ditangan. Kepetahan beliau menyampaikan khutbahnya secara spontan, dalam bahasa ibunda pula terbukti sangat berkesan. Walaupun khutbahnya agak panjang,namun ahli jemaah tidak bosan. Ini kerana beliau bijak menyusun kata, pandai menyelit ungkapan “segar” bersesuaian dengan suasana yang mampu membuat sidang hadirin tidak jemu atau mengantuk. Beliau bukan sahaja popular dikalangan ahli jemaah dan anak muridnya,malahan sangat disenangi oleh Sultan Ibrahim sehinggakan dilantik menjadi guru agama merangkap imam di Istana baginda.

Khatib yang disegani ini meninggal di rumahnya, Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada tengah malam Isnin 18 Muharram1370 bersamaan dengan 29 Oktober 1950 dan dikebumikan di Kg. Labik, Machang-kampung asalnya.

Satu-satunya pusaka penulisan beliau yang diketahui sempat dicetak ialah Kitab Pedoman Kemuliaan Manusia (cetakan pertama 1938), setebal 320 muka surat iaitu sebuah karya “bunga rampai”.
——————————————————————————————–

HAJI ALI PULAU PISANG (1899-1968)

Salah seorang guru pondok di pertengahan abad ke-20 yang paling ternama di Kelantan. Merupakan harapan Tok Kenali terkanan yang mewarisi yang mewarisi ilmu tatabahasa Arabnya. Seangkatan dengan Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong, Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Saad Kangkong, Hj. Awang Lambor dan Hj. Awang Serendah. Rakan akrab Ayah Chik @ Lebai Omar Kubang Tuman.

Nama penuh tokoh ulama’ kelahiran mukim Pulau Pisang, daerah Badang, Kota Bharu ini ialah Hj. Mohd Ali Solahuddin bin Awang. Ibunya bernama Wan Kalsom. Beliau adalah anak ketiga daripada 9 beradik.

Selain Tok Kenali, guru-guru tempatannya termasuklah Hj. Abdul Malek Sg. Pinang, Hj. Yusof Sg. Pinang (kemudian lebih dikenali dengan nama Tok Pulau Ubi), Tok Kemuning (di Pulau Kundor), Hj. Omar Sg. Keladi, Pak Chik Musa, Hj. Yaakob Legor dan Hj. Ahmad Hafiz.

Namanya “timbul” kerana kealimannya dalam ilmu soraf (cabang tatabahasa Arab) sehingga digelar “Tok Sibaweh”. Tidak hairanlah jika Madrasah al-Falah (nama rasmi Pondok Pulau Pisang) yang dibangunkan beliau di Telok Chekering, Pulau Pisang senang menjadi tarikan para pelajar pondok. Sementelahan pula seawl 1932 lagi, Hj. Ali dipilih menganggotai Jemaah Ulama’ MAIK yang dipengerusikan oleh Dato’ Hj. Ahmad Maher al-Azhari (Mufti Kerajaan Kelantan).

Berikutan dengan kematian Hj. Saad Kangkong (1943) beliau dipinjam sebagai guru agama Kelas Khas di Jami’ Merbau al- Ismaili (pusat pengajian ilmu-ilmu Islam berbentuk sekolah pertama di Kelantan) yang menampung ramai pelajar dari dalam dan luar Kelantan pada awal dekad 1940-an, berkhidmat sehingga 1 Mac 1946. Selepas itu kembali semula ke Masjid Muhammadi.

Antara murid-muridnya ialah Dato’ Hj. Ismail Yusoff (Mufti Kerajaan Kelantan), Ustaz Dato’ Yusoff Zaky Yaakob (pengarang terkemuka dan penterjemah Tafsir fi-Zilal al-Quran), Ustaz Hj. Ismail Yusoff (imam Masjid Muhammadi), Ustaz Wan Mohd Saghir Wan Konok Pasir Pekan, Ustaz Azhari Abdul Rahman Melor, Hj. Abdul Aziz dan Hj. Mustafa Pasir Tumbuh, Hj. Zakaria Selising, Hj. Daud Getting, Hj. Daud Perakap, Hj. Nik Daud Tanah Merah, Hj. Wan Abdul Latif Jerteh, Hj. Abdul Wahid Sg. Udang (Melaka), Hj. Abdul Rasyid Bagan Datok Perak dan Hj,. Abdullah Abbas Nasution Tanjung Pauh (Kedah).

Ulama’ kesayangan Dato’ Mufti Hj. Ahmad Maher ini kembali ke rahmatullah di kediamannya di Kg. Limau Putenge, Pulau Pisang pada pukul 7.05 pagi Khamis-11 Rejab 1388 bersamaan 3 Oktober 1968 dengan meninggalkan dua buah karya bercetak yang mengupas tentang ilmu Soraf dan terjemahan Surah Yassin.

————————————————————————————-

TOK SELEHONG (1872-1935)

Tokoh guru pondok paling terkemuka di Jajahan Tumpat selepas zaman Hj. Abdul Malek Sungai Pinang. Seangkatan dengan Tok Kenali, Tok Padang Jelapang, Tok Bachok, Tok Seridik dan Tok Kemuning.

Nama sebenarnya ialah Hj. Abdul Rahman bin Hj. Osman. Juga dipanggil dengan nama Hj. Abdul Rahman Syair atau Tok Syair kerana kepandaiannya mengarang syair.

Seorang daripada guru awalnya ialah Hj. Abdul Malek Sungai Pulau Pinang yang berdekatan dengan kampungnya. Kemudian menyambung pelajaran di pondok Cha-ok, Patani –berguru dengan Tok Cha-ok @ Hj. Abdullah bin Mohd Akib. Akhir sekali pergi mendalami pengajian di Kota Makkah – berguru dengan Pak Chik Wan daud Pattani, Tuan Mokhtar Bogor,Tok Syafie kedah dan ramai lagi.

Selepas 18 tahun bermukim diTanah Suci Mekah, pulang ke tnah Air(1921) lalu mengasaskan pusat pengajian pondok sendiri di pinggir Sungai Selehong.Di pondok inilah beliau mengajar dan mengembangkan pondoknya yang sangat dikenali ramai pada zaman itu.Bidang ilmu yang sangat ditumpukanya ialah Ihsanuddin atau Tasawwuf dengan Syarh Hikam Ibn Ataa’llah sebagai teks utama.

Tok Guru Selehong masyhur sebagai ahli sufi yang zuhud.Bagi tujuan supaya hatinya tidak tertambat kepada dunia, beliau menggali lubang khas dalam kawasan tanah perkuburan Islam berhampiran Pondok Selehong yang dijadikanya semacam kamar khusus sebagai tempat beliau beribadat dan bersuluk.

Bapa mertua kpd tuan guru Haji Ahmad Batu 3 Repek dan Haji Awang Beta ini kembali kerahmatullah pada jam 8.30 malam Khamis 18 Zulkaedah 1353 bersamaan 20 Februari 1935 dan dikebumikan dikubur selehong, Tumpat.
————————————————————————————–

HAJI ABDULLAH TAHIR BUNUT PAYONG (1897-1961)

Salah seorang ulama’ besar negeri Kelantan yang masyhur alim dalam ilmu fiqh. Pendiri Pondok Bunut Payong yang terkenal di seluruh semenanjung itu. Seangkatan dengan Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Saad Kangkong, Hj. Ahmad Batu Tiga Repek, Hj. Salleh Pedada dll.

Dilahirkan di Kg. Sireh, Kota Bharu pada 20 Muharram 1315 bersamaan 20 Jun 1897. Bapanya, Hj. Ahmad bin Mohd Zain yang berasal dari Kg.Chepa,Kedai Lalat pernah berkhidmat sebagai imam tua di Masjid Langgar, Kota Bharu (berkhidmat sehingga 1920)

Sesudah berguru selama 15 tahun dengan Tok Kenali, beliau belayar ke tanah suci Makkah untuk mendalami pengajiannya. Antara lain mengikuti kuliah Tuan Mokhtar Bogor, Sheikh Said al-Yamani, Sheikh Mohd Ali al-Maliki dan beberapa tokoh yang lain lagi.

Sekembali ke Kelantan, beliau diminta menyertai kumpulan tenaga pengajar Halaqat Kitab di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Bagaimanapun, khidmatnya tidak lama kerana pada 1931, beliau memulakan kegiatan keguruannya sendiri di Bunut Payong yang di beri nama Madrasah Ahmadiah. Madrasah ini kemudian terkenal ke seluruh pelosok semenanjung Melayu sebagai pusat pengajian pondok yang berprestasi tinggi di Kelantan.

Di pondok Bunut Payong inilah Tuan Guru Hj. Abdul Tahir mengajar kitab hingga ke akhir hayatnya. Beliau terkenal sebagai seorang tok guru yang tekun mengajar serta mengamalkan disiplin diri yang tegas.

Kerana kegigihannya yang sedemikian, maka tidak peliklah jika Pondok Bunut Payong berjaya melahirkan ramai murid berilmu tinggi seperti Hj. Hussain Rahimi, Hj. Nik Man Sg. Budor, Hj. Abdul Aziz Pasir Tumbuh, hj. ISMAIL Padang Lepai, Hj. Abdullah Kok Lanas, Hj. Omar Kubang Bemban, Hj. Abdul Rahman Slow Machang, Hj. Wook Lubok Chekok, Hj. Noor Teliar, Hj. Sulaiman Siram, Hj. Daud Bukit Bunga, Hj. Yaakub Kelong, Hj. Ghazali Pulau Chondong,Hj. Zakaria Selising, Hj. Osman Perlis, Hj. Ahmad Kodiang, Hj. Yahya joned Gurun, Hj. Ibrahim Bongek, Hj. Abdul Wahid Sungai Udang, Hj. Hussain Umbai, Hj. Ahmad Relai, Hj. Hasanuddin Berhala Gantang, Hj. Ismail Phuket, Hj. Ghazali Mundok.

Kerana ketokohannya juga beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan beberapa penggal (seawal 1932).Kematian fuqaha’ ini pada pukul 7.20 pagi Selasa 4 Rabiulawal 1381 bersamaan 15 Ogos 1961 menyebabkan negeri Kelantan kehilangan seorang tokoh ilmuan yang menerangi budaya ilmu dan dakwah Islamiahnya.

Memilih Kerjaya Antara P, I, E dan S

7 Aug

Oleh:
http://www.saifulislam.com


Merancang untuk mengubah dunia, bermula dengan mengubah diri!

“Nak ambil tawaran yang mana satu?” saya bertanya kepada isteri.

Beliau termenung.

Mungkin kedua-dua tawaran ada pro dan kontranya.

Tawaran pertama ialah sebagai pegawai penyelidik. Gaji RM1400 sebulan. Pejabat berhampiran dengan stesyen LRT dan saya belum ada lesen kereta. Menyelidik memang keseronokan saya. Dibayar gaji untuk berfikir, apakah ada yang lebih baik daripada itu?

Tawaran kedua ialah sebagai co-trainer, membantu pengarah di sebuah syarikat motivasi, perlu out station mungkin mencecah beberapa belas hari dalam sebulan, dan gaji yang ditawarkan ialah RM800 sebulan. Insya Allah elaun out station akan ditambah serba sedikit bergantung kepada komitmen.

ANTARA TANGGUNGAN DAN TAWARAN

Ketika itu saya sudah mempunyai dua cahaya mata.

Sedang mengendalikan perang dalaman kerana berasa malu tatkala isteri yang seorang doktor, gajinya hampir tiga kali ganda berbanding gaji suami.

Rumusannya pada masa itu ialah menghitung pertimbangan antara perkembangan PIES. P mewakili Physical, I mewakili Intellectual, E mewakili Emotional dan S pula mewakili Spiritual.

Kedua-dua pekerjaan itu tidak mempunyai konflik dengan S.

Kepercayaan saya melihat bahawa kedua-duanya adalah pekerjaan yang halal, murni dan selari dengan tujuan hidup saya.

Ada pun P, nyata sekali tawaran kerja yang pertama itu lebih kondusif. Gajinya hampir sekali ganda. Usaha hendak ke pejabat juga lebih mudah kerana berhampiran dengan stesyen LRT. Namun saya ada konflik dengan I dan E.

Dari aspek I, saya belum mempunyai metodologi yang kemas untuk menjadi seorang penyelidik, walaupun sesi temuduga sudah berjaya saya manfaatkan untuk meyakinkan panel tentang keupayaan saya menganalisa situasi dan mendatangkan hasil kajian. Saya juga merasakan betapa pekerjaan itu akan banyak menuntut aspek I dan kurang menyumbang kepada pembangunan I sedia ada, sedangkan saya masih di peringkat menyesuaikan diri dengan keadaan tanah air selepas 11 tahun hidup di perantauan.

Manakala E, saya ini bernafsu besar terhadapnya.

Jika saya minatkan sesuatu, demam pun saya sanggup datang kerja. Emotional Quotient saya amat berdominasi. Malah cabang E iaitu aspek Social turut saya pentingkan. Saya sangat berat hati kerana 11 tahun hidup di perantauan dan didahului dengan 5 tahun menjadi anak asrama semasa di sekolah menengah, saya tidak kenal ramai orang. Saya kurang pergaulan. Lama duduk di luar negara, saya tidak tahu orang Malaysia ini sebenarnya bagaimana. Dan aspek S yang melantik saya sebagai pendakwah, saya dahagakan input E.

Atas pertimbangan itu, akhirnya saya membuat keputusan yang berat.

Saya memilih tawaran kedua.

JUSTIFIKASINYA

Saya yakin pekerjaan di bidang jururunding dan latihan akan membuka lembaran baru dalam kehidupan.

Mendapat didikan daripada majikan yang amat berpengalaman di dalam dakwah dan latihan, bakat menulisnya yang sudah diketahui umum, dan peluang bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat amat saya mahukan. Hari ini berkursus dengan Top Management sebuah syarikat gergasi nasional, kemudian dengan murid sekolah bermasalah, diikuti dengan ustaz-ustaz di dalam sebuah organisasi kewangan Islam, kemudian akak-akak penyiram bunga sebuah PBT yang kebanyakannya buta huruf, dan seterusnya pelajar cemerlang di sekolah terbilang, disusuli pula dengan 1001 jenis manusia yang ‘dihantar Tuhan’ ke program kami… saya lelah, tetapi terasa amat pantas belajar dan berkembang.

“Abang kerja apa gaji seciput macam ni?” tanya seorang pegawai bank semasa saya mahu menunaikan cek.

Muka saya merah padam.

“Hari ini lauk telur!” kata isteri saya.

Pasrah.

Beratnya pekerjaan saya itu ialah, pekerjaannya tidak difahami oleh ‘orang luar’. Saya tidak mampu meyakinkan orang tentang prospek kerja saya itu sebab kerja saya tidak difahami oleh ahli keluarga. Apa yang jelas ialah ukurannya banyak berkisar pada insentif P iaitu wang.

Ia krisis besar buat diri saya.

“Makan duit bini ke?” kata-kata itu terngiang-ngiang di telinga.

Apabila insan-insan di keliling kita memandang rendah kepada kerja yang kita lakukan, itu tandanya mereka mempunyai pandangan hidup yang berbeza. Kita ada dua pilihan. Sama ada menukar kerja dan mendapat satu manfaat jangka segera yang mahu dicapai itu. Atau pun menukar pandangan hidup mereka melalui kesungguhan kita dan keyakinan kita sendiri terhadap apa yang kita lakukan. Kuncinya hanya satu iaitu, APAKAH PANDANGAN ANDA SENDIRI TERHADAP PEKERJAAN YANG ANDA LAKUKAN?

Jika kita menghormati dan menyanjungi pekerjaan tersebut, rasa hormat orang lain akan terbina sedikit demi sedikit. Dan dengan pandangan hidup yang semakin sama, manfaat yang terhasil bukan satu atau lima, tetapi infiniti!

Biar pun manfaat P amat terbatas dan saya bekerja keras siang malam untuk menampungnya, manfaat I, E dan akhirnya S amat terasa. Ia sangat bagus untuk masa depan saya, dan masa depan masyarakat yang menanti peranan optimum saya.

TAWARAN DATANG

Selepas beberapa tahun bekerja di syarikat berkenaan, saya didatangi pelbagai tawaran kerja yang menawarkan gaji hingga tiga ke lima kali ganda daripada gaji pada masa tersebut.

Bekerja sebagai content editor di sebuah syarikat penyiaran, bekerja sebagai Pengarah Wilayah bagi sebuah NGO bertaraf antarabangsa, bekerja sebagai Penyelidik Kualitatif di sebuah syarikat Oil and Gas di negara Teluk, serta tawaran mengembangkan kerjaya sebagai kaunselor di sebuah hospital ternama, semuanya memberikan kelegaan yang besar pada tekanan hidup di era gaji RM800 di Kuala Lumpur dengan anak dua dan bakal menjadi tiga.

Namun pekerjaan-pekerjaan itu mengorbankan banyak aspek kehidupan saya yang lain. Saya tidak mampu hidup puas dan gembira dengan tawaran gaji RM6000 sebulan ketika saya gagal diyakinkan tentang kemewahan aspek I, E dan S yang turut penting buat diri ini, tanpa sebarang kompromi.

Saya dengan berat hati namun yakinnya bulat dan keras seperti batu, saya menolak semua tawaran itu.

Saya yakin satu perkara:

Memilih pekerjaan yang besar P tetapi kecil E yakni gaji bagus tetapi kerja tanpa minat akan menyebabkan P berkemungkinan bertambah tetapi bersama E yang semakin mengecil. Akhirnya P turut terjejas.

Ada pun pekerjaan yang aspek P kecil tetapi E besar, akan sampai masanya E terus subur dan P bertambah.

Apa yang penting I (Intellectual) mesti terus berkembang dan S (Spiritual) mesti sentiasa memandu.

Keyakinan itu saya kongsikan bersama adik-adik yang baru menamatkan pengajian dan sedang berada di persimpangan memilih kerjaya yang mungkin berbeza daripada kelulusan dan jauh daripada manfaat awal jangkaan.

Pertimbangan P sahaja kurang memadai kerana P akan berkembang pesat apabila I, E dan S berkolaborasi bersama. Lebih menyeronokkan, apabila anda bekerja bersama pemimpin yang tidak tidur malam kerana berfikir dan merancang bagaimana hendak menjadikan anda insan berjaya. Saya sudah merasainya, dan saya juga mahukan perkongsian yang sama untuk dirasai oleh adik-adik semua.

Begin with the end in mind…

[Kredit kepada Tuan Fazrul Ismail, jurunding pakar daripada Total Success Training & Consultancy yang berkongsi tatafikir dalam hal ini]