Archive | March, 2012

Kemuncup Dalam Perjuangan

11 Mar

Oleh :
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil


Politik semasa sungguh mengguris rasa.

Geloranya mendesak saya untuk lebih teliti dalam bicara, membanyakkan pendisiplinan diri dengan nilai TAQWA demi meraih al-Furqan, pembeda antara batil dan kebenaran. Saya lelah melihat proses pencerahan siasah Malaysia dilakukan tanpa sokongan pendidikan. Apa yang mendominasi insiden demi insiden adalah sentimen dan retorik. Malah tanpa rujukan moral.

Dalam segala beban yang membelenggu dada dan nafas jiwa, tangan saya terdorong untuk mencapai sebuah buku yang redup kulitnya hingga segera mendatangkan segar hati untuk membaca.

KEMUNCUP DALAM PERJUANGAN adalah sebuah karya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang muncul sangat kena pada masanya.

Kesan kemuncup adalah ungkapan yang amat tepat dalam menterjemahkan perasaan saya semasa menekuni perkembangan politik semasa. Kekhuatiran saya terhadap PAS ialah pada keupayaan seluruh jentera PAS berkomunikasi dengan baik dalam proses memahamkan pendukung juga penyokong akan hakikat sebenar yang tersurat juga tersirat. Kekhuatiran saya juga berenang-renang di lubuk idea bahawa PAS seharusnya lebih dominan dalam menetapkan hala tujunya sendiri berbanding sekadar menjadi pelengkap kepada agenda 16 September 2008 yang penuh persoalan.

Tidak pernah di dalam sejarah, PAS bergerak sebagai penumpang.

Ia harus menentukan hala tuju untuk menghalatujukan survival Islam massa.

KEMUNCUP DALAM PERJUANGAN oleh sentuhan Tuan Guru mengajar saya untuk tidak menipu bahawa jalan ini memang penuh keresahan, namun perjuangan tidak harus kehilangan fokus dek miang kemuncup itu. Perjuangan yang matang harus bisa mencabut kemuncup itu sambil terus berjalan. Melangkah ke hadapan.

Buku ini juga tidak memaksa-maksakan idea Tuan Guru ke atas saya kerana ia terbahagi baik kepada tiga.

BAHAGIAN 1

Bahagian pertama buku ini adalah penerbitan semula sebuah buku kecil bertulis jawi karangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang dicetak 27 tahun lalu tatkala PAS berdepan dengan kemuncup pertembungan di antara Dato’ Asri Muda (Allahyarham) selaku Presiden PAS ketika itu dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang merupakan Ketua Dewan Ulama’ .

Buku kecil itu adalah apa yang sering saya dambakan setiap kali berlakunya perubahan besar kepada PAS iaitu proses pendefinisian semula (re-definition). Ia telah membantu PAS menjelaskan hala tujunya yang tersamar di antara idea Nasionalisma dan Islamisma (Islam sebagai ideologi politik). Re-definition yang ditawarkan ketika itu berjaya mengubah cabaran kepada tawaran (peluang) untuk PAS berkembang.

Kucar kacir fikrah yang berlaku ke atas pendukung dan penyokong PAS pasca PRU12 banyak berlaku kesan daripada tiadanya kenyataan-kenyataan yang konstruktif untuk pendefinisian semula, tatkala PAS membuat perubahan besarnya pada 8 Mac 2008 yang lalu.

Kemuncup tumbuh semula!

Bahagian pertama buku ini adalah penimbang balas kepada pembacaan saya terhadap buku MEMOIR POLITIK ASRI: MENITI ARUS terbitan Penerbit UKM (1993) dengan kata pengantar oleh Wan Hashim Wan Teh.

BAHAGIAN 2

Manakala Bab 2 buku ini pula adalah hands-on.

Ia menghimpunkan artikel, keratan akhbar dan majalah yang berkisar tentang isu muzakarah – muqabalah yang dibentang secara mentah. Pendekatan ini memberikan kebebasan berfikir dan menafsir kepada pembaca kerana himpunan material berkaitan, dibentang seperti asalnya, namun disusun hingga sangat membantu saya dan sesiapa jua pembaca, menyelesaikan jigsaw puzzle kepada suatu gambaran yang lebih besar.

BAHAGIAN 3

Bab yang ketiga pula menghimpunkan tulisan yang pelbagai dengan sifatnya yang satu, iaitu menyuluh bangkai gajah di bawah nyiru. Ia bersifat pendedahan dan sekali lagi pembentangannya adalah bersifat bebas. Setiap pembaca boleh menerima atau menolak satu demi satu artikel di bawah kompilasi ini, namun gabungan semuanya, amat menarik untuk menjadi lampu suluh dalam samar-samar tahun yang menipu ini.

Sesungguhnya selepas menelaah buku ini, saya berpuas hati untuk kembali kepada idea besar, bahawa sejauh mana sekali pun sebuah gerakan Islam bekerjasama dengan pelbagai pihak yang berkongsi titik temu, IA ADALAH SENTIASA SEBUAH ENTITI YANG TERSENDIRI.

Buku ini menyuntik kembali rukun TAJARRUD yang pudar oleh Siasah semasa.

Bacalah, dengan nama Tuhanmu…

Harga = RM17.00 (Sem) RM20.00 (Sabah / Sarawak)
Mukasurat = 228
Karya = Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Penerbit = Anbakri Publika Sdn Bhd

Advertisements