Archive | March, 2009

Wajarkah Bank Islam Tolak Permohanan ?

30 Mar

 

 

f19fcd490e0744d6 

 

 “Ustaz, saya dah cuba mohon pembiayaan dari bank Islam tetapi mereka tolak, adakah saya berdosa jika dapatkan pinjaman riba dari Bank Konvensional di ketika tu?” Demikian pertanyaan seorang pemuda sekitar umur 30 an kepada saya sejurus selepas kuliah yang panas berkaitan isu kewangan semasa di sebuah masjid.

“Dah puas saya pohon dari Bank Islam, tapi semuanya kena tolak. Kata nak selamatkan orang dari Riba, tetapi kenapa tolak permohonan saya ” Komen seorang lagi melalui sms.

“Cerewet benar prosedurnya, patutnya dimudahkan orang yang selamat dari Riba ni. Ini tidak, kena tolak pula, so jadi dharuratlah untuk ambil konvensional kan ustaz?” kata seorang ibu kepada 3 orang anak ini ketika waktu ‘break’ Kursus Kewangan Islam

Adakah Dharurat atau Hajiat Bila Permohonan Di Tolak?

“Belum lagi” Itu jawapan ringkas saya.

Hujjahnya telah saya sebutkan dahulu iaitu:-

Kaedah :-

إنما أبيح للضرورة وإنما تستيقن الضرورة بعد الطلب

Ertinya : Sesungguhnya apa yang diharuskan kerana dharurat sesungguhnya memerlukan keyakinan akan wujudnya dharurat tersebut setelah usaha pencarian ( yang halal) – ( Syarhul Umdah, 1/426 )

Justeru dalam hal ini, adakah sudah cukup digelar dharurat atau hajiat sedangkan baru satu bank islam yang menolak. ? Sudah tentu belum, anda perlu mencuba di semua bank-bank Islam dan jendela perbankan Islam di Malaysia, sebelum boleh mendakwa anda tersepit dan terdesak untuk terlibat dengan riba di bank Konvensional. Berikut senarai bank Islam dan Jendela Perbankan Islam yang wujud di Malaysia.

Bank-bank yang punyai lesen dan jalankan operasi produknya 100% menurut Shariah adalah seperti berikut :-

  1. Affin Islamic Bank Berhad
  2. Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Berhad
  3. AmIslamic Bank Berhad
  4. Asian Finance Bank Berhad
  5. Bank Islam Malaysia Berhad
  6. Bank Muamalat Malaysia Berhad
  7. CIMB Islamic Bank Berhad
  8. EONCAP Islamic Bank Berhad
  9. Hong Leong Islamic Bank Berhad
  10. Kuwait Finance House (Malaysia) Berhad
  11. RHB ISLAMIC Bank Berhad

Bank Konvensional Tetapi Punyai Lesen Untuk Wujudkan “Jendela Perbankan Islam” Bagi Menawarkan Produk Menepati Shariah.

Ia seperti berikut :-

  1. ABN Amro Bank Berhad
  2. Alliance Bank Malaysia Berhad
  3. Citibank Berhad
  4. HSBC Bank Malaysia Berhad (Bahagian Islam dinamakan HSBC Amanah)
  5. Malayan Banking Berhad
  6. OCBC Bank (Malaysia) Berhad
  7. Public Bank Berhad
  8. Standard Chartered Bank Malaysia Berhad  (Bahagian Islam dinamakan Standard Chartered Sadiq)

Nota : Jika anda pergi ke bank-bank ini anda akan dapati ada produk pembiayaan Islam yang ditawarkan. Ia juga telah disahkan oleh Majlis Shariah mereka.

Institusi Kewangan yang turut menawarkan perkhidmatan produk Islam. Ia adalah seperti berikut :-

  1. Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad
  2. Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad
  3. Export-Import Bank of Malaysia Berhad
  4. Bank Pertanian Malaysia
  5. Bank Simpanan Nasional Berhad

Sumber : BNM.  

Jika semua bank-bank ini menolak anda kerana permohonan  anda tidak mempunyai kelayakan atau disenaraihitamkan, anda boleh mencuba beberapa Koperasi yang menawarkan Pembiayaan Islam. ( Namun ia hanya bagi yang layak sahaja seperrti kakitangan kerajaan)

Bagi Insuran Islam atau Takaful pula, anda wajib mencari perlindungan dari mana-mana syarikat Takaful yang diiktiraf berikut terlebih dahulu. Ia seperti berikut :-

  1. CIMB Aviva Takaful Berhad
  2. Hong Leong Tokio Marine Takaful Berhad
  3. HSBC Amanah Takaful (Malaysia) Berhad
  4. MAA Takaful Berhad
  5. Prudential BSN Takaful Berhad
  6. Syarikat Takaful Malaysia Berhad
  7. Takaful Ikhlas Sdn Berhad
  8. Takaful Nasional Sdn Berhad

As at July 2007 : Sumber : BNM.

 

Setiap bank dan pengendali Takaful mempunyai cara semakan kemampuan individu ‘credit checking’ yang tersendiri. Tidak semestinya jika permohonan anda ditolak di sebuah bank Islam bermakna bank Islam yang lain juga akan menolak.

Setiap bank yang mempunyai cara pemasaran  dan  strategi masing-masing, contohnya, Asian Finance Bank Bank tidak menawarkan pembiayaan kenderaan, Bank Islam Malaysia Berhad pula difahamkan tidak membiayai pembelian kereta terpakai ‘used car’, RHB Islamic Bank pula menawarkan pembiayaan bagi kereta terpakai tetapi terdapat jenama kereta yang diterimanya dan ada yang tidak diterimanya. Justeru, tidak boleh dipukul rata semua bank Islam akan menolak jika satu menolak.

Tatkala semua institusi kewangan di atas menolak permohonan anda barulah kaedah hajiat atau dharurat boleh terpakai, itupun dalam konteks yang terbatas sebagaimana disebutkan:-

ما أبيح للضرورة يقدر بقدرها

Ertinya : Apa-apa yang diharuskan kerana sebab dharurat, adalah dibataskan dengan batasan tertentu” (As-Ashbah Wa An-Nazair, As-Suyuti, 1/82 ; Hawashi Asy-Syarwani, 3/27 )

Ia mensyaratkan penggunaan minima dan mempunyai had tertentu. Ertinya wajib dihadkan kepada jumlah dan kadar sekadar menampung keperluan mendesak sahaja tanpa bermewahan dan mengambil kesempatan pula. Dalam konteks rumah, ia adalah rumah pertama untuk didiami sahaja dan bukan rumah bagi tujuan pelaburan melalui sewa atau lain-lain.

Apa Yang Bank Islam Semak Dari Pemohon ?

Setiap bank mempunyai cara masing-masing, saya tidak mampu menyatakan semua cara mereka dan ia juga bersifat terlalu teknikal.

Secara umum, mereka akan menyemak :-

1)      Kemampuan pendapatan bulanan anda dan beban hutang-hutang anda dari pelbagai bank lain. Ia dinamakan ‘Margin of Repayment’ dan ‘Agrgregated margin of repayment’.

Setiap bank Islam meletakkan peratusan kemampuan pelanggan yang tersendiri bagi memenuhi standard kredit bank. Sebagai contoh, di ketika pemohonan dibuat, pelanggan mestilah mempunyai lebihan pendapatan bulanan sebanyak  50 % dari semua jumlah hutang-hutang dari pelbagai bank.

Formula kiraan : –

                         Bayaran Ansuran Bank A + B + C  = mesti kurang dari 50%

                         Jumlah Pendapatan Kasar Bulanan

Contoh En. Karim yang berpendapatan bulanan RM 5000 dan punyai sebuah rumah dengan bayaran ansuran sebanyak  RM 1000, dua buah kereta RM 550 dan RM 600. Kini beliau ingin membeli sebuah rumah lagi, justeru pihak bank akan memastikan kekuatan kewangannya seperti berikut :-

RM 1000 + RM 550 + RM 600 = 43 %

RM 5000

Jika dilihat dari keputusan ini iaitu 43 % , ini beerti permohonan En Karim layak untuk diproses dan diluluskan.

Jika tidak begitu cukup, anda mungkin memerlukan penjamin atau memasukkan nama isteri atau suami untuk menggabungkan kekuatan kewangan bagi berurusan dengan bank ini.

2) CTOS : Repot ini biasanya mengandungi ‘customer’s legal status’ sebagai contoh saman-saman dan proseding kemuflisan, sebarang kes mahkamah dan lain-lain berkaitan undag-undang.

Menurut CEO syarikat CTOS Sdn Bhd, mereka sentiasa mengemas kinikan informasi yang ada setiap hari, info ini mereka kumpul dari info awam di Jabatan insolvensi Negara, surat khabar dan lain-lain. Namun baru-baru ini perkhidmatan mereka menempuh kontroversi kerana terdapat banyak info yang tidak dikemaskni dan menyebabkan pihak bank menolak permohonan individu yang telah bersih dari masalah undang-undang. Rujuk di sini

3)      Central Credit Reference Information System (CCRIS) : Buat masa ini sistem ini mempunyai informasi seramai 5 juta peminjam dan pelanggan di bank-bank seluruh Malaysia. Melaluinya pihak bank dapat mengetahui samada pemohon mempunyai pernah lewat membayar atau tidak dalam hutag-hutangnya di bank lain, samda dalam kad kredit, rumah, kereta dan lain-lain. jika ada, maka laluan untuk mendapat kelulusan agak sukar.

4) Jenis kereta dan tahun pembuatannya (jika ingin beli kereta) dan pemaju (jika ingin membeli rumah di dalam pembinaan)

Ini kerana sebahagian jenis kereta dianggap tidak berdaya saing dan amat sukar untuk dijual di pasaran. Justeru risiko agak tinggi bagi bank untuk membiayai pelanggannya.

Demikian juga pemaju dan lokasi rumah yang ingin dibeli.  Mungkin tidak semua bank Islam menyemaknya tetapi secara umum mereka perlu meneliti perkara-perkara ini bagi memastikan transaksi yang ingin dimeterai dengan pelanggan adalah satu perniagaan yang berisiko agak kurang atau risiko.

Apa yang disebut hanyalah adalah beberapa info ringkas sahaja, sekadar memberikan gambaran kasar kepada pembaca.

Setelah semua ini disemak barulah bank akan meluluskan atau menolak permohonan pelanggannya.

Wajarkah Bank Islam Tolak ?

Setelah kita mengetahui demikian cara semakan pihak bank, persoalan seterusnya adakah wajar sebuah Bank Islam menolak  permohonan pembiayaan pelanggan yang inginkan proses halal dalam pemilikan kereta, rumah dan lain-lainnya?.

Pertama : Sebagaimana yang telah diberitahu dalam artikel sebelum ini, bank Islam adalah sebuah entiti perniagaan. Sudah tentu ia tidak akan mendedahkan dirinya kepada risiko berurusan dengan individu yang dijangka tidak mempunyai kemampuan (menurut standard piawaian mereka) mampu untuk membayar hutang hasil jual beli asset yang akan dilaksanakan.

Contoh mudah, jika kita mempunyai sebuah rumah yang ingin disewakan. Kemudian datang seorang lelaki yang berminat untuk menyewa tetapi ia tidak mempunyai sebarang kerja yang kukuh, sedangkan kos sewaan sebulan rumah yang ingin kita tawarkan adalah sebanyak RM 800. Adakah anda sanggup menyewakannya ? Sedangkan anda terpaksa membayar ayaran bulanan kepada bank sebanyak RM 750 sebulan.

Dalam hal ini anda terpaksa membuat budjet yang tepat bagi meraih untung dan dalam masa yang sama memastikan bayaran bulanan kepada bank mampu dilunaskan.

Demikian halnya sebuah bank, ia mempunyai tanggungjawab bagi memeastikan individu yang melabur dengannya boleh mendapat pulangan yang baik, bagi memastikan keuntungan mampu dicapai, sudah tentu ia terpaksa memilih pelanggan.

Kesimpulannya, samada anda mahu menyewakan rumah anda kepada pelanggan seperti ini atau tidak, ia akan bergantung kepada pengurusan dan standard atau piawaian anda selaku pemilik aset. Jika anda meneliti buku-buku pakar kewangan. Sudah pasti mereka akan menyarankan anda agar tidak menyewakannya kecuali kepada orang yang mempunyai tahap kewangan yang meyakinkan.

Kedua : Dari sudut Islam pula, jika ada yang ingin meminjam wang dari anda. Adalah elok jika anda memastikan tahap amanah dan potensi mereka untuk membayar hutangnya kelak, kecuali jika anda sudah berniat dari awal untuk mensedeqahkannya kepada peminjam di waktu kesusahannya.

Allah s.wt berfirman :-

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ وَأَن تَصَدَّقُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Ertinya : “Dan jika (orang berutang itu) dalam kesukaran, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebagian atau semua utang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.”

Menghalalkan hutang merupakan satu tindakan yang amat terpuji dan sesuai dilakukan secara individu tapi untuk mengharapkan sebuah entiti perniagaan seperti bank-bank Islam menyedeqahkan sahaja hutang yang berpuluh ribu ringgit jumlahnya, ia mungkin agak keterlaluan.

Justeru jika kita tidak berniat untuk menghalalkannya atau memberikan tempoh lebih panjang di waktu peminjam sukar, eloklah kita jangan memberikan hutang itu kerana kelak ia akan menjerumuskan si peminjam ke dalam dosa-dosa yang pelbagai seperti hadis ini :-

إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف

Ertinya : Baginda menyebut : ” Sesungguhnya seorang itu apabila ia berhutang, ketika ia berbicara ia kerap berdusta, bila berjanji ia kerap mengingkarinya” ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214 )

Dan juga sebuah hadis lain :-

مطل الغني ظلم

Ertinya : “Penangguhan pembayaran hutang oleh orang yang berkemampuan adalah satu kezaliman” ( Al-Bukhari, 3/55)

Bagi orang sebegini, para ulama menyatakan harus hukumnya untuk di tangkap dan dijatuhkan hukuman takzir. Imam Al-Haithami pula mengatakan ORANG BERKEMPUAN TAPI MENGGUH MELUNASKAN HUTANG DENGAN SENGAJA dikira sebagai salah satu dari dosa besar ( Az-Zawajir ‘An Iqtiraf al-Kabair, 1/250 )

Kesimpulannya, member hutang kepada orang yang tidak layak boleh menjermuskan mereka kepada tiga dosa berikut :-

  • a- Bercakap lalu berbohong
  • b- Berjanji lalu mungkiri janji
  • c- Ada duit tapi tangguh bayar lalu tergolong dalam kumpulan ‘Mumatil’ dan dihukum zalim oleh Nabi s.a.w.

Hasilnya, tidak wajar kita menuduh bank-bank Islam sebagai zalim kerana menolak permohonan kita kerana  menurut sudut pandangan Islam, ia turut mempunyai masalahat dan kepentingan yang diiktiraf oleh Shariah  iaitu menjaga maslahat pemohon itu juga, agar tidak menjermuskannya ke lembah hina dan gagal bayar. 

Saya   kira sebagai perancangan kewangan yang bereksan, cuba pastikan setiap kali anda ingin membuat tambahan hutang, pastikan pendapatan dan pbeban hutang anda kurang dari 50 % sebagai formula bank tadi, ia baik diamalkan bagi individu.

Kini pihak academia Islam di universiti-universiti sedang mencadangkan diwujudkan pembiayaan mikro kredit Islam. Ia lebih khusus bagi individu berpendapatan rendah dan kesukaran untuk memperolehi pembiayaan. Namun masalahnya adalah kita kekurangan individu kaya dan syarikat kaya yang sudi untuk melepaskan peluang mendapat untung besar untuk masuk ke dalam jenis pembiayaan mikro ini yang menawarkan untung kecil dan pahal besar. Ini menyebabkan cadangan para ahli akademik menjadi bahan di perpustakaan sahaja.

Sekian,

 

Zaharuddin Abd Rahman

 

 

 

 

Advertisements

ILMU YANG DIPINGGIRKAN OLEH PENDAKWAH

24 Mar

Oleh : Yussamir Yusof
Sumber: http://www.yussamir.com

Ilmu Perbandingan Agama, Comparative Religion, Muqaranah al-adyan, ketiga ini mewakili makna yang sama, iaitu pengetahuan tentang perbezaan agama. Sebut sahaja nama-nama besar dalam ilmu ini, Syeikh Ahmad Deedat, Dr Zakir Naik, Brother Shahkirit, Brother Amin Yaacob dan YM Engku. Pasti semua orang akan terbayang tentang betapa petahnya mereka berhujah, terutama dalam perbandingan Agama Islam dan Kristian.

Tetapi kita sebenarnya terlupa atau tidak mengetahui, bahawa sebelum tokoh-tokoh di atas wujud di muka bumi ini, sudah ada ulama besar yang hebat dalam ilmu perbandingan agama . Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, Hujatul Islam Abu Hamid al-Ghazali, Imam Ibnu Qoyim al-Jauziah, dan Maulana Syeikh Koiranvi hanyalah sebilangan tokoh ulama zaman lampau yang gigih dab konsisten dalam ilmu ini.

Misalnya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam kitabnya yang bertajuk Al-Jawab al-Sahih Li-Man Baddala Din al-Masih. Sebuah kitab yang berisi 1000 halaman ini dikarang oleh beliau sebagai tindak-balas menjawab pertuduhan yang dilemparkan oleh Paul of Antiouch (seorang Bishop Kota Sida) dalam sebuah risalah 24 halaman. Bukan setakat sebuah kitab, Ulama besar yang sering dilanda fitnah dan tuduhan-tuduhan liar ini, telah mengusahakan 5 buah kitab lagi bagi menjawab pelbagai persoalan yang ditimbulkan oleh penganut Kristian semasa zamannya.

Hal ini telah dikemukan oleh salah seorang anak murid beliau iaitu, Abdul Hadi(rujuk F.Michel S.J Thomas, A Muslim Theologian’s Response To Christianity: Seperti yang dikemukakan oleh Muhammed Amin Yaacob), “Ibnu Taimiyah telah menulis kitab ini bagi menjawab ‘Assaf al-Nasrani iaitu seorang paderi Kristian yang dituduh menghina keperibadian Rasulullah. Kitab-kitab tersebut ialah : Iqtida’ al-Sirat al-Mustaqim Mukhalafat Ashab al-Jahim, Jawab Fi ihtijaj al-Jahmiyah wa al-Nasara bil Kalima, ar-Risalah al-Quhrusiyah: Khitab li-Sirjwas Malik Quhrus, Qawaid al-Kanais, Takhjil ahl –Injil wa- Nahj al-Sahih fi al-Raad ‘ala Man Baddala Din ‘Isa ibn Maryam al-Masih.

ILMU PERBANDINGAN AGAMA ADALAH SUNNAH

Allah berkata dalam surah Yunus ayat 94, “Maka jika kamu (Muhammad) berada dalam keragu-raguan tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang membaca kitab sebelum kamu. Sesungguhnya telah datang kebenaran kepadamu dari Tuhanmu, sebab itu janganlah sekali-kali kamu temasuk orang-orang yang ragu-ragu.”

Menurut Syeikh Muhammad Izzat al-Tahtawi seorang pakar perbandingan agama negara Syria dalam kitab al-Mizan Fi Muqaranah al-Adyan cetakan Darul Salam Syria, beliau berkata ayat di atas adalah dalil ataupun bukti bahawa ilmu perbandingan agama termasuk dalam ilmu-ilmu Islam. Ayat di atas secara jelas menyatakan kebenaran serta keunggulan Islam apabila dibandingkan dengan keseluruhan agama yang wujud di dunia, khususnya kepada Ahlu Kitab.(Seperti yang dikemukakan oleh Muhammad Amin Yaacob)

Usaha untuk membandingkan satu agama dengan agama lain, sebenarnya telah dilakukan sejak zaman para Sahabat lagi. Perkara ini dibuktikan dalam sebuah riwayat dimana Saidina Umar al-Khatab berjumpa dengan orang Yahudi yang sedang mempelajari Taurat. Kemudian beliau berkata, “Sesungguhnya aku datang hanyalah untuk membandingkan kitab Allah yang satu ini dengan yang lainnya”. (Riwayat ini dari Abu Syaikh al-isbahani, dan dia berkata: Abu Yahya al-Razi menceritakan kepada kami, Sahl bin Uthman menceritakan kepada kami, Ali bin Mashar menceritakan kepada kami, dari Abu Daud dari al-Sya’bi. Sanad ini direkodkan oleh Imam Ibnu Qoyim dalam kitab Hidayatul Hayafari fi Ajwibatil Yahud wa Nasara).

SEJARAH DIALOG ISLAM-KRISTIAN

Dialog antara Islam dan Kristian sudah sekian lama wujud. Bukan kerana Islam membenci dan ingin bermusuh dengan Kristian. Tetapi disebabkan dekatnya akidah mereka dengan akidah umat Islam. Penganut Kristian mempercayai Jesus Crist, manakala dalam Islam mempercayai bahawa Jesus itu adalah Nabi Isa yang kita hormat dan cintai. Penganut Kristian mempercayai Jesus adalah anak kepada Maria tanpa bapa dan boleh bercakap ketika masih bayi. Islam juga beriman dengan kepercayaan tersebut. Perkara ini disebutkan dalam Quran surah al-Imran ayat 45-47, Allah berkata,

“ (Ingatlah), ketika Malaikat berkata: “Hai Maryam, seungguhnya Allah menggembirakan kamu (dengan kelahiran seorang putera yang diciptakan) dengan kalimat (yang datang) daripada-Nya, namanya Al Masih Isa putera Maryam, seorang terkemuka di dunia dan di akhirat dan termasuk orang-orang yang didekatkan (kepada Allah), dan dia berbicara dengan manusia dalam buaian dan ketika sudah dewasa dan dia adalah termasuk orang-orang yang saleh.” Maryam berkata: “Ya Tuhanku, betapa mungkin aku mempunyai anak, padahal aku belum pernah disentuh oleh seorang laki-lakipun.” Allah berfirman (dengan perantaraan Jibril):”Demikianlah Allah menciptakan apa yang dikehendaki-Nya. Apabila Allah berkehendak menetapkan sesuatu, maka Allah hanya cukup berkata kepadanya:”Jadilah”, lalu jadilah dia.”

Kebersamaan dalam beberapa perkara yang berkaitan dengan kepercayaan antara Kristian dan Islam, sebenarnya adalah satu keuntungan untuk para pendakwah Islam. Sehinggakan Allah sendiri menggalakkan umat Islam mencari persamaan dengan Ahlu Kitab, sepertimana yang Allah katakan dalam surah al-Imran ayat 64, Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah.” 
Sejarah membuktikan bahawa dialog antara Islam dan Kristian telah dimulakan sendiri oleh Baginda s.a.w dengan sekelompok perwakilan Kristian dari kawasan Najran. Perwakilan ini diketuai oleh Abdul al-Masih serta Abu Haritshah bin Al-Qomah, Bishop Najran. Dialog ini dipetik dari kitab al-Mizan fi Muqaranah al-Adyan.

Selepas Rasulullah wafat, dialog-dialog antara Islam dan Kristian terus berkembang. Antaranya sebuah dialog yang terkenal antara seorang sahabat Rasulullah yang bernama Amru bin Al-‘As pada 9 Mei 639 Masihi dengan seorang ketua Gereja Ya’qubiyah. (Newman, N.A, The Early Christian-Muslim Dialogue (Interdisciplinary Biblical Research, Hartfield, Pennsylvania, USA. Seperti yang dikemukakan oleh Muhammed Amin Yaacob). Dialog tersebut berlangsung dengan beberapa soalan yang dikemukan oleh Amru bin Al-‘As kepada ketua Gereja tersebut. Antara persoalan yang ditanya ialah:

1. Ada berapa versi Bible pada penganut Kristian?
2. Mengapa wujud perbezaan konsep akidah di kalangan penganut Kristian?
3. Siapakah Al-Masih pada pandangan penganut Kristian. Adakah dia Tuhan ataupun tidak?
4. Apabila al-Masih yang diyakini penganut Kristian sebagai Tuhan berada dalam kandungan ibunya Mariam, siapakah yang mentadbir serta mengawasi langit dan bumi?

APAKAH USAHA KITA?

Di mana usaha kita? Adakah kita sekadar berbangga dan meletakkan tanggungjawab itu ke atas bahu tokoh-tokoh di atas? Buangkanlah alasan-alasan tidak cukup ilmu, tidak cukup masa, dan tidak cukup duit untuk terjun ke lapangan dakwah ini. Syeikh Ahmad Deedat menjadi tokoh besar dalam ilmu ini bermula dengan mengkaji kitab Izharul Haq, dan beliau dengan berani mula berdialog dengan paderi dan orang-orang Kristian.

Apabila Yusuf Estes bertanya kepada para peserta dalam sebuah seminar tentang apakah dalil yang sesuai untuk kita keluar berdakwah walaupun tahu sedikit? Brother Shahkirit menjawab, Balighul walau Ayah (Sampaikan walau sepotoh ayat: hadith ini sahih dalam Bukhari). Bukan memandai-mandai, tetapi sampaikan apa yang kita tahu. Dan untuk tahu, kita haruslah keluar mencari ilmu-ilmu yang berkaitan dengan dakwah kepada orang bukan Islam.

Hendak seribu Daya, Tak Hendak seribu Dalih,

Banyak tempat dan pusat dakwah Islam menjalankan aktiviti untuk sesiapa yang berhasrat untuk menjadi pendakwah. Baru-baru ini, PERKIM USJ-Subang Jaya menganjurkan kursus perbandingan Agama serta cara-cara berdakwah secara berkhikmah. Kursus ini akan bermula pada 15, 22,29 Mac dan 5 April bertempat di PERKIM USJ-Subang jaya.

selain daripada itu, Islamic Information and Service Foundation juga sering mengadakan kelas-kelas perbandingan agama secara mingguan dan juga Intensif. Kelas ini akan diketuai oleh Brother Shahkirit dan para Alumni FCR. Untuk kelas Intensif selama dua hari, akan diadakan pada 21 dan 22 Mac 2009 ini di IIS setiawangsa. Yuran untuk pelajar RM 100 dan bukan pelajar ialah RM 120. Untuk urusan pendaftaran boleh hubungi Sister Mariam 016 238 1104 atau datang terus ke IIS Setiawangsa.

Saya berharap usaha-usaha dengan membuka kelas-kelas seperti di atas menjadi jalan dan peluang kepada kita semua, untuk mendekatkan diri kepada Allah dan berbakti kepada-Nya. Moga persoalan di mana usaha kita selepas ini, dapat dijawab dengan kegiatan dakwah kita kepada orang bukan Islam.

Seeru ala barakatillah…

 

Kalau Dicemburui, Tandanya Berjaya

24 Mar
   

Orang cemerlang akan dimusuhi oleh orang tidak cemerlang. Orang berjaya akan dimusuhi oleh orang yang tidak berjaya. Orang cerdik akan dimusuhi orang tidak cerdik. Orang baik akan dimusuhi orang tidak baik.

 

Tuk imam akan dimusuhi kaki judi. Polis akan dimusuhi penjenayah. Orang kaya akan dimusuhi perompak. Orang cantik akan dimusuhi orang buruk. Orang hebat akan dimusuhi oleh orang tidak hebat.

 

Apa nak hairan, sifir kehidupan memang macam tu. Baik lawannya buruk, neraka lawannya syurga. Kalau anda baik dan anda dimusuhi orang jahat, itu biasa sebab memang kerja orang jahat memusuhi orang baik. Tiada orang jahat memusuhi orang jahat. Selalunya orang jahat bergabung untuk bermusuh dengan orang baik.

Kalau anda berjaya berdiri di puncak, kemudian anda pun dimusuhi orang, apa nak hairan, memang kebanyakan manusia gagal akan bertindak begitu. Jarang orang gagal mahu belajar dari kegagalannya. Jarang orang gagal mahu membina kejayaan setelah menempuh kegagalan, sebaliknya memang ramai orang gagal sakit hati dengan orang berjaya dan akan cuba melakukan bermacam-macam perkara untuk menggagalkan orang berjaya itu.

Saya menerima kes seorang peniaga pasar malam ditimpa sakit misteri dan dia mengesyaki orang yang menyebabkan dia sakit adalah rakan niaga di pasar malam yang sama. Masalahnya sebab dia seorang yang lebih berjaya berbanding rakan niaga tadi. Maka dia pun dimusuhi kerana kejayaannya itu. Apa nak hairan, memang kebanyakan manusia berperibadi rendah akan berbuat seperti itu untuk naik mengatasi saingannya.

Seorang guru cemerlang akan dimusuhi oleh guru tidak cemerlang. Seorang pengetua terbilang akan dimusuhi oleh pengetua tidak terbilang. Seorang kaunselor yang boleh menyebarkan khidmatnya secara meluas akan dimusuhi oleh kaunselor yang terbatas bidang tugasnya. Apa nak hairan, memang manusia begitu. Jarang hendak memperbaiki diri dan bersaing secara sihat, sebaliknya mencari jalan bagaimana hendak jatuh menjatuhkan.

Seorang rakan memberitahu saya, suatu hari tatkala dia sedang makan tauhu sumbat di sebuah gerai, tidak semena-mena keluar beberapa ekor ulat dari tauhu sumbat itu dan ulat-ulat itu hidup. Macam mana boleh ada ulat, sedangkan tauhu sumbat itu panas lagi?

Perbuatan siapakah ini? Apakah perbuatan orang yang sama cemerlang atau mereka yang jauh ketinggalan? Jarang orang yang cemerlang ada masa untuk melakukan berbagai-bagai perkara untuk melingkupkan perniagaan orang lain, tetapi selalu berlaku orang yang ketinggalan ada banyak masa untuk menjatuhkan orang cemerlang itu tadi.

Jika hal semacam ini berlaku ke atas diri anda, usahlah terlalu kecewa, sebab memang manusia itu macam-macam. Sejak dulu hingga kini, dunia terpaksa menyimpan orang tidak cemerlang untuk sama-sama melata di atasnya bersama-sama orang yang cemerlang. Orang tidak cemerlang tidak akan suka buat apa sahaja yang suka dilakukan oleh orang cemerlang. Maka orang tidak cemerlang ini akan melakukan bermacam-macam perkara yang bertentangan. Dia akan menggunakan bermacam-macam saluran untuk menjatuhkan anda. Dia akan menggunakan saluran internet, sms broadcasting, akhbar, risalah malah dari mulut ke mulut.

Apa nak hairan sangat, manusia gemilang lawannya manusia keciciran. Biarlah mereka terus tercicir dengan pelbagai hal yang bakal menambahkan lagi dosa mereka sedang anda menerima pahala percuma hasil perbuatan mereka. Mengapa perlu sakit hati sangat? Tidak perlu, tetapi teruskan kerja anda, sampai ketikanya nanti anda semakin berada di puncak sedangkan dia semakin jauh di jurang yang dalam

Majalah Terbitan Telaga Biru

24 Mar

 

 

 Majalah yang diterbitkan oleh Syarikat Telaga Biru kini berada dipasarana pada januari 2009 .Pelbagai topik yang dibincangkan antaranya  berkaitan fiqh,ulasan buku, isu-isu semasa, perbankan & kewangan Islam dan isu-isu semsa yang terkini. Berkulit keras sesuai untuk menjadi bacaan tambahan dirumah dan kepada kepada pencinta ilmu Islam. Penulis majalah ini  terdiri daripada  pelbagai latarbelakang yang mempunyai pengkhususan dalam bidang masing-masing.Bantulah majalah ini  dengan membeli secara  istiqamah dan sebarkan info ini kepada sahabat-sahabat yang lain.Harganya yang berpatutan iaitu RM 9.00.Fikirkan ilmu dan info yang ada dalam majalah ini. 

Info dan maklumat dalam majalah ini begitu bermanfaat kerana banyak mengupas isu-isu semasa yang relevan dengan kehidupan seorang muslim.Lakukan anjakan paradigma wahai para pencinta dan perjuangan Islam.

Tahniah Nik Nur Madihah Mohd Kamal(Rekod 19 A1, 1 A2)Pelajar Maahad Muhammadi (P)Kelantan

18 Mar

 

Tahniah kepada adik Nik Nur Madihah atas kejayaannya menempa sejarah pendidikan negara dengan pencapaian 20 A. 19 1A, dan 1 2A. Bagi individu berlatarbelakangkan agama seperti saya, kejayaan ini lebih manis apabila datang dari seorang muslimah yang sempurna penutupan aurat dan bersekolah agama. Lebih manis lagi apabila ia lahir dari sebuah keluarga yang tidak berada dari sudut kebendaan, tidak pula dilimpahi kemudahan-kemudahan tambahan seperti tuisyen dan lainnya.

Inilah yang dinamakan dakwah bil hal, iaitu satu bentuk teladan dan ajakan kepada kebaikan melalui pencapaian dan teladan hasil kejayaan dan perlakuan diri, bukan melalui percakapan atau tulisan. Benar, hampir seluruh Malaysia menumpu kepada beliau, dan tabiat manusia khususnya orang Malaysia adalah ingin mengetahui ‘rahsia’ kejayaannya. Lebih biasa kita dengar adalah cuba mendapatkan jalan pendek kepada kejayaan yang sama. Kasihan juga memikirkan minda sebahagian muslim yang inginkan kejayaan tetapi melalui rahsia tertentu, ayat Al-Quran tertentu, doa khusus dengan ‘power’ tertentu dan lainnya, dengan harapan semua itu akan memberi satu kuasa luar biasa walaupun tanpa susah payah usaha, mereka cuba mengelak dari jalan sukar dan panjang. Ia adalah satu minda yang songsang kerana semua kejayaan melalui jalan pendek adalah tiada kukuh asasnya atau HAMPIR SEMUANYA diperolehi dengan jalan korup dan salah.

Apa yang lebih menarik pihak media massa dalam kisah adik Nik Madihah, bukan sekadar kejayaannya tetapi juga ketabahannya mengharungi pembelajaran dalam suasana serba kekurangan harta benda yang kerap dijadikan ukuran kebolehjayaan seseorang. Jelas, limpahan kebendaan bukanlah satu kewajiban untuk mencatat kejayaan cemerlang.

IBADAH DAN KEJAYAAN

Kenyataan Nik Nur Madihah yang berterus terang berkenaan kebiasaannya berpuasa Isnin Khamis turut memberikan impak positif kepada ibadah puasa yang adakalanya dilihat serong oleh manusia bertuhan aqal (mereka adalah kumpulan sekular), yang sering mendakwa puasa boleh membantutkan prestasi pelajaran dan kerja kerana keletihan dan tidak bermaya.

Tudung labuhnya tidak menutup mindanya dari cerdas sebagaimana anggapan dan tuduhan sebahagian wanita moden yang amat membenci pakaian Islam ini. Bibirnya tidak perlukan warnaan merah lipstick, matanya tidak perlukan eyeshadow warna abdomen langau yang kehijauan dan pipinya tidak perlukan blusher merah agar dilihat bijak. Semuanya natural. Beliau juga tidak perlukan skirt pendek bagi menampaknya kecekapan mindanya.

Mujurlah adik Nik tidak memaklumkan berkenaan ibadah solat malam dan tahajjudnya. Jika tidak tentunya bekas pemimpin dan pemimpin yang pernah ‘membantai’ solat malam dengan hujjah ia memundurkan prestasi pelajar akan seolah-olah ditampar kiri kanan serta terkena jurus ‘flying kick’ di perut.

CABARAN MENGEKAL KEJAYAAN

Erti kejayaan amat luas dan subjektif, sebagai umat Islam kita wajib melihatnya dari perspektif keagamaan terlebih dahulu sebelum tenggelam dengan takrifan dan definisi kejayaan dari kacamata kebendaan. Namun saya tidak ingin memanjangkan takrif dan erti tersebut di dalam artikel ini.

Apapun saya ingin merakamkan tahniah kepada adik Nik Nur Madihah dan para pelajar lain yang berjaya menempa kecemerlangan dalam peperiksaan SPM mereka.

Namun beringat-ingatlah, pengalaman saya mengambil SPM di awal tahun 1990 an, dan melihat kejayaan mereka yang cemerlang dalam peperiksaan SPM memperlihatkan satu gambaran dan analisa yang berbeza-beza.

Tidak sedikit pelajar yang menyapu bersih 1A dalam semua atau majoriti matapelajaran tetapi tewas dan jatuh terjelepok semasa kehidupan di universiti. Puncanya sangat pelbagai namun asasnya adalah akibat lemah jatidiri hingga ‘cair’ dengan alam universiti yang lebih bebas berbanding sekolah. Satu alam yang menguji proses kebijaksanaan seseorang dalam menentukan hala tuju kehidupan dan ujian membuat banyak keputusan. Ramai juga yang gagal, lalu kejayaan SPM mereka hanya tinggal sebagai satu kenangan manis. Selepas keluar dari univeristi mereka bukan lagi individu teladan dan kebanggaan agama dan negara, mereka hanya orang biasa, malah mungkin duduk pun sebaris dengan individu yang gagal di dalam SPM mereka.

Tanpa mengira lokasi universiti, sama ada di dalam atau luar negeri, pokok pangkal kelangsungan kejayaan adalah terletak pada hati dan diri sendiri. Ramai yang berbangga apabila dapat melanjutkan pelajaran ijazah pertama ke luar negara, namun pulangnya tidak seperti manusia. Rambut kusut masai lagak penyanyi rock, pakaiannya berkiblatkan barat, hati dan minda menggengam erat ideologi barat. Bukan semua berambut panjang salah, memang benar ia terletak kepada niat dan pelbagai faktor lain (antaranya jimat budjet agaknya) namun ramai orang yang penampilan luarannya sengaja diniat menyamai barat hasil kekagumannya kepada negara itu.

Lebih malang, dara dan terunanya sudah lama mengucapkan selamat tinggal. Akibat kelemasan dengan cara hidup masyarakat Barat, dirasakan cara hidup ini sebagai mulia dan terkehadapan. Kasihan melihat pelajar-pelajar cemerlang SPM seperti ini, mereka dibiayai oleh kerajaan Malaysia hasil wang masyarakat Malaysia atas kejayaan aqal mereka, namun rupanya aqal mereka HANYA BIJAK MENJAWAB SOALAN PEPERIKSAAN, tetapi tidak bijak menangani persoalan kehidupan realiti, tidak bijak membuat keputusan mungkin kerana tiadanya ‘silibus khusus yang dibocorkan oleh guru’. Kegagalan ini adalah hasil dari hati yang gersang dan kering dari panduan Ilahi.

MINDA ROBOT AKAN KARAT

Itu jika dilihat dari aspek kegamaan, namun bukan sekadar itu sahaja. Pengalaman saya mengendalikan banyak interview, demikian juga hasil maklumat dari rakan-rakan di industri kewangan di Malaysia, juga adik beradik saya yang kini banyak mengendalikan temuduga kerja di syarikat masing-masing. Dapat saya kumpulan kesimpulan bahawa, keputusan 3.5 hingga 4.0  CGPA di univeristi juga tidak menjamin kemampuan dan bakat graduan.

Saya telah pernah menuliskan sekelumit panduan semasa temuduga, satu proses ujian yang kerap mendedahkan kekeringan bakat dan minda calon, walaupun dahulunya ia seorang cemerlang SPM, juga top scorer di Universiti.

Bukanlah niat saya menghilangkan motivasi pelajar untuk mencapai keputusan mantap lagi cemerlang. Ia satu kewajiban dan tuntutan, tetapi aspek kecerlangannya perlu diluaskan lagi. Menjadi seorang mat atau minah buku di universiti adalah teknik mudah untuk menjadi graduan berminda robot, cepat pula tarikh expirednya. Bijak-bijaklah mengatur urus pengajian di universiti, jangan menjadi ulat buku berminda robot yang amat mudah outdated dari dunia realiti, akhirnya menjadi computer buruk berharga murah.

Bagi menjadi minda manusia cemerlang, pelajar cemerlang wajib membuka minda dan terlibat dalam banyak masalah sama ada persatuan, dakwah dan aktviti di universiti. Semakin banyak dan pelbagai masalah yang menyerang semasa di universiti lalu dia mampu melepasinya, KIAN TINGGILAH antibodi diri.

Peratusan untuk menjadi seorang yang kebal, berpasak kukuh, berminda komputer yang sentiasa updated dan menjadi idaman setiap institusi dan syarikat akan semakin CERAH. Lebih dari itu, andalah cahaya baru buat kebangkitan agama dan pengemudian hala tuju masyarakat. Saya bukan bercakap kosong, tetapi hanya ingin berkongsi sedikit pengalaman. Sebenarnya telah ramai yang berjaya dan ramai juga yang saya kenali. Jalan mereka hampir serupa cuma belum dan tidak dibukukan untuk tatapan ramai.

Nasihat saya buat Nik Nur Madihah dan pelajar-pelajar lain yang mencatat kejayaan SPM, sama ada anda memilih UK, Jordan, Mesir, Malaysia atau di mana negara pun, jalan kejayaan masih jauh. Hempasan ombak cabaran dalam membuat keputusan masih belum melanda. Bersedialah, dan gariskan awal-awal hala tuju kejayaan diri. Beristisyarlah (bertanya dan bermesyuarat) dengan individu yang mempunyai hikmah dan pengalaman, sesungguhnya kejayaan melalui pengalaman itu suatu realiti, sedangkan kejayaan peperiksaan bertulis hanya teori.

Akhirnya, khas buat Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, selamat datang ke dunia barumu. Awasilah ia dengan minda dan hati yang sedar. Segala jenis syaitan sedang menunggumu di kiri kanan, depan dan belakang. Kenalilah segera mana syaitan dan mana Malaikat. Semuanya sudah tercatat di dalam Al-Kitab dan Khazanah Nabi dan sahabat.

Sesiapa yang tinggal berhampiran dengan rumahnya, amat saya hargai jika dapat diprint artikel ini dan disampaikan kepada beliau.

Salam ikhlas perjuangan dari saya.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

 

nik-madihah

Saya terharu dan bersyukur mendapat berita Nik Madihah mendapat 19A1 & 1 A2 dalam SPM2008 lalu,  sedang tempat dia membesar dan mengulangkaji adalah di sebuah rumah dan dalam keluarga yang sangat sederhana. Ayahnya bekerja sebagai nelayan, menyewa rumah yang “sempit dan uzur” RM90.00 sebulan seperti dikatakan Utusan Online.

Nik Madihah sendiri menceritakan keadaannya … “Kehidupan kami sekeluarga amat sukar, kadang-kadang tidak ada makanan. Oleh itu, sejak tahun enam saya mengamalkan puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis… Secara purata saya akan membawa wang poket tidak sampai RM1 malah kadang-kadang tiada wang untuk makan di sekolah kerana wang yang diberikan oleh ayah hanya cukup untuk tambang bas ke sekolah kira-kira RM4 untuk pergi dan balik … Di sekolah saya hanya makan roti atau bawa bekal nasi goreng… Saya menerima semua ini dengan reda kerana faham ayah tidak mempunyai pendapatan tetap secara purata sekitar RM500 – RM700 sebulan… Saya belajar di ruang tamu. Alhamdulillah tiada gangguan kerana tiga adik saya sudah besar dan dua daripadanya tinggal di asrama… Saya menjadikan ia satu cabaran untuk mengubah kehidupan keluarga kami…   Kehidupan yang sukar terutama ketika musim tengkujuh atau bot ayah rosak menjadikan saya lebih insaf untuk berusaha bersungguh-sungguh. Pada ketika ayah tidak dapat ke laut, kami hanya makan nasi berlauk telur goreng. “

madihah2

“… Saya rahsiakan sebab saya mahu membuat kejutan. Jadi keputusan ini adalah sumbangan kecil saya kepada ibu bapa yang banyak berjasa untuk membesarkan saya…” (Nik Nur Madihah)

Pengajaran-pengajaran yang boleh saya simpulkan :

  1. Umat Islam, samada lelaki maupun wanita, mempunyai potensi aqal dan semangat yang hebat ke arah membangunkan umat Islam sekali lagi di akhir zaman ini. Hanya yang tinggal ialah bagaimana mendidik potensi-potensi ini dengan Tarbiyah Islamiyah yang sejati sehingga kita dapat menghasilkan pendakwah-pendakwah yang hebat, sempurna lagi menyeluruh.
  2. Umum berpendapat bahawa anak yang tinggi IQ nya adalah lahir dari ibu bapa yang dari bidang-bidang professional. Namun hakikatnya IQ yang tinggi adalah anugerah Allah yang diberikanNya kepada siapa sahaja dari kalangan hamba-hambaNya. Anugerah IQ boleh dikira sebagai salah satu bentuk rezeki dari Allah. “Siapa yang bertaqwa kepada Allah diberinya jalan keluar. Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak dia sangka-sangka. Siapa yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah mencukupkannya …” (Al-Quran).
  3. Tiga rukun tarbiyah yang terpenting ialah Mutarabbi (Nik Madihah), Manhaj (syllabus SPM) dan Murabbi (guru-gurunya). Adapun bangunan, teknologi canggih, strategik planning, SWOT analysis dll adalah alat-alat luaran yang cuba membantu pentarbiyah diri semata-mata. Tanpa kesemua alat-alat tersebut, mungkin akan berlaku kesulitan tetapi tidak mustahil tarbiyah boleh berjaya asalkan Murabbi, Manhaj dan Mutarabbi nya jelas dan hebat. Sebaliknya, tanpa murabbi yang faham dan hebat, tanpa mutarabbi yang bersungguh dan ikhlas dan tanpa manhaj yang salah, pentarbiyahan tidak akan ke mana, walaupun peralatan-peralatan sokongannya canggih dan mahal.
  4. Keberkatan dalam rezeki untuk membesarkan keluarga adalah rukun penting dalam hidup. Saya percaya seorang nelayan seperti Nik Mohd Kamal, ayah kepada Nik Nur Madihah, yang makan berlauk dihari biasa, tetapi “berlauk telur goreng di hari tengkujuh atau ketika bot rosak …” benar-benar mendapatkan rezeki keluarganya dari hasil kerja laut secara halal semata-mata, berbanding dengan banyak bidang profession dan kerja lain di zaman canggih Malaysia Boleh pada hari ini yang sukar melepaskan diri dari riba dan putar belit (gharar).

Syukur kepada Allah swt yang menganugerahkan kejayaan yang menonjol ini. Syabas kepada Nik Nur Madihah diatas anugerah Allah mendapat 19A1 1A2. Hari-hari depannya masih jauh dan mencabar. Kejayaan dalam pelajaran dan SPM bukan satu-satunya kejayaan dalam hidup. Posting saya mengenai kisah malang genius matematik, Sufiah Yusuf : Permata Yang Berkecai jangan dilupakan. Masih banyak kejayaan-kejayaan dalam kehidupan dan perjuangan ini yang mesti dicapai, terutama kejayaan Dakwah Islam, mendapat redha Ilahi dan SyurgaNya. Semoga Allah terus memberi kita kejayaan demi kejayaan untuk umat Islam ini kearah mengagung dan meninggikan KalimatNya di atas mukabumi ini. Ameen.

Ustaz Halim INIJALANKU   www.inijalanku.wordpress.com

 

INILAH RUMAH SAYA

      

Nik Nur Madihah bersama ibu bapanya Nik Mohd. Kamal Hussien dan Mariani Omar di rumah mereka di Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam. – UTUSAN/Hafiz Johari

 


        

 

 

 

 

 

 

Utusan Online 14 Mac 2009.

Hidup tanpa peralatan canggih dan kemudahan sempurna bukan penghalang untuk seseorang menempa kejayaan. Malah kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan ibu bapa.

Siapa sangka rumah yang kelihatan hampir roboh ini menyimpan sebutir permata berharga yang bakal menyinar suatu hari nanti.

Bahkan tidak seorang juga yang terfikir bahawa permata yang berlindung di rumah ini telah mencipta sejarah dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin. Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2.

Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.

Dia yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006, bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.

Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.

Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu yang menjadi tempatnya untuk berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.

Resipi kejayaan Madihah dapat 20A

KETIKA keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan semalam seorang pelajar, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, membuat kejutan apabila mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2.Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan yang hidup dalam keadaan serba kekurangan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.

Wartawan Utusan Malaysia, AZRAN FITRI RAHIM dan jurugambar, HAFIZ JOHARI menemui Nik Nur Madihah di rumah keluarganya di Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa, Kota Bharu untuk mengetahui rahsia kejayaannya.

Dia yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006 itu bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.

Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.

Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu menjadi tempat dia berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.

UTUSAN MALAYSIA: Bagaimana timbulnya idea untuk mengambil 20 mata pelajaran dalam peperiksaan SPM tahun lepas?

NIK NUR MADIHAH: Sebelum ini jika dilihat kebanyakan pelajar cemerlang datang dari keluarga yang senang seperti anak guru, pegawai bank, oleh itu, timbul idea saya mahu buktikan kepada masyarakat bahawa anak nelayan juga mampu mencatatkan kejayaan yang cemerlang seperti orang lain.

Jadi, saya mencabar diri sendiri supaya mencatat sejarah dengan 20A.

Apakah resipi kejayaan dan bagaimana saudari belajar sehingga mencatatkan keputusan cemerlang ini?

Keputusan ini adalah di luar jangkaan, saya sasarkan hanya 18A. Paling penting ialah banyak berusaha dan belajar secara strategik, sekiranya timbul masalah cepat bertanya kepada guru dan selebihnya bertawakal.

Strategi yang saya maksudkan ialah memberi tumpuan sepenuhnya ketika belajarkerana saya tidak mempunyai jadual belajar yang khusus seperti orang lain. Saya belajar ketika terasa mahu belajar sahaja tetapi ia berterusan.

Siapakah di sebalik kejayaan ini dan bagaimana mereka membantu untuk kejayaan ini?

Ibu bapa dan guru-guru banyak memberi dorongan, tanpa mereka saya mungkin tidak mencapai kejayaan ini.

Saya sebenarnya merahsiakan kepada ibu bapa bahawa saya mengambil 20 mata pelajaran dalam SPM sehinggalah keputusan peperiksaan percubaan keluar baru saya beritahu kedudukan sebenar dan mereka memberikan sokongan malah ayah memberi cabaran tambahan.

Saya rahsiakan sebab saya mahu membuat kejutan. Jadi keputusan ini adalah sumbangan kecil saya kepada ibu bapa yang banyak berjasa untuk membesarkan saya.

Dorongan guru-guru di Sekolah Menengah Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) bagaimana?

Amat baik, malah guru yang menyelia saya, Mohd. Razali Konok mencadangkan supaya saya berhubung dengan bekas pelajar terbaik SPM 2006, Siti Fatimah Mukhtar, selepas itu saya sentiasa berhubung dengannya untuk mendapatkan nasihat.

Sebagai anak nelayan, bagaimana kehidupan saudari?

Kehidupan kami sekeluarga amat sukar, kadang-kadang tidak ada makanan. Oleh itu, sejak tahun enam saya mengamalkan puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis.

Secara purata saya akan membawa wang poket tidak sampai RM1 malah kadang-kadang tiada wang untuk makan di sekolah kerana wang yang diberikan oleh ayah hanya cukup untuk tambang bas ke sekolah kira-kira RM4 untuk pergi dan balik.

Di sekolah saya hanya makan roti atau bawa bekal nasi goreng. Saya menerima semua ini dengan reda kerana faham ayah tidak mempunyai pendapatan tetap secara purata sekitar RM500 – RM700 sebulan.

Bagaimana saudari belajar dengan keadaan rumah yang sempit dan kurang selesa ini?

Saya belajar di ruang tamu, Alhamdulillah tiada gangguan kerana tiga adik saya sudah besar dan dua daripadanya tinggal di asrama.

Adakah saudari merasa rendah diri berbanding rakan-rakan lain yang lebih selesa dan mewah di sekolah?

Tidak, malah saya menjadikan ia satu cabaran untuk mengubah kehidupan keluarga kami.

Kehidupan yang sukar terutama ketika musim tengkujuh atau bot ayah rosak menjadikan saya lebih insaf untuk berusaha bersungguh-sungguh. Pada ketika ayah tidak dapat ke laut, kami hanya makan nasi berlauk telur goreng.

Kenapa tidak tinggal di asrama dan adakah saudari mendapat kemudahan biasiswa?

Kalau tinggal di asrama kos lebih tinggi, lagi pun saya lebih selesa dan tenang belajar di rumah kerana tiada gangguan walaupun rumah tidak sebesar mana.

Saya tidak pernah mendapat biasiswa dari mana-mana agensi cuma sumbangan yang diberikan oleh guru-guru melalui Cikgu Razali sebanyak RM200 sebulan.

Adakah saudari mendapat tuisyen daripada pusat tuisyen di luar sekolah bagi mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah?

Tidak, ayah tidak mampu. Saya beruntung kerana sekolah menyediakan guru lain untuk lapan mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah, saya bersama rakan-rakan akan belajar subjek tersebut pada kelas tambahan ketika cuti hujung minggu tetapi bagi mata pelajaran sastera saya belajar sendiri dan tidak pernah mengikuti kelas secara formal.

Lapan subjek ini, Pendidikan Agama Islam, Prinsip Akaun, Perdagangan, Ekonomi, Tasawur Islam, Geografi, Sains dan Sastera saya belajar ketika tingkatan lima.

Bagaimana dalam tempoh setahun saudari mempelajari semua subjek-subjek ini?

Seperti saya jelaskan tadi, banyak berusaha dan bertanya. Idea untuk menambah lagi mata pelajaran hanya timbul ketika tingkatan lima kerana pada tingkatan empat saya terpaksa menumpukan pada 24 mata pelajaran termasuk 12 subjek agama untuk peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU).

Adakah saudari menjawab semua soalan mata pelajaran Sains dan Matematik seperti Fizik dan Kimia dalam bahasa Inggeris?

Ya, sebab lagi mudah dan ditekan oleh guru sejak awal lagi.

Apakah hobi dan cita-cita saudari?

Hobi saya ialah membaca, kalau ada masa lapang saya akan membaca terutama novel tulisan Faisal Tehrani. Saya bercita-cita untuk menjadi seorang ahli fizik, disebabkan tidak ramai orang Melayu menjadi ahli fizik.

Di mana mahu melanjutkan pelajaran?

Di luar negara tetapi tempat khusus atau universiti mana saya tidak kisah

oleh Ustaz Halim

Saya amat berbahagia sekali membaca kejayaan adik Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, yang mendapat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2. Beliau adalah contoh yang baik untuk generasi muda kita. Kemiskinan tidak menghalang kejayaannya. Apatahlagi, latar sekolah agamanya membuktikan bahawa agama bukanlah penghalang kemajuan wanita, bahkan agama adalah pemangkin kemajuan sejagat. Tahniah untuk Nik Nur Madihah, keluarga dan sekolahnya. Semoga Allah menjadikannya wanita muslimah yang membuktikan keunggulan Islam. Jika kini saya di Malaysia, insyaAllah saya turut datang ke rumahnya sendiri mengucapkan tahniah!

OLEH : DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN, LAMPETER, UK.

NIK NUR MADIHAH (kiri) menerima ucapan tahniah daripada Siti Nur Fatimah dalam pertemuan di SMA Maahad Muhammadi, Kota Bharu.

Dua tahun lalu Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal kagum melihat pencapaian pelajar senior sekolah mereka, Siti Nur Fatimah Mukhtar mengejutkan banyak pihak dengan pencapaian 17 A1 dan 1 A2 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Nik Nur Madihah, 18, sendiri pada waktu itu pulang dengan 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Semalam, giliran dia pula mencipta rekod baru Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) dengan keputusan 19 A1 dan 1 A2.

Nik Nur Madihah tidak menganggap dia genius, malah waktu belajarnya juga tidak menentu.

“Saya tak ikut kelas tambahan, belajar juga tak ada jadual.

“Saya belajar bila terasa nak belajar tanpa terpaksa atau dipaksa,” katanya.

Anak sulung daripada empat beradik dari Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa ini bercita-cita meneruskan pengajian ke Timur Tengah dengan mendalami ilmu fizik.

Bapanya, Nik Mohd. Kamal Husin, 41, ialah seorang nelayan manakala ibu, Mariani Omar, 42, bekerja sebagai pencuci di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

OLEH LUQMAN HAKIM AB. RAHIM

Justeru,Ubahlah fikrah(mind set) kita terhadap pelajar yang belajar di sekolah-sekolah arab(madrasah) kerana mereka belajar pelbagai ilmu antaranya ilmu fardhu ain(ilmu akhirat/agama) dan fardhu kifayah(ilmu keduniaan).Berebut-berebutlah ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah ini dalam melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah. Ayuh lakukan anjakan paradigma wahai ibu dan bapa.Peluang lebih luas terbuka kepada lepasan aliran arab kerana mereka boleh menyambung pengajian dalam pelbagai aliran antaranya bidang sains,agama dan sastera di Universiti dalam dan luar negara.

Jangan biarkan generasi kita jahil agama walaupun cemerlang dalam bidang akademik.Kejayaaan dalam Islam ialah apabila kita berjaya menghadapi pelbagai dugaan dan cubaan dalam hidup ini dan akhirnya berjaya masuk ke syurga Allah.

Sama-sama fikir dan renungkan.Ingat pesanan Ibnu Khaldun dalam kitabnya Al-mukaddimah iaitu ” Jika kamu ingin melihat generasi atau pemimpin  akan datang, lihatlah generasi muda kini,jika baik mereka insyaalallah akan melahirkan generasi pemimpin yang bertakwa.

Sayangkan anak, didik mereka mengikut tarbiah agama.Usaha,doa dan tawakkal kepada Allah.Insyaallah berjaya…

Proton MPV : Tempahan dan Ulasan Hukum

4 Mar

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Proton Exora, itulah nama bagi kenderaan baru proton, sebuah MPV. Info berkenaan kenderaan ini sudah lama saya ketahui dari vendor-vendor Proton, reka bentuknya juga banyak disebar di sana sini. Walaupun belum rasmi bentuk terakhirnya. cumanya masalah semakin membesar apabila terdapat dua bentuk proton mpv yang disebarkan.

PENGALAMAN SAYA DAN PROTON

Pengalaman saya mempunyai kereta. Dua kali saya membeli kereta proton dan kedua-duanya brand new car iaitu proton wira berwarna putih dan Proton Perdana V6 berwarna biru kehitaman. Saya membeli proton baru atas nasihat ramai rakan yang menggunakan proton used car atau second hand dan bergantung kepada nasib kata mereka. Iaitu jika bernasib baik, kereta second hand yang dibeli tiada banyak masalah besar, jika tidak akan habislah wang dan waktu kita untuknya.

Hasilnya, saya membeli kereta proton baru dengan harapan tinggi agar sekurang-kurangnya 3 tahun pertama menggunakannya tidak akan dijengah oleh sebarang masalah berat. Saya juga amat menjaga servis.

Setakat ingatan saya, Alhamdulillah kedua-dua proton yang saya miliki ini tidak begitu mendukacitakan, tiada masalah besar dan prestasi ok walaupun kualiti secara keseluruhannya kurang berbadning jenama Toyota, Honda dan lainnya. Cuma saya masih ingat bagaimana proton perdana saya mempunyai masalah aircond yang tidak sejuk sedangkan ia dalam tempoh jaminan. Apabila dibawa ke ejen proton servis mereka mengarahkan saya untuk pergi ke vendor aircond proton sendiri. Agak terkejut apabila mereka menyatakan bahawa satu bahagian dalam aircond yang saya dah tak ingat namanya, terdapat sedikit rumput dan daun kecil., menunjukkan ia pernah di’usik’. Lalu specialist bertanya sama ada saya atau mana-mana mekanik pernah membuak dna memperbaikinya.

Saya jawab tidak kerana memang tidak pernah, malah bahagian yang ditunjukkan juga adalah amat dalam dan tidak boleh dicapai oleh tangan biasa.

Dari situlah, baru saya ketahui saya menjadi mangsa membeli proton perdana baru tetapi ada kemungkinan telah terpakai atau terlalu lama disimpan. Hal ini semakin kuat mengganggu minda saya apabila ketika saya memasang tint di cermin, pakar di kedai tinted shop mengatakan tint asal di kereta Perdana saya sudah lama terpasang, sukar ditanggalkan dan ini menunjukkan kereta ini sudah lama walaupun saya beli brand new.

Itulah salah satu pengalaman sakit hati bersama Proton yang masih saya ingati. Saya yakin terlalu ramai yang mempunyai masalah yang lebih dahsyat dan kronik namun dalam maki hamun pengguna Proton, mereka masih setia mengguna dan membelinya. Banyak sebab dan bukan maskud saya untuk menghuraikannya di sini.

PROTON MPV DAN JUALAN PRA PELANCARAN

Bulan februari 2009, Proton MPV muncul, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada Proton Holdings atas pengeluaran kereta baru ini dan tidak dinafikan bentuknya boleh dipuji, tetapi kualiti lain masih belum diketahui.

Cuma apa yang mendorong saya menulis artikel ini adalah pertanyaan dan laporan dari orang ramai yang sampai kepada saya mengatakan kereta MPV baru Proton ini sudah boleh ditempah, sedangkan harganya belum diputuskan. Ramai yang bertanya hukum kepada saya.

Sebelum saya memberikan ulasan, saya cuba mencari pengesahan pertanyaan ini. Namun tidak saya jumpai tawaran tempahan dibuka di web rasmi Proton Holdings iaitu http://www.proton.com/ dan http://www.proton-edar.com.my/

Namun saya jumpainya di dalam laporan berita berikut :-

Exora dapat sambutan hangat

PETALING JAYA 21 Feb. – Kenderaan belum siap. Rupa bentuk fizikalnya pun tidak diketahui umum tetapi tempahan sudah mula diterima.

Sambutan rakyat Malaysia terhadap kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora, hasil tangan tempatan ini sememangnya menakjubkan.

Menurut Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd. (Proton), Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, pihaknya mengunjurkan 4,000 hingga 5,000 tempahan menjelang pelancaran Proton Exora pada April ini.

‘‘Pada hari ini, kami menerima tempahan 15 hingga 20 buah MPV di cawangan ini,” katanya pada Majlis Pra Pelancaran Tempahan Proton Exora di bilik pameran Proton di Mutiara Damansara hari ini.

Bagaimanapun, Syed Zainal berkata, pihaknya belum dapat menyatakan jumlah sebenar tempahan yang diterima di seluruh negara.

Tetapi jika cawangan di tempat lain juga menerima angka tempahan yang sama, ia sudah pun melebihi unjuran kerana Proton mempunyai 300 bilik pameran di seluruh negara.

Beliau berkata, setakat ini ramai orang telah datang bertanyakan mengenai Proton Exora

SUMBER

Jelas dari berita di atas dan lain-lain berita yang boleh kita temui dari pelbagai web berIta nasional. Tempahan sudah dibuat sedangkan subject matter atau kereta itu masih belum diketahui bentuk sebenar luar dalam, harga tepat dan macam-macam lagi.

Hukum asal bagi setiap pembelian sebegini adalah HARAM disebabkan wujudnya gharar atau uncertainty harga, bentuk dan ciri specific kereta tersebut. Pembelian ini boleh dikategorikan sebagai Istisna’ iaitu pembelian sesuatu barangan yang akan disiapkan oleh penjual melalui proses perkilangan dan pembuatan.

Beirkut adalah beberapa syarat utama secara ringkas yang mesti dijaga dalam jual beli bentuk tempahan baranagn pembuatan ini :

1) Kemestian menjelaskan sifat-sifat barang yang diingini dengan jelas.

2) Menetapkan tempoh siap pembuatan sama ada panjang atau pendeknya. Kecuali mazhab Hanafi tidak mensyaratkan sebarang tempoh tertentu, kerana itu adalah syarat dalam jualan as-Salam. [1]

3) Sebelum pembuat memulakan kerja, status aqad adalah ghayru lazim ( boleh dibatalkan oleh sebelah pihak walau tanpa persetujuan yang lain), namun setelah kerja tamat sebelum diberikan kepada penempah, aqad telah bertukar menjadi lazim (hanya boleh dibatal dengan persetujuan kedua belah pihak). Adapun, jika hasil kerja pembuat berbeza dengan perincian sifat yang ditempah, penempah boleh memilih sama ada untuk meneruskannya. Keputusan Akademi Fiqh OIC dan Majlis Syariah Majis Perakauan dan Kewangan Islam sedunia memutuskan bahawa istisna adalah aqad lazim. [2]

4) Harus penempah (pembeli) mengenakan denda dalam bentuk kewangan ke atas pembuat sekiranya ia gagal menyerahkan barang yang dijanjikan dalam masa yang ditetapkan. [3]

Keperluan mengetahui dengan jelas harga, tempoh serahan dan lain-lainya diadaptasi dari hadis Nabi s.a.w dalam hal jualan as-salam

من أسلف فليسلف في كيل معلوم , أو وزن معلوم إلى أجل معلوم

Barangsiapa yang membeli secara serahan barangan tangguh (as-Salam), hendaklah ia menetapkan timbangan, beratnya dan tempoh masa dengan jelas. (Riwayat al-Bukhari)

Namun demikian, hukum mungkin berubah dalam beberapa keadaan tempahan, iaitu:-

1- Tempahan tanpa sebarang bayaran. Ia harus atau dibenarkan menurut hukum kerana ia ibarat janji satu pihak untuk memeterai kontrak istisna sahaja.

2- Tempahan dibuat dengan bayaran namun pembeli boleh menarik balik. Iaitu jika harga tepat dikeluarkan, pembeli boleh menarik balik tempahan tanpa denda jika mereka tidak selesa dengan kualiti, bentuk dan harga terakhir kereta itu. Jika tempahan yang dibuat dengan sifat sebegini, ia mungkin boleh menjadi harus akibat kuantiti gharar yang mengecil bagi pihak pembeli, manakala gharar yang berlaku di pihak Proton adalah masih kecil selagi mereka belum memulakan proses pembuatan.

3- Tempahan dibuat tetapi harga kereta diberikan secara range iaitu dari RM 70,000 ke RM 80,000. Ia masih dikira gharar yang besar. Justeru, ia masih jatuh dalam hokum haram kerana bercanggah dengan syarat istisna dan salam yang ditentukan oleh Nabi s.a.w.

mpvproton.jpg

mpvproton3.jpg

proton2.jpg

Kesimpulan.

Sebaiknya pihak proton tidak terlalu tergesa-gesa untuk membuka tempahan kecuali setelah pelancaran mempamerkan kereta contoh di showroom proton edar dan harga tepat bagi setiap kapasiti enjin. Masalah semakin mendalam apabila gamabr yang disebarkan awam mempamerkan dua bentuk proton. Kita bimbang ada yang menyangka proton MPV dalam bentuk futuristik di atas tetapi apabila dilancarkan, bentuk pertama yang keluar.

Tanpa dipenuhi kedua syarat ini, pengurusan Proton dikira telah dan sedang melakukan penjualan kereta dengan kaedah dan cara yang bercanggah dengan Shariah. Kecualilah jika tempahan adalah dalam dua bentuk yang dijelaskan di atas. Apa yang jelas dari web proton, BOOKING FEE SEBANYAK RM 1000 adalah Non refundable ( tidak boleh dipulangkan kembali) dan dengan jelas juga dimaklumkan di dalam terms & conditions:


Accessories and packages are subject to change without prior notice.

Ertinya : Semua aksesori dan kackage kereta adalah tertakluk kepada perubahan TANPA SEBARANG NOTIS.

Jika inilah keadaannya, anadatentu dapat mengagak apa hukumnya?

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

26 Feb 2009

http://www.zaharuddin.net/



[1] Badai’e as-Sonaie, 6/2678

[2] Qarar wa tawsiat, no 65 (7/3) ; Ma’ayir As-Syar’iyyah, AAOIFI, 2007, hlm 185

[3] Al-Ma’ayir As-Syari’yyah, hlm 181-182

Wujudkah Bank Islam di Zaman Nabi & Sahabat ?

4 Mar


Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Terdapat banyak persoalan berkenaan asal usul bank dari perspektif Islam, ramai ilmuan yang menulis dalam bidang hal ini akan membuat kesimpulan tiada wujud sistem perbankan di zaman Nabi mahupun sahabat seperti yang wujud di zaman ini.

Adakah penubuhan bank-bank Islam dewasa ini dianggap meniru pemikiran barat semata-mata, tidak bersih dari sudut asalnya serta tidak sesuai dengan sistem konvensional yang wujud.?

Telah diterima di kalangan para ulama Islam, ciptaan-ciptaan baru di dalam bidang kewangan dan hal ehwal urusan sesama manusia ( iaitu bukan hal ibadat khusus) tidak menjadi masalah dalam Islam selagi boleh diubahsuai dan tidak bercanggah dengan kehendak hukum Islam.

buruj.jpg

Selain itu, bagi mereka yang menyelusuri sejarah Islam akan mendapati beberapa asas kepada bank sejak zaman sahabat Nabi s.a.w lagi dan zaman selepas itu, ia adalah seperti berikut :-

1) Khidmat Simpanan ( wadi’ah) oleh Az-Zubayr Al-‘Awwam

Ibn Sa’ad mencatatkan bahawa ramai yang mendatangi Zubayr dan meminta untuk disimpan wang mereka, sehingga Zubayr menolak kerana merasa terbeban akan hilangnya wang tersebut sedangkan beliau sendiri langsung tidak boleh menggunakannya.

Justeru, Zubayr meminta penyimpan untuk menyimpan atas dasar pinjaman dan bukan lagi wadi’ah. Sebagaimana katanya :-

لا ولكن هو سلف , أني أخشى عليه الضيعة

Erti : Tidak, tapi jadikannya sebagai pinjaman, sesungguhnya aku bimbang ia hilang.

Hasil dari tindakan Zubaiyr ini, semakin ramai yang datang kepadanya sehingga jumlah yag dipegangnya mencecah 2,200,000 dirham. Satu jumlah yang amat besar di zaman tersebut. Sehingga terdapat penulis yang menamakannya sebagai Bank Zubayr. Mungkin ia boleh dikira sebagai bank Islam yang pertama.

Melalui tindakan Zubayr ini beliau telah menukar asas konsep wadiah yang hanya menjaga amanah menyimpan tanpa boleh digunakan, kepada pinjaman yang membolehkannya untuk melaburkannya dan pada masa yang sama menjamin keselamatan wang tersebut. Natijah keuntunagn yang diperolehi oleh Zubayr banyak digunakan untuk membeli aset, menurut Az-Zahabi takala Zubayr meninggal dibunuh, beliau tidak meninggalkan satu dinar atau dirham, kecuali beberapa keping tanah di Ghabat, sebuah rumah di Madinah, Basrah, Kufah dan Mesir. Selain itu juga meninggalkan hutang yang agak besar sebanyak 2,200,000 dirham iaitu nilai simpanan orang ramai yang diubah kepada pinjaman. [1]

2) Khidmat Perbankan oleh Ibn Abbas dan Abdullah Ibn Zubayr [2]

Diriwayatkan juga, Ibn Abbas r.a mengambil wang perak di Mekah bagi membawanya ke Kufah, dan Abdullah Bin Zubayr pula menulis dan mengambil wang perak dari daripada Kufah untuk dibawa ke Mekah dan seterusnya ke Iraq. Tindakan mereka ini merupakan salah satu dari khidmat-khidmat yang ditawarkan oleh perbankan moden seperti credit transfer.

Kesimpulan dari pendedahan ini terbukti bahawa khidmat-khidmat perbankan selagi mana menepati hukum Syariah adalah dibenarkan. Tambahan pula jika kewujudannya boleh memudahkan dan memberi manfaat yang banyak buat masyarakat.

Antara kemudahan yang dapat dihasilkan melalui sesebuah khidmat perbankan adalah seperti berikut :-

a) Menguruskan keperluan kewangan dua kelompok dalam masyarakat, iaitu :_

* satu kelompok yang mempunyai lebihan wang dan ingin melabur, menyimpan dan mendapat manfaat dari lebihan wang yang dipunyainya. Mereka terdiri dari semua orang yang mampu membuat simpanan. Mereka digelar surplus unit.

* Satu kelompok adalah mereka yang memerlukan tunai dan wang samada untuk keperluan pernigaaan mereka atau asasi seperti pembelian kereta dan sebagainya. Mereka digelar deficit unit.

Hasil dari wujud dua kelompok ini dalam masyarakat, kewujudan bank islam sebagai orang tengah yang dipercayai ( kerana ia sebuah institusi yang dipantau dan diberi lesen oleh bank negara) boleh membantu kedua-dua kelompok bertemu dan memanfaatkan antara satu sama lain.

b) Mampu menyediakan penjagaan wang tunai yang lebih selamat berbadning penjgaan oleh individu di rumah masing-masing.

c) Menyediakan khidmat pelaburan. Ini sudah tentu baik kerana tidak semua individu yang berduit mampu mencari dan memutuskan pelaburan apa yang terbaik dan selamat baginya. Justeru, kewujduan bank yang dipenuhi dengan para pekerja profesional yang berpengalaman dalam bidang ini mampu memberikan manfaat kepada orang ramai.

Ini hanyalah antara beberapa perkara yang menunjukkan kewujudaan bank dalam sistem kewangan Islam adalah diterima selagi mana semua manfaat yang disebutkan di atas dapat di kawal selia dalam lingkungan hukum Islam.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

24 Feb 2009