Archive | January, 2011

Doa Kesembuhan Sakit

26 Jan

Oleh

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Kehidupan sebagai manusia tidak dapat dielakkan dari ditimpa pelbagai sakit dan penyakit, ada yang bersifat kejiwaan, pemikiran dan juga tentunya fizikal. Kesakitan fizikal boleh mengganggu prestasi fizikal. Namun agak terhad kepada dirinya sahaja. Lebih merbahaya, penyakit jiwa, dimana kejahatannya boleh menimpa kepada orang lain dan persekitarannya.

 

Di dalam kejahilan umat Islam hari ini, agak dukacita melihat bomoh dan perawatan jampi dengan bacaan pelik, menurun, tangkal hikmah yang tidak tahu apa isinya kerap menjadi pilihan. Kononnya sebagai ikhtiyar, malangnya tidak disedari tindakan bertemu bomoh dan perawat sedemikian dengan mudah membawa syirik.

 

Jika di dalam rumah dan pejabat kita sering ada first aid kit yang boleh dimanfaatkan ketika terdapat kemalangan dan pesakit di sekeliling. Dalam tulisan ini ringkas ini, saya sertakan beberapa rawatan awal yang boleh kita selaku Muslim yang mukmin lakukan kepada pasangan, anak dan diri kita apabila ditimpa pelbagai jenis kesakitan. Namun jangan dilupa, bertemu doktor itu PERLU.

 

Bacalah doa-doa ini semasa menghadapi sakit fizikal, moga ia juga berkesan untuk ketenangan mental dan iman kita. Doanya berwarna BIRU dan selebihnya yakinilah kuasa Allah yang mengawal seluruh alam dan makhluk, Maha Penyembuh.

 

Sebenarnya banyak lagi ayat Al-Quran dan doa dari hadis yang boleh dibaca, namuan untuk tidak membebankan pemikiran pembaca, cukuplah kita memilih beberapa terlebih dahulu.

 

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا اشتكى منا إنسان مسحه بيمينه ثم قال اِذْهَبِ البَأْسَ رَبَّ النَّاسِ وَاشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لاَ شِفَاءً إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَماً

Ertinya : Nabi s.a.w ketika didatangi aduan (sakit) oleh seseorang, nabi akan menyapunya dengan tangan kanan baginda sambil membaca ” Jauhkanlah dia dari kesakitan, wahai Tuhan sekalian manusia, sembuhkanlah dia, dan engkaulah maha penyembuh yang tidak akan datang kesembuhan kecuali datang dariMu, kesembuhan dari jenis yang tidak akan kembali penyakitnya”( Riwayat Muslim)

 

كان النبي صلى الله عليه وسلم يعوذ الحسن والحسين ويقول : إن أباكما كان يعوذ بها إسماعيل وإٍسحاق أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطاَنٍ وَهَامَّةٍ وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لَامَّة (رواه البخاري)

Ertinya : Nabi s.a.w ketika sedang meminta perlindungan untuk Al-Hasan dan Al-Husain berkata : Sesungguhnya kedua-dua ibu bapamu meminta perlindungan dengan (bacaan) yang dibuat oleh Nabi Ismail dan Ishak iaitu : “Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna, daripada setiap Syaitan dan mahkluk berbisa dan dari setiap pandangan mata dengki & hasad yang berniat jahat” ( Riwayat Al-Bukhari)

 

أن جبرائيل أتى النبي صلى الله عليه وسلم فقال يا محمد اشتكيت ؟ قال نعم , قال : بِسْمِ اللهِ أُرْقِيْكَ مِنْ كُلِّ شَيْئٍ يُؤْذِيْكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْعَيْنٍ أَوْ حَاسِدٍ , اللهُ يُشْفِيْكَ بِسْمِ اللهِ أُرْقِيْكَ

Ertinya : Telah datang Jibrail kepada nabi sa.w dan berkata : Wahai Muhammad, adakah kamu mengadu kerana sakit? . Jawab Nabi ” Ya”. Jibrail membalas ” Bacalah “Dengan nama Allah yang mengubatimu, dari segala perkara yang menyakitimu, dan juga dari kejahatan setiap jiwa,mata dan hasad. Allah akan menyembuhkanya dan dengan namaNya engkau disembuhkan”

Baca tujuh kali dengan tangan diletak di tempat sakit , kemudian baca Bismillah tiga kali dan terus baca doa berwarna biru :

أنه شكا إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم وجعا يجده في جسده منذ أسلم فقال له رسول الله صلى الله عليه وسلم ضع يدك على الذي تألم من جسدك وقل باسم الله ثلاثا , وقل سبع مرات : أَعُوذُ بِاللهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ

 

Ertinya : Seorang sahabat datang mengadu kepada Nabi berkenaan kesakaitan yang terdapat ditubuhnya sejak dari ia masuk Islam, lalu nabi mengajarkan berkata : ” Letakkan tanganmu ditempat yang kamu merasai sakit itu dan bacalah Bismillah tiga kali dan kemudian bacalah tujuh kali : ” Aku berlindung dengan kuasa Allah dari segala kejahatan  yang telah menimpaku dan yang aku ingin hindari. ( Riwayat Muslim)

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم من عاد مريضا لم يحضر اجله فقال عنده سبع مرارٍ أَسْأَلُ اللهَ العَظِيْمَ رَبَّ العَرْشِ العَظِيْمِ أَنْ يُشْفِيَكَ إلا عافاه الله من ذلك المرض

 

Ertinya : Nabi telah berkata ” Barangsiapa melawat orang yang sakit yang belum kelihatan akan tiba ajalnya (sakit yang dikira boleh sembuh), bacalah di sisinya tujuh kali : ” Aku memohon kepada Allah yang maha agung, tuhan bagi arasy yang agung agar menyembuhkanmu”. Tiadalah dibacakah itu kecuali akan disembuhkan dengan izin Allah dari sakit tersebut. ( At-Tirmidzi : hadis Sohih)

Imam Ibn Qayyim berkata “dari kaedah pelindung dan penyembuh dari hasad mata dan yang sepertinya adalah membaca dau Qul ( Surah An-Naas dan Al-Al-Falaq) dan Al-fatihah, ayat Kursi dan lain-lain doa dari hadis nabi” iaitu antaranya seperti di atas.  (At-Tibb al-Nabawi, hlm 168)

Semoga sakit yang dideritai beransur sembuh. Termasuklah penyakit malas solat, panas baran, ketagih porno dan sebagainya. Cubalah amalkan doa-doa di atas juga.

Sekian.

Doa-doa lain

.   أعوذ بكلمات الله التامة التى لايجاوزهن بر ولا فاجر من شر ما ينزل من السماء، ومن شر مايعرج فيها، ومن شر ما ذرأ فى الأرض،ومن شر مايخرج منها ومن فتن الليل والنهار ، ومن شر طوارق الليل والنهار إلاطارقا يطرق بخير يارحمن (رواه الترمذى وإسناده صحيح(

2.   أعوذ بكلمات الله التامات من غضبه وعقابه ومن شر عباده ومن شر همزات الشياطين وأن يحضرون  (أخرجه وحسنه الألبانى(

3.   حسبى الله لاإله إلا هو عليه توكلت وهو رب العرش العظيم (سبع مرات ) (رواه أبوداود(

4.   بسم الله الذى لايضر مع اسمه شىء فى الأرض ولا فى السماء وهو السميع العليم  (ثلاثا) (رواه أبوداود وهو حديث صحيح(

 

Coretan Santai : Jiran Dari Syurga atau Neraka?

14 Jan

 

Oleh

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Neighbours_From_Helllogo

Nabi Muhammad s.a.w amat kerap mengingatkan kita perihal jiran sehingga ada para sahabat yang menyangka jiran boleh mewarisi harta pusaka. Selain itu, baginda juga ada memberitahu bahawa antara punca kesejahteraan seseorang insan adalah mendapat kenderaan yang baik, isteri yang solehah dan jiran yang baik. Mengapa begitu penting peranan jiran?

Nabi s.a.w bersabda :

مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ الْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ وَالْجَارُ الصَّالِحُ وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيُّ

Ertinya : Antara sumber kebahagian dan kesejahteraan seseorang Muslim, adalah mendapat rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa  (Riwayat Ahmad, At-Tabrani & Ibn Hibban ; Ibn Hibban, Albani menilainya sebagai sohih )

Saya tidak ingin mengulas berkenaan rumah yang luas kecuali sekadar mengingatkan erti ‘luas’ itu tentunya merangkumi fizikal dan juga isi rumah dari sudut pengisian spiritualnya. Hari ini, terdapat banyak rumah yang luas saiznya tetapi dihuni oleh manusia bermasalah serta merasa sempit yang amat. Masing-masing merasa sempit dan sesak dada disebabkan sikap dan sifat mereka sendiri yang gersang dari nilai ruhaniyah dan amalan Islam.

KENDERAAN SELESA

Kenderaan yang selesa, khususnya di zaman nabi dahulu terdiri dari kuda-kuda terpilih merupakan satu kelebihan, bukan sahaja kepada kerja ‘fi sabilillah’ malah juga tugasan seharian pemiliknya. Sehingga kuda-kuda terpilih dan terlatih ini disebutkan sebagai fitrah manusia untuk mencintainya sebagaimana firman Allah :

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاء وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ

Ertinya : Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga). ( Al-Imran : 14)

Terdapat ramai ulama yang menafsirkan erti kuda terlatih dan terpilih serta kuat tersebut kepada kenderaan yang sesuai di zaman masing-masing. Justeru di zaman kita, kenderaan yang mungkin boleh menyamai fungsi kuda adalah kereta-kereta yang baik. Tentunya kereta yang elok lagi selamat memberikan lebih kerehatan kepada pemiliknya untuk bergerak ke sana dan kemari.

JIRAN YANG BAIK.

Amat benar, jiran merupakan satu elemen masyarakat yang amat penting dalam membentuk kerehatan jiwa, fizikal dan mental. Di zaman ini, walaupun semua kita menginginkan jiran yang baik, namun disebabkan hambatan kewangan, faktor memilih jiran yang baik sudah kurang mampu diambil kira di setiap kali kita ingin membeli sesebuah rumah.

Apa yang menjadi penilaian asas kini adalah harga, lokasi, bentuk, luas dan status tanahnya ( freehold atau lease hold). Tentunya, budi bicara jiran sukar untuk dinilai hanya dengan menjeling-jeling ke rumah halaman rumahnya atau sekali dua bertegur sapa. Hasilnya, ramai di antara kita terpaksa mengabaikan ‘checklist’ jiran yang baik dan hanya mampu pasrah agar jiran yang telah atau akan berada di sebalah dan sekitar kita adalah jiran yang baik.

JIRAN DI UK, NEGATIF & POSITIF

Sudah beberapa kali saya sekelaurga mendapat jiran yang bermasalah, teringat ketika menyewa rumah di Puchong Perdana. Jiran depan dan kiri kanan amat menyakitkan. Tiadalah sempat untuk dikongsikan dalam coretan ringkas ini.

Apa yang ingin dikongsikan adalah jiran di rumah sewa kami di Leicester, United Kingdom. Inshaallah rumah yang bakal saya tinggalkan sebulan dua lagi. Alhamdulillah.

Jiran di sebelah kiri tidak membawa sebarang masalah, mereka berbangsa India tetapi begitu pembersih orangnya dan lamannya sentiasa kemas dan teratur. Mereka bersifat orang bandar yang buat kerja masing-masing dan hanya sekali sekala menegur kami sekeluarga sepanjang hampir 2 tahun berjiran.

Jiran di sebelah kanan adalah cerita ‘pahit’ kami. Merupakan orang tempatan (British) dan mempunyai 3 orang anak.

MASALAH SATU

Tanda masalah mereka sudah dapat dilihat sejak kami baru menjejakkan kaki ke rumah sewa terbabit, namun tidak dijangka tekanan akan berterusan.  Masalah pertama yang dikenalpasti adalah ketika rumah sewa ini kosong, mereka rupanya ‘mencuri’ line aerial television di rumah yang kami baru sewa ini. Hal ini hanya disedari apabila technician Virgin Media, UK datang untuk memasang talian internet dan tv di rumah kami. Line tersebut dengan segera diputuskan dan technician berbangsa English tersebut kelihatan sempat menegur jiran sebelah sewaktu menanggalkan kabel mereka.

KEDUA

Masalah kedua yang berterusan sehingga artikel ini ditulis adalah pagar kayu di belakang rumah sewa kami, yang sengaja dibocorkan oleh jiran sebelah kerana membiarkan anjing mereka membuang najis.  Mungkin sejak sebelum kami memasuki rumah ini, telah diajar dua ekor anjing mereka untuk membuang segala jenis najis mereka di halaman belakang rumah sewa ini. Lantaran itu, tabiat itu masih ingin ditersukan walau rumah sewa ini telah dihuni oleh kami.

Lebih teruk dari itu, anjing mereka juga amat kerap membuat bising dan ‘garang’ pula, pantang melihat kami keluar sebentar ke laman belakang, pasti disalak dan adakalanya mengacah-acah untuk mengejar kami.

Ada anak-anak warga Malaysia di Leicester dikejar sewaktu bermain di belakang rumah kami.

Sejak dari itu, menjadi sebahagian ‘jihad nafsu’ bagi saya untuk menguruskan laman belakang, mengumpul dan menimbus najis-najis yang bertebaran. Adakalanya geram juga rasa ingin mencampakkan semua najis terkumpul ke rumah mereka.

Pelbagai usaha cuba dilakukan, bermula dengan percubaan berbincang dengan mereka, namun sebarang perbincangan dengan isteri jiran pasti hanya akan menaikan amarah disebabkan justifikasi pendek akal yang diberikannya.

Sebagai contoh, bila diminta agar jangan membiarkan anjing mereka memasuki laman rumah kami, dikatanya:

“anjing kami bebas untuk pergi ke mana yang disukainya”.

Bila dikatakan mengapa asyik terdapat lubang di pagar kami, dijawabnya  :

“itu pagar kami, suka hati kami untuk membocorkannya“, lalu mereka mendakwa anak-anak penyewa lama yang memecahkan pagar mereka dan sebagai balasan dibiarkan anjing mereka membuang najis di laman kami.

Berusahalah juga pada mulanya untuk kami selaku penyewa baru menuntut jiran yang pelik ini untuk menuntut sebarang ganti rugi dari pemilik rumah dan bukan menyusahkan kami selaku penyewa baru.

“aku sudah menghubungi pemilik tetapi dia tidak memberi respond” kata suami jiran sebelah yang lebih ok berbanding isterinya.

“beginilah, kalau engkau inginkan pagar dibaiki, engkau minta tuan rumah beli dua papan pagar baru dan aku selaku kontraktor boleh memasangnya dengan harga murah iaitu £ 50 sahaja” kata suami jiran yang sememangnya seorang builder,  mencadangkan penyelesaian. Tapi jelas cuba mengaut keuntungan dari konflik pagar ini.

Tiba-tiba, selang beberapa minggu, berjaya dibuktikan melalui agen dan City Council bahawa pagar yang dipecahkan itu sebenarnysa milik rumah sewa kami. Tatkala mengetahui berita itu, jiran ini senyap sunyi. Ternyata mereka memecahkan pagar kami yang disangka pagar mereka.

Tapi buruknya perangai mereka, masih enggan membetulkannya. Terpaksalah saya mendesak tuan rumah membeli saja pagar baru dan sama ada mengupah orang memasangnya atau memberikan kepada jiran tadi dengan bayaran.

Selang beberapa minggu, dua keping pagar baru sampai, dan rupanaya tuan rumah beralah dan membenarkan jiran memasangnya dengan bayaran terus kepada mereka. Gembiralah agakanya jiran ini, masakan tidak, memecahkan pagar kami dan kemudian mendapat bayaran untuk memasangnya pula.!

Alhamdulillah, lega kami sudah boleh menggunakan ruang laman di belakang rumah.

Namun kelegaan itu tidak panjang.

Pagar bocor lagi, kali ini di tempat lain dan anjing mereka masih masuk. Bila ditegur, si isteri menjawab :-

“bukan kami yang lakukan”

Padahal terang-terang sama ada mereka atau anak mereka yang lakukan, kerana kami sekeluarga sukar menggunakan laman belakang rumah disebabkan dipenuhi najis anjing mereka dan sentiasa disalak.

Pelbagai jalan cuba dicari untuk menyelsaikan masalah anjing cerooh kawasan. Namun di UK, anjing ditatang begitu mulia dan mendapat tahap penghomratan seperti manusia. Malah anjing amat istimewa bagi mereka. Justeru, amat sukar bertindak. Di sebuah halaman pihak berkuasa, apabila ditanya maslaah ini, hanya memberi nasihat:

“jika anjing masuk ke kawasan rumah kamu dan menyalak bising, tandanya kamu perlu menjadi rakan kepada anjing terbabit”.

Setelah cuba berusaha mencari jalan terbaik menyelesaikannya, akhirnya, dapat juga dihubungi ‘dog warden’ dan mengadu masalah. Sesudah itu, saya difahamkan dog warden telah menghantar surat amaran kepada jiran, dan jika anjing mereka menceroboh kawasan rumah kami lagi, mereka akan didenda.

Situasi pulih sekitar 1-2 bulan, kemudian pagar yang ditutup, bocor pula di tempat lain. Saya cuba mencari papan-papan tambahan untuk menutup lubang-lubang yang dibuat. Namun setiap kali di tutup setiap kali itu jugalah tempat bocor baru dibuat.

Begitulah keadaan berlalau sepanjang dua tahun, ada pulih seketika setiap kali kami menutup lubang yang dibuat.

TOLERAN ATAU GADUH?

Tatkala itu, terfikir apakah tindakan yang terbaik untuk dilakukan, adakah masih ingin menunjuk sikap lembut? Niat asal ingin memaparkan tingginya hemah dan toleransi muslim. Namun terfikir adakah ia wajar atau lebih baik bertukar sifat kepada ‘brutal’ atau ‘izzah’ ke atas orang kafir lalu melawan dengan kaedah keras?.

Sukar ..

Bimbangkan keselamatan keluarga disebabkan kerana saya kerap ke luar kawasan dan luar Negara. Mereka pula mempunyai kumpulan pembenci muslim di sini. Justeru, terpaksa dibatalkan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan dan mengundang masalah lain, khususnya kepada keluarga.

Sebagai alternative, cara ‘offensive’ yang secara tidak langsung digunakan, saya mula membeli beberapa bahan gel kimia berbau kuat yang dibuat khas untuk menghalau anjing. Gel tersebut diletakkan di sekitar lubang pagar, dengan harapan anjing tidak boleh melintasinya. Selain gel, racun-racun tikus juga ditabur berdekatan lubang di sebelah kawasan rumah kami. Ia bertujuan meracun tikus yang memang ada sedikit di belakang rumah kami dan mungkin juga boleh mengacah jiran sebelah agar menjauhkan anjing mereka dari kawasan rumah kami, bimbang memakan racun tikus yang ditabur.

Malangnya anjing masih masuk khsusnya apabila semua gel dan racun tikus terbabit ditutupi oleh salji yang turun. Pun begitu, cara tersebut telah berjaya mendapat sedikit perhatian jiran, lalu mereka kelihatan menutup lubang-lubang yang ada.

Namun seperti biasa, lubang baru akan wujud lagi, tidak pasti siapa yang membuatnya, sama ada jiran itu sendiri kerana tidak mahukan halaman belakang rumah mereka dipenuhi najis anjing mereka, atau ia dilakukan oleh anak-anak lelaki mereka yang ‘kurang ajar’.

MAIN BOLA PULA

Anak lelaki mereka juga dengan selambanya bermain bola di tengah-tengah jalan dan memenuhkan kereta kami dengan cap bola berlumpur mereka. Bila ditegur, dengan segera si ibu keluar dan menjawab :

“’kamu letak kereta di tempat awam maka kenalah”

Bayangkan betapa peliknya jawapannya..seolah-olah semua kertea jika diletakkan di tempat awam, maka boleh dirosakkan sesuka hati oleh sesiapa jua.

Saya menjawab “jika demikian mengapa sebuah lagi kereta saya di dalam kawasan juga terkena cap-cap bola mereka. Tolonglah jadi orang bertamadun sikit”.

Dia hanya senyap. Tetapi anaknya terus bermain dihari-hari berikutnya dan minggu-minggu berikutnya. Demikianlah..

KUMPULAN PEMBENCI ISLAM

Beberapa bulan yang lepas, di Bandar Leicester, dianjurkan satu demonstrasi membenci orang Asia dan Islam sekaligus, ia dianjurkan oleh English Defence League (EDL). Banyak pengumuman di media meminta orang Islam agar tidak keluar ke City Center bagi mengelakan sebarang pergaduhan.

Kami hanya duduk di rumah tetapi, anak-anak jiran kelihatan tidak puas hati dan mengetuk-mengetuk pintu rumah kami dan membaling tin-tin minuman ke pintu rumah kami.

Dapat juga kami menghalau mereka dan merampas tin-tin yang digunakan.

POSITIF DALAM NEGATIF

Itu adalah sedikit dari banyak kisah bersama jiran yang buruk. Dari banyak-banyak kisah sakit hati yang cuba kami sabar itu. Pun begitu, ada satu jasa terbesar mereka kepada saya secaya tidak langsung.

Perangai buruk mereka menyebabkan saya lebih motivasi untuk menyiap tesis PhD saya secepat mungkin. Itulah sahaja pilihan yang ada. Berpindah rumah adalah sukar, khususnya untuk mendapatkan rumah yang berdekatan dengan sekolah anak-anak. Tambahan pula setiap kali niat ingin berpindah itu membuak, pastinya tiada rumah di sekitar ini yang ‘available’ untuk disewa.

Tatkala itu, saya sedar, cara terbaik untuk menamatkan masalah ini adalah menyudahkan phd dan balik ke Malaysia.

Alhamdulillah, setakat dua minggu ini, kelihatan anjing-anjing mereka tidak lagi menceroboh rumah kami, dan saya pula telah berjaya menamatkan penulisan dan hanya dalam masa menunggu viva tesis PhD ini.  InshaAllah dalam dua bulan lagi, kami akan keluar dari rumah ini dan pulang ke Malaysia.

ITULAH PENGARUH JIRAN

Demikianlah, besarnya masalah jika mempunyai jiran yang buruk. Malah lebih bahaya, jiran mengetahui waktu kita berada di rumah dan tiada, jika mereka adalah buruk, mereka dengan mudah boleh merancang perkara jahat. Malah pelabagi tekanan tambahan boleh menimpa kita.

Tidak hairanlah nabi s.a.w amat menganjurkan kita berjiran dengan jiran yang baik. Dan yang lebih penting. KITA SENDIRI MENJADI JIRAN YANG BAIK terlebih dahulu, sebelum memikirkan baik buruknya jiran kita. Dengan cara itu, diharapkan semua keluarga mempunyai ‘mind set’ yang sama, iaitu menjadi jiran yang baik kepada jiran-jiran mereka. Hasilnya, sama-sama mendapat kerehatan dan kesejahteraan sewaktu berada di rumah.

Ada yang bergaduh kerana tanah, aliran air hujan dan sebagainya. Bukankah baik diselsaikan bersama dalam situasi ‘win-win’. Apalah untung untungnya memberi masalah kepada jiran selain menambah ‘stress’ kepada diri dan menyukarkan diri untuk meminta bantuan apabila terdapat hal kecemasan.. Lebih teruk, mendapat kemurkaan Allah dan azab pula menunggu.

Sekian.

 

 

Rahsia Menambat Hati Lelaki

7 Jan


 

Bagaimana anda menambat hati lelaki, terutama kekasih atau suami sendiri? Manusia memang tidak mampu meneroka hati dan jiwa manusia. Namun anda boleh belajar mengenal mereka supaya kebahagian dapat dinikmati bersama. Apa sebenarnya yang harus anda lakukan untuk menambat hati lelaki?

Terima lelaki agar dia menerima anda

Mungkin tiada perkataan yang lebih sesuai untuk menyatakan ini selain ” Terimalah lelaki sebagai sediakala”. Terimalah dia sebagai lelaki. Yang penting untuk anda tahu ialah mengenai lelaki, dan bukan mengubah lelaki. Jika anda mahu mengubah personaliti lelaki yang menjadi kekasih atau suami anda, dia mungkin akan menjadi insan lain, yang mungkin tidak anda sukai dan tidak menyukai anda.

Fahamilah lelaki agar dia memahami anda

Cuba memahami perangai sedia ada pada sesorang lelaki yang menyesuaikan perangai itu dengan diri anda. Ianya adalah lebih baik dari cuba mengubahnya dan beranggapan bahawa ianya tidak sesuai dengan anda. Asalkan perangai itu tidak bertentangan dengan kehendak agama dan kesopanan budaya. Dengan cara itu lelaki akan cuba memahami anda dan menyesuaikan dirinya dengan diri anda.

Berubah untuk menikmati perubahan

Sekiranya anda mahu mengubah perangai lelaki, malah perangai sesiapa pun, anda tidak akan mampu berbuat demikian kerana insan itu sendirilah yang akan mengubah perangainya jika dia mahu. Anda cuma boleh memujuk dan mempengaruhinya agar berpihak kepada anda. Anda sendiri perlulah sanggup berubah kepada perangai yang lebih baik untuk membolehkan seseorang lelaki berubah memperbaiki dirinya.

Sanggup memberi untuk menerima

Di atas segala-galanya, apa yang penting untuk anda lakukan ialah sanggup memberi lebih banyak berbanding apa yang anda terima daripada lelaki. Dengan itu, anda mungkin akan menerima lebih banyak daripada yang sanggup anda beri.

Percaya untuk dipercayai

Sekiranya anda tidak mempercayai lelaki, jangan anda mengharapkan lelaki itu mempercayai anda. Hidup ini meminta pada yang ada, memujuk pada yang sayang. Untuk membuat orang lain percaya kepada anda bukanlah perkara yang mudah. Bagi menyebabkan orang lain tidak percaya pada anda, bukan lah payah. Apabila lelaki sudah tidak percayakan anda, amat sukar pula untuk dia mengubah pendiriannya.

Menangkan lelaki untuk menang

Mengenal lelaki bukanlah untuk mengalahkan lelaki. Dalam sebuah perkahwinan, sepatutnya sama-sama menag dalam semua aspek kehidupan. Dalam satu perkahwinan ada dua kuasa, pertama kuasa suami dan kedua kuasa isteri. Kuasa suami adalah memulakan dan menyuarakan. Kuasa isteri pula adalah sama ada bersetuju atau tidak. Sekiranya kedua-duanya menyalahgunakan kuasa, perkahwinan itu akan menjadi porak-peranda.

Sifat negatif akan membuah kesan negatif

Ramai wanita yang mencabar dan celupar terhadap lelaki atau suami sendiri. Ramai juga yang bersifat pendesak, terlalu banyak meminta, merendah- rendahkan suami, membandingkan suaminya dengan lelaki lain dan memaki hamun suaminya. Sekiranya anda bersifat demikian, walau bagaimana kenalpun anda kepada suami anda, anda bukanlah seorang wanita yang bijak. Andalah yang mungkin menjadi penyebab mengapa suami anda merasa tertekan, tidak selesa, banyak berdiam diri, bermasam muka dan sebagainya lagi yang tidak menyenangkan anda. Andalah yang sepatutnya berubah.

Bertanggung jawab dan menikmati kesan tanggung jawab

Sebenarnya tanggung jawab wanita terhadap suaminya tidak akan berubah walaupun dunia ini makin maju. Begitu juga dengan tanggung jawab suami kepada isteri. Selagi anda menjalankan tanggung jawab anda dengan sempurna sebagaimana yang digariskan oleh agama, anda tidak perlu risau apa pun.

Kritikan akan membuahkan kritikan

Kritikan merbahaya kerana ia menjadikan lelaki defensif dan sedaya upaya ingin mempertahankan dirtinya. Ia juga bahaya kerana melukakan nilai diri lelaki. Menjejaskan rasa kepentingan diri. Dan menyebabkan lelaki merasa kecewa kepada anda dan mungkin akan mengkriti anda pula.

Beri kepada lelaki apa yang dia mahu

Dia akan melakukan apa saja untuk anda dan memberi apa yang anda mahu. Perkara yang dimahukan oleh lelaki iaitu kehendak untuk menjadi penting. Setiap orang dewasa mahukan kesihatan, makan, tidur, wang, kepuasan seks, anak-anak yang terjaga, rasa dipentingkan dan hidup yang bahagiua dunia dan akhirat. Berilah lelaki apa yang dia mahu dan apa yang boleh anda berikan.

Tunjuk minat tulin terhadap lelaki

Dia akan menujukkan minat terhadap anda. Dengar apa yang ingin dikatakannya, walaupun ianya tentang dirinya sendiri, juga mengenai kerjanya ataupun kesukaannya. Lebih berminat anda padanya, maka lebih berminatlah dia pada anda.

Senyum itu tanda kasih yang tak perlu dibayar

Anda tidak perlu membayar apa-apa untuk senyum pada lelaki yang anda kasihi. Dia akan senyum kembali pada anda. Betapa nikmatnya senyuman yang dilemparkan pada anda itu, begitulah juga nikmat yang dirasanya apabila anda senyum padanya. Senyum menyebabkan lelaki suka pada anda.

Panggillah lelaki dengan panggilan manja

Sebagaimana anda mahukan lelaki memanggil anda dengan nama yang baik dan nada lembut, begitu pula lelaki. Dia mahukan anda memanggilnya dengan lembut, merdu dan manja, sesuai dengan sifat anda sebagai wanita.

Hormati dia sebagai lelaki

Dia akan menghormati anda sebagai wanita. Jika anda berusaha untuk memahami sikapnya, dan bertolak ansur dengannya, dia juga akan melakukan perkara yang sama terhadap anda. Wanita patut menghormati lelaki yang menjadi suaminya, dan memberi penghormatan tidak akan merendahkan kehormatan diri sendiri, malah menjadi diri lebih terhormat.

Dunia Lelaki Yang  Berbeza Dari Wanita

Seorang lelaki tidak sama dengan seorang wanita. Lelaki juga tidak akan menjadi wanita, dan begitulah sebaliknya. Ramai wanita menganggap lelaki sukar difahami, begitu jugalah pendapat lelaki. Berikut dinyatakan bebarapa sifat lelaki secara umum agar anda mudah memahami mereka:

Hidup lelaki lebih mudah

Lelaki lebih mudah cara hidupnya berbanding dengan wanita. Kerana itu lelaki sukar untuk memahamijika sesuatu perkara itu disampaikan dalam bentuk kiasa oleh wanita. Wanita suka berkias dan berharap lelaki faham. Tetapi, lelaki lebih suka jika ianya dijelaskan dengan bahasa yang mudah, dan secara berterus-terang. Sekiranya wanita tidak jelas mengenai sesuatu perkara, tanyalah secara terbuka kepada lelaki.

Bahasa lelaki adalah berlainan

Lelaki bercakap dengan bahasa yang berlainan. Ini yang menyebabkan lelaki dan wanitasukar berkomunikasi antara satu sama lain. Apa yang lahir dari kata-katanya jika dia bercakap dengan wanita, adalah berbeza daripada apa yang dimaksudkan. Ini bukan bererti dia berbohong. Maka adalah lebih baik bagi wanita untuk memahami lelaki dari apa yang dilakukan berbanding dari apa yang dikatakan. Lelaki tidak pandai melahirkan rasa hatinya dalam bentuk kata-kata.

Lelaki suka membisu

Wanita berkebolehan untuk membicarakan sesuatu subjek yang sensitif dan mendukacitakan sebagai salah satu cara berhadapan dengan realiti. Tetapi lelaki lebih suka untuk menyembunyikan dan membisu.

Lelaki tidak kompleks

Jika terdapat semua tanda yang menunjukan bahawa seorang lelaki hanya mahu wanita menjaganya, mengemas rumah, menyediakan makanan untuknya, wanita harus percaya bahawa itulah yang lelaki tersebut mahu. Ini bukan bererti lelaki berfikiran primitif, tetapi lelaki memag sedemikian. Wanita selalu menganggap lelaki sebagai kompleks, tetapi sebenarnya kehendak lelaki adalah mudah.

Jangan paksa lelaki

Bila wanita mendesak lelaki mendedahkan perasaanya, mungkin wanita itu akan mendedahkan sesuatu yang wanita itu tidak suka mendengarnya. Malah adalah lebih baik jangan bertanya dan menyelidik sampai ke akar umbi. Malah apa yang penting wanita itu perlu membaca bahasa badan lelaki, matanya, atau perubahan mendadak dalam corak perlakuannya. Jika dia pada kebiasaannya suka membaca tetapi tidak melakukannya, mungkin pada masa itu fikirannya sedang kacau.

Lelaki berahsia dengan lelaki lain

Tidak sebagaimana wanita yang lebih mudah untuk bercerita masalah yang dihadapinya kepada wanita lain, harapan dan kebimbangan yang dirasainya dan pelbagai cerita peribadi, adalah sukar bagi lelaki untuk menjadi mesra secara verbal sedemikian rupa. Untuk melakukannya lelaki memerlukan kekuatan dan keberanian yang maksima.

Lelaki pentingkan kejujuran

Sepertimana wanita, lelaki juga pentingkan kejujuran. Jika lelaki tahu yang kekasihnya atau isterinya suka bercerita kepada wanita lain tentang dirinya, besar kemungkinan lelaki itu tidak akan bercerita lagi secara mesra mengenai hal-hal rahsia yang lainnya. Kejujuran adalah penting bagi lelaki. Seorang suami mahu isterinya menyimpan rahsia-rahsia rumahtangganya.

Lelaki Perlu Keselesaan Perasaan

Wanita sering menganggap lelaki sukar difahami. Sebenarnya ini juga anggapan lelaki pada wanita. Berikut dinyatakan beberapa sifat umum lelaki agar kita lebih memahaminya.

Lelaki tidak suka dikritik

Jangan mengkritik lelaki, memainkan jika wanita itu bersedia untuk bertikan lidah dengannya. Lelaki tidak begitu terbuka untuk menerima kritikan. Mengkritik di belakannya, contohnya kepada saudara atau rakannya, mungkin dapat mengelakkan konfrantasi serta merta tetapi dia akan berasa marah juga apabila perkara tersebut disampaikan kepadanya.

Cara baik mengkritik lelaki adalah dengan cara berjenaka dan lembut. Cara lelaki mengkritik adalah berlainan dan ia jarang dilakukan oleh wanita. Bila lelaki mahu mengkritik, masa dan keadaan dipilih dengan teliti. Bila menegur, perbincangan itu ringkas, tidak emosi dan tepat.

Untuk mengkritik lelaki eloklah kiranya kritikan itu digabung dengan sedikit pujian.

Lelaki juga mahukan sokongan

Bila lelaki menghadapi masalah dan mengadu pada wanita, wanita harus memberitahu lelaki itu bahawa dia masih diperlukan. Lelaki mahukan keselesaan perasaan dan sokongan serta kata-kata lunak seperti: “saya cintakan abang..” atau “Tidak kira apa yang terjadi, saya tetap bersama abang�”

Lelaki dan ego

Ramai lelaki menunjukkan egonya pada dua masa, pertama di dalam kerka dan kedua di ranjang. Ini biasanya menyebabkan wanita menjadi bosan. Tetapi sebaik-baiknya wanita patut mempertingkatkan ego suami atau kekasihnya.

Wanita yang menyemarakkan api cinta akan menikmati kehangatan api cinta itu. Lelaki mahu wanita memberitahu bahawa sumbangannya diiktiraf dan dilnilai. Jika anda tidak menyatakan kepadanya, siapa lagi? Jika anda mempertingkatkan ego lelaki, ia kan membuatkan lelaki merasa senang dan setipa orang disekelilingnya akan mendapat faedah, terutamanya yang dicintainya.

Lelaki mesra tanpa beremosi

Antara perkara yang ada pada lelaki dan wanita ialah kehendak mutlak untuk dikasihi dan mengasihi sebagai balasan. Intimasi emosional, bersatunya jiwa bukan hanya jasad, adalah cara bagaimana kasih sayang itu lahir. Ianya bukan satu proses sahaja.

Setiap manusia bergantung kepada intimasi emosional untuk seimbang dan gembira, paling kurang ia perlu untuk meneruskan kehidupan. Tempat di mana lelaki berbeza dari wanita ialah pada kebolehan lelaki untuk mesra dari segi seks tanpa kemesraan emosi. Janinan atau hubungan antara dua perkara ini, iaitu kemesraan cinta berahi (seks) dan kemesraan emosi cinta kasih (emosi) tidak penting pada ramai lelaki.

Ramai lelaki memberi keutamaan yang rendah pada kemesraan emosi. Lelaki lambat mencapai kemesraan emosi berbanding dengan wanita. Lelaki lebih cepat mencapai kemesraan seksual. Kemesraan emosi wujud apabila terdapat hubungan yang rapat dan jujur antara suami isteri. Ia mungkin dianggap penting sebagai hubungan seks yang lebih memuaskan. Tetapi jika tanpa emosi seks boleh dilakukan juga oleh lelaki.

Melakukan seks tanpa kemesraan emosi boleh menyebabkan punca konflik semulajadi antara lelaki dan wanita. Bila keperluan kemesraan emosi wanita tidak dipenuhi samaada sebelum atau selepas kemesraan seksual, kekecewaan akan melanda wanita. Tetapi tidak lelaki.

Lelaki suka menyelerak

Lelaki bersifat suka menyelerak barang-barang dan berharap isteri akan mengemaskannya. Kadangkala lelaki mahu isterinya bersifat sebagai ibunya. Walaupun pada kebanyakan ketika lelaki adalah pembuat yang memulai atau meneruskan sesuatu, adakalanya lelaki mahu dijaga oleh seorang ‘ibu’. Dia menunjukkan kemahuannya itu secara tak langsung dengan menyelerak.

Lelaki diumpan menerusi matanya

Mata lelaki dianggap pembangkit ghairah paling utama. Kemudian itu barulah sentuhan, hiduan dan pemikiran rasional memainkan peranan. Untuk menghangatkan hubungan, wanita perlu menghiasi dirinya dengan keindahan. Ini boleh membangkitkan keghairahan lelaki. Lelaki cenderung untuk mencari keghairahan penglihatan, sedangkan wanita bangkit keghairahannya dari bacaan dan kesan terhadap imaginasinya.

Pujuklah Ia Walaupun Terpaksa

Lelaki tidak meminati wanita? Itu adalah satu pembohongan. Tidak ada lelaki tidak berminat atau tertarik untuk mengenali mana-mana wanita. Lelaki dijadikan sebagai makhluk yang akan memulakan sesuatu. Berbanding dengan wanita yang dijadikan dengan perasaan malu yang lebih menebal daripada lelaki.

Terdapat pelbagai cara lelaki untuk mengenal wanita. Melalui cara itu lelaki akan lebih mengenali wanita dan memahami kehendak wanita. Melalui pemerhatian yang dilakukannya, lelaki mengenali wanita sebagai seorang yang:

1.Mudah tersinggung jika hatinya terusik terutama yang membakitkan perasaan

2.Mudah jemu dan perlukan suasana yang berlainan untuk menghilangkan rasa jemu dan bosan.

3.Amat memerlukan cinta kerana memandang lelaki sebagai orang yang dicintainya dan cuba menyesuaikan dirinya dengan lelaki yang dicintainya.

4.Suka dipuji walaupun dia tahu bahawa lelaki itu berdusta asalkan pujian itu tidak menyakiti dirinya malah mendatangkan kegembiraan kepada dirinya.

5.Tidak percaya kepada lelaki walaupun kekasih atau suaminya begitu menyayanginya. Keadaan ini disebabkan perasaan gelisah dan sangsi lebih banyak dirasakan oleh wanita.

6.Berhati sentimental kerana naluri dan perasaan wanita yang penuh dengan kelembutan, sensitif, perasa dan lebih suka terpengaruh oleh suara hatinya berbanding oleh akalnya.

7.Suka memaksa lelaki kerana dia menganggap lelaki adalah insan yang dapat melenyapka rasa bosan dan jemu. Dan sebab itilah wanita memaksa lelaki agar memujuk rayu dan memanjakannya. Walaupun begitu, wanita tidak sanggup kejam terhadap lelaki malah lebih rela berlaku kejam terhadap dirinya sendiri.

8.Cemburu. Ini kerana wanita lebih cenderung mempertahankan harga diri, kepentingan peribadi, kepentingan keluarga dan anak-anak.

9.Bersikap penggoda keran awanita dikatakan sentiasa memikirkan cara untuk memenagi hati lelaki dengan menggunakan daya tarikan tubuh dan wajahnya bagi tujuan tersebut. Sebab itu wanita suka memperagakan pakaian yang seksi ditempat umum.

Perkara-perkara yang dinyatakan di atas bukanlah tuduhan terhadap wanita atau untuk merendah-rendahkan mertabat wanita. Dengan mengetahui perkara ini, lelaki dapat mengetahui dengan lebih mendalam mengenai sifat-sifat sebenar wanita. Bagi wanita pula, kenalpasti kelebihan dan kelemahan diri adalah penting sebagai persiapan menghadapi apa saja kemungkinan yang bakal dicetuskan oleh lelaki.

Wanita Dari Pandangan Mata Lelaki

Ada ramai wanita di dalam dunia ini. Tetapi adakah semua wanita itu mempu menarik minat lelaki untuk mengenalinya. Kadang-kala seorang lelaki hanya mahu menduga hati seorang wanita sahaja bila mendekati mereka. Tetapi tahukah anda wanita yang bagaimana boleh menarik minat lelaki untuk mendekati mereka? Ada banyak faktor yang boleh menyebabkan lelaki mendekati seseorang wanita.

1.Personaliti seorang wanita itu penting. Dengan personaliti yang meyakinkan seseorang lelaki boleh terpikat bila memandangnya. Mereka juga akan berasa lebih yakin untuk mendekati wanita tersebut.

2.Lelaki terkenal dengan mata jalanannya. Ada juga lelaki yang suka memerhatikan wanita yang seksi, apatah lagi jika wanita itu memakai pakaian yang menghairahkan.

3.Penampilan, gaya berjalan dan cara pergaulan wanita juga kadang-kadang membuat seorang lelaki terpikat. Ada kalanya salah satu daripada faktor itulah yang buat lelaki terlalu ingin mendekati seseorang wanita.

4.Ada juga lelaki yang mementingkan kesopanan. Lelaki yang lebih sukakan wanita sebegini selalunya lelaki yang tidak suka berfoya-foya. Mereka lebih suka mendampingi wanita yang tidak akan memalukan mereka.

5.Memang tidak semua lelaki mementingkan wajah. Tetapi ada juga lelaki yang mudah tertarik pada wanita yang cantik, ayu dan anggun. Ada ketikanya sehingga membuatkan mereka menoleh untuk kali kedua bila memandangnya.

Walaubagaimanapun tidak semua lelaki yang mementingkan fizikal seseorang wanita, ada juga lelaki yang lebih mementingkan faktor dalam diri seseorang wanita.