Cara Kita Memandang Kanak-kanak

11 Oct

Oleh : Ustaz Hasrizal Abd Jamil

“Syabas kepada tuan-tuan dan puan-puan, terutamanya yang anak mereka ramai dan sudah dewasa” saya memulakan penyampaian.

Syabas kerana, menjadi kebiasaan kita semasa anak seorang, kita sangat bersemangat mahu mendidik anak. Pelbagai teori mahu diguna pakai untuk memastikan tomei-tomei kita cemerlang.

“Macam mana saya nak pastikan anak saya suka sembahyang, ustaz?” tanya seorang ibu muda.

Anaknya baru mencecah usia setahun!

Takut pula saya memikirkan ibu bapa seperti ini. Terlebih semangat.

Tetapi jika anak sudah empat lima orang seperti saya, tambahan pula mereka bukan lagi kanak-kanak, sebaliknya sudah menjadi remaja yang peluh masam dan banyak ragam, maka saya menumpang kagum pada kesungguhan ibu bapa untuk terus mendidik anak-anak dengan ilmu. Bukan try and error. Jauh sekali “anak aku, aku tahulah!”

Seminar Raising Young Khalifah yang berlangsung di Dewan Tabung Haji semalam (13 Nov 2012), saya sambut. Biar pun fikiran saya berkecamuk dengan tugasan akademik yang banyak lagi membingungkan, saya menerima jemputan penganjur kerana saya tidak mahu terputus daripada dunia keibubapaan yang sentiasa saya fikir, belajar dan usaha.

Masa yang diberi hanya satu jam.

Topiknya besar.

Justeru penyampaikan mesti ada elemen sauh (anchor) yang membolehkan peserta ingat, apa yang disampaikan. Tambahan pula saya memang menjangkakan yang ceramah saya nanti berterabur.

Saya membuat keputusan last minute untuk memasukkan klip video yang dipetik daripada rancangan tv realiti, America Got Talent.  Video ini menceritakan apa yang sukar saya jelaskan dengan kata-kata.

Subjek tumpuan saya bukalah si rapper cilik bernama Mir Money itu, walaupun keyakinan dirinya di peringkat awal turut menarik untuk diperhatikan. Beliau sendiri mahu memenangi wang USD1 juta kerana mahu menjaga keluarganya! Ungkapan yang menyentuh seluruh dewan.

Namun apa yang menjadi fokus saya adalah reaksi seluruh dewan apabila beliau menangis.

Sebaik sahaja memulakan persembahan dan sampai ke ayat ”I’m only 7-years-old, it’s gonna be my year!” , Mir Money menerima X yang pertama daripada DJ Howard Stern. Mir Money meneruskan persembahan tanpa gangguan. Tetapi ketika Sharon Osbourne memberikan X yang kedua, Mir Money terhenti dan wajahnya kelihatan marah. Apabila Howie Mandel bertanya sama ada beliau marah, Mir Money menafikannya. Sebaik sahaja DJ Howard Stern memberi penerangan mengapa beliau memberi X, Mir Money mula menangis.

Ia perkara biasa untuk seorang budak berusia 7 tahun.

Reaksi spontan seluruh dewan, Stern, Osbourne dan Mandel bukan dibuat-buat. Kita menyaksikannya dengan jelas.

Ia menunjukkan bagaimana masyarakat Barat menilai kanak-kanak, adakah mereka itu manusia lengkap yang punya hak dan kemahuannya penting, atau sekadar substitute?

DJ Howard Stern hampir berhenti daripada menjadi juri program ini kerana trauma dengan ‘perbuatan’nya yang menyakiti seorang budak, tanpa niat. Menyebabkan seorang kanak-kanak menangis, menjadi isu yang begitu besar buat mereka.

Demikianlah kanak-kanak dalam kehidupan tamadun Barat, jika mahu disebut tamadun.

Sebab itu buku-buku yang mengkaji kanak-kanak banyak mereka hasilkan. Siaran televisyen khas kanak-kanak. Perkembangan pedagogi sebagai teras penting pembentukan kanak-kanak juga datang dari sana. Semuanya bermula daripada cara mereka memandang kanak-kanak dengan pandangan yang tinggi.

Hingga di Sri Gombak juga saya pernah melihat sebuah gereja khas untuk kanak-kanak, di sebuah rumah kedai!

CABARAN TAMADUN KITA

Apabila kita mendesak agar masjid menjadi lebih mesra kanak-kanak, apa yang menjadi halangan untuk desakan itu dipenuhi bukanlah pada isu kefahaman nas dan fiqh semata-mata. Tetapi ia berbalik kepada bagaimana cara kita melihat kanak-kanak itu sendiri.

Mendiang S. Subashini a/p G. Sivakumar

Ketika mana berita murid tahun 6, S. Subashini, membunuh diri kerana tidak dapat keputusan cemerlang di dalam UPSR pada tahun 2007 dan ia menjadi berita yang terbang dibawa angin, saya yakin Malaysia menghadapi masalah yang sangat serius dalam isu ini. Andai kejadian murid berusia 12 tahun membunuh diri kerana peperiksaan berlaku di Amerika Syarikat, mungkin kabinet yang mentadbir boleh goncang malah tumbang.

Dengan penuh selamba, kita mengeluarkan kata-kata yang menghancurkan jati diri kanak-kanak malah anak kita sendiri, kemudian tanpa malu kita mendakwa Islam itu Rahmatan li al-Aalamin!

Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

من لم يرحمْ صغيرَنا فليس مِنَّا

“Sesiapa yang tidak mengasihi kanak-kanak kami maka dia bukan daripada kalangan kami” [hadith riwayat al-Bukhari]

30 minit berlalu, dan saya baru selesai satu topik daripada 40 slide pembentangan!

Leave a comment