Archive | 5:42 am

Tolong Fikirkan Wahai Ibubapa

9 Jan

Minggu lalu, ketika menjamah makanan makan malam di sebuah restoran semasa dalam perjalanan ke airport, rakan-rakan yang bersama menghantar saya berbicara berkenaan pelbagai isu. Hj Rosman kemudian menzahirkan kebimbangan beliau berkenaan kes jenayah yang wujud di Malaysia. Kes-kes sedemikian agak kurang berlaku di Bahrain.

Natijah dari kebimbangan tersebut, beliau bertanya

“pada pandangan ustaz, macam mana cara untuk selesaikan masalah ini”

Saya berfikir sejenak, sudah tentulah jawapan paling mudah bagi seorang ustaz adalah berkata

“kita kena kembali kepada Islam”

Tetapi disebabkan jawapan itu terlalu umum, maka saya mengambil keputusan untuk tidak memberikan idea itu.

“Ia perlukan penyelesaian secara kolektif, semua pihak perlu ada kesedaran untuk merubah keadaan” demikian jawapan permulaan saya.

“Namun yang paling utama perlu berperanan, adalah ibu bapa atau keluarga”

Saya mengulang kembali ingatan sedih dan pedih kita kepada kes Al-Marhumah Nurin Jazlin yang dibunuh kejam dan masih gagal diselesaikan oleh pihak berkuasa Malaysia sehingga kini.

“Bukankah Nurin dibunuh oleh seorang manusia?, sudah tentunya manusia ini dilahirkan ke dunia oleh seorang ibu dan pastinya dia punyai bapa dan keluarga”

“Namun apakah yang menjadikannya sebegitu kejam?” saya menrang sambil mengajak berfikir.

Memang benar, pelbagai faktor menyumbang, namun bagi saya ia bermula dari hasil didikan pertama ibubapa, sesuai dengan apa yang disabdakan oleh nabi s.a.w

“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya lah yang menjadikan dia seorang yahudi atau nasrani atau majusi. Sebagaimana seekor binatang yang melahirkan seekor anak tanpa cacat, apakah kamu merasakan terdapat yang terpotong hidungnya? (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Sudah tentu juga ibubapa yang berperanan untuk mencorakkan seorang bayi sehingga menjadi seorang Muslim, mukmin yang bertaqwa.

Kita tidak nafikan faktor persekitaran yang sentiasa menghurungi anak-anak kita khususnya di sekolah, melalui internet, rakan-rakan, games, TV dan lainnya.

JANGAN DIDIK ANAK SECARA SPONTAN

Namun tidak boleh dinafikan, ibubapa mempunyai saham terbesar. Anak-anak adalah satu tugas terbesar buat ibubapa yang sering diabaikan. Sedangkan mereka semua adalah suatu aset dan ‘pelaburan’ terpenting. Namun amat kerap mereka menjadi mangsa kurang teliti, kurang perhatian dan tiada perancangan jitu oleh sang ibubapa.

Akhirnya, sebuah aset yang ditangani secara lebih kurang akan menghasilkan hasil yang bukan lebih kurang juga, tetapi hasil lebih buruk malah membawa padah.

Memang benar, kegagalan merancang pendidikan anak-anak adalah sebuah kegagalan masa depan.

Ramai yang merasakan, pendidikan anak-anak boleh dibuat secara spontan, bergantung kepada hari dan masa. Dalam kata lain, bergantung kepada keadaan.

Hakikatnya, anak tidak boleh dididik secara spontan, ia memerlukan satu pelan perancangan khas untuk menjadikan lebih mudah dibentuk. Mendidik mereka seperti mengendalikan sebuah syarikat awam yang sentiasa memerlukan plan induk, teknik khas, contingency plan dan monitoring system.

Kerana itu kita perlukan seorang Chief Operating Officer (COO) untuk anak-anak. Menurut teori ideal Islam, COO yang paling ideal bagi pendidikan anak-anak adalah seorang IBU. Bapa bertindak sebagai Chief Executive Officer(CEO) yang mana,, ruang lingkup tugasan, peranan dan tanggungjawabnya lebih besar dan menyeluruh.

“Namun apabila hari ini kedua-dua ibubapa sibuk mencari nafkah, aset di rumah terabai dek kerana pendapatan RM 2,000 (purata) atau RM 5,000 sebulan si ibu”

Anak-anak diswastakan kepada nursery yang kurang pengalaman. Kurang penghayatan, kurang sensitiviti dan seumpamanya.

Kita boleh menghantar mereka ke pelbagai jenis kursus dan kem untuk menyuntik sesuatu, namun pokok pangkalnya tetap di atas bahu kita selaku ibubapa. Kalaupun anak telah berubah hasil tarbiyah di dalam kursus, mereka akan tetap melupakan nilai baik tersebut jika ibu bapa masih di takuk lama.

WAHAI IBUBAPA, HORMATI ANAKMU NESCAYA KAMU DIHORMATINYA

“Treat your child with respect” itu saranan Richard Templer, penulis buku parenting yang popular.

Saya amat selesa dengan saranan tersebut, seorang ibubapa yang bijak perlu mengendalikan dan melayan anak-anak mereka dengan penuh penghormatan. Kelak anak-anak akan mencontohi tatacara yang sama.

Biasanya apabila orang dewasa meminta bantuan seorang dewasa yang lain, mereka akan menggunakan bahasa yang sopan. Itu adalah kerana mereka sedar, yang diminta itu tidak mesti untuk membantu, kita perlukan ihsan mereka untuk membantu. Atas sebab itu, kata-kata sopan digunakan, demi memujuk dan mearih ihsan.

Bukankah elok jika cara yang sama untuk anak-anak kita, cuba kita jangan merasakan si anak sentiasa WAJIB untuk mematuhi arahan kita. Kelak nanti si anak apabila meminta kepada ibubapanya atau orang lain, dirasakan mereka semua wajib menurut arahannya.

Si anak juga kerap meminta ibubapanya, mainan itu dan ini. Namun sedikit yang diperolehi.

Maka si anak akan menghadapi kekeliruan.

“ibubapa minta, semua aku kena buat, aku minta, ibubapa tak buat semua pulak”

Lebih teruk dari itu, arahan dari ibubapa kerap dihamburkan dengan kata-kata perintah tanpa hormat dan pujukan serta ihsan. Contohnya:

“makan tu”

“Habiskan ini!”

“Pergi mandi!”

“Cepat masuk kereta!”

“Gosok gigi!”

“Kenapa sepah sangat ni, cepat bersihkan!”

“Heiii, kenapa buat macam tu!”

Itulah yang kerap dilaungkan oleh ibubapa, memekik melolong setiap pagi dan petang serta malam.

Setiap hari anak akan mendengar lolongan kuat menerjah telinga dan hatinya. Kalimah-kaalimah arahan dan larangan sebegitu sudah terlalu biasa, lali hingga ia menjadi masak dan sebati dek pemikiran dan hatinya.

Pada masa yang sama, kita akan dengar kedapatan ibubapa yang mengeluh kerana anaknya kurang beradab ketika remaja dan dewasa. Sedarkah bahawa si anak sebenarnya telah ‘berjaya’. Ya berjaya dalam mencontohi model yang diterapkan oleh ibubapanya sendiri. Namun kini ibubapa merasa sedih dan tidak selesa. Sedarkah ibubapa bahawa si anak yang dibesarkan sedemikian rupa menyangka itulah cara arahan dan permintaan yang terbaik. Bukankah itu yang ditunjukkan oleh ibubapa mereka?.

Justeru, lebih kasar sang ibubapa terhadap anaknya, akan kasar jualah anak terhadap ibubapanya dan orang lain, khususnya di ketika remaja dan dewasa.  Malah lebih mendukacitakan, itulah cara yang akan dibawa ke sekolah, mempengaruhi kawan-kawan dan akhirnya menjadi penjenayah yang merasakan tindakannya ‘ok’ atau tidak bersalah. Puncanya dari cara didikan dan layanan ibubapa yang kasar.

Patut kita sedari di awal bulan hijrah 1431 ini, bahwa anak layak mendapat sebuah penghormatan, semudah-mudah penghormatan adalah dengan memilih ayat dan kata-kata yang manis didengari, intonasi yang sedap didengar. Cuba tambah sikit sahaja sebagai contoh

“boleh tolong ibu ambilkan barang itu”

“Adik baikkan, tolong ummi kemaskan meja ini boleh?”

Dan pelbagai lagi bentuk ayat yang serupa dengannya.

Di samping itu, jangan sesekali memungkiri janji,, membohongi anak dan lain-lain kelakuan negaitf. Selain anak akan mengambil contoh, mereka juga akan merasa kurang penting berbanding yang lain.

TUNJUKKAN PERHARGAAN TERHADAPNYA

Juga menjadi kebiasaan ibubapa hari ini. Bangun sahaja anak dari tidur dan terus dia menghala ke dapur.

Ibu yang terlihat anak, ayat pertamanya :

“hah apa lagi tu, dah gosok gigi, pergi basuh muka dan gosok gigi!”

“Lepas tu pergi buat itu ini bla la bla”

“Mak boleh tolong angah buat kerja ini tak” pinta si anak lembut

“Ehhh nanti-nanti!, mak tengah sibuk goreng ayam ini” mungkin itu jawapan si ibu.

Terasa dalam hati si anak, dirinya ibarat tidak berharga, kemunculannya hanya bersedia untuk diarah dan ditengking.

Permintaan tidak banyak erti buat si ibu, ‘gorengan ayam lebih utama dari perminataannya.

Malah ketika pulang dari sekolah juga, ibubapa tidak menyambut tetapi dibiarkan anak begitu sahaja.

Tahap si anak ibarat sebuah perabot buruk dan pekakas rumah sahaja. Wujudnya tidak disedari, hilangnya tidak diendah.

Pastinya, anak akan menyimpan itu sebagai standard kehidupan. Nanti kelak itu jugalah yang diperlakukan di masa hadapan.

Kalau ada perhatian dari ibubapa, mungkin hanya perintah demi perintah, larangan demi larangan sahaja.

Justeru, sudah sampai masa kita mengubahnya, kita berhijrah.

Sedarilah bahawa, tatkala kita sedang melakukan tugasan harian di rumah, mengemas baju, memasak dan sebagainya, tatkala anak muncul, anak punyai priority yang lebih tinggi. Jangan dijadikan alasan, tengah buat kerja, basuh baju, gosok baju, jahit baju dan lainnya, kerana tatkala anak muncul, itulah kerja yang paling besar keutamaannya untuk dipenuhi.

Tunjukkan rasa seronok dan gembira kita selaku ibubapa ketika melihatnya, sewaktu pulang dari sekolah (atau sewaktu kita pulang dari kerja), melihatnya di awal pagi dan berpisah dengannya ketika waktu malam untuk tidur. Ia boleh dilakukan dengan ucapan-ucapan yang baik, atau sedikit pelukan dan sentuhan tanda mereka penting buat kita.

KESIMPULAN

Semoga dengan sedikit peringatan untuk diri ini, kita semua mampu berubah menjadi ibubapa yang berperancangan dan memperbaiki pendidikan anak-anak.

Kerana anak-anak itulah kelak bakal menjadi sama ada Imam besar, Pemimpin Negara, Ulama Besar, atau sebaliknya menjadi perompak terulung, penjenayah bersiri dan pengkorup unggul. Nauzubillah.

Perbaikilah masyarakat kita melalui kesedaran peranan ibubapa. Jenayah hakikatnya bermula dari rumah dan perlu ditangani bermula di rumah juga.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

Tak Mahu Hipokrit, Akhirnya Bertambah Dosa

9 Jan

Oleh :

Zaharuddin Abd Rahman

Untuk pengetahuan ustaz,ibu saya telah menyuruh saya memakai tudung ketika saya berumur 13 tahun lagi. Saya hanya menurut katanya kerana bimbang dimarahi. Walaupun begitu, sekarang saya tidak lekat memakai tudung. Ini diketahui oleh ibu saya, dia hanya mampu membebel dan berkata, adik nak buat dosa, adik tanggung la sendiri, ibu dah buat apa yang patut.

Sekarang saya sudah bekerja dan hanya memakai tudung di tempat kerja sahaja kerana di tempat saya, tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya pekerja tidak memakai tudung. Saya tahu hukum tidak menutup aurat, tetapi buat waktu sekarang, hati saya tidak terbuka lagi untuk terus menutup aurat (rambut dan leher).

Cara pemakaian saya tidak seperti rakan-rakan saya yang menutup aurat. Mereka bertudung tetapi pemakaian mereka tidak melambangkan imej mereka. Baju, seluar ketat yang menampakkan susuk tubuh.

Bagi yang memakai baju kurung, ada yang dari kain yang nipis dan jarang. Bagi yang berbaju kebaya, ianya terlalu ketat, berkain belah sehingga menampakkan betis dan jarang. Ada yang tidak memakai seluar tetapi memakai skirt panjang. Walaupun begitu, ianya ketat dan menampakkan garis pakaian dalam yang dipakainya.

Tudung yang dipakai pula tidak menutupi dada. Lelaki-lelaki yang memandang tidak berkelip melihat mereka. Ada juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung. Tidak menunaikan solat, panjang tangan, mengumpat, melayan lelaki yang bukan muhrim, pengotor dan pelbagai karenah lagi. Walaupun saya tidak memakai tudung, saya menjaga solat, pemakaian dan tingkah laku saya.

Kawan-kawan saya ini ada menyuruh saya supaya terus memakai tudung tetapi saya tidak mahu menjadi hipokrit. Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana disuruh. Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang.

Semoga ALLAH membuka hati saya untuk terus memakai tudung. Amiin…

– Diera –

JAWAPAN

Ada beberapa perkara yang saudari utarakan dalam soalan dan ingin saya berikan respon ringkas. Iaitu :-

1) Isu tidak mahu bertudung ( menutup aurat) tanpa ikhlas kerana tidak mahu hipokrit  serta tidak mahu berubah kerana disuruh.

Sebenarnya isu ini telah agak banyak saya sentuh di dalam artikel-artikel yang lalu seperti berikut :-

Namun demikian, disebabkan soalan ini ada menyentuh beberapa isu yang agak semasa dan kerap, saya berasa perlu untuk memberikan ulasan tambahan.

Begini ulasannya, Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah untuk menutup aurat dan bukan hanya bertudung.

Justeru, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri, dia tetap WAJIB di sisi Allah untuk melaksanakan kewajiban itu.

Sebagaimana seorang pemandu tidak berhemah warganegara Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK), dia akan terpaksa mengubah cara pemanduannya kerana hemah pemandu di UK amat tinggi, sesiapa sahaja yang kurang berhemah akan segera mendapat teguran pemandu lain, malah adakalanya pemandu lain akan segera menelefon polis atau mencatat nombor plat kereta untuk diadukan kepada polis.

Atas sebab itu, pemandu yang asalnya ‘brutal’ di Malaysia, TERPAKSA berubah di UK.  Tidak kiralah sama ada dia berubah kerana hipokrit, terpaksa, tidak ikhlas atau apa jua sebab lauaran. Hakikatnya, dia MESTI berubah, kerana itu adalah system dan regulasinya. Mengabaikannya akan membawa mudarat kepada diri sendiri dan pemandu orang lain.

Sama seperti menutup aurat dan bertudung, itu adalah regulasi oleh agama Islam, mengabaikannya akan membawa mudarat spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain (kerana setiap lelaki yang melihat aurat wanita bukan mahram, akan berdosa dan dosanya dikongsi bersama oleh wanita tersebut).!

Justeru itu, hipokrit tidak boleh sama sekali menjadi PENGHALANG untuk mengerjakan semua KEWAJIBAN agama, termasuk menutup aurat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambanya.

Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Kewajiban untuk melakukan semua arahan wajib dan menjauhi larangan  yang diharam tetap tertanggung di atas bahunya, walaupun dia tidak ikhlas atau masih gagal mencapai tahap Ikhlas.

Apa yang perlu diusahakan adalah terus menerus berusaha memperoleh ikhlas semasa melaksanakan perintah dan menjauhi larangan itu. Itu boleh dianggap sebagai adalah level kedua kesempurnaan ibadah. Level pertama adalah mesti melaksanakan tuntutan Islam.

Perlu diingat, jika seseorang menutup aurat dan menunaikan solat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir.

Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, tidak juga solat atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya. Tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI. Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat.

Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.

Kesimpulannya, ‘ingin berubah hasil hati sendiri’, ‘tidak ikhlas’ dan ‘tidak mahu hipokrit’ itu semuanya hanya bisikan syaitan yang ingin menyesatkan hamba Allah agar terus menerus menjauhi kewajibannya. Sedarlah agar jangan lagi terpedaya, ingatlah berterusan dalam dosa sedang mengetahui hukumnya akan terus menerus menambah besar kemurkaan Allah swt dan akan menjadikan diri sama sekali TIDAK MAMPU berubah di satu hari nanti yang diharapkan.

2) MEREKA YANG BERTUDUNG TAPI TIDAK SEMPURNA DAN BERAKHLAK BURUK.

Sebelum mengulas, isu sebegini telah pernah saya ulas sbeelum ini di artikel : Bertudung Sambil Hina Hukum

Kembali kepada persoalan saudari, dari bait-bait ayat saudari, kelihatan saudari begitu benci dan terganggu serta terkesan dengan keburukan akhlak dan cara tutupan aurat rakan sekerja yang lain yang dikatakan memakai tudung tetapi ketat dan sebagainya. Sehingga saudari merasa mereka semua hipokrit, buruk perangai, pengotor dan sebagainya, walau bertudung.

Sebelum itu, saya perlu ingatkan saudari dikira bertuah kerana mendapat kerja di sebuah syarikat yang begitu perihatin dalam masalah agama sehingga mewajibkan kakitangan mereka untuk menutup aurat.

Satu perkara mesti jelas juga, semua wanita yang bertudung tetapi berbaju ketat, skirt panjang terbelah, berbaju kebaya sempit dan sebagainya, semua mereka berada di satu level pada pandangan Islam. Iaitu SEMUA SEDANG MELAKUKAN DOSA DAN SEMUA TIDAK MENUTUP AURAT.

Justeru, adalah SALAH bagi saudari menganggap ‘rakan sekerja itu’ SEBAGAI MENUTUP AURAT TETAPI BURUK AKHLAK DAN BEROSA. Sebabnya, mereka juga TIDAK MENUTUP AURAT.

Malah jika mereka benar-benar menutup aurat sekalipun, adalah SALAH untuk merujuk kepada mereka dalam menetap pendirian sama ada saudari perlu sudah sampai masa untuk menutup aurat atau tidak.

Ingatlah bahawa yang diwajibkan oleh Allah bukanlah hanya bertudung kepala dan menutup leher, tetapi menutup seluruh bahagian aurat tubuh sebagaimana yang telah saya terangkan di dalam artikel ‘Aurat Wanita Apa Sudah Jadi’

Selain itu, adalah salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan uuntuk menghentikan seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik.

Jelas dari hadis Nabi s.a.w, dalam hal agama dan kepatuhannya, kita mesti sentiasa melihat mereka yang lebih dari kita, agar kita terus berusaha

Manakala dalam hal keduniaan, barulah kita disuruh oleh Islam untuk melihat mereka yang kurang berbanding kita, agar kita lebih tahu untuk bersyukur dan tidak dijangkiti penyakit tamak.

Sabda Nabi :-

خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه ..

Ertinya : Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya  kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya .. ( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)

3) WALAUPUN TIDAK MEMAKAI TUDUNG (MENUTUP AURAT) TETAPI MASIH JAGA SOLAT DAN MAMPU MENJAGA TINGKAH LAKU.

Tahniah atas kemampuan saudari untuk terus menjaga solat dan menjaga tingkah laku, namun solat yang hakiki dan ikhlas akan menghasilkan seorang yang gerun melakukan dosa, serta akan mendorong sesoerang untuk tanpa lengah menunaikan tanggungjawab yang diarahkan Allah.

Namun apabila saudari terus redha dalam pembukaan aurat sedangkan saudari menunaikan solat, ia bermakna solat saudari juga bermasalah. Tapi jangan pula mengatakan, “kalau begitu saya tak mahu solat kerana tak mahu hipokrit”, ia telah kita bincang di atas tadi.

Juga, buktikan kepada diri bahawa jagaan solat saudari adalah benar-benar sebuah ketaatan dan bukan hanya kosong tanpa isi. Tanda awal ia adalah benar-benar sebuah solat adalah saudari akan terbuka hati dengan cepat untuk menutup aurat tanpa terkesan dek buruk perangai orang sekitar yang kononnya menutup aurat tetapi buruk.

Justeru, saya menasihatkan saudari agar segera keluar dari jenis individu yang saudari sendiri benci (bertudung atau tutup aurat tapi tak solat, mengumpat dsbgnya). Saudari membenci perangai mereka tetapi dari sudut pandangan agama,  saudari sebenanrya adalah sebahagian dari mereka kerana :

Mereka yang menutup aurat dan buruk perangai adalah sama darjatnya dengan mereka yang solat tapi tidak menutup aurat.

Kedua-duanya tidak bertanggungjawab terhadap Allah dan sedang melakukan dosa.

Malah saudari juga patut bersyukur mendapat ibu yang prihatin soal kewajiban agama, terlalu ramai ibu di zaman ini yang hanyut dan lebih suka anak perempuan mereka mengikuti gaya yang disukai  syaitan iaitu seksi.

Lalu apabila ibu menyuruh, Allah juga mengarahkan, maka saudari bukan sahaja berdosa kerana aurat saudari yang terbuka, malah juga berdosa kerana tidak mematuhi suruhan dan harapan ibu, selain berdosa melanggar arahan Allah.

Bukankah mentaati ibu dalam hal yang tidak membawa dosa adalah WAJIB?. Dan jatuh derhaka bagi seorang anak yang mengguris perasaan ibu, khususnya dalam hal nasihat ibu untuk kita mentaati arahan Allah swt.

4) BUKAN SEKARANG MASA UNTUK BERUBAH.?

Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin beurbah. Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi.

Kebaikan dan pelaksanaan tanggungjawab jangan sesekali ditangguhkan, kelak tidak kempunan di hadapan Allah.

Moga Allah membantu saudari untuk segera berubah dan terbuka untuk menerima jawapan ini.

Saya juga doakan saudari untuk segera berHIJRAH KE ARAH kebaikan, dan teruslah kita semua berusaha untuk ikhlas dalam semua amalan kita.

Selamat BEPRUASA SUNAT HARI TASYU’A DAN ASYURA.! (9 dan 10 Muharram iaitu pada 26 dan 27 Disember 2009 )

Sekian