Perjalanan menulis,sekolah,majalah &akhirnya buku

30 Jun


Sudah lama saya menulis.

Tentulah tidak selama orang lain, tetapi cukup lama untuk mendesak saya bersungguh-sungguh berfikir. Mempertimbangkan tentang perlunya semua hasil tulisan saya dibukukan.

Saya menulis atas pelbagai sebab.

Saya banyak berdiskusi dengan al-marhum ayah saya. Pelbagai topik yang kami bualkan semenjak saya masih di bangku sekolah rendah, hinggalah ke saat beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, kembali ke rahmatullah pada hari lahir saya yang ke 17.

Dialog itu telah banyak memberi bekas kepada personaliti dan pemikiran saya. Tetapi kini, banyak dialog kami yang jadi samar di fikiran lewat perjalanan masa. Terasa bagai suatu kehilangan.

Saya tidak mahu anak-anak saya mengalami perkara yang sama. Semoga dengan peninggalan saya berupa buku yang mengumpulkan wacana fikiran ABI mereka, saya terus hidup di hati mereka selepas jasad ini luluh dimamah bumi.

MENULIS UNTUK MEMBERONTAK

Saya mula menulis kepada masyarakat umum, pada tahun 1992. Tulisan pertama saya adalah surat pembaca yang saya kirimkan ke akhbar Harakah. Tajuknya ringan, iaitu tentang “PELAJAR SEKOLAH AGAMA HILANG IMEJ“. Surat itu saya tulis sebagai reaksi kepada suatu persidangan pondok-pondok pengajian seMalaysia yang diadakan di Pantai Timur.

Ketika itu saya sudah berada di hujung tahun pengajian saya di sekolah. Tingkatan 5. Saya kecewa dengan kualiti pengajian agama yang ada di dalam silibus sekolah ketika itu. Saya merasakannya sebagai suatu pengkhianatan, kerana tidak setanding dengan penghormatan masyarakat kepada orang agama. Berorientasikan peperiksaan dan hafalan. Malah pelajar-pelajar sekolah agama berbangga menjulang piala kemenangan dalam pertandingan syarahan Bahasa Arab, sedangkan teks syarahan dikarang oleh ustaz di sekolah, bukannya pelajar.

Surat saya tersiar hampir separuh muka di Harakah. Ia telah mencetuskan kucar kacir di sekolah saya, hingga saya dipanggil pengetua.

“Kenapa anta menulis di dalam Harakah?”, tegas pengetua kepada saya.

“Lakukah isu itu kalau ana tulis di Berita Harian dan Utusan, ustaz?”, anak muda yang darah mendidih itu menjawab.

Itu pengalaman pertama saya menulis secara serius kepada masyarakat.

MENULIS UNTUK MENYUSUN MINDA

Semasa di Jordan, saya juga banyak menulis kertas kerja. Saya suka menulis khususnya dalam format kertas kerja kerana menulis akan

menjadikan kefahaman saya tentang satu-satu tajuk itu tersusun.

Sebahagian kertas kerja, saya tulis atas permintaan pengajur program, sebahagiannya pula sengaja saya tulis dan kemudian saya minta sebuah program diadakan untuk membincangkannya.

Antara artikel awal yang saya tulis, ialah ulasan saya tentang buku Said Hawwa bertajuk “Khomeinisme: Keganjilan Pada Pendirian Politik dan Aqidah“. Ia disusuli dengan beberapa artikel lain seperti “Membersihkan Tuduhan Terhadap Imam Thabari Bahawa Beliau Itu Seorang Syiah“, “Pengenalan Kepada Buku-buku Sumber Sejarah Islam“, “Teknik Pembacaan Sejarah Islam” dan beberapa artikel lain.

Salah sebuah artikel saya yang bertajuk “Permasalahan Sejarah Islam, Punca dan Penyelesaiannya” telah dipanjangkan oleh Ustaz Abdul Rasyid Idris ketika itu, ke akhbar Harakah. Ia telah disiarkan sebanyak 6 siri, di halaman bersama tazkirah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Begitu juga, saya pernah menulis sebuah kertas kerja yang agak tebal, yang lebih merupakan proposal saya untuk mengubah cara belajar pelajar Malaysia di Jordan ketika itu. Mengambil inspirasi daripada idea Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin (kini SS Mufti Perlis) yang pernah mengajak saya mengasaskan Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam (INPIS), saya telah mengubah buku Said Hawwa Jundullah: Tsaqafatan wa Akhlaqan, kepada sebuah projek kelab study group yang dinamakan Madrasah Said Hawwa.

Projek itu mendapat sambutan yang baik pada sekitar 1995, tetapi kemudiannya terhapus begitu sahaja, apabila saya sendiri bosan dengan respond yang semakin tidak menggalakkan pada masa itu. Kertas kerja itu hilang dari simpanan saya, dan saya masih berusaha mencarinya.

Artikel paling sukar yang pernah saya tulis, adalah “Hubungan Alam Melayu-Turki Merentasi Sejarah” . Saya telah menghabiskan masa selama setahun dengan modal kira-kira USD500 untuk mengumpul bahan bagi menulis artikel tersebut. Ia termasuklah belanja yang saya keluarkan untuk menyalin buku-buku baru dan lama di perpustakaan IRCICA di Istanbul. Tidak termasuk belanja perjalanan dan sara hidup saya selama di bumi Othmaniyyah itu.

Malang sekali, saya telah terlibat di dalam kemalangan bas di Turki. Ketika itu saya sedang menulis dengan laptop pertama saya. Begitu kuat hentakan laptop saya ke dinding bas, ia telah menyebabkan hard drive serta skrin laptop itu rosak sama sekali. Akibatnya, artikel ini telah hilang sepenuhnya dari simpanan saya.

Mujurlah artikel itu pernah tersiar di dalam Majalah SUKEJ di Al-Azhar Mesir. Namun, banyak nota kakinya telah hilang, berserta dengan isi kandungan yang sedikit diringkaskan. Melalui versi yang telah diedit inilah saya menyalin kembali artikel berkenaan hingga boleh dibaca kembali hari ini.

ERA INTERNET

Penulisan saya mula berpindah ke Internet melalui akaun Tripod yang saya daftarkan untuk memuatkan beberapa nota dan kertas kerja yang ada dalam simpanan. Ia tidak menggalakkan kerana masih bersifat mencuba-cuba teknologi internet, sekitar tahun 1997 yang menyaksikan penggunaan teknologi ini mula merangkak masuk ke kehidupan kami.

Malaysia digemparkan dengan Reformasi 1998. Selain landskap politik akar umbi, perkembangan semasa itu juga memperlihatkan kecenderungan Harakah kepada genre artikel yang terhad. Hanya artikel yang berbentuk politik sahaja yang dilayan. Semua artikel saya tidak menerima sebarang reaksi daripada sidang redaksi.

Inilah yang mendesak saya untuk mencari medium sendiri bagi meneruskan penulisan. Artikel pertama saya versi internet ialah “Sultan Muhammad al-Fatih dan Pembukaan Constantinople” yang dipos pada tahun 1998. Artikel berkenaan memulakan perjalanan saya menulis secara maya hingga ke hari ini.

Semenjak itu artikel saya bertambah pada purata sebulan satu artikel, dan kebanyakannya adalah kertas kerja yang saya sediakan untuk program, dari semasa ke semasa.

KOLEKSI KHUTBAH

Semasa bertugas sebagai Minister of Religion di Belfast Islamic Center, Northern Ireland, salah satu daripada tugas saya adalah menjadi webmaster kepada halaman web Islamic Center berkenaan. Pada masa itu, saya mengambil peluang untuk mengumpul dan menyiarkan koleksi Khutbah Jumaat saya yang mencecah hampir 200 khutbah.

Hampir setiap Jumaat selama dua tahun, saya menyampaikan khutbah Jumaat di Belfast Islamic Center, dan kebanyakannya saya siarkan di halaman web masjid tersebut.

Di negara Muslim minoriti, berkongsi Khutbah Jumaat secara maya menjadi in-thing kerana solat Jumaat secara kecil-kecilan diadakan di pelbagai ceruk rantau teruatamanya oleh komuniti pelajar Muslim. Koleksi Khutbah Jumaat ini amat membantu. Sesekali, khutbah Jumaat saya di Belfast adalah Khutbah Jumaat yang sama disampaikan di Singapura dan North Carolina, USA.

GENRE BERUBAH

Corak penulisan saya mengalami perubahan yang AMAT ketara sekembalinya saya ke Malaysia pada Julai 2004.

Terkesan oleh kehuru-haraan pemikiran rakyat Malaysia, serta kejutan budaya yang saya alami di tanah air sendiri, ia memaksa saya mengubah cara berfikir, cara menulis dan seterusnya cara berceramah g berdakwah. Jika dulu saya menganggap artikel yang penuh dengan ayat al-Quran dan quotation dari Sunnah dan Atsar, adalah contoh artikel yang lebih kuat dan Islamik, saya terpaksa mengubah tanggapan itu.

Segala lambakan nas tidak berguna jika cara berfikir pembaca tidak diperbaiki. Oleh kerana kita di Malaysia suka memencilkan falsafah, kita kehilangan essence terpenting falsafah iaitu sistem berfikir. Lantas pemikiran kita menjadi caca merba dan nas yang banyak tidak ubah seperti mencurahkan air ke daun keladi.

Lantas saya mengubah pendekatan. Satu nas, akan didahului dengan beberapa input yang bertujuan merangsang diri dan pembaca berfikir, dan memeriksa cara berfikir (mindset), lantas dengan sendirinya pemikiran yang berjaya diluruskan akan sangat bersedia dan menghargai satu nas yang didatangkan kemudian.

Saya juga mengambil manfaat dari teknik menulis yang diajarkan oleh Puan Ainon, Sifu PTS yang mengajar saya menulis dengan pemikiran yang tidak lateral, serta banyak menggunakan teknik penceritaan.

WORDPRESS

Kadar penulisan saya mencapai tahap maniac, apabila saya dipaksa oleh sahabat saya Ro Ya Alip Dhod agar berhijrah dari HTML yang membosankan itu, kepada platform lain, khususnya WordPress. Puas beliau memujuk dan membuat sedikit demonstrasi, akhirnya saya berjaya diyakinkan. Teknik HTML yang saya pakai hampir sedekad, ditukar kepada wordpress.

Akibat hijrah itu, saya beroleh keseronokan menulis pada kadar satu artikel sehari. Kaedah pengurusan website menjadi sangat mudah, lantas saya hanya perlu menumpukan tenaga dan fikiran kepada penulisan sepenuhnya, tanpa perlu diletihkan dengan proses upload dan rekabentuk halaman web.

Cuma, sehingga kini saya masih kekok dibahasakan sebagai BLOGGER!

KINI

Sehingga kini, artikel yang berada di dalam simpanan saya sudah mencecah hampir 2000 termasuk koleksi khutbah. Sebahagian besar artikel itu sudah berada di saifulislam.com. Selebihnya adalah artikel-artikel yang hilang emasa insiden kemusnahan server pada awal tahun 2007 ini. Terima kasih kepada pembaca yang menghantar kembali kepada saya koleksi artikel berkenaan.

Dengan jumlah artikel yang mencecah 2000, ia telah mula menyebabkan saya keliru sama ada saya telah menulis tentang satu-satu perkara atau tidak.

1998, saya menyahut seruan.

Saifuislam.Com dibukukan.

CABARAN

Sebelum 1998 sudah ada sebuah syarikat penerbitan yang ‘melamar’ saya tetapi saya berdepan dengan masalah untuk merangka sendiri konsep serta mengkategorikan artikel yang pelbagai. Akhirnya saya hanya mampu terus menulis artikel dari sehari ke sehari, tetapi tidak berupaya menyemak koleksi artikel yang ada untuk diadun menjadi buku.

Kemudian, sebuah lagi syarikat penerbitan telah menawarkan kepada saya projek membukukan artikel saifulislam.com dan mereka telah meminjamkan kepakaran mereka di dalam teknik-teknik pembukuan, lantas jalan ke arah merealisasikan impian saya ini semakin cerah kelihatannya.

FEEDBACK PEMBACA SAIFULISLAM.COM

Semasa artikel ini ditulis di dalam versi asalnya pada tahun 2007, saya cuba mendapatkan feedback para pembaca, khususnya dari kalangan pembaca tetap saifulislam.com tentang idea mereka berkaitan dengan hal ini. Soal genre, kategori, saiz buku, dan hal-hal yang seumpama dengannya.

Banyak komen yang telah dikongsi seperti yang boleh dibaca di ruangan komen di bawah. Ketika artikel ini disemak semula sempena Sambutan 15 Tahun Saifulislam.Com, 8 buah buku sudah berada di pasaran, Alhamdulillah!

5 tahun yang sungguh luar biasa.

Kepada Allah dipulangkan segala pujian dan kebesaran.

By:Saifulislam.com

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: