Hutang orang berjuang

27 Nov

Sungguh aku begitu kesihan melihatnya. Dia terperangkap dalam dilema. Pada saat dia bertemu dengan ku dan memohon untuk meminjam wang, aku menghulurkannya lagi. Buat kesekian kalinya. Dan dia berkata, “maaf teman… aku kesempitan.” Aku mengikuti perjalanan hidupnya sejak dulu. Dia memang gigih berusaha. Memang dengan usahanya, dia layak untuk kaya. Sayangnya, dia begitu “pemurah”, hingga sering tergelincir dari batas kemampuannya. Siapa sahaja yang datang kepadanya dia akan menolong. Kekadang adik-beradik sendiri. Acap kali teman dan taulan. Orang ramai menganggapnya kaya… betapa tidak, dia penulis yang telah mencipta nama. Buku-bukunya terjual dan tercetak berulang kali. Sayangnya, dia kerap “tertipu”. Satu hari dia berbisik padaku, “semua orang ingat aku kaya.” Namun apa yang orang tidak tahu dia sering berdepan dengan pelbagai kerenah birokrasi syarikat-syarikat penerbitan.

Tak kurang juga angkara cetak rompak. Ditambah oleh datangnya “peminjam-peminjam” tidak resmi bertali arus memohon berhutang kepadanya. Dia tidak mampu berkata tidak. Dia terperangkap antara hak-haknya yang tidak ditunaikan oleh orang lain kepadanya dan kemurahan hatinya meminjamkan kepada orang lain. Pernah sekali aku menasihatinya, “jadilah Aid Al Qarni yang tidak bersedih apabila buku “Jangan Bersedih” tidak mendapat ganjaran royalti yang sewajarnya.” “Aku bukan Aid Al Qarni… Aku punya anak dan tanggungan yang banyak. Menulis ini oksigen kepada keperluan hidupku.” Aku tersenyum. Dia bukan menulis kerana nama atau kerana harta… tetapi kerana perjuangan. Tetapi pejuang juga perlu makan, ada anak-anak bukan? Sekali lagi subjek berkaitan dengan dilema yang sama menerjah ingatan. Aku telah pernah menyentuhnya dalam berbagai-bagai entri menerusi blog ini (antaranya: Kau Murabbi bukan Selebriti dan Bangsawan Agama). “Apakah yang patut aku buat?” tanyanya. Aku diam. Tidak mampu memberi kata dua, justeru aku sendiri pernah “diserang” oleh dilema yang semacam itu satu ketika dulu. Tetapi kita aku telah ada pendirian.

Sejak ku hayati dan kukunyah mesej-mesej tersirat dalam filem Sang Murabbi yang ku tonton tempuh hari dan nasihat daripada guru-guru ku. “Antara memberi pinjam kepada yang datang dengan menuntut hak sendiri yang tidak diberikan… yang mana patut dihentikan?” “Jangan menghentikan sedekah kerana takut miskin. Bahkan sedekah itu akan menahan bala, memanjangkan umur, menyembuhkan penyakit dan memurahkan rezeki,” balasku perlahan. “Jadi, kau suruh aku menuntut hak ku? Cari kembali royalti-royalti yang tersembunyi dalam data akaun penerbit-penerbit buku-buku ku?” Aku diam panjang. “Ya, kau patut berbuat begitu!” ujarku akhirnya. Kali ini dia pula terdiam. “Itu lebih baik daripada kau sendiri yang terpaksa meminjam…” “Apa kau tak sudi lagi meminjamkan wang kepadaku?” ujarnya tersenyum. Dia bergurau. Dia kenal saya. Saya sahabatnya sejak dulu. “Kau takut tidak mengikut jejak Aid Al Qarni?” tanyaku. “Aku menulis kerana perjuangan. Ingin orang lain mendapat hidayah.” “Itu satu bab sahabatku. Tetapi dalam soal muamalat, ada akad, ada aku janji, ada hak penjual danpembeli. Itu juga syariat. Itu juga termasuk dalam ajaran Islam. Itu juga perjuangan.” “Aku segan.” “Kalau begitu halalkan sahaja! Halalkan sahaja royalti-royalti yang belum kau tuntut itu.” Dia diam. “Dan mulai sekarang jangan bagi pinjam kepada orang lain kalau diri sendiri tidak mampu.” Dia diam lagi. “Dan jangan meminjam kepada orang lain.

Duit yang nak diberi pinjam itu lebih elok digunakan untuk diri sendiri,” tusuk saya satu demi satu. Dia diam. Kesihan saya melihatnya… walaupun dia bukan Aid Al Qarni, dia tetap sahabat saya. Saya kenal hati budinya! Jiwanya penyayang, mudah kesihan dan sangat pemurah. Lama saya termenung. Teringat kembali kepada satu tulisan yang pernah saya ketengahkan satu ketika dahulu. Buat renungan diri dan semua marilah kita telusuri kembali isi tulisan itu sedalam-dalamnya. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan. Roh orang yang berhutang tertahan di ashhbul A’raf walaupun mati syahid. Mengapa hingga sedemikian diperingatkan oleh hadis? Mengapa dibandingkan dengan mati syahid? Ya, mungkin hutang ada “penyakit” orang berjuang! Ikutilah tulisan ini… Walaupun lima sen! Hutang tetap dikira besar apabila tidak kulangsaikan. Hutang tetap hutang. Tidak kira berapa jumlahnya. Bukan hak kita, begitu bisik hatiku mengingatkan bila melihat catatan hutang-piutangku malam ini. Ah, betapa dikegelapan ini aku cuba mengira-mengira hutangku dengan manusia, agar lunas juga hutangku dengan Pencipta. Biarlah dalam gelap ini aku disesah resah, agar di sana nanti disinari cahaya. Teringiang-ngiang pesan ulama, kekadang hutang kita dengan manusia lebih sukar kira-bicaranya berbanding ‘hutang’ kita dengan yang Esa. Hatiku mengingatkan betapa buruknya wajah orang yang tidak melunasi hutang-hutang dunia ketika berdiri di padang Mahsyar kelak… Ah, alangkah roh syuhada’ lagikan tertahan oleh hutang-hutang mereka, inikan pula aku hamba yang penuh dengan alpa dan dosa ini.

Mengapa sangat berat ketika diri ingin membayar hutang padahal terasa begitu ringan sewaktu memohonnya? Apakah aku sudah berkira-kira untuk tidak membayarnya sejak awal lagi? Kalau begitu alangkah hinanya diri ini kerana itu hakikatnya bukan berhutang tetapi mencuri. Ah, alangkah malunya orang yang berhutang. Siang menanggung malu, malam menanggung resah. Betapa murahnya harga diri orang yang culas membayar hutang di depan orang yang memberinya hutang. Sekalipun dia seorang ‘agamawan’ – yang begitu arif dengan wahyu dan sabda, tetapi dia hanya layak berteleku bila berdepan dengan orang yang dinafikan haknya untuk mendapat kembali apa yang dihutanginya. Ah, aku tidak mahu menjadi seorang daripada mereka. Selagi mampu aku ingin melunasi hutang-hutangku sedikit demi sedikit. Aku berpesan pada diri, jangan sekali-kali terperangkap dengan alasan-alasan yang diberi oleh ‘hati besar’ hingga melemahkan denyut ‘hati kecil’. Ingat wahai diri, ayat Al Quran paling panjang dalam surah yang paling panjang ialah mengenai hutang. Dan ayat hutang itu asal mulanya hanya tentang sebuah bekas air! Mari wahai diri, mari tatapi ayat itu buat sekian kalinya. Firman Allah: “Wahai orang yang beriman Apabila kamu melakukan hutang piutang untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan benar.

Jangan penulis menolak untuk menulisnya sebagaimana Allah telah mengajar kepadanya…. (hingga akhir ayat) Al Baqarah 282 Begitulah seriusnya Allah apabila membicarakan soal hutang dikalangan hamba-hamba-Nya. Apakah aku memahami, merasai dan bertindak selaras dengan keseriusan itu? Atau, aku hanya merasakan ayat itu ditujukan kepada orang lain, bukan untukku. Atau aku merasakan ayat tentang dakwah, soal keluarga, siasah, ekonomi dan lain-lain itu yang lebih ‘terkesan’ di jiwa? Jika demikian, alangkah tertipunya aku, kerana ayat itu memang ditujukan untukku, yang masih berhutang ini. Sesekali, ada justifikasi yang menerjah hati… Mati ketika meninggalkan hutang bukanlah seaib mana. Apatah lagi bila melihat para Salafussaleh ada juga yang mati meninggalkan hutang. Mereka yang ‘hebat’ itu lagikan berhutang, apalagi aku. Ah, itu cuma alasan syaitan. Mengapa tidak kuperhatikan dan ku perhalusi bagaimana kesungguhan mereka itu membayarnya? Bukankah mereka semua telah mencuba sehabis daya, tetapi apakan daya, tidak kesampaian juga… Namun, sejarah memaparkan betapa kerisauan mereka hingga berwasiat untuk ‘gadaikan itu dan ini’ hanya untuk melangsaikan hutang yang masih berbaki. Wahai diri, jangan kau tertipu… Berbeza sungguh tujuanmu berhutang dan tujuan mereka berhutang.Berbeza sungguh kesungguhan mereka membayar dan kesungguhanmu membayar. Berbeza sungguh kebimbangan mereka ketika tidak dapat membayar, dengan kebimbanganmu ketika tidak membayar hutang. Kau masih tersenyum, ketawa, berjalan bagaikan wira, menabur bunga-bunga kata kononnya kau wira segala… tetapi Allah tahu betapa ‘busuknya’ hutangmu itu. Jika hutang itu ‘berbau’ pasti manusia lari meninggalkanmu. Tidak malukah kau, dicemuh oleh orang yang tahu rahsia dirimu… ah, dia itu kokoknya sahaja berdegar-degar, ekor diselaputi hutang! Mulai detik ini, ketika ada rezki yang datang menjengahku, kan ku katakan pada diri, “ini ‘bantuan’ Allah untuk melunasi hutang-hutangku.

Aku akan makan-minum sekadarnya, menggunakannya hanya di tahap keperluan dan selebihnya aku mesti gunakan untuk membayar hutang!” Dan mulai saat dan detik ini, aku berazam tidak akan berhutang hanya untuk ‘melebihi’ kadar keperluan dan kemampuan hidup. Aku sepatutnya malu… bila harga diri dipertaruhkan sebagai ‘deposit’ untuk berhutang. Teringat aku kata Saiyina Umar, “jika minum seteguk air di ketika sangat dahaga itu akan menjatuhkan harga diriku… nescaya aku tidak akan meminumnya!” Ya, alangkah berertinya hidup ini jika kita ‘memberi’… Dan memberi paling utama ialah ‘memulangkan’ semula hak kepada pemiliknya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: