Menjadi perkasa dengan puasa

25 Nov

200500419-001

Puasa mampu menjana keperkasaan diri. Puasa mendidik kita mengawal hawa nafsu agar tersalur dan tertuju kepada kebaikan. “Kuda liar” (istilah Imam Ghazali untuk nafsu) dalam diri kita dapat dijinakkan lalu dapat dijadikan kuda tunggangan yang sangat berguna. Begitulah hawa nafsu… jika kita yang mengawalnya, bukan sebaliknya, maka kita mempunyai kekuatan untuk melakukan “sesuatu yang perlu” (wajib, halal, sunat atau harus) dan meninggalkan “sesuatu yang kita suka” (haram dan makruh).

Bila kita mampu melakukan sesuatu yang perlu walaupun kita tidak suka, maka kita boleh berjaya dalam hidup. Kita ada kawalan diri. Hidup akan lebih terarah dan bererti. Bayangkan, perkara yang halal pun boleh kita tinggalkan pada siang hari bulan Ramadhan… masakan begitu susah meninggalkan perkara yang haram di luar Ramadhan. Begitulah seharusnya, apabila nafsu dihenyak seteruk-teruknya pada bulan Ramadhan.

Puasa mengajar kita ikhlas – hanya mengharap keredaan Allah. Sifat puasa itu juga terlalu rahsia. Hanya Allah yang tahu kita berpuasa atau tidak. Solat, Haji, sedekah, dakwah dan jihad… orang lain nampak, tetapi puasa tidak. Ia terlalu intim. Yang tahu kita berpuasa dalam ertikata sebenar hanya Allah. Yang kita kejar hanya pandangan Allah. Jangan harapkan pandangan dan sanjungan manusia… Begitu puasa mengajar kita.

Kata-kata sufi yang masih saya ingat, “biarlah kita sederhana pada pandangan orang lain, rendah pada pandangan diri sendiri dan tinggi pada pandangan Allah.” Rendah pada pandangan diri sendiri bukan bermaksud menghina diri atau “self sabotaging habits” (seperti yang dikatakan oleh pakar-pakar psikologi) tetapi tidak sum’ah dan ujub pada diri sendiri. Sum’ah itu kita suka jika mendengar pujian orang lain terhadap diri kita. Manakala ujub itu rasa “:takjub” akan kelebihan diri.

Rendah diri itu tawaduk. Merasa diri belum baik… lalu berusaha terus-terusan melakukan kebaikan. Rendah diri itu tidak puas… dengan amalan yang sedikit lalu berusaha menambah amal sendiri. Rendah diri itu merasa sentiasa berdosa… lalu hati sentiasa merintih dan bertaubat atas dosa-dosa. Jangan silap memahami yang rendah diri itu ialah penyakit inferioriti kompleks, yang berupa rasa terancam, bimbang dan hina atas kemampuan dan kebolehan diri.

Pandangan diri anda terhadap diri sendiri adalah lebih penting berbanding pandangan orang lain terhadap anda. Itulah yang ditakrifkan sebagai harga diri. Yakni rasa dalam diri yang menyebabkan anda rasa layak, mampu dan yakin untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Jangan perdulikan pandangan orang lain, sekiranya anda yakin bahawa anda bukan sepertimana yang mereka anggapkan.

Sebab itu bijak-pandai ada menyatakan, jangan bimbang jika anda tidak dihargai tetapi bimbanglah jika anda sudah tidak berharga. Siapa yang menentukan samada anda masih atau tidak lagi berharga… ya anda sendiri!

Ingatlah, bahawa Tuhan mentakdirkan kita hidup. Bila ini anda terima sebagai kenyataan, maka anda akan rasa layak untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Mustahil Tuhan mencipta anda untuk gagal – sebab Dia Maha Pemurah dan Penyayang. Tuhan mahu hamba-Nya berjaya dan untuk itu anda telah diberikan segala kekuatan dan ’kelengkapan’ untuk berjaya.

Tugas anda hanya untuk mengenali dan menerokai kekuatan dan kelengkapan yang dimaksudkan. Jika anda rasa lemah, tidak berdaya… itu bukan ertinya anda sedia lemah dan sedia tidak berdaya, tetapi anda belum mengenali dan menerokai kekuatan anda yang sebenar. Atau anda menemuinya tetapi belum menggunakannya secara maksimum.

Dan kerana ‘kekuatan’ inilah kita akan dipertanggung-jawabkan di hadapan Allah – Khadi Rabbul Jalil di Padang Mahsyar nanti. Kita akan berdepan secara ‘satu dengan satu’ di hadapan Allah SWT nanti. Ketika itu kita tidak boleh menyalahkan orang lain. Kita tidak boleh meletakkan beban dosa di pundak orang lain. Setiap diri bertanggung-jawab (maksudnya ‘kena tanggung’ dan ‘kena jawab’) terhadap kekuatan yang telah diberikan.

Apakah telah digunakan secara maksimum dan diarah kepada tempat yang betul? Ertinya, amanah (kkekuatan) yang telah diberikan itu akan dipersoalkan. Jadi, tergamakkan kita menyerahkan orang lain sedangkan kita nanti yang akan dipersoalkankan? Kata orang, “diri sendiri, sendiri kena jagalah!” Dan kekuatan itulah yang hendak kita gunakan dengan betul.

Apakah kita akan terus bersifat reaktif dan lemah? Orang lain tidak akan dapat menentukan sikap, reaksi dan ‘mood’ kita jika kita sendiri tidak mengizinkannya. Kitalah yang memberi kuasa kepadanya untuk mengawal diri kita. Bila orang menghina, kita rasa kecewa. Bila orang memuji, kita rasa bangga. Semuanya bergantung kepada orang… Sampai bilakah kita harus menyerah ‘kekuatan’ kepada orang lain untuk menentukan hitam-putihnya hidup kita?

Keadaan ini yang sangat merbahaya. Ia samalah seperti menyerahkan ’stering’ kenderaan hidup sendiri untuk dipandu oleh orang lain. Sedangkan jika berlaku kemalangan, kitalah yang akan tercedera bukan orang itu. Ingatlah, kita adalah pemandu bukan penumpang untuk hidup kita sendiri.

Kedua, mari kita lihat tanda-tanda orang yang lemah. Tanda-tanda tersebut ialah:

• Menyalahkan orang lain atas kelemahan, kegagalan dan keburukannya.
• Tidak mampu melakukan kerja atau tugasan untuk mencapai kejayaannya.
• Mudah marah, melatah, mengamuk apabila diuji, diusek dan dipersalahkan.
• Membuat kerja yang suka dibuatnya bukan kerja yang perlu dibuatnya.
• Suka membebel dan merungut.
• Menunggu peluang bukan mencari ruang.
• Berubah kepada yang baik hanya bila dipaksa bukan dengan rela.
• Emosional kurang rasional.

Lihatlah tanda-tanda ini, jika anda memilikinya. Ya, akuilah anda adalah orang yang lemah. Keputusan anda lebih penting daripada keputusan yang dibuat oleh orang lain. Jadi, buatlah keputusan sendiri.

Ketiga, mari kita lihat pula siapa yang kuat dalam hidup ini. Mereka yang kuat ialah mereka yang dapat mengawal kemarahan, menghadapi kritik, teguran, kesedihan, kegembiraan dan kebencian agar sentiasa seimbang dan tunduk pada keyakinan (belief), nilai dan prinsip hidupnya. Setiap kita mempunyai potensi dalaman. Potensi dalaman itu sebenarnya lebih kuat daripada apa yang kita sangkakan.

Jika kekuatan ini benar-benar ‘dioptimumkan’ kita tidak akan terkesan oleh gangguan luaran. Maka hidup ini akan lebih selesa, nutral dan mesra kerana kekuatan diri terbina dari dalam diri tanpa terlalu bergantung kepada kad perakam waktu dan undang-undang dan akta yang bersifat luaran.

Kesimpulannya, individu yang kuat:
• Mampu melakukan kerja yang perlu dibuat walaupun tidak disukai.
• Berdaya tahan dan berdaya saing.
• Ada ‘self dicipline’, ‘self motivation’ dan mampu melakukan ‘self censord’.
• Mampu meminta maaf jika bersalah dan memberi maaf jika dipinta.
• Sanggup mengakui kesalahan diri dan memperbaikinya.
• Meraikan perbezaan tanpa mengujudkan suasana konflik.
• Berdikari, pro-aktif dan produktif.
• Berani dan sanggup menanggung risiko.

Kita sering bercakap tentang ‘self dicipline’, ‘self motivated’ dan ‘self mastery’ tetapi semua itu tidak akan dimiliki hanya dengan banyak bercakap tentangnya.
Kata hukama, “jika kita dapat menguasai diri kita, kita akan dapat menguasai dunia”. Ertinya, dengan menguasai diri kita sendiri, pengaruh kita untuk menguasai orang lain, merubah keadaan dan mencorak suasana luaran, akan meningkat. Itulah sebenarnya sifat orang beriman. Yang hati mereka hanya terikat dengan Tuhan.

Takut dan cinta mereka hanya kepada yang Allah. Mereka umpama ikan yang tidak akan masin dengan kemasinan laut. Sebab itu ingin saya tegaskan bahawa keyakinan kepada diri sangat berkait dengan keyakinan kepada Tuhan. Maksudnya, siapa yang lebih kuat keyakinan kepada Tuhan, maka dialah yang paling kuat keyakinannya terhadap diri sendiri!

Ketika ditanya siapakah orang yang paling kuat? Nabi Muhammad SAW menjawab: “Orang yang dapat menguasai marahnya.”
Sayidina Umar Ibn Khattab pernah berkata: “Kalau meminum segelas air yang dingin ketika kehausan yang amat sangat boleh menjatuhkan maruahku nescaya aku tidak akan meminumnya.”

Umar Ibn Aziz pernah berkata: “Oku tidak akan bercakap ketika aku terlalu ingin bercakap. Sebaliknya aku bercakap apabila aku terlalu berat untuk bercakap.”
Hukama pula ada berkata: “ Kuasai diri kamu, nescaya kamu akan dapat menguasai dunia ini.”

Edmud Hilary, orang yang pertama menawan puncak Everest berkata: “Ketika aku sampai ke kemucak Everest sebenarnya bukan gunung itu yang aku tawan, tetapi diriku sendiri.” Inilah rahsia pemimpin agung dan figur yang istimewa dalam sejarah.

Steven Covey, menerusi ‘Seven Habit’nya menyebut keberkesanan seseorang terletak kepada ‘circle of influnce’ berbanding ‘circle of concern’. Manusia, kata Covey, mesti menggunakan kuasa yang dalam kawalannya (yakni dirinya sendiri) daripada cuba menggunakan kuasa yang tidak dapat dikawalnya (yakni perkara yang di luar dirinya). Inilah paradigma orang yang berkesan dalam hidupnya.

Rahsia kejayaan ‘orang besar’ itu terletak kepada kemampuan mereka menguasai diri sendiri. Dan dengan itu barulah mereka berjaya mengubah, mempengaruhi dan memimpin orang lain. Ini mengingat saya kepada satu madah: “Jangan kamu marah jika orang lain tidak berubah sepertimana yang kamu kehendaki jika kamu sendiri tidak berubah seperti yang kamu kehendaki.” Ibu ketam tidak sepatutnya marah jika anaknya tidak berjalan betul!

Tegasnya, ‘kekuatan’ dalam diri ialah bila kita dapat melakukan sesuatu yang perlu dilakukan dan meninggalkan sesuatu yang tidak perlu dilakukan. Kita ingin kuat. Kuat dalam ertikata dapat menentukan arah hidup dan jalan hidup kita sendiri. Kuat untuk menghadapi rintangan dan akhirnya meraih kejayaan. Kuat untuk mengakui kesalahan dan memperbaikinya.

Kuat untuk bertanggung-jawab terhadap keputusan yang dipilih dan sanggup menanggung risikonya. Kuat untuk berhijrah dari ‘zon selesa’ tapi penuh kebekuan untuk menuju ‘zon mencabar’ yang penuh dugaan, tetapi di situlah letaknya kejayaan dan kecemerlangan.

Jadi, anda bagaimana? Ingin terus dalam zon selesa? Tidak mungkin. Jadi keluarlah menuju zon yang mencabar – dan bersiap sedialah menghadapi kata nista, cerca dan hina manusia. Itu lumrah. Namun, tidak semua manusia begitu, anda akan temui nanti kata-kata yang memberansangkan, mendorong dan meransangkan. Ubahlah diri, nescaya alam akan ’berubah’ mengikut perubahan kita!

Puasa itu akan mengubah kita… hanya jika puasa itu berkesan. Jika tidak, puasa itu akan tetap ”gitu-gitu” hinggalah kita bertemu Allah tanpa apa-apa perubahan. Keyakinan diri tetapi pada masa yang sama tidak ego, riyak, sum’ah dan ujub adalah ”produk” daripada puasa yang ikhlas.

Mari kita kembali kepada fitrah. Kita kembali kepada Allah… Apa manusia nak kata, katalah… asalkan yang kita lakukan itu halal, wajib, sunat atau harus. Siapa yang mengharap keredaan manusia, pasti akan kecewa. Nampak gah seketika, tetapi akhirnya merudum di telapak kaki manusia yang dipuja-pujanya itu!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: