Antara Guru & Murid

2 Oct

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

MURID BANGGA DENGAN GURU

Ia adalah satu fenomena biasa.

Mungkin suatu ketika seseorang boleh berasa cukup bangga kerana dapat menjadi MURID kepada seseorang tokoh guru.

Perasaan ini boleh sampai ke suatu peringkat, menyebabkan si murid ‘buta’ dengan keilmuan orang lain juga menafikan kealiman guru-guru lain. Tentunya ia amat percaya dengan keilmuan gurunya.

Di waktu yang sama, ada yang menjulang nama GURUnya setinggi mungkin. Ada dua kemungkinan sebab untuk tindakan ini; Pertamanya untuk menunjukkan kehebatan dirinya, Keduanya guru tersebut sememangnya layak.

Tidak kurang ada yang menggelarkan gurunya sebagai Wali, Kassyaf, Imam, Syeikh, Al-Allamah, Kiyai, Tuan Guru, Pakar rujuk, Mujaddid, Al-Hafidz dan lain-lain gelaran lagi. Semuanya menunjukkan betapa penghargaan murid terhadap keilmuan sang guru dan bertuahnya diri dapat menceduk ilmu darinya.

Namun sebenarnya, murid tidak begitu berautoriti untuk mengiktiraf guru sebagai ‘alim atau hebat. Ini kerana dia sendiri masih murid dan tiada kemampuan untuk menilai sesuatu ilmu itu sama ada ia tinggi, sederhana atau rendah.

Ini menyebabkan murid sebenarnya tidak mampu menilai malah tidak layak, KECUALI ia mengambil penilaiannya dari seorang guru dan alim lain, ATAU dia bukan murid biasa yang baru belajar tetapi murid yang telah tinggi ilmunya cuma menjadi murid untuk melengkapkan keilmuannya. Ia banyak berlaku di zaman silam, seperti Imam As-Syafie yang bijak dan lagi amat alim memuji gurunya Imam Malik dengan katanya :-

إذا جاء الأثر فمالكٌ النجم

Ertinya : “Apabila tiba sahaja kepada hal ‘al-athar’ ( iaitu hadis-hadis nabawi yang sohih), maka (Imam) Maliklah bintangnya”

Kerana itulah satu hari di ketika Ali r.a duduk di sisi Nabi s.a.w, tiba-tiba Abu Bakar As-Siddiq r.a masuk, dengan segara Ali bangkit berdiri hingga menyebabkan Nabi tersenyum lalu diriwayatkan berkata oleh Anas bin Malik :

إِنَّمَا يَعْرِفُ الْفَضْلَ لأَهْلِ الْفَضْلِ أَهْلُ الْفَضْلِ

Ertinya : “Sesungguhnya yang mengetahui kelebihan seseorang adalah orang yang mempunyai kelebihan juga” ( Al-Jami’ As-Soghir, As-Suyuti)

Tidak hairan juga jika wujud murid yang menumpang kemashuran Guru, menisbahkan diri kepada sang guru. Padahal di mata guru itu mungkin, si murid itu adalah yang paling lembap di dalam pengajiannya.

GURU BANGGA DENGAN MURID

Murid berbangga dengan gurunya adalah fenomena biasa, namun jika seorang guru berbangga dengan muridnya, itu juga normal tetapi sedikit luar biasa dan amat positif.

Ia jarang berlaku kecuali bagi mereka yang benar-benar cemerlang di dalam pengajiannya.

Tidka kurang juga kita dapati dalam sejarah Islam dan lainnya, sang murid lebih berpengetahuan, hebat, terkenal dan berjaya dari gurunya. Lihat sahasja kepada Imam Abu Hanifah An-Nu’man, Imam Malik, Imam As-Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal, Al-Bukhari, Muslim, Shamsuddin Az-Zahabi dan ramai lagi senarainya.

Justeru, tempatkanlah diri anda dari kalangan murid yang boleh dibanggai oleh guru.

Malah sehingga satu peringkat, wujud guru yang asyik menghebah kepada ramai bahawa si polan bin si polan adalah anak muridnya. Ia dihebah bagi tujuan, sama ada cuba ‘menumpang’ kejayaan muridnya, atau lain-lain tujuan.

Benar, si murid pastinya terhutang budi dan ilmu kepada guru, namun guru ada pelbagai jenis guru. Ada guru yang melepaskan batuk di tangga semasa mengajar dan tidak memberi manfaat yang banyak dalam pembentukan diri dan kejayaan sang murid.

Terdapat juga guru, yang anak muridnya tidak perolehi apa-apa ilmu tambahan dari pengajarannya, hanya sekadar duduk dan mendengar ilmu-ilmu lama dan biasa di ulang-ulang. Guru sebegini juga patut memuhasabah diri jika ingin sewenangnya ‘mendakwa’ kejayaan muridnya adalah kerana kebijaksanaannya.

Saya ingat-ingat lupa bagaimana kata-kata Syeikh Muhammad Al-Ghazzali (tokoh dakwah dan ulama Mesir) berkenaan Al-Syeikh Dr. Yusuf Qaradawi.

Asalnya, Muhammad Al-Ghazzali adalah berpangkat guru kepada Al-Qaradawi, namun setelah kedua-dua mereka berkembang sebagai tokoh dakwah dan ilmuan hebat di peringkat antarabangsa. Syeikh Al-Ghazzali berkata yang maksudnya:

“Dulu dia adalah muridku tetapi kini aku adalah muridnya”

Demikian murninya pertalian mereka dan tawadhu’nya diri si guru selain pengiktirafan terbesar dari guru adalah apabila mengganggap dirinya kini sebagai murid kepada bekas anak muridnya.

imperialuzar.jpg

LEBIH PELIK

Malah lebih pelik dari itu, muncul guru yang bukan guru. Bagaimana?

Teringat saya seorang wanita bertanya kepada saya,

“Nak Tanya ustaz, ustaz kenal tak ….bin ….?” Tanya muslimat ini kepada saya

“Tidak ingat pula” jawab saya

“Dia kata ustaz ni anak murid dia, betul ke ustaz?”

” Hmm, seingat saya saya tiada guru yang bernama sepertinya, mungkin dia tersilap orang kerana nama zaharuddin di Malaysia ni bukan saya seorang” Jawab saya

“Tapi ustaz, saya dah tunjukkan laman web ustaz, dan dia masih mendakwa ustaz anak muridnya” kata muslimat ini lagi.

“Jika demikian dakwaannya, saya cenderung mengatakannya sedang menipu saudari” tegas saya

“Dia sebenarnya sedang melamar saya ustaz, dan semasa kami bertaaruf dia mendakwa ustaz anak muridnya” katanya lagi

Demikian juga wujud rupanya, kini wujud bukan guru mendakwa seseorang lain sebagai anak muridnya hanya untuk memikat hati seorang wanita, malah untuk menaikkan ‘kehebatan’nya mungkin. Amat malanglah teknik penipuan sebegini dalam memikat hati wanita.

KESIMPULAN

Bagi murid, jadilah murid yang dibanggai oleh guru, diberi contoh teladan oleh guru kepada muridnya yang lain, disenangi guru dan dirasa amat bertuah oleh guru. Khususnya bagi mereka yang sedang berada di pusat-pusat pengajian di seluruh dunia, terutamanya bagi mereka yang berada di dalam ruang lingkup pengajian Islam.

Janganlah jadi murid yang ‘menunjuk pandai’ di hadapan guru atau mengkritik guru di belakangnya tanpa haq. Jika benar, guru tidak pandai, tersalah, menyeleweng dan sebagainya, tunjukkan ‘pandai’ kepadanya secara ‘pandai’, nescaya bermanfaat dan jangan menunjuk pandai secara tidak bijak.

Bagi guru ; jadilah guru yang boleh dibanggai dan dirasa bertuah oleh muridmu, justeru mantapkan keilmuanmu dan penyampaianmu. Jika sang guru merasakan sumbangannya kepada sang murid yang telah berjaya adalah sumbangan penuh seribu satu kelemahan, bersyukur bersendirian sahajalah.

Kita tidak mahu wujud murid yang mencebik mulut atau mengangkat kening bila diingatkan kepadanya bahawa si polan bin si polan adalah bekas gurunya satu ketika dahulu. Kerana ‘guru’ itu tidak seperti ‘guru’ sebenarnya.

Bagi semua ; janganlah mendakwa seseorang yang lain sebagai anak muridmu jika ia tidak benar hanya semata untuk menaikkan namamu. Kelak ia akan menjatuhkanmu seribu anak tangga.

Sekian

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: