Hutang, Pinjam & Hadiah Bersulam Dosa Riba

8 Aug

Oleh

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

dowry.jpg

Riba al-Qardh adalah sebarang manfaat tambahan yang lebih daripada jumlah pinjaman pokok yang mana ianya disyaratkan di awal kontrak pinjaman (loan contract) yang dikenakan oleh pemberi pinjaman kepada peminjam. Riba jenis ini boleh dikira sebagai yang paling popular berlaku di kalangan masyarakat kita hari ini.

Riba jenis ini bergantung kukuh kepada hadis berikut :

كُلّ قَرْضٍ جَرَّ نَفْعاً فَهُوَ الرِّباَ

Ertinya: “Setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat (bagi pemberi pinjam) maka ia adalah riba.” [1]

Walaupun terdapat pertikaian berkenaan tahap ketulenan hadis ini, kandungan hadis terbabit telah menjadi satu kesepakatan atau ijma di kalangan para ulama. Hadis itu mungkin boleh disalah fahami ertinya jika hanya dilihat kepada teksnya, ini kerana jika setiap pinjaman yang membawa manfaat itu riba, maka semua jenis pemberian pinjam adalah haram dan riba, kerana setiap pinjaman walaupun tanpa faedah atau tambah, akan memberikan manfaat buat peminjam, ia juga memberikan manfaat kepada pemberi pinjam dari sudut pahala dan kebaikan akhirat. Namun itu bukanlah kefahaman yang tepat, kerana berdasarkan pelbagai nas dan athar sahabat yang lain[2], manfaat yang dimaksudkan :-

  • Terhad kepada manfaat material dan bukan spiritual seperti pahala
  • Ia akan manfaat yang diperolehi oleh pemberi pinjam dan bukan peminjam. Justeru jika pemberi pinjam menerima pujian dan terima kasih atas kebaikannya, ia tidak termasuk di dalam manfaat yang haram.
  • Ia juga merujuk kepada sesuatu manfaat material yang disyaratkan. Justeru, manfaat yang tidak disyaratkan adalah terkeluar daripada konteks hadis. As-Syawkani berkata :

إِذَا كَانَتْ الزِّياَدَةُ مَشْرُوطَةً فِي العَقْدِ فَتُحْرَمُ اِتِّفَاقًا

Ertinya : Apabila pertambahan itu disyaratkan di dalam kontrak, maka diharakmkan secara sepakat [3]

Itulah tiga panduan asas di dalam memahami hadis berkaitan riba yang berlaku di dalam aktiviti pinjaman dan hutang. Sebagai penjelasan tambahan, Ibn Qudamah berkata:

كُلّ قَرْضٍ شَرَطَ فِيْهِ أَنْ يَزِيدَهُ فَهُوَ حَرَامٌ بِغَيْرِ خِلاَف

Ertinya: “Setiap pinjaman yang disyaratkan padanya memberi tambahan, maka ia adalah haram tanpa sebarang pertikaian.” [4]

Ibn Munzir pula berkata :

أَجْمَعُوا عَلىَ أنّ المُسْلِفَ إِذَا شَرَطَ عَلىَ المُسْتَسْلِفِ زِياَدَةً أوْ هَدِيَةً , فَأسْلَفَ عَلىَ ذَلِك , أنّ أَخْذَ الزِّياَدَةِ عَلىَ ذَلِكَ رِباَ

Maksudnya : Telah ijma bahawa apabila pemberi pinjam meletakkan syarat ke atas peminjam sebarang tambahan atau hadiah, maka pinjaman diberikan, sebarang tambahan yang diambil adalah riba. [5]

Al-Bukhari pernah mencatatkan bahawa Nabi s.a.w berkata :

إذَا أقْرضَ فَلاَ يَأخُذُ هَدِيةً

Maksudnya : Apa memberi pinjam, janganlah kamu mengambil sebarang hadiah.

(Riwayat Al-Bukhari dalam At-Tarikh)

Justeru itu, tiada sebarang keuntungan boleh diraih oleh pemberi peminjam melalui aktiviti pinjaman ini. Ini kerana pinjaman adalah satu proses yang dibuat secara sukarela atas dasar bantu-membantu. Ia disebut dalam Islam sebagai Qardh al-Hasan (pinjaman tanpa sebarang faedah riba dikenakan kepada si peminjam).

BEBERAPA JENIS RIBA QARD YANG POPULAR

Beberapa jenis riba Al-Qardh yang popular boleh dipecahkan kepada beberapa bentuk, iaitu:-

1) Duit berbalas duit yang lebih banyak

Contoh : Ali meminjamkan Ahmad wang sebanyak RM2000, dengan syarat membayar kembali dengan nilai yang lebih besar seperti RM2500 dalam masa tiga bulan.

Sebarang pinjaman yang mensyaratkan pertambahan nilai semasa pemulangannya akibat jangka tempoh waktu adalah riba al-Qardh. Ini adalah dari jenis time value of money[6] yang diharamkan di dalam Islam.

Bagaimanapun, sekiranya Ahmad memulangkan wang dengan nilai tambah tanpa sebrang paksaan atau syarat oleh Ali, di ketika pinjaman dibuat atau sepanjang tempoh pinjaman, ia adalah halal lagi terpuji di sisi Islam. Hal ini pernah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w apabila baginda membelikan unta yang lebih baik dari apa yang dipinjam dan digunakan oleh Nabi, tatkala itu Nabi meminta sahabat pergi membelikan seekor unta yang lebih baik, lalu berkata:-

فَإِنّ خَيْرُكُمْ أَحْسَنُكُم قَضَاءً

Maksudnya : “Sebaik-sebaik antara kamu (peminjam) adalah memulangkannya dalam bentuk yang terbaik”

(Riwayat Al-Bukhari)

Namun begitu, hukum haram masih berlaku jika peminjam, iaitu Ahmad walau dengan sukarela menawarkan pembayaran semula (repayment) dengan nilai tambah. Islam tidak menerima campur tangan redha manusia dalam hukum yang berkaitan dengan hak Allah swt. Hukuman riba tergolong dalam kategori hak Allah swt. Justeru walau ditawar oleh peminjam dengan keredhaannya, hukum haram adalah tetap serupa, sama ada nilai tambah disyaratkan oleh pemberi pinjam atau peminjam, kedua-duanya adalah riba yang diharamkan.

2) Duit berbalas duit beserta sesuatu manfaat

Contoh Pertama : Kamil memberi pinjam sebanyak RM1000 kepada Hasan untuk tempoh lima bulan, sebagai balasan Kamil mensyaratkan Hasan untuk membantunya menyiapkan kerja universitinya.

Contoh Kedua : Husin memberi pinjaman sebanyak RM5000 kepada Karim dan disyaratkan ke atas Karim untuk membeli komputer yang sedang dijual oleh Husin atau menyewa sebuah bilik di rumah sewanya.

Dalam contoh pertama di atas, bantuan menyiapkan kerja universiti itu dikira riba kerana tergolong di dalam manfaat lebih yang diraih hasil pemberian pinjaman. Ia diharamkan oleh Islam kerana ia jelas satu tindakan menindas yang mengambil kesempatan di atas bantuan pinjaman yang diberi walaupun tiada sebarang jumlah tambahan dalam bentuk wang tunai dikenakan sebagai bayaran semula.

Manakala dalam contoh kedua, ia tergolong dalam mensyaratkan sesuatu bentuk manfaat, Cuma manfaat kali ini lebih berselindung kerana menggunakan satu kontrak lain, sama ada jual beli atau sewa. Kedua-dua contoh ini hukumnya adalah haram berlandaskan nas berikut (selain nas umum yang dinyatakan sebelum ini):

لاَ يَحِل بَيْعٌ وَسَلَفٌ

Maksudnya: Tidak halal jualan beserta pinjaman bertangguh.

( Riwayat At-Tirmizi) [7]

Al-Baghawi menyatakan erti (سلف ) dalam hadis ini adalah Qardh iaitu pinjam. Imam Ahmad semasa ditanya berkenaan erti hadis ini menerangkan ia membawa maksud, seseorang mmebri pinjam kemudian menjual sesuatu kepadapeminjam dan mengambil keuntungan darinya. [8]

Jelas, tindakan mensyaratkan jual beli, sewa atau apa-apa manfaat lain adalah tergolong dalam riba melalui helah-helah tertentu, namun hukumnya tetap sama, iaitu haram.

3) Manfaat berbalas manfaat yang lebih

Contoh : Hasan memberi pinjam keretanya kepada Yusuf dengan syarat Yusuf perlu memulangkan kereta itu dengan tangki minyak penuh, padahal semasa pinjaman dilakukan, ia tidak penuh.

Dalam contoh di atas, Riba berlaku juga kerana ia tergolong di dalam hadis pinjaman beserta pulangan lebih yang disyaratkan. Ia juga tergolong di dalam ijma’ yang disebutkan oleh Ibn Qudamah. Ini kerana manfaat kegunaan kereta dibalas dengan satu manfaat lain yang berbeza dan melebihi manfaat pinjaman.

Sekiranya, dalam kes ini, pemberi pinjam ingin memperolehi sesuatu keuntungan seperti yang disebut di atas, pemberi pinjam tidak boleh menggunakan kontrak ‘pinjam’ semasa memberi keretanya, sebaliknya ia mesti menggunakan kontrak ‘sewa’ dengan nilai sewa, setangki penuh minyak. Melalui cara itu, transaksi dan keuntungan yang diperolehi adalah halal.

Mungkin ada yang keliru disebabkan hasil dan akibat (end result) bagi kedua-dua transaksi kelihatan sama, walaupun demikian ia berbeza di sisi Allah swt, kerana pemberian pinjaman wang atau manfaat aset yang tidak dikenakan sebarang upah dan tidak diambil peluang meraih sesuatu manfaat bersifat material akan melayakkan pemberi pinjam untuk menerima gandaan pahala sebanyak 18 kali ganda bergantung kepada tahap keikhlasannya. Sejurus kontrak ditukar kepada ‘sewa’ ganjaran sedemikian tidak lagi diperoleh oleh pemilik, sebagai gantinya pemilik meneirma habuan di dunia berbanding habuan akhirat.

Nabi Muhammad s.a.w berkata:

رأيت لَيْلَةَ أسرى بِي على بَابِ الْجَنَّةِ مَكْتُوبًا الصَّدَقَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا وَالْقَرْضُ بِثَمَانِيَةَ عَشَرَ فقلت يا جِبْرِيلُ ما بَالُ الْقَرْضِ أَفْضَلُ من الصَّدَقَةِ قال لِأَنَّ السَّائِلَ يَسْأَلُ وَعِنْدَهُ وَالْمُسْتَقْرِضُ لَا يَسْتَقْرِضُ إلا من حَاجَةٍ

Maksudnya: “Pada malam aku pergi ke syurga (semasa Israk Mi’raj), aku melihat tertulis di dalam pintu Syurga, Setiap sumbangan sedeqah digandakan pahalanya kepada sepuluh kali, dan setiap pinjaman tanpa faedah digandakan sebanyak 18 kali” lalu aku (Nabi ) bertanya : wahai Jibrail, mengapakah pemberian pinjam lebih mulai daripada sedeqah? Jawab Jibrail : Kerana yang meminta di waktu meminta itu, sedang ia masih memiliki ( mampu), sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjam kecuali benar-benar di kala keperluan.”

(Riwayat oleh Ibn Majah)[9]

Inilah juga yang disebutkan oleh Al-Jassas di dalam kitab beliau Ahkam al-Quran :

سَمّاهُ اللهُ قَرْضاً تَأكِيْداً ِلاسْتِحْقَاقِ الثَّوَابِ بِهِ؛ إِذْ لاَ يَكُونَ قَرْضاً إِلاّ وَالعِوَضُ مُسْتَحَقٌّ بِه

Ertinya : “Allah menamakannya sebagai qard (pinjam) sebagai penguat kepada perolehan pahala kebaikannya, kerana jika ia bukan qard, maka pemberi pinjam layak mendapat ganjaran (material) darinya[10]

4) Hadiah duit berbalas hadiah duit yang lebih banyak.

Contoh : Kamil menghadiahkan wang berjumlah RM100 kepada Hasan hari ini dengan syarat Hasan akan menghadiahkan Kamil wang sebanyak RM120 bulan hadapan.

Ia juga termasuk di dalam kategori riba al-Qardh dan tergolong di dalam kategori pemberian pinjam walau menggunakan lafaz hadiah. Penggunaan helah menukar lafaz dan nama tidak mampu mengubah substance atau rangka asas kontrak yang merupakan pinjaman beserta faedah.

5) Hadiah bersyarat hadiah.

Contoh : Pengantin lelaki dan wanita bersetuju bahawa pihak lelaki akan hadir dengan 7 buah dulang hantaran bernilai RM10,000 manakala, pihak wanita bersteuju dengan balasan 9 buah dulang bernilai RM13,000.

Dalam konteks ini, masih berlaku syubhat riba al-Qardh jika sekiranya kedua-dua pihak bersetuju atas nilai harga tertentu iaitu RM 10,000 berbalas RM13,000. Namun jika kedua-dua pihak tidak berpakat berkaitan harga, dan hanya menentukan jumlah dulang hantaran semata-mata, ia adalah harus. Apa yang menjadikannya haram adalah persetujuan wang berbalas wang yang lebih banyak.

Semoga kita semua dapat belajar, memahami dan menjauhi diri dari terjebak dalam dosa riba yang amat dikeji oleh Allah swt.

P/s: Nasihat untuk pasangan yang ingin berkahwin iaitu buatlah walimah secara bersederhana mengikut syariat Islam.Ajaran Islam memudahkan proses perkahwinan tanpa meletakkan syarat wang hantaran sebagai perkara yang wajib dipenuhi oleh pasangan yang ingin berkahwin.Rukun nikah dalam Islam iaitu :

a.Calon suami

b.Calon Isteri

c.Akad nikah

d.Wali

e.Mahar


Jadi ,adat meletakkan wang hantaran sebagai perkara utama untutk mengadakan sesuatu majlis perkahwinan adalah dilarang didalam Islam sama sekali.Ikutlah adat selagi tidak bertentangan dengan syariat.Ingat pesan Rasulallah s.a.w iaitu “Sebaik-baik perkahwinan ialah yang rendah maharnya (Mas kahwin)”

“Biar mati adat ,asal syariat terjaga”

“Islam itu Mudah”

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: