Tahniah Nik Nur Madihah Mohd Kamal(Rekod 19 A1, 1 A2)Pelajar Maahad Muhammadi (P)Kelantan

18 Mar

 

Tahniah kepada adik Nik Nur Madihah atas kejayaannya menempa sejarah pendidikan negara dengan pencapaian 20 A. 19 1A, dan 1 2A. Bagi individu berlatarbelakangkan agama seperti saya, kejayaan ini lebih manis apabila datang dari seorang muslimah yang sempurna penutupan aurat dan bersekolah agama. Lebih manis lagi apabila ia lahir dari sebuah keluarga yang tidak berada dari sudut kebendaan, tidak pula dilimpahi kemudahan-kemudahan tambahan seperti tuisyen dan lainnya.

Inilah yang dinamakan dakwah bil hal, iaitu satu bentuk teladan dan ajakan kepada kebaikan melalui pencapaian dan teladan hasil kejayaan dan perlakuan diri, bukan melalui percakapan atau tulisan. Benar, hampir seluruh Malaysia menumpu kepada beliau, dan tabiat manusia khususnya orang Malaysia adalah ingin mengetahui ‘rahsia’ kejayaannya. Lebih biasa kita dengar adalah cuba mendapatkan jalan pendek kepada kejayaan yang sama. Kasihan juga memikirkan minda sebahagian muslim yang inginkan kejayaan tetapi melalui rahsia tertentu, ayat Al-Quran tertentu, doa khusus dengan ‘power’ tertentu dan lainnya, dengan harapan semua itu akan memberi satu kuasa luar biasa walaupun tanpa susah payah usaha, mereka cuba mengelak dari jalan sukar dan panjang. Ia adalah satu minda yang songsang kerana semua kejayaan melalui jalan pendek adalah tiada kukuh asasnya atau HAMPIR SEMUANYA diperolehi dengan jalan korup dan salah.

Apa yang lebih menarik pihak media massa dalam kisah adik Nik Madihah, bukan sekadar kejayaannya tetapi juga ketabahannya mengharungi pembelajaran dalam suasana serba kekurangan harta benda yang kerap dijadikan ukuran kebolehjayaan seseorang. Jelas, limpahan kebendaan bukanlah satu kewajiban untuk mencatat kejayaan cemerlang.

IBADAH DAN KEJAYAAN

Kenyataan Nik Nur Madihah yang berterus terang berkenaan kebiasaannya berpuasa Isnin Khamis turut memberikan impak positif kepada ibadah puasa yang adakalanya dilihat serong oleh manusia bertuhan aqal (mereka adalah kumpulan sekular), yang sering mendakwa puasa boleh membantutkan prestasi pelajaran dan kerja kerana keletihan dan tidak bermaya.

Tudung labuhnya tidak menutup mindanya dari cerdas sebagaimana anggapan dan tuduhan sebahagian wanita moden yang amat membenci pakaian Islam ini. Bibirnya tidak perlukan warnaan merah lipstick, matanya tidak perlukan eyeshadow warna abdomen langau yang kehijauan dan pipinya tidak perlukan blusher merah agar dilihat bijak. Semuanya natural. Beliau juga tidak perlukan skirt pendek bagi menampaknya kecekapan mindanya.

Mujurlah adik Nik tidak memaklumkan berkenaan ibadah solat malam dan tahajjudnya. Jika tidak tentunya bekas pemimpin dan pemimpin yang pernah ‘membantai’ solat malam dengan hujjah ia memundurkan prestasi pelajar akan seolah-olah ditampar kiri kanan serta terkena jurus ‘flying kick’ di perut.

CABARAN MENGEKAL KEJAYAAN

Erti kejayaan amat luas dan subjektif, sebagai umat Islam kita wajib melihatnya dari perspektif keagamaan terlebih dahulu sebelum tenggelam dengan takrifan dan definisi kejayaan dari kacamata kebendaan. Namun saya tidak ingin memanjangkan takrif dan erti tersebut di dalam artikel ini.

Apapun saya ingin merakamkan tahniah kepada adik Nik Nur Madihah dan para pelajar lain yang berjaya menempa kecemerlangan dalam peperiksaan SPM mereka.

Namun beringat-ingatlah, pengalaman saya mengambil SPM di awal tahun 1990 an, dan melihat kejayaan mereka yang cemerlang dalam peperiksaan SPM memperlihatkan satu gambaran dan analisa yang berbeza-beza.

Tidak sedikit pelajar yang menyapu bersih 1A dalam semua atau majoriti matapelajaran tetapi tewas dan jatuh terjelepok semasa kehidupan di universiti. Puncanya sangat pelbagai namun asasnya adalah akibat lemah jatidiri hingga ‘cair’ dengan alam universiti yang lebih bebas berbanding sekolah. Satu alam yang menguji proses kebijaksanaan seseorang dalam menentukan hala tuju kehidupan dan ujian membuat banyak keputusan. Ramai juga yang gagal, lalu kejayaan SPM mereka hanya tinggal sebagai satu kenangan manis. Selepas keluar dari univeristi mereka bukan lagi individu teladan dan kebanggaan agama dan negara, mereka hanya orang biasa, malah mungkin duduk pun sebaris dengan individu yang gagal di dalam SPM mereka.

Tanpa mengira lokasi universiti, sama ada di dalam atau luar negeri, pokok pangkal kelangsungan kejayaan adalah terletak pada hati dan diri sendiri. Ramai yang berbangga apabila dapat melanjutkan pelajaran ijazah pertama ke luar negara, namun pulangnya tidak seperti manusia. Rambut kusut masai lagak penyanyi rock, pakaiannya berkiblatkan barat, hati dan minda menggengam erat ideologi barat. Bukan semua berambut panjang salah, memang benar ia terletak kepada niat dan pelbagai faktor lain (antaranya jimat budjet agaknya) namun ramai orang yang penampilan luarannya sengaja diniat menyamai barat hasil kekagumannya kepada negara itu.

Lebih malang, dara dan terunanya sudah lama mengucapkan selamat tinggal. Akibat kelemasan dengan cara hidup masyarakat Barat, dirasakan cara hidup ini sebagai mulia dan terkehadapan. Kasihan melihat pelajar-pelajar cemerlang SPM seperti ini, mereka dibiayai oleh kerajaan Malaysia hasil wang masyarakat Malaysia atas kejayaan aqal mereka, namun rupanya aqal mereka HANYA BIJAK MENJAWAB SOALAN PEPERIKSAAN, tetapi tidak bijak menangani persoalan kehidupan realiti, tidak bijak membuat keputusan mungkin kerana tiadanya ‘silibus khusus yang dibocorkan oleh guru’. Kegagalan ini adalah hasil dari hati yang gersang dan kering dari panduan Ilahi.

MINDA ROBOT AKAN KARAT

Itu jika dilihat dari aspek kegamaan, namun bukan sekadar itu sahaja. Pengalaman saya mengendalikan banyak interview, demikian juga hasil maklumat dari rakan-rakan di industri kewangan di Malaysia, juga adik beradik saya yang kini banyak mengendalikan temuduga kerja di syarikat masing-masing. Dapat saya kumpulan kesimpulan bahawa, keputusan 3.5 hingga 4.0  CGPA di univeristi juga tidak menjamin kemampuan dan bakat graduan.

Saya telah pernah menuliskan sekelumit panduan semasa temuduga, satu proses ujian yang kerap mendedahkan kekeringan bakat dan minda calon, walaupun dahulunya ia seorang cemerlang SPM, juga top scorer di Universiti.

Bukanlah niat saya menghilangkan motivasi pelajar untuk mencapai keputusan mantap lagi cemerlang. Ia satu kewajiban dan tuntutan, tetapi aspek kecerlangannya perlu diluaskan lagi. Menjadi seorang mat atau minah buku di universiti adalah teknik mudah untuk menjadi graduan berminda robot, cepat pula tarikh expirednya. Bijak-bijaklah mengatur urus pengajian di universiti, jangan menjadi ulat buku berminda robot yang amat mudah outdated dari dunia realiti, akhirnya menjadi computer buruk berharga murah.

Bagi menjadi minda manusia cemerlang, pelajar cemerlang wajib membuka minda dan terlibat dalam banyak masalah sama ada persatuan, dakwah dan aktviti di universiti. Semakin banyak dan pelbagai masalah yang menyerang semasa di universiti lalu dia mampu melepasinya, KIAN TINGGILAH antibodi diri.

Peratusan untuk menjadi seorang yang kebal, berpasak kukuh, berminda komputer yang sentiasa updated dan menjadi idaman setiap institusi dan syarikat akan semakin CERAH. Lebih dari itu, andalah cahaya baru buat kebangkitan agama dan pengemudian hala tuju masyarakat. Saya bukan bercakap kosong, tetapi hanya ingin berkongsi sedikit pengalaman. Sebenarnya telah ramai yang berjaya dan ramai juga yang saya kenali. Jalan mereka hampir serupa cuma belum dan tidak dibukukan untuk tatapan ramai.

Nasihat saya buat Nik Nur Madihah dan pelajar-pelajar lain yang mencatat kejayaan SPM, sama ada anda memilih UK, Jordan, Mesir, Malaysia atau di mana negara pun, jalan kejayaan masih jauh. Hempasan ombak cabaran dalam membuat keputusan masih belum melanda. Bersedialah, dan gariskan awal-awal hala tuju kejayaan diri. Beristisyarlah (bertanya dan bermesyuarat) dengan individu yang mempunyai hikmah dan pengalaman, sesungguhnya kejayaan melalui pengalaman itu suatu realiti, sedangkan kejayaan peperiksaan bertulis hanya teori.

Akhirnya, khas buat Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal, selamat datang ke dunia barumu. Awasilah ia dengan minda dan hati yang sedar. Segala jenis syaitan sedang menunggumu di kiri kanan, depan dan belakang. Kenalilah segera mana syaitan dan mana Malaikat. Semuanya sudah tercatat di dalam Al-Kitab dan Khazanah Nabi dan sahabat.

Sesiapa yang tinggal berhampiran dengan rumahnya, amat saya hargai jika dapat diprint artikel ini dan disampaikan kepada beliau.

Salam ikhlas perjuangan dari saya.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

 

nik-madihah

Saya terharu dan bersyukur mendapat berita Nik Madihah mendapat 19A1 & 1 A2 dalam SPM2008 lalu,  sedang tempat dia membesar dan mengulangkaji adalah di sebuah rumah dan dalam keluarga yang sangat sederhana. Ayahnya bekerja sebagai nelayan, menyewa rumah yang “sempit dan uzur” RM90.00 sebulan seperti dikatakan Utusan Online.

Nik Madihah sendiri menceritakan keadaannya … “Kehidupan kami sekeluarga amat sukar, kadang-kadang tidak ada makanan. Oleh itu, sejak tahun enam saya mengamalkan puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis… Secara purata saya akan membawa wang poket tidak sampai RM1 malah kadang-kadang tiada wang untuk makan di sekolah kerana wang yang diberikan oleh ayah hanya cukup untuk tambang bas ke sekolah kira-kira RM4 untuk pergi dan balik … Di sekolah saya hanya makan roti atau bawa bekal nasi goreng… Saya menerima semua ini dengan reda kerana faham ayah tidak mempunyai pendapatan tetap secara purata sekitar RM500 – RM700 sebulan… Saya belajar di ruang tamu. Alhamdulillah tiada gangguan kerana tiga adik saya sudah besar dan dua daripadanya tinggal di asrama… Saya menjadikan ia satu cabaran untuk mengubah kehidupan keluarga kami…   Kehidupan yang sukar terutama ketika musim tengkujuh atau bot ayah rosak menjadikan saya lebih insaf untuk berusaha bersungguh-sungguh. Pada ketika ayah tidak dapat ke laut, kami hanya makan nasi berlauk telur goreng. “

madihah2

“… Saya rahsiakan sebab saya mahu membuat kejutan. Jadi keputusan ini adalah sumbangan kecil saya kepada ibu bapa yang banyak berjasa untuk membesarkan saya…” (Nik Nur Madihah)

Pengajaran-pengajaran yang boleh saya simpulkan :

  1. Umat Islam, samada lelaki maupun wanita, mempunyai potensi aqal dan semangat yang hebat ke arah membangunkan umat Islam sekali lagi di akhir zaman ini. Hanya yang tinggal ialah bagaimana mendidik potensi-potensi ini dengan Tarbiyah Islamiyah yang sejati sehingga kita dapat menghasilkan pendakwah-pendakwah yang hebat, sempurna lagi menyeluruh.
  2. Umum berpendapat bahawa anak yang tinggi IQ nya adalah lahir dari ibu bapa yang dari bidang-bidang professional. Namun hakikatnya IQ yang tinggi adalah anugerah Allah yang diberikanNya kepada siapa sahaja dari kalangan hamba-hambaNya. Anugerah IQ boleh dikira sebagai salah satu bentuk rezeki dari Allah. “Siapa yang bertaqwa kepada Allah diberinya jalan keluar. Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak dia sangka-sangka. Siapa yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah mencukupkannya …” (Al-Quran).
  3. Tiga rukun tarbiyah yang terpenting ialah Mutarabbi (Nik Madihah), Manhaj (syllabus SPM) dan Murabbi (guru-gurunya). Adapun bangunan, teknologi canggih, strategik planning, SWOT analysis dll adalah alat-alat luaran yang cuba membantu pentarbiyah diri semata-mata. Tanpa kesemua alat-alat tersebut, mungkin akan berlaku kesulitan tetapi tidak mustahil tarbiyah boleh berjaya asalkan Murabbi, Manhaj dan Mutarabbi nya jelas dan hebat. Sebaliknya, tanpa murabbi yang faham dan hebat, tanpa mutarabbi yang bersungguh dan ikhlas dan tanpa manhaj yang salah, pentarbiyahan tidak akan ke mana, walaupun peralatan-peralatan sokongannya canggih dan mahal.
  4. Keberkatan dalam rezeki untuk membesarkan keluarga adalah rukun penting dalam hidup. Saya percaya seorang nelayan seperti Nik Mohd Kamal, ayah kepada Nik Nur Madihah, yang makan berlauk dihari biasa, tetapi “berlauk telur goreng di hari tengkujuh atau ketika bot rosak …” benar-benar mendapatkan rezeki keluarganya dari hasil kerja laut secara halal semata-mata, berbanding dengan banyak bidang profession dan kerja lain di zaman canggih Malaysia Boleh pada hari ini yang sukar melepaskan diri dari riba dan putar belit (gharar).

Syukur kepada Allah swt yang menganugerahkan kejayaan yang menonjol ini. Syabas kepada Nik Nur Madihah diatas anugerah Allah mendapat 19A1 1A2. Hari-hari depannya masih jauh dan mencabar. Kejayaan dalam pelajaran dan SPM bukan satu-satunya kejayaan dalam hidup. Posting saya mengenai kisah malang genius matematik, Sufiah Yusuf : Permata Yang Berkecai jangan dilupakan. Masih banyak kejayaan-kejayaan dalam kehidupan dan perjuangan ini yang mesti dicapai, terutama kejayaan Dakwah Islam, mendapat redha Ilahi dan SyurgaNya. Semoga Allah terus memberi kita kejayaan demi kejayaan untuk umat Islam ini kearah mengagung dan meninggikan KalimatNya di atas mukabumi ini. Ameen.

Ustaz Halim INIJALANKU   www.inijalanku.wordpress.com

 

INILAH RUMAH SAYA

      

Nik Nur Madihah bersama ibu bapanya Nik Mohd. Kamal Hussien dan Mariani Omar di rumah mereka di Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam. – UTUSAN/Hafiz Johari

 


        

 

 

 

 

 

 

Utusan Online 14 Mac 2009.

Hidup tanpa peralatan canggih dan kemudahan sempurna bukan penghalang untuk seseorang menempa kejayaan. Malah kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan ibu bapa.

Siapa sangka rumah yang kelihatan hampir roboh ini menyimpan sebutir permata berharga yang bakal menyinar suatu hari nanti.

Bahkan tidak seorang juga yang terfikir bahawa permata yang berlindung di rumah ini telah mencipta sejarah dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin. Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2.

Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.

Dia yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006, bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.

Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.

Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu yang menjadi tempatnya untuk berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.

Resipi kejayaan Madihah dapat 20A

KETIKA keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan semalam seorang pelajar, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, membuat kejutan apabila mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2.Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan yang hidup dalam keadaan serba kekurangan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.

Wartawan Utusan Malaysia, AZRAN FITRI RAHIM dan jurugambar, HAFIZ JOHARI menemui Nik Nur Madihah di rumah keluarganya di Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa, Kota Bharu untuk mengetahui rahsia kejayaannya.

Dia yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006 itu bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.

Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.

Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu menjadi tempat dia berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.

UTUSAN MALAYSIA: Bagaimana timbulnya idea untuk mengambil 20 mata pelajaran dalam peperiksaan SPM tahun lepas?

NIK NUR MADIHAH: Sebelum ini jika dilihat kebanyakan pelajar cemerlang datang dari keluarga yang senang seperti anak guru, pegawai bank, oleh itu, timbul idea saya mahu buktikan kepada masyarakat bahawa anak nelayan juga mampu mencatatkan kejayaan yang cemerlang seperti orang lain.

Jadi, saya mencabar diri sendiri supaya mencatat sejarah dengan 20A.

Apakah resipi kejayaan dan bagaimana saudari belajar sehingga mencatatkan keputusan cemerlang ini?

Keputusan ini adalah di luar jangkaan, saya sasarkan hanya 18A. Paling penting ialah banyak berusaha dan belajar secara strategik, sekiranya timbul masalah cepat bertanya kepada guru dan selebihnya bertawakal.

Strategi yang saya maksudkan ialah memberi tumpuan sepenuhnya ketika belajarkerana saya tidak mempunyai jadual belajar yang khusus seperti orang lain. Saya belajar ketika terasa mahu belajar sahaja tetapi ia berterusan.

Siapakah di sebalik kejayaan ini dan bagaimana mereka membantu untuk kejayaan ini?

Ibu bapa dan guru-guru banyak memberi dorongan, tanpa mereka saya mungkin tidak mencapai kejayaan ini.

Saya sebenarnya merahsiakan kepada ibu bapa bahawa saya mengambil 20 mata pelajaran dalam SPM sehinggalah keputusan peperiksaan percubaan keluar baru saya beritahu kedudukan sebenar dan mereka memberikan sokongan malah ayah memberi cabaran tambahan.

Saya rahsiakan sebab saya mahu membuat kejutan. Jadi keputusan ini adalah sumbangan kecil saya kepada ibu bapa yang banyak berjasa untuk membesarkan saya.

Dorongan guru-guru di Sekolah Menengah Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) bagaimana?

Amat baik, malah guru yang menyelia saya, Mohd. Razali Konok mencadangkan supaya saya berhubung dengan bekas pelajar terbaik SPM 2006, Siti Fatimah Mukhtar, selepas itu saya sentiasa berhubung dengannya untuk mendapatkan nasihat.

Sebagai anak nelayan, bagaimana kehidupan saudari?

Kehidupan kami sekeluarga amat sukar, kadang-kadang tidak ada makanan. Oleh itu, sejak tahun enam saya mengamalkan puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis.

Secara purata saya akan membawa wang poket tidak sampai RM1 malah kadang-kadang tiada wang untuk makan di sekolah kerana wang yang diberikan oleh ayah hanya cukup untuk tambang bas ke sekolah kira-kira RM4 untuk pergi dan balik.

Di sekolah saya hanya makan roti atau bawa bekal nasi goreng. Saya menerima semua ini dengan reda kerana faham ayah tidak mempunyai pendapatan tetap secara purata sekitar RM500 – RM700 sebulan.

Bagaimana saudari belajar dengan keadaan rumah yang sempit dan kurang selesa ini?

Saya belajar di ruang tamu, Alhamdulillah tiada gangguan kerana tiga adik saya sudah besar dan dua daripadanya tinggal di asrama.

Adakah saudari merasa rendah diri berbanding rakan-rakan lain yang lebih selesa dan mewah di sekolah?

Tidak, malah saya menjadikan ia satu cabaran untuk mengubah kehidupan keluarga kami.

Kehidupan yang sukar terutama ketika musim tengkujuh atau bot ayah rosak menjadikan saya lebih insaf untuk berusaha bersungguh-sungguh. Pada ketika ayah tidak dapat ke laut, kami hanya makan nasi berlauk telur goreng.

Kenapa tidak tinggal di asrama dan adakah saudari mendapat kemudahan biasiswa?

Kalau tinggal di asrama kos lebih tinggi, lagi pun saya lebih selesa dan tenang belajar di rumah kerana tiada gangguan walaupun rumah tidak sebesar mana.

Saya tidak pernah mendapat biasiswa dari mana-mana agensi cuma sumbangan yang diberikan oleh guru-guru melalui Cikgu Razali sebanyak RM200 sebulan.

Adakah saudari mendapat tuisyen daripada pusat tuisyen di luar sekolah bagi mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah?

Tidak, ayah tidak mampu. Saya beruntung kerana sekolah menyediakan guru lain untuk lapan mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah, saya bersama rakan-rakan akan belajar subjek tersebut pada kelas tambahan ketika cuti hujung minggu tetapi bagi mata pelajaran sastera saya belajar sendiri dan tidak pernah mengikuti kelas secara formal.

Lapan subjek ini, Pendidikan Agama Islam, Prinsip Akaun, Perdagangan, Ekonomi, Tasawur Islam, Geografi, Sains dan Sastera saya belajar ketika tingkatan lima.

Bagaimana dalam tempoh setahun saudari mempelajari semua subjek-subjek ini?

Seperti saya jelaskan tadi, banyak berusaha dan bertanya. Idea untuk menambah lagi mata pelajaran hanya timbul ketika tingkatan lima kerana pada tingkatan empat saya terpaksa menumpukan pada 24 mata pelajaran termasuk 12 subjek agama untuk peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU).

Adakah saudari menjawab semua soalan mata pelajaran Sains dan Matematik seperti Fizik dan Kimia dalam bahasa Inggeris?

Ya, sebab lagi mudah dan ditekan oleh guru sejak awal lagi.

Apakah hobi dan cita-cita saudari?

Hobi saya ialah membaca, kalau ada masa lapang saya akan membaca terutama novel tulisan Faisal Tehrani. Saya bercita-cita untuk menjadi seorang ahli fizik, disebabkan tidak ramai orang Melayu menjadi ahli fizik.

Di mana mahu melanjutkan pelajaran?

Di luar negara tetapi tempat khusus atau universiti mana saya tidak kisah

oleh Ustaz Halim

Saya amat berbahagia sekali membaca kejayaan adik Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, yang mendapat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2. Beliau adalah contoh yang baik untuk generasi muda kita. Kemiskinan tidak menghalang kejayaannya. Apatahlagi, latar sekolah agamanya membuktikan bahawa agama bukanlah penghalang kemajuan wanita, bahkan agama adalah pemangkin kemajuan sejagat. Tahniah untuk Nik Nur Madihah, keluarga dan sekolahnya. Semoga Allah menjadikannya wanita muslimah yang membuktikan keunggulan Islam. Jika kini saya di Malaysia, insyaAllah saya turut datang ke rumahnya sendiri mengucapkan tahniah!

OLEH : DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN, LAMPETER, UK.

NIK NUR MADIHAH (kiri) menerima ucapan tahniah daripada Siti Nur Fatimah dalam pertemuan di SMA Maahad Muhammadi, Kota Bharu.

Dua tahun lalu Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal kagum melihat pencapaian pelajar senior sekolah mereka, Siti Nur Fatimah Mukhtar mengejutkan banyak pihak dengan pencapaian 17 A1 dan 1 A2 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Nik Nur Madihah, 18, sendiri pada waktu itu pulang dengan 9A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Semalam, giliran dia pula mencipta rekod baru Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) dengan keputusan 19 A1 dan 1 A2.

Nik Nur Madihah tidak menganggap dia genius, malah waktu belajarnya juga tidak menentu.

“Saya tak ikut kelas tambahan, belajar juga tak ada jadual.

“Saya belajar bila terasa nak belajar tanpa terpaksa atau dipaksa,” katanya.

Anak sulung daripada empat beradik dari Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa ini bercita-cita meneruskan pengajian ke Timur Tengah dengan mendalami ilmu fizik.

Bapanya, Nik Mohd. Kamal Husin, 41, ialah seorang nelayan manakala ibu, Mariani Omar, 42, bekerja sebagai pencuci di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

OLEH LUQMAN HAKIM AB. RAHIM

Justeru,Ubahlah fikrah(mind set) kita terhadap pelajar yang belajar di sekolah-sekolah arab(madrasah) kerana mereka belajar pelbagai ilmu antaranya ilmu fardhu ain(ilmu akhirat/agama) dan fardhu kifayah(ilmu keduniaan).Berebut-berebutlah ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah ini dalam melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah. Ayuh lakukan anjakan paradigma wahai ibu dan bapa.Peluang lebih luas terbuka kepada lepasan aliran arab kerana mereka boleh menyambung pengajian dalam pelbagai aliran antaranya bidang sains,agama dan sastera di Universiti dalam dan luar negara.

Jangan biarkan generasi kita jahil agama walaupun cemerlang dalam bidang akademik.Kejayaaan dalam Islam ialah apabila kita berjaya menghadapi pelbagai dugaan dan cubaan dalam hidup ini dan akhirnya berjaya masuk ke syurga Allah.

Sama-sama fikir dan renungkan.Ingat pesanan Ibnu Khaldun dalam kitabnya Al-mukaddimah iaitu ” Jika kamu ingin melihat generasi atau pemimpin  akan datang, lihatlah generasi muda kini,jika baik mereka insyaalallah akan melahirkan generasi pemimpin yang bertakwa.

Sayangkan anak, didik mereka mengikut tarbiah agama.Usaha,doa dan tawakkal kepada Allah.Insyaallah berjaya…

Advertisements

One Response to “Tahniah Nik Nur Madihah Mohd Kamal(Rekod 19 A1, 1 A2)Pelajar Maahad Muhammadi (P)Kelantan”

  1. wanita melayu November 15, 2011 at 11:15 pm #

    pandainya nik Nurmadihah ni kalau buat ebook Rahsia cemerlang SPM
    comform meletup leh jadi jutawan ni…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: