Kenangan di Pulau Pangkor bersama rakan2 diploma pendidikan..

25 Nov

Beragama Dengan Akal Yang Sihat

17 Sep

162196653_ab9879163b_z

Mahu makan makanan yang LAZAT, atau yang BERKHASIAT? Dulu-dulu, hal ini tidak menjadi persoalan. Kebanyakan makanan yang dimakan adalah lazat, dan dalam masa yang sama ia berkhasiat. Tetapi dengan munculnya makanan sampah (junk food) yang lazat, dan makanan berkhasiat yang tidak mesra lidah dan selera, kita jadi dilema. Jika mahu makan makanan yang lazat, mudah sahaja. Rasa, dan jika selera kata sedap, jalan! Tetapi jika mahu makan makanan yang berkhasiat, kita perlu tahu apakah faktor yang menentukan sama ada makanan itu berkhasiat atau pun tidak. Jika makanan yang hendak dinilai berkhasiat atau pun tidak itu adalah OUTPUT, maka sebelum ia menjadi sebuah hidangan, ia bermula daripada INPUT dan PROSES. Input ialah bahan-bahan yang diguna pakai untuk menghasilkan hidangan makanan. Manakala proses pula ialah kaedah-kaedah yang dipakai untuk memproses bahan tadi, sehingga ia masak dan sedia dimakan.

Maklumat tentang INPUT dan PROSES itulah yang menentukan sama ada makanan itu berkhasiat atau pun tidak. Soalannya sekarang ialah, anda yang mahu berpendapat itu, tahukah tentang input dan proses berkenaan? Kenal rempah? Kenal bawang? Kenal ikan semilang dan ikan keli? Dua-dua sama bermisai. Satu hidup di air masin, satu hidup di air tawar. Kemudian, tahukah anda mengapa ada bawang yang dihiris, ada yang dipotong dadu dan ada yang dicincang lumat? Apa bezanya antara ikan yang digoreng dengan ikan yang dibakar? Apa bezanya antara daging ayam yang dikukus dengan yang distim? Serupa atau tidak sama? Mungkin hodoh benar bertanyakan soalan ini. Takkanlah itu pun tidak tahu! Tetapi jangan terkejut, semakin ramai generasi hari ini yang tidak tahu rupa-rupanya french fries itu asalnya adalah ubi kentang di dalam tanah. Malah ada yang tidak faham apa kaitannya burger yang dimakan dengan lembu-lembu yang berkeliaran di tepi lebuhraya.

Gara-gara generasi didikan ‘bibik’, sedar-sedar semuanya sudah terhidang di meja. Ibu bapa lupa resepi, anak-anak bingung berlapis tinggi! Jika anda ada maklumat, tahu, faham, tentang bahan-bahan yang dipakai, dan proses yang dilakukan untuk memasaknya, maka bolehlah anda membuat keputusan, sama ada makanan berkenaan berkhasiat atau pun tidak. Tetapi jika bawang pun tidak kenal, goreng pun tidak tahu, ikan pun ditanya apa agama orang yang ‘sembelih’, ertinya… anda itu tidak tahu. Dan jika tidak tahu, makan sahajalah apa yang disarankan oleh yang tahu, yang pakar … dan JANGAN BANYAK ‘KOMPLEN’! Kita cuba menganalogi tahap-tahap berfikir ini, untuk merawat dua penyakit yang berbahaya jika ada salah satunya, dan maha bahaya apabila wujud kedua-duanya. Iaitu penyakit BODOH, dan penyakit SOMBONG. Bergabung dua-dua, jadi BODOH SOMBONG! MAKSUD UTAMA ANALOGI Mahu pegang hukum yang ‘senang’ atau yang tepat? Dulu-dulu hal ini tidak menjadi persoalan. Dunia pra globalisasi, banyak amalan dalam keberagamaan kita sifatnya senada. Solat kita sama, puasa kita sama, berpakaian kita tidak banyak berbeza. Tetapi apabila dunia menjadi sebuah kampung kecil, di era ‘now everyone can fly’ ini, orang kita banyak ke tempat orang, orang tempat orang banyak ke tempat kita.

Dulu-dulu, cara solat yang berbeza serba sedikit itu, hanya ditemui sekali seumur hidup, dan selalunya di hujung usia, semasa mengerjakan Haji di Mekah, kini sama-sama sebangsa dan seagama pun, kefahaman dan amalannya jadi berbeza-beza. Apatah lagi jika membabitkan orang yang bangsa keturunanya lain, negara asal lain, biar pun berTuhan dan berNabi yang sama, akhirnya bentuk amalan sesama kita ada perbezaan. Kita bertasyahhud akhir dengan jari teguh menunjuk kiblat, orang sebelah kita jarinya bergerak-gerak dan mata kita memerhatikannya. Maka, pada hari ini, mahu pegang hukum yang ‘senang’ atau tepat, bukan lagi soalan yang mudah. Ia berkonflik. ‘Senang’ yang kita maksudkan itu bukanlah yang senang hendak dibuat. Tetapi yang kita maksudkan dengan ‘senang’ itu ialah hukum yang senang dalam ertikata hukum yang kita sudah sedia tahu. Yang diajar secara formal di peringkat awal pendidikan. Berpegang dengan apa yang kita telah tahu, lebih ‘senang’ berbanding mahu berpegang dengan apa yang kita belum tahu. Hendak tahu apa yang kita belum tahu itu, memang susah. Kena menuntut ilmu. Jika kita mahu pegang hukum yang senang, maka senang sahaja.

Pegang sahaja apa yang kita sudah tahu. Cumanya, kita kenalah bersabar menguruskan akibat-akibatnya, dan ia perkara biasa. Misalnya, hukum yang ‘senang’ dalam bab bersentuh lelaki dan perempuan ialah ia membatalkan wudhu’. Sebab itu adalah apa yang kita sudah sedia tahu. Peganglah hukum ini. Cuma, kita kenalah bersabar menguruskan beberapa kondisi yang rumit. Misalnya mahu mengekalkan wudhu’ di dalam LRT, semasa tawaf dalam Haji dan Umrah, malah mungkin suami diserang angin ahmar (na’udhubillah) lalu lumpuh, dan isteri mahu membantu mewudhu’kan suami, sepanjang hayat mereka. Tetapi, jika kita berkemahuan untuk mengikut hukum yang TEPAT, ketepatan hukum ini sangat bergantung kepada INPUT dan PROSES. Input kepada satu-satu hukum ialah nas-nas yang menjadi rujukan. Al-Quran dan Hadith Nabi SAW. Selain yang dua itu, ada input yang lain seperti hukum bahasa Arab dan cabang-cabang sumber yang lain.

Proses pula ialah kaedah-kaedah yang dipakai dalam berinteraksi dengan sumber itu tadi. Satu hukum fiqh, bukannya satu ayat al-Quran terus mengeluarkan satu hukum. Sebaliknya satu-satu hukum Fiqh sebagai output itu, datang daripada ayat-ayat al-Quran yang berkaitan, hadith-hadith Nabi SAW yang berkaitan, dihimpunkan secara topikal, dan kemudiannya diproses. Proses itu, ada yang menggunakan ilmu Usul al-Fiqh, ada yang menggunakan ilmu Tafsir, ilmu Mustalahāt al-Hadith, dan di sini jugalah kita bertemu dengan proses yang dinamakan sebagai Maqasid Syariah, serta jargon-jargon disiplin pengajian Islam yang banyak itu. Maklumat tentang input dan proses itulah yang menentukan sama ada hukum itu tepat atau tidak. Malah betul atau salah.

Apakah dalil-dalil yang dirujuk? Bagaimanakah dalil-dalil itu diproses untuk mengekstrak hukum daripadanya? PERSOALANNYA Soalannya sekarang ialah, tahukah anda tentang INPUT dan PROSES itu? Ada ilmu? Faham kaedahnya? Jika kita memahami nas-nas al-Quran, tahu membezakan لا yang menatijahkan haram dengan yang menatijahkan makruh, tahu Usul al-Fiqh lebih kurangnya, maka bolehlah kita kongsikan pendapat kita. Berbincang dalam ‘bulatan gembira’, tulis di Facebook, berkicau di Twitter atau berposter di Instagram. Jika kemas pendapat yang diberi, boleh juga cuba-cuba artikelkan ia di blog, hantar ke ruang surat pembaca akhbar, untuk liputan yang lebih luas. Jika tidak pun, tag sahaja orang berpengaruh dan minta dia sebarkan. “Err… saya pun lupa, actually Quran ke Hadith ke yang cakap macam tu!” Oh, kalau itulah level kita, bawa-bawalah sedar diri. Hormati kekangan diri sendiri. Respect your limit! Istihalah? ‘Umum al-Balwa? “Ahh, kalau benda dah Tuhan kata haram, maka haram! Titik!” Jika itulah cara kita berpendapat dalam beragama, sedar-sedarlah diri. Tanpa ilmu tentang input, tanpa ilmu tentang proses, tandanya kita tidak tahu! Dan jika kita tidak tahu, ikut sahajalah saranan-saranan yang diberikan oleh orang yang tahu, DAN JANGAN BANYAK KOMPLEN! MUHASABAH TAHAP KEBERAGAMAAN Kita analogikan hal ini, agar dengan cara yang ringkas dan mudah, kita dapat visualkan tentang tahap keberagamaan kita.

Kita boleh memeriksa di tahap mana kita berada. Adakalanya, kita terfitnah oleh Facebook dan Twitter yang sebenarnya merupakan ujian KUASA kepada pemiliknya. Kuasa berpendapat, kuasa berteori, kuasa berteritori. Kita bukan kucing jantan yang menanda teritori dengan pancutan kencing! Kita manusia. Teritori kita itu adalah amanah daripada Allah. Tempat kita berperanan, tetapi dalam batasan diri kita sendiri. Di zaman serba positif ini, kita mungkin sudah lama tidak disergah bahawa kita sebenarnya BODOH. Banyak benar yang kita belum tahu. Jika kita hormat kebodohan diri sendiri, lalu bercakap hanya pada kadar yang sesuai dengan secebis kepandaian kita berbanding portion bodoh yang lebih besar di dalam carta pai ilmu di dada (kepala), maka kita masih berpeluang mulia. Allah tidak menghina orang bodoh. Allah menilai dengan taqwa.

Maka jika kita sedar yang kita tidak berilmu, lalu kita merendah diri dan menasihati gaya orang tidak berilmu, nasihat itu tinggi dan berguna. “Abah sekolah tak tinggi. Abah menoreh getah sahaja. Tapi abah ni dah tua. Abah nak ingatkan kamu, lagi tinggi pokok yang kamu panjat, lagi kuat angin yang menggoncang” pesan seorang abah kepada anaknya yang hendak dilepaskan ke Balai Berlepas KLIA. Si abah itu tidak banyak ilmunya, tetapi akhirnya dia bijaksana. Malah bertaqwa. Mungkin di sisi Allah, abah sekolah tidak tinggi itu sama mulia dengan Sheikh Yusuf al-Qaradhawi. Dua-dua Allah mahu masukkan ke Syurga kerana kedua-duanya hamba Dia yang mulia. Seorang berilmu rendah namun tetap berusaha melakukan kebaikan dalam kapasitinya. Seorang lagi berilmu tinggi lalu berjihad melakukan kebaikan dalam kapasitinya. Tetapi apabila kita BODOH dan tidak menghormati kebodohan diri sendiri, kita jadi hina. Kita analogikan hal ini, untuk merawat dua penyakit dalam beragama. Kewujudan salah satunya sudah cukup merugikan malah mungkin berbahaya. Penyakit JAHIL. Penyakil TAKABBUR.

Apabila berkahwin kedua-duanya, ia jadi JAHIL MURAKKAB. Dan apabila si bodoh tidak malu menzahirkan kebodohannya, dia jadi al-Ruwaibidhah. Jadi al-Safīh! Pesan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam: “Sesungguhnya akan tiba tahun-tahun yang dipenuhi dengan tipu daya, pada waktu itu si pembohong dianggap benar dan yang jujur dianggap pendusta, pengkhianat diberi amanah dan orang kepercayaan dituduh pengkhianat dan Ruwaibidhah berucap sesukanya (yang seakan-akan bijak dan benar). Para sahabat bertanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda menjawab: Orang bodoh (al-safīh) yang berucap tentang urusan orang ramai.” [Hadith Riwayat Ahmad 15/37-38 dengan syarahan dan tahqiq oleh Ahmad Syakir. Isnadnya hasan dan matannya sahih] LOGIK DALAM BERAGAMA Ahh, artikel ini menggunakan logik sahaja! Mana Islamnya? Mana dalil-dalilnya? Benar, artikel ini adalah artikel tentang logik dalam beragama. Apabila kita beragama tanpa berakal, kita jadi sang KELDAI BERSERBAN. Lilitlah dengan agama yang bagaimana sekali pun, setiap kali berbunyi, yang keluar adalah kebodohan dan kehodohan. Dan jika artikel semudah ini pun kita tidak faham, bawa-bawalah bertaubat daripada perdebatan. Ampunkan kami ya Allah.

Hasrizal @ http://www.saifulislam.com.

Nota: Beragama Dengan Akal Sehat juga adalah tajuk sebuah buku yang dikarang oleh Agus Mustofa, pembaca dijemput mengenalinya di Goodreads

Bersembang Sunnah Tarbiyatul Awlad

17 Sep

oleh :Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
IMG_3006669730321

“Saya berterima kasih atas pembentangan panelis hari ini. Soalan saya kepada Ustaz Hasrizal, apakah saranan ustaz supaya saya boleh kongsikan benda-benda yang saya belajar hari ini, kepada anak-anak. Ada tips tertentu?” tanya seorang peserta.

Seminar Permata al-Quran anjuran Akademi Sinergi Ikhlas dan Karangkraf sudah sampai ke penghujung program. Saya bersama dengan Ustaz Fawwaz Fadzil duduk di pentas untuk sesi soal jawab bersama. Saya membentang kupasan Surah al-Fatihah. Ustaz Mohd Rusydi al-Jauhari pula bersama Ayat al-Kursi. Manakala Ustaz Fawwaz Fadzil mengupas tentang surah al-Ikhlas.

Saya tidak mempunyai apa-apa tips.

Sekarang atau sebelumnya.

Apa yang ada hanyalah beberapa percubaan, kadangkala menjadi, kadangkala tidak menjadi.

Selalunya, yang menjadi itu adalah yang dilakukan secara spontan, tidak dirancang-rancang.

Namanya ialah perbualan.

Jika kita membiasakan diri berbual dengan anak-anak, perbualan dan keselesaan melakukannya membolehkan banyak perkara dapat dikongsi dan disampaikan. Berbual dengan anak-anak bukanlah sesuatu yang mudah. Tambah-tambah untuk ABAH seperti saya. Selain anak balik sekolah dengan bau masam yang menghilangkan mood bersembang, di usia sebegini, kepala orang lelaki selalunya berat dan sarat dengan pelbagai topik.

Berbual dengan anak-anak adalah perkara terakhir yang seorang bapa mahu lakukan.

Tetapi jika diikut keselesaan diri, kita akan ditimpa penyesalan yang sukar mencari jalan u-turn. Apabila anak kekok bersembang dengan kita sebagaimana kita juga kekok bersembang dengan mereka, anak-anak menggantikan teman sembang mereka daripada kita kepada orang lain yang lebih mesra dengan mereka.

Tanpa mood bersembang, mesej-mesej yang ingin bapa sampaikan, hanya dapat disampaikan dalam bentuk leteran, bukan lagi perkongsian yang lebih positif dan mesra.

Lawanlah rasa berat mulut dan berat hati untuk berbual itu.

Shuaib boleh berbual dengan anak perempuannya, Ya’qub juga begitu. Demikian juga perbualan Ibrahim dengan anaknya Ismail, berbual dan bertukar pendapat adalah sunnah tarbiatul awlad zaman berzaman.

Bapa perlu menyediakan mood yang selesa berbual dengan anak, demikian juga ibu, supaya menjelang perkahwinan mereka, apakah nasihat seorang ibu dan bapa kepada anak mereka tentang adab sopan, kaifiyat, dan larangan ‘malam pertama’, boleh disampaikan dengan baik.

ABAH
Bandar Seri Putra

UPSR: Teruskan Perjalanan Sebagai Hamba Allah yang Berusaha

11 Oct

Oleh :Ustaz Hasrizal Abd Jamil

Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah 1987 di SRK Raja di Hilir Ekram, Ipoh

Pada tahun 1986, saya mendapat 5A di dalam keputusan Peperiksaan Penilaian Darjah 5 (sebelum ditukar kepada UPSR).

Pada tahun 1996, sudah tiada siapa kisah dengan keputusan yang membanggakan itu.

Pada tahun 2006, 5A itu sudah hampir luput dari ingatan.

Tetapi yang kekal hingga ke tahun 2012 ialah pengalaman belajar, berusaha, keyakinan diri, doa, dan tawakkal. Semua itu berguna pada tahun 2012 hingga ke akhir hayat.a

Maka dengan keluarnya keputusan peperiksaan UPSR 2012 hari ini, para ibu bapa dan guru, raikanlah apa yang maknanya kekal dalam kehidupan anak-anak kita. Puji usaha, doa dan keyakinan diri mereka, lebih banyak daripada keputusan yang mereka perolehi.

Biar apa yang kekal di memori mereka adalah apa yang mereka perlukan sebagai bekalan kejayaan hidup ini. Bukan kebanggaan sementara yang pantas hilang ditelan masa.

Syabas buat semua anak murid yang berusaha. Tahniah buat mereka yang mendapat keputusan tinggi, ia bonus yang menggembirakan diri.

Kejayaan bukan destinasi. Ia sebuah perjalanan.

Apa sahaja keputusan, teruskan perjalanan sebagai hamba Allah yang berusaha!

TUJUH BUAH FIKIRAN

  1. Memuji anak-anak ialah satu bentuk ganjaran yang menjadi kaedah menggalakkan mereka secara positif.
  2. Memuji, adalah lebih baik kepada memuji perbuatan anak dan bukannya memuji anak tanpa mengaitkan dengan sesuatu yang mereka buat. Ia akan mengelirukan anak-anak tentang sebab kebagusan mereka.
  3. Pujian kita bergantung kepada sistem nilai yang kita pegang dalam hidup. Kita akan memuji apa yang kita rasa bernilai. Setiap kali ibu bapa mahu memuji anak, sistem nilai mereka akan diuji.
  4. Pujilah apa yang benar-benar bernilai untuk jangka masa panjang kehidupan anak. Apabila keluar keputusan peperiksaan, walaupun anak mendapat keputusan yang terbaik sekali pun, ibu bapa harus memuji usaha, doa, tawakkal dan keyakinan diri anak-anak, lebih daripada pujian yang diberikan kepada keputusan yang diperolehi.
  5. Pujian kepada usaha, lebih daripada pujian kepada keputusan peperiksaan, membantu anak-anak memahami bahawa kejayaan di dalam hidup bukan destinasi, tetapi ia adalah sebuah perjalanan.
  6. Apabila seseorang itu berusaha dengan bersungguh-sungguh, dia sudah pun memilih untuk bersikap dengan sikap orang berjaya. Maka apa sahaja keputusan peperiksaan yang bakal diperolehi, seseorang itu sudah pun memiliki bekalan untuk cemerlang dalam hidup.
  7. Sistem pendidikan kita mesti menjadikan anak-anak (murid) sebagai ‘pelanggan utama’ yang mesti diraikan, lebih daripada meraikan IBU BAPA, GURU, Pegawai Pelajaran Daerah dan Negeri mahu pun Kementerian dan Menteri.

Cara Kita Memandang Kanak-kanak

11 Oct

Oleh : Ustaz Hasrizal Abd Jamil

“Syabas kepada tuan-tuan dan puan-puan, terutamanya yang anak mereka ramai dan sudah dewasa” saya memulakan penyampaian.

Syabas kerana, menjadi kebiasaan kita semasa anak seorang, kita sangat bersemangat mahu mendidik anak. Pelbagai teori mahu diguna pakai untuk memastikan tomei-tomei kita cemerlang.

“Macam mana saya nak pastikan anak saya suka sembahyang, ustaz?” tanya seorang ibu muda.

Anaknya baru mencecah usia setahun!

Takut pula saya memikirkan ibu bapa seperti ini. Terlebih semangat.

Tetapi jika anak sudah empat lima orang seperti saya, tambahan pula mereka bukan lagi kanak-kanak, sebaliknya sudah menjadi remaja yang peluh masam dan banyak ragam, maka saya menumpang kagum pada kesungguhan ibu bapa untuk terus mendidik anak-anak dengan ilmu. Bukan try and error. Jauh sekali “anak aku, aku tahulah!”

Seminar Raising Young Khalifah yang berlangsung di Dewan Tabung Haji semalam (13 Nov 2012), saya sambut. Biar pun fikiran saya berkecamuk dengan tugasan akademik yang banyak lagi membingungkan, saya menerima jemputan penganjur kerana saya tidak mahu terputus daripada dunia keibubapaan yang sentiasa saya fikir, belajar dan usaha.

Masa yang diberi hanya satu jam.

Topiknya besar.

Justeru penyampaikan mesti ada elemen sauh (anchor) yang membolehkan peserta ingat, apa yang disampaikan. Tambahan pula saya memang menjangkakan yang ceramah saya nanti berterabur.

Saya membuat keputusan last minute untuk memasukkan klip video yang dipetik daripada rancangan tv realiti, America Got Talent.  Video ini menceritakan apa yang sukar saya jelaskan dengan kata-kata.

Subjek tumpuan saya bukalah si rapper cilik bernama Mir Money itu, walaupun keyakinan dirinya di peringkat awal turut menarik untuk diperhatikan. Beliau sendiri mahu memenangi wang USD1 juta kerana mahu menjaga keluarganya! Ungkapan yang menyentuh seluruh dewan.

Namun apa yang menjadi fokus saya adalah reaksi seluruh dewan apabila beliau menangis.

Sebaik sahaja memulakan persembahan dan sampai ke ayat ”I’m only 7-years-old, it’s gonna be my year!” , Mir Money menerima X yang pertama daripada DJ Howard Stern. Mir Money meneruskan persembahan tanpa gangguan. Tetapi ketika Sharon Osbourne memberikan X yang kedua, Mir Money terhenti dan wajahnya kelihatan marah. Apabila Howie Mandel bertanya sama ada beliau marah, Mir Money menafikannya. Sebaik sahaja DJ Howard Stern memberi penerangan mengapa beliau memberi X, Mir Money mula menangis.

Ia perkara biasa untuk seorang budak berusia 7 tahun.

Reaksi spontan seluruh dewan, Stern, Osbourne dan Mandel bukan dibuat-buat. Kita menyaksikannya dengan jelas.

Ia menunjukkan bagaimana masyarakat Barat menilai kanak-kanak, adakah mereka itu manusia lengkap yang punya hak dan kemahuannya penting, atau sekadar substitute?

DJ Howard Stern hampir berhenti daripada menjadi juri program ini kerana trauma dengan ‘perbuatan’nya yang menyakiti seorang budak, tanpa niat. Menyebabkan seorang kanak-kanak menangis, menjadi isu yang begitu besar buat mereka.

Demikianlah kanak-kanak dalam kehidupan tamadun Barat, jika mahu disebut tamadun.

Sebab itu buku-buku yang mengkaji kanak-kanak banyak mereka hasilkan. Siaran televisyen khas kanak-kanak. Perkembangan pedagogi sebagai teras penting pembentukan kanak-kanak juga datang dari sana. Semuanya bermula daripada cara mereka memandang kanak-kanak dengan pandangan yang tinggi.

Hingga di Sri Gombak juga saya pernah melihat sebuah gereja khas untuk kanak-kanak, di sebuah rumah kedai!

CABARAN TAMADUN KITA

Apabila kita mendesak agar masjid menjadi lebih mesra kanak-kanak, apa yang menjadi halangan untuk desakan itu dipenuhi bukanlah pada isu kefahaman nas dan fiqh semata-mata. Tetapi ia berbalik kepada bagaimana cara kita melihat kanak-kanak itu sendiri.

Mendiang S. Subashini a/p G. Sivakumar

Ketika mana berita murid tahun 6, S. Subashini, membunuh diri kerana tidak dapat keputusan cemerlang di dalam UPSR pada tahun 2007 dan ia menjadi berita yang terbang dibawa angin, saya yakin Malaysia menghadapi masalah yang sangat serius dalam isu ini. Andai kejadian murid berusia 12 tahun membunuh diri kerana peperiksaan berlaku di Amerika Syarikat, mungkin kabinet yang mentadbir boleh goncang malah tumbang.

Dengan penuh selamba, kita mengeluarkan kata-kata yang menghancurkan jati diri kanak-kanak malah anak kita sendiri, kemudian tanpa malu kita mendakwa Islam itu Rahmatan li al-Aalamin!

Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

من لم يرحمْ صغيرَنا فليس مِنَّا

“Sesiapa yang tidak mengasihi kanak-kanak kami maka dia bukan daripada kalangan kami” [hadith riwayat al-Bukhari]

30 minit berlalu, dan saya baru selesai satu topik daripada 40 slide pembentangan!

Sunnah Meminta Pendapat Anak

11 Oct

Oleh :Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

“Kalau Abi tanya sikit, boleh?” saya memecah sepi di dalam kereta.

“Tanyalah” jawab Saiful Islam.

“Apa tentang Abi yang paling Yop suka?” saya menyoal.

“Hmm…” anak sulung saya mengeluh perlahan.

Lama beliau berfikir.

Sambil memandu, saya memandang di ekor mata memerhatikan gelagatnya.

“Sabar! Yop rasa Abi seorang yang sabar” jawabnya.

“Kenapa agaknya Yop kata Abi sabar?” saya menyoal lagi.

“Bukan senang jadi bapa. Anak-anak buat perangai macam-macam. Tapi Abi sabar” terang beliau.

“Sesekali Abi marah juga. Yop pun pernah kena rotan juga, kan?” saya mahukan kepastian.

“Sesekali tak apalah. Biasalah tu” jawabnya.

Jawapan yang Saiful Islam berikan itu mencetuskan rasa lega sedikit buat diri saya. Sekurang-kurangnya dia faham mujahadah yang saya alami setiap hari untuk berusaha menjadi bapa yang baik. Adakalanya, kita seperti itik yang berenang. Nampak tenang dan damai di permukaan air, sedangkan kaki terkapai-kapai berkayuh di balik pandangan.

“Apa tentang Abi yang paling Yop tak suka?” saya bertanya soalan bahagian kedua.

“Hmm… hmm… hmm…” beliau mengusap-ngusap dagunya gaya berfikir.

“Apabila Abi tanya, maknanya Abi nak dengar jawapan Yop. Abi tak kisah dan tak marah apa-apa pun jawapan yang Yop bagi” saya cuba meyakinkannya.

“Sibuk!” jawab beliau. Sepatah.

Kereta petang itu meluncur di lebuhraya. Saya hening dalam menyambut jawab balas si anak.

“Rasa-rasanya Yop tahu tak kenapa Abi sibuk?” saya bertanya lagi.

“Tahu. Sebab Abi ustaz. Abi kena berdakwah” jawab beliau lagi.

“Selain kena berdakwah, Abi juga kena kerja cari pendapatan. Keperluan kita pun macam-macam, kan?” saya menambah.

“Memanglah. Sekarang ni semua benda mahal. Nak pakai duit” ujar beliau.

Kami hanya berdua di dalam kereta. Naurah tidak bersekolah hari itu. Jika tidak, saya juga mahukan maklum balas si anak dara yang seorang itu.

“Banyaknya Abi tanya. Penat Yop nak fikir jawapan!” kata Saiful Islam.

Memang penat. Mungkin lebih penat daripada saya. Kelasnya bermula jam 8, berakhir jam 5. Sudah seperti orang bekerja pejabat.

“Ok, soalan terakhir. Abi nak kurangkan ceramah dan kerja, Abi cuba. Tetapi apa penyelesaian yang Yop boleh fikirkan?” saya meminta pendapatnya.

“Hmm… bagi Yop ikut Abi pergi mana-mana ceramah yang Abi rasa Yop boleh ikut” cadangnya.

“Ok! Insha Allah! Tapi jangan tertidur pula! Ceramah Abi kadang-kadang membosankan” saya bergurau sambil menyetujui cadangan.

“Yop suka dengar ceramah Abi. Tapi kadang-kadang Yop dah dengar ceramah tu. Yop pun tak tahu kenapa Yop ketawa” tambah beliau.

Tol sudah dibayar, kereta kami sudah masuk ke Bandar Seri Putra. Saya berpuas hati dengan perbualan kami petang itu. Perbualan yang mengingatkan saya kepada sunnah yang diajar oleh Ibrahim ‘alayhi al-Salaam dalam komunikasi baginda bersama anaknya Ismail ’alayhi al-Salaam:

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?“. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar” [Al-Saffat 37: 102]

Biar pun perintah menyembelih itu adalah perintah Allah yang pasti ditunai, Ibrahim melakukan sesuatu yang masih penting dalam mendidik Ismail secara efektif.

Ibrahim meminta pendapat anaknya.

Tidak mudah untuk sunnah yang satu ini dilaksanakan.

Tidak biasa.

Tidak punya masa.

Namun ia perlu.

Dan apabila ia diwartakan sebagai keperluan, mahu tidak mahu, kita tiada pilihan beralasan melainkan terus berusaha agar ia dapat dilaksanakan. Tidak biasa kena dibiasakan. Tiada masa, perlu dicari masa.

Demi anak-anak kesayangan.

Demi Tuhan!

TUJUH BUAH FIKIRAN:

  1. Faktor kualiti masa jauh lebih penting berbanding kuantiti masa
  2. Kualiti masa boleh dihasilkan dengan meningkatkan kualiti komunikasi
  3. Meminta pendapat anak berkenaan kualiti kita sebagai ibu bapa adalah sunnah dan salah satu bentuk komunikasi berkualiti
  4. Untuk menjayakannya, langkah pertama adalah pada membina kepercayaan antara kita dengan anak-anak bahawa kita ikhlas bertanya dan tidak meletakkan syarat pada jawapan
  5. Pertanyaan hendaklah diungkai kepada pertanyaan-pertanyaan yang kecil, satu persatu dan tidak bersifat konsepsual yang sukar anak fahami
  6. Berikan peluang untuk anak memikirkan solusi
  7. Ucapkan terima kasih sebagai penghargaan kepada kesudian anak bekerjasama memberikan maklum balas tersebut

Hikmah Kembara

26 Jan
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.